Sahabat Sejati

Friday 31 December 2021

Dapur Rakyat: Kolaborasi Yam Pahang dan Yam Terengganu bantu mangsa banjir

Menyediakan makanan masak (sarapan pagi, tengahari dan makan malam) dan mengagihkannya kepada 500 orang mangsa banjir di Perumahan Rumah Murah Pandan 2 dalam Program Dapur Rakyat bersama Yayasan Amal Malaysia Terengganu. 

Program Dapur Rakyat ini dijayakan dengan mendapat kerjasama Amalnita Yayasan Amal Malaysia Pahang dan disediakan di Madrasah Tahfiz Ar Rahman Kg Pandan 2. 

Kebanyakan mangsa banjir sibuk membersihkan rumah yang kotor berselut akibat banjir dan tiada kesempatan untuk memasak makanan. 

Semoga ianya dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang kediaman ditenggelami air dan mengalami kemusnahan harta benda. 

 


 


 


Tuesday 21 December 2021

Hari ketiga.. Allahu al-Musta`an..

Hari ketiga musibah yang melanda. 

Alhamdulillah, masih diberikan ruang dan peluang untuk bersama sahabat-sahabat dalam Khidmat Malaysia IM dan Jabatan Amal IM untuk membantu penduduk yang terjejas akibat banjir. Menginfakkan masa dan tenaga sesekadar termampu, selagi mana ianya diperlukan.

Semoga mangsa banjir diberikan kesabaran dan ketabahan menghadapi apa yang berlaku.

Semoga kami diberikan kekuatan dan kemanisan dalam membantu dan menyantuni mereka yang memerlukan.

Semoga keadaan kembali pulih dan semakin baik.

Allahu al-Musta`an 


 


 


 


 


 

Saturday 18 December 2021

Selamat jalan sahabatku


Perginya di subuh Jumaat 12 Jamadil Awal 1443H. Perginya mendahului kami.

Allahyarham Ustaz Amidi Bin Osman (Universiti Malaysia Pahang). Seorang sahabat yang sangat disenangi oleh semua rakan, berakhlak mulia dan sangat baik hati. Banyak pengalaman manis bersamanya.

Ya Allah aku bersaksi akan kebaikan sahabatku ini. Ampunilah dosa-dosanya, rahmati beliau dan tempatkan beliau dikalangan para Muttaqin. 

إنَّا لِلَّهِ وَإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ , وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ , وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ , وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ , وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ , وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ , وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ , وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ , وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ , وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ اَللَّهـُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهُ رَوْضَةً مِن رِيَاضِ الْجَنَّةِ , وَلَا تَجْعَلْهُ حُفْرَةً مِنْ حُفَرِ النَّارِ

Tuesday 7 December 2021

Sanah Helwah Imamuddin Haikal..

 

Moga anakanda Imamuddin Haikal yang 'istimewa' sentiasa di dalam rahmat Ilahi..

Friday 3 December 2021

Rehat Minda: Pesan Murabbi 126

Assalamualaikum, salam Jumaat yang diberkati.


 

Monday 29 November 2021

Nikmat yang membinasakan

Firman Allah SWT:

 فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ 

Maksudnya: Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka-ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan kepada mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (al-An’am: 44) 

Al-Maraghi berkata: “Semua pintu kesenangan itu dibuka sebagai cubaan dan ujian bagi mereka, yang menyebabkan sebahagian daripada mereka ada yang lupa daratan dan semakin zalim, bukannya mereka bertambah bersyukur kepada Allah SWT. Kesenangan itu kemudiannya bertukar menjadi bala bencana dan menjadi fitnah.” 

Hal ini sebaliknya kepada orang yang beriman. Bagi mereka, pintu kesenangan dibuka oleh Allah SWT supaya mereka bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih di atas anugerah-Nya. Lalu mereka menggunakan kesemua itu dengan amalan-amalan kebaikan dan amalan-amalan yang mendapat balasan yang berupa pertambahan nikmat di dunia dan pahala yang baik di akhirat kelak. 

Firman Allah SWT: 

 فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَى أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ 

Maksudnya: Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. (Saba’: 16) 

Al-Tabari mengatakan bahawa sesudah mereka mengambil sikap tidak mahu percaya kepada para rasul Allah SWT, maka datanglah banjir besar yang menyebabkan runtuhan empangan yang membendung takungan air banjir yang telah digunakan untuk menyiram pokok dan tanaman yang subur itu dan menenggelamkan kebun buah-buahan mereka, lalu bumi tempat tumbuhnya kebun itu menjadi rosak binasa (Al-Qurtubi, 14:286). 

Setelah itu bumi hanya menghasilkan buah-buahan yang tidak berguna dan tidak sedap dimakan. Al-Razi mengatakan bahawa Allah SWT telah melepaskan air banjir yang membinasakan tanaman mereka, harta benda dan meruntuhkan kediaman mereka dan sebagai ganti kebun buah-buahan yang subur itu maka tumbuhlah pokok berduri yang menghasilkan buah yang tidak berguna. 

Ibn al-Jauzi berkata, perkataan 'Arim memberi maksud: 

Dahsyat, iaitu bah yang besar. Inilah pendapat Ali Ibn Abi Talib dan Ibn Abbas. 

Nama lembah, seperti pendapat Ibn Abbas, Qatadah, al-Dahak dan Muqatil. 

Iaitu Dem atau ampangan. Inilah pendapat Mujahid, Abu Maisarah, al-Farraq dan Ibn Qutaibah. 

Sedangkan maksud perkataan Khamtin sebagai: 

Pohon Aarak. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, al-Hasan dan jumhur. 

Setiap pohon kayu yang berduri seperti kata Abu Ubaidah. 

Setiap tumbuhan yang rasanya pahit, tak mungkin untuk dimakan seperti pendapat Mubarrad dan al-Zallaj. 

Sayid Qutub berkata: “Mereka enggan bersyukur kepada Allah SWT dan enggan melakukan amalan-amalan kebaikan serta enggan menggunakan nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah itu dengan pengendalian yang baik. Lalu Allah SWT merampas kembali kemewahan dan kemakmuran hidup mereka dengan menimpakan banjir dahsyat yang menghanyutkan batu-batuan yang ada di tengah jalannya lalu memecahkan empangan mereka yang menyebabkan banjir besar yang menenggelamkan negeri itu. Setelah itu tidak ada lagi air yang dapat disimpan mereka kerana kesemuanya menjadi kering. Kebun-kebun mereka yang dahulunya segar dan tumbuh buah yang amat banyak sekali menjadi padang belantara yang di tumbuhi pokok –pokok yang liat dan kasar. 

Irsyad Fatawa

Wednesday 17 November 2021

Cerita disebalik pernikahan Jabir..

foto hiasan ~ sumber

Pasti kita telah mendengar kisah Rasulullah saw bertanya seorang sahabat yang baru berkahwin, “Jandakah atau anak dara?” 

Apabila diberitahu janda, lantas baginda bersabda, “Kenapa tidak kahwini anak dara? Kamu boleh bergurau senda dengannya, dia juga boleh bergurau senda denganmu.” 

Sebenarnya ada sesuatu yang menyebabkan sahabat ini mengahwini janda. Ceritanya begini..

Rasulullah saw seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat keadaan para sahabat. Sakit pening, susah senang, suka duka dan sebagainya sentiasa diambil tahu oleh baginda. Ada kalanya baginda menyiasat sendiri keadaan mereka. 

Al Bukhari meriwayatkan bahawa Jabir bin Abdullah pernah menceritakan kisah bagaimana baginda cuba menyelidiki keadaan hidupnya. 

Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas peristiwa Fathu Makkah, Rasulullah saw memerhatikan Jabir sedang menunggang unta yang biasa digunakan untuk mengangkut air. Unta itu kelihatan sangat lesu, letih dan lemah untuk melangkah. 

Baginda bertanya, “Apa kena dengan unta ini?” 

Jabir menjawab, “Unta ini memang sudah semakin uzur.” 

Baginda kemudiannya memperlahankan langkah untanya. Apabila sudah berada betul-betul di belakang unta Jabir, baginda cuba menolak dan mendorong unta itu. Unta itu pun mula berjalan laju. Ia memintas unta-unta yang lain. 

Selepas beberapa ketika baginda bertemu lagi dengan Jabir lalu bertanya, “Bagaimana untamu sekarang?” 

Jabir menjawab, “Ia semakin baik. Sebelum ini ia ada masalah pada kakinya.” 

Rasulullah saw mengesyaki Jabir dalam kesusahan. Jika tidak masakan dia masih menggunakan khidmat untanya yang uzur itu. Namun baginda masih cuba menduga. 

“Mahukah kamu menjualnya kepadaku?” tanya Rasulullah. 

Jabir menjadi serba salah untuk menolak permintaan baginda. Apa tidaknya. Itulah satu-satunya unta yang dimilikinya. Dengan unta itulah dia mencari rezeki. Namun untuk menolak permintaan Rasulullah saw adalah suatu yang amat mustahil baginya. 

Lalu dia menjawab, “Boleh saja wahai Rasulullah.” 

Setelah dipersetujui harganya, maka berlakulah jual beli itu dengan penyerahan tangguh setelah sampai di Madinah kelak. 

Dalam perjalanan itu juga Jabir memberitahu Baginda saw bahawa dia baru sahaja berkahwin. Inilah salah satu sifat mulia Jabir. Biarpun baru sahaja berkahwin, namun dia tetap menyahut seruan jihad. 

Tujuannya memberitahu baru berkahwin adalah kerana hendak meminta izin daripada baginda saw untuk meninggalkan rombongan dan bergerak cepat menuju Madinah. Lalu Rasulullah saw mengizinkan. 

Namun baginda sempat bertanya: “Kamu kahwini anak dara atau janda?” 

Jabir menjawab, “Saya kahwini janda.” Dikatakan nama isterinya Suhailah binti Mu’awwiz Al Ausiyah. 

Baginda lantas bersabda dengan hadis yang masyhur:

 هَلَّا تَزَوَّجْتَ بكْرًا تُلَاعِبُهَا وتُلَاعِبُكَ 

“Mengapa tidak kahwini anak dara. Kamu boleh bergurau senda dengannya. Dan dia juga boleh bergurau senda denganmu.” 

Cadangan baginda itu ialah kerana ini adalah perkahwinan pertama bagi Jabir. Janda biasanya tidak semesra anak dara. Hatinya mungkin masih ada rasa kasih kepada suami pertama. Sedangkan anak dara, tiada pengalaman mempunyai suami. Inilah suaminya yang pertama yang akan diletakkan kasihnya sepenuh hati. 

Ini bukan suatu HUKUM. Tetapi galakan bagi orang yang kali pertama berkahwin. 

Namun Jabir menjelaskan, “Ayah saya telah meninggal dunia (syahid dalam peperangan Uhud). Oleh itu saya perlu memelihara adik-adik perempuan yang masih kecil. Sekiranya saya kahwini anak dara, mungkin adik-adik saya tidak akan hormatinya kerana faktor usia yang tidak jauh daripada usia mereka. Isteri saya juga tidak akan mampu berperanan sebagai pendidik kepada mereka.” 

“Dengan sebab itulah saya kahwini janda yang sudah berpengalaman mengurus rumah tangga dan mampu menjaga serta mendidik adik-adik saya.”

Begitu jauh wawasan Jabir rupanya. 

Daripada cerita ini, Rasulullah saw mendapat maklumat tambahan berkaitan kehidupan Jabir. Fahamlah baginda bahawa sememangnya Jabir seorang yang susah. Namun bertanggung jawab terhadap adik-adik yang dipeliharanya setelah kematian bapanya. 

Setelah itu Jabir pun memecut untanya menuju ke Madinah, meninggalkan rombongan Rasulullah saw dan para sahabat yang lain. 

Selepas beberapa hari di Madinah, Jabir mendapat khabar ketibaan Rasulullah saw. Beliau bergegas ke rumah Rasulullah saw pada awal pagi untuk menyerahkan untanya. 

Baginda gembira melihat Jabir menunaikan janjinya lantas menyerahkan bayaran harga unta seperti yang dipersetujui dalam perjalanan beberapa hari sebelum itu. 

Amat mengejutkan Jabir, apabila baginda mengambil unta yang sudah menjadi milik baginda lalu diserahkan kembali kepadanya sebagai hadiah. Duit harga unta sudah diperoleh, kini unta pula dikembalikan oleh baginda. 

Tidak cukup dengan itu, Rasulullah saw turut menyerahkan sejumlah harta rampasan perang yang sememangnya Jabir berhak kerana turut serta dalam peperangan tersebut. 

Wallahu a'lam.

Sunday 10 October 2021

Tawakal

foto hiasan ~ sumber

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab ra, Nabi saw bersabda:

 لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً 

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894) 

Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki. 

Dalam hadis ini, Rasulullah saw mengisyaratkan bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Dinukilkan dalamTuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/8)

Imam al-Suyuti menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman berkata: “Hadis ini bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan enggan melakukan usaha untuk memperoleh rezeki. Sebaliknya hadis ini merupakan dalil yang memerintahkan untuk mencari rezeki kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki. 

Imam al-Ghazali menyatakan: Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah lah yang nanti akan menentukan hasilnya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65)

Justeru, usaha mesti tetap dilakukan. Malah Rasulullah saw turut melakukannya. Rasulullah saw berperang dengan tombaknya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi saw juga memakai topi besi pada kepalanya. Rasulullah saw juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

 اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ 

Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal. Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708)

Rasulullah saw memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara di samping penyerahan urusan kepada Allah SWT. 

Ibn al-Athir menyebut, tawakkal bermaksud menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menangani sendiri. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/221) 

Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.” (Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, 3/1266) 

Allah SWT berfirman:

 وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ 

Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Surah al-Talaq (3) 

Ibn Qayyim menjelaskan: Dalam firman Allah SWT di atas, tidak dikatakan bahawa orang yang bertawakkal akan dibalas dengan pahala sekian dan sekian seperti balasan untuk amalan yang lain. Malah disebut balasan dari tawakkal adalah Allah sendiri yang mencukupkannya. Jika seseorang benar-benar bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan keluar melalui langit dan bumi serta setiap makhluk di dalamnya yang Allah tundukkan. Allah SWT akan mencukupkan dan menolong orang yang bertawakkal tersebut. (Lihat Bada’i al-Fawa’id, 2/775) 

Berdasarkan nas dan kenyataan-kenyataan di atas, dapat difahami bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. 

Kami nyatakan di sini, maksud sebenar tawakkal terangkum padanya tekad, azam, strategi, usaha dengan bersungguh, doa dan diakhiri dengan redha atas keputusan Allah SWT. Jika berjaya dan terhasil, disyukurinya. 

Sebaliknya jika gagal, dia akan berusaha di samping bersabar. Sudah pasti, wujud di sebaliknya hikmah yang tak terjangkau dek akal. 

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta menjadikan kita daripada mereka yang bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal kepada-Nya. Amin.

Rujukan: Tashih al-Mafahim

Wednesday 6 October 2021

Mari belajor loghat Pahang (6)

Assalamualaikum warahmatullah sahabat-sahabat.

Alhamdulillah, kes penularan pandemik covid-19 mencatatkan jumlah penurunan walaupun masih lagi di aras empat angka. Semalam mencatatkan jumlah kes sebanyak 8K lebih dengan negeri saya masih bertahan di angka enam ratus lebih kes. 

Justeru, marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan agar penularannya semakin menurun setiap hari. Dan dalam masa yang sama turut berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala, insya-Allah. 

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata.

Contoh Ayat : Kan keh dah kabor... jangan letok kete bawoh pokok tu... ataih pokok tu banyok 'Angry Bird'... Kala kete dah besempudei dengan taik burung gini, aok toksoh pegi basuh la... aok pegi buat report polih jer, kira 'Total Loss' la kala cenggini..

 

 Contoh Ayat : Amender yak aok pandang tu weh??? Sampei ekor mencudat gitume.... Ader kucing lawo ker? Atau ader anjing seksi?..

 

Contoh Ayat : Aii Pak Aji, takkan la bebuka sampei perut mentek gini? Agok-agok la kala nok makan te.. Kala dah terbungkang gini, goner nok pegi terawih ni karang...

 

Contoh Ayat : Aok kala naik bas pegi nengok bolor kat stadium tu nanti, memolek sikit.... jangan sampai terapik kat pintu bas pulok. Dah la bas orang bagi free... takmboh berambi lalu... Malu orang kampung weh!

Sunday 3 October 2021

Bicara santai: Desaku

“Zaman kanak-kanak…kita merasa kaki dengan tangan. Sampai luka-luka bila tersandung dan jatuh. Kini sudah remaja, kita merasa dengan akal dan hati pula. Sering luka-luka juga kalau tersungkur dalam perjalanan. Kelak kalau dewasa bagaimana pula.” (Petikan novel Memeluk Gerhana oleh Isa Kamari)

Desaku nan permai.

Kedamaiannya adalah penawar yang tidak pernah mengecewakan. Di mana lagi tempat jika tidak kampung halaman, tempat saya mencari secebis damai diri. Desa itu tempat saya dilahirkan, dibesarkan meniti hari-hari usia menuju dewasa.

Setiap kali pulang ke desa saya akan berpusing-pusing di sekeliling ceruk dan pelosok, mencari kenangan yang semakin kabur di desa tercinta. Melihat perubahan demi perubahan yang berlaku diusik pembangunan. 

Menyapa mesra pakcik-pakcik yang masih dikenali, sebahagiannya telah uzur dimamah usia. Bertemu rakan-rakan lama yang sama-sama telah bergelar bapa, mengimbau kenangan-kenangan silam yang mengusik jiwa. 

Memerhati anak-anak muda yang sedang membesar, kadang-kadang mencuit keresahan kerana ada di antara mereka yang cacat budi dan tempang bahasa walaupun jasadnya tampak sempurna.

Demikianlah, seiring peredaran masa, perubahan demi perubahan pasti berlaku dan realitinya desaku semakin berubah wajah citranya dihimpit arus kemodenan.

Wednesday 22 September 2021

Tuesday 21 September 2021

Jangan biarkan hati sekeras batu

foto hiasan ~ sumber

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya di dalam jasad seseorang ada seketul daging, apabila baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak daging itu maka rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah saw menggambarkan bahawa fungsi hati secara maknawi, iaitu hati yang menentukan perjalanan hidup anak Adam di segenap perkara, hati juga yang memberi gambaran kehidupan sebenar untuk menjadi hamba Allah SWT. 

Sekiranya ia dimakmurkan dengan iman dan keyakinan, sudah tentu ia akan memandu seluruh anggota yang lain dengan penuh ketundukan dan kepatuhan dalam kebaikan. 

Namun, jika hati tidak diurus dan dirawat daripada kelalaian dan keingkaran yang bertapak di dalamnya, maka ia akan terputus hubungan dengan Allah SWT seumpama layang-layang yang terputus tali, terbang tanpa haluan. Akhirnya ia semakin menjauh. 

Al-Quran menggambarkan hati yang tidak dikawal lama-kelamaan akan menjadi keras sebagaimana kerasnya batu, bahkan lebih keras lagi. Ketika itu sukar untuk kebaikan masuk ke dalamnya. 

Firman Allah SWT: "Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Sesungguhnya pada sebahagian batu-batu itu,terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedang Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa sahaja yang kamu kerjakan.” (aL-Baqarah: 74) 

Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan.” 

Manakala Syeikh as-Sya’rawi pula menyebut di dalam tafsirnya: Kenapa Allah menyebut hati dan menyifatkannya dengan keras, di samping tidak menyebut berkenaan jiwa atau nafsu? Ini kerana hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang. 

Oleh itu, lembutkanlah hati untuk menerima segala kebaikan. 

Ibnu al-Qayyim rahimahullah mengatakan dalam kitabnya Bada’i al-Fawa’id [3/743], “Tatkala mata telah mengalami kekeringan disebabkan tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya keringnya mata itu adalah bersumber dari kerasnya hati. Hati yang paling jauh dari Allah adalah hati yang keras.” 

Ingatlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui atas setiap perbuatan kita dan kita pasti akan bertemu dengan-Nya pada hari kiamat nanti untuk dipertanggungjawabkan. Sedangkan di waktu itu kita amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya. 

Ya, kita semua amat berhajat kepada rahmat dan keampunan-Nya. Justeru, jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan hati keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah. Jika tidak kitalah yang akan menanggung penyesalan yang tidak terhingga. 

Ya Allah, lunakkanlah hati kami dengan mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu… 

Anda mampu mengubahnya!!!

Friday 3 September 2021

Gelang putih pula

'Gelang putih pula'

Dalam renyai-renyai hujan, roda kenderaan bergolek perlahan menuju ke destinasi. Hari ini saya perlu melakukan ujian swab yang kedua. Ujian yang dibuat secara 'drive thru' ternyata amat memudahkan. Tidak perlu menunggu lama biarpun ramai yang berpusuan. 

Termasuk kali ini, sudah lima kali saya melakukan ujian swab. Ada yang sakit sehinggakan saya merasa seperti berdarah hidung. Ada pula yang sebaliknya. Tak mengapalah, itu pun satu pengalaman yang berharga. 

Alhamduillah, selesai ujian swab kedua. Gelang berwarna pink juga sudah dipotong. Manakala gelang putih mula mengambil alih tugas di lengan. Insya-Allah dalam 2 atau 3 hari lagi keputusannya akan diperolehi. Moga semuanya baik-baik sahaja. 

Sudah dua minggu tidak dapat bersolat Jumaat kerana masih 'terkurung'. Moga 'keterpaksaan' ini Allah SWT memaafkan dan mengiranya juga sebagai ibadat kerana atas usaha dan ikhtiar untuk memutuskan penularan wabak penyakit.

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ ۖ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ ۗ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An Nahl: 96) 

Allahu al-Musta`an.

Thursday 2 September 2021

Cetusan rasa: Hujan dan kerinduanku

'Terkurung'

Cuaca hari ini dingin sekali. Hujan yang turun sejak waktu subuh berdetak menimpa atap anjung rumah saya. Sesekali angin yang bertiup menambah rasa dingin. Sebenarnya sudah dua tiga hari hujan turun di tempat saya. Sudah pun mula memasuki musim tengkujuh barangkali.

Saya yang 'terkurung' di dalam bilik bacaan, sesekali menjenguk keluar jendela. Sepasang anak mata memerhatikan rintik-rintik hujan yang menimpa aspal hitam di hadapan rumah. Baru semalam lorong-lorong di taman perumahan saya diturap semula batuan tar. Seingat saya lebih sepuluh tahun jalan ini telah digunakan. Habis semua lubang dan lopak ditambun. Sekarang semuanya tampak baru. Ah, nikmat pembangunan.  

Hujan masih lagi turun. Suasana yang mendung sebegini seringkali menghadirkan perasaan yang berbaur. Adakalanya perasaan itu sukar untuk difahami. Terasa ada kerinduan yang terlalu sulit mahu diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia menusuk sehingga menyesakkan dada. Sukar untuk saya gambarkan. Sejujurnya saya rindukan ayahanda  dan bonda yang telah lama mendahului ke alam abadi.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amin.”

Insya-Allah hari ini saya akan melakukan ujian swab untuk kali yang kedua. Moga keputusannya kekal negatif sebagaiman ujian yang pertama dulu. Syukur juga hari ini tiada kematian di negeri Pahang akibat pandemik Covid 19 ini. Mudah-mudahan semakin hari keadaan semakin baik.  

Doakan.

Tuesday 31 August 2021

Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021

sumber foto

Alhamdulillah, sekali lagi kita menyambut tarikh keramat 31 Ogos. Walaupun dalam suasana mengekang dan melawan pandemik covid 19, kegembiraan dan kebanggaan seharusnya tetap dizahirkan.

Sudah masuk tahun ke-64 membina negara bangsa mengikut acuan sendiri. Dalam tempoh panjang tersebut, seharusnya mematangkan semua warga dalam membina kemakmuran.

Marilah sama- sama berganding bahu untuk mengukuhkan ikatan perpaduan yang telah disemai sesama kita. Semoga kita tidak lupa kepada perjuangan generasi terdahulu yang telah menumpahkan airmata, keringat dan darah demi untuk mendapatkan kemerdekaan ini. 
 
Marilah kita sama-sama menikmati kemerdekaan ini dengan penuh kesyukuran. MALAYSIA PRIHATIN.

Friday 27 August 2021

Bicara Santai: Moh kuarantin!


Assalamualaikum warahmatullah, salam Jumaat yang diberkati. Moga teman-teman beroleh kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan kehidupan. Puji dan syukur kepada Allah SWT yang tidak pernah berkurang nikmat dan belas kasihan kepada para hamba-Nya.

Alhamdulillah, keputusan ujian swab saya yang pertama tempohari telah pun diperolehi. Berkat doa sahabat-sahabat, keputusannya negatif. Insya-Allah, minggu hadapan ujian swab kedua pula akan dilakukan. Semoga keputusannya turut sama. Amiin.

Menjalani hari-hari tempoh kuarantin, ada juga masa-masa yang membosankan, apatah lagi terkurung seorang diri di dalam bilik. Biarpun sudah ada pengalaman dikenakan perintah kuarantin yang pertama dulu, namun bagi saya yang sudah biasa bergerak dalam gerakerja kemanusiaan bersama Yayasan Amal Malaysia, terkurung begini tanpa dapat keluar menyertai sahabat-sahabat yang lain menghantar bantuan terasa juga kekecewaannya. 

Namun, saya pasrah. Arahan mengasingkan diri oleh pihak berwajib bukanlah suatu hukuman yang dikenakan, tetapi untuk kebaikan semua orang. Tentunya saya menyokong pengasingan diri ini dalam membantu usaha pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik ini. Tak apalah, cuma 14 hari. Pejam celik, pejam celik, cukup dua minggu. Jangan sambung lagi sudahlah.

Seperti biasa, sekali lagi bilik bacaan menjadi lokasi uzlah. Telefon bimbit, komputer riba dan buku-buku menjadi teman pendamping yang setia dalam mengisi masa-masa yang dilalui. Bayangkan jika semua itu tiada, alangkah tambah bosan. 

 


Sekarang ini saya sedang menghabiskan bacaan buku berjudul 'Hang Tuah di Lautan Ceritera'. Sebuah buku bergenre kajian sejarah. Sebuah buku yang amat menarik pada hemat saya. Banyak lagi buku yang telah dibeli tetapi belum sempat dibelek dan dibaca. Insya-Allah, moga asbab kuarantin ini saya dapat menghabiskan lebih banyak lagi buku-buku yang sederetan di dalam rak. Doakan.

Sunday 22 August 2021

Kali kedua

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, bertemu lagi sahabat-sahabat di alam maya ini. Lama juga tidak mencoret sesuatu di laman ini. Hasrat keinginan memang mengharapkan pertemuan setiap hari. Apakan daya, mahu dan mampu seringkali tidak beriringan.

Semalam saya dihubungi oleh pihak Kementerian Kesihatan agar hadir menjalani ujian swab secara pandu lalu di Terminal Sentral Kuantan. Ianya berikutan telah disahkan menjadi kontak rapat pertama kepada seorang pesakit covid-19 yang juga rakan saya.

Pagi tadi saya telah ke sana untuk melakukan ujian swab tersebut. Seperti biasa selepas ujian swab tersebut, lalu dipakaikan gelang sebagai tanda. Kali ini gelang berwarna merah jambu pula, sekaligus diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama dua mnggu. Ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin. Kali pertama pada bulan Mei yang lalu.

Insya Allah, dalam masa empat hari lagi keputusannya akan diperolehi. Samada positif atau negatif. Mohon doa daripada sahabat semua, mudah-mudahan keputusannya baik-baik sahaja. Allahu al-Musta`an.

Wednesday 21 July 2021

Salam `Aidul Adha Mubarak 1442H


Assalamualaikum warahmatullah.

Selamat Hari Raya Aidiladha saya ucapkan kepada semua sahabat yang beragama Islam. Moga segala kepayahan serta pengorbanan yang kita hadapi dan harungi sekarang akan diganjari oleh Allah SWT dengan kebaikan di dunia dan akhirat. 

Dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama. Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa. Kita perlu membuat perbandingan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Ayyub as ketika diuji dengan penyakit, apabila menghadapinya dengan penuh kesabaran. 

Kita perlu menyedari betapa masa sihat dan senang itu lebih panjang berkali ganda daripada masa sakit dan bencana. Namun, ramai dalam kalangan manusia yang lupa akan masa sihat yang panjang untuk bersyukur, sehingga lupa untuk bersabar ketika susah dalam masa yang lebih singkat. 

Rasulullah saw meminta supaya kita sentiasa bersyukur apabila senang dan sihat supaya mendapat kelebihan dalam semua keadaan, serta bersabar apabila menghadapi kesusahan dan bencana. Di samping itu, mendapat kelebihan apabila berikhtiar dengan ilmu dan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

Sabdanya Rasulullah saw:

 ‌عَجَبًا ‌لِلْمُؤْمِنِ، ‌لَا ‌يَقْضِي ‌اللَّهُ ‌لَهُ ‌قَضَاءً ‌إِلَّا ‌كَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ، ‌إِنْ ‌أَصَابَتْهُ ‌ضَرَّاء ‌صَبَرَ ‌فَكَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ، ‌وَإِنْ ‌أَصَابَتْهُ ‌سَرَّاء ‌شَكَرَ ‌فَكَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ. 

“Sungguh mengagumkan bagi seseorang yang beriman. Tiadalah ujian yang Allah timpakan kepadanya melainkan memberi kebaikan (pahala) kepadanya. Sekiranya dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, maka itu kebaikan baginya. Sekiranya ditimpa ke atasnya perkara yang menyusahkannya, lalu dia bersabar, maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim 2999) 

Sama-sama kita mengutip ibrah melalui peristiwa korban agar dapat menanam sikap sedia berjuang dan berkorban demi kepentingan Islam.

Allahu al-Musta`an.

Sunday 18 July 2021

Yuk, puasa sunat Arafah


Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain. 

Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim). 

Daripada Abu Qatadah al-Anshari ra; Rasulullah saw ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Rasulullah saw juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

Niat Puasa Hari Arafah;

 نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلِّهِ تَعَالَى

Daku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala.

Rasulullah saw bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”.

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu. 

Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:“Ramai di kalangan sahabat Rasulullah saw yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah saw, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim) 

Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: “Sesungguhnya Rasulullah saw melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).

Yuk, puasa sunat Arafah pada 09 Zulhijjah 1442H / 19 Julai 2021M

Tuesday 13 July 2021

Ampunilah kami ya Rabb..


Alhamdulillah, semalam telah menyempurnakan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di PPV Integrasi Dewan Jubli Perak. Insya-Allah dalam masa tiga minggu lagi akan melengkapkan dos kedua pula. Sesungguhnya ia termasuk dalam ikhtiar dan tawakal kepada Allah SWT. Moga dipermudahkan semua urusan daripada apa-apa yang menyulitkan.

Melihat perkembangan kes covid 19 pada hari ini benar-benar mengejutkan. 11,079 kes pada tarikh 13 Julai 2021, paling tertinggi setakat ini. 

Ya Allah,  jika musibah wabak yang tersebar ini adalah kerana dosa-dosa kami, maka Engkau ampunkanlah kami semua. Angkatlah wabak ini dengan kadar seberapa segera agar kami dapat menjalani kehidupan dengan selesa. 

Berilah kekuatan kepada kami untuk menghadapi musibah yang berat ini dan lindungilah kami dan kelaurga kami daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya yang menyebabkan terbitnya penyesalan kepada kami dan keluarga kami. 

Hasbunallah wa ni'mal wakil.

Sunday 11 July 2021

Pembahagian yang afdhal bagi daging korban

foto hiasan ~ sumber

Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ 

 Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). 

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik ra: 

 كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ 

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi saw melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing. Hadith riwayat al-Bukhari: (5233) 

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478) 

Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:

 فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ 

Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah al-Hajj: 28) 

Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban. 

Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

 فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا 

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda saw memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. Hadith riwayat Muslim: (1218) 

Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya: 

1. Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin. 

2. Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya. 

3. Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485) 

Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485) 

Oleh itu, al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:

 وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ 

Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826) 

Kesimpulan 

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya. 

Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. 

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat agama-Nya dengan sebaiknya. Amin. WaAllahu a’lam.

(Rujukan: Irsyad Fatawa)

Friday 9 July 2021

Nampaknya tak keluar lagi tahun ini..

[foto sebelum PKPD) Santai di Taman Negara usai misi kemanusiaan di perkampungan orang Asal.

 “Sabah, dua hari sebelum raya haji,” ujar pengerusi Yayasan Amal Malaysia kepada saya dan tiga lagi rakan, beberapa hari sebelum Ramadhan tiba. 

Perancangannya, begitulah. Saya dan tiga lagi rakan ditugaskan untuk menguruskan pelaksanaan ibadah korban di Sabah sekaligus menyambut raya di sana. Perkara biasa saban tahun menjelang raya qurban kami akan ditugaskan mengurus pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah, samada di dalam negara maupun luar negara di bawah panji misi kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia.

Tanpa berbasa-basi kami semua memberi persetujuan. Sabah pun Sabahlah. Maklumlah mahu keluar negara memang tidak mungkin berikutan pandemik yang melanda di seluruh dunia. Jika tidak pastilah saya akan ke India sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. 

Walaupun sebenarnya saya tidaklah berapa suka sangat ke India.Saya lebih memilih untuk ke Indonesia atau Kemboja atau Vietnam. Tetapi lebih memilih Indonesia sekiranya diberi pilihan. Tetapi tidaklah saya menolak jika diarahkan ke India atau ke mana sahaja pelusuk belahan dunia dalam misi kemanusiaan, melainkan ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ya, melihat perkembangan ketika awal Ramadhan tempohari, hati berkata "tiada masalah untuk merentas negeri". Masjid pun sudah diberi kebenaran untuk mendirikan solat tarawih, tidak seperti tahun lalu sebagaimana yang telah maklum. Namun, perancangan yang telah diatur tidak menjadi kenyataan. Benarlah, perancangan kita hanyalah sekadar perancangan. Namun, ketentuan sudah pasti milik-Nya. 

Hampir memasuki bulan syawal, tiba-tiba kes covid semakin menjadi-jadi pula. Melihat perkembangan yang berlaku, terfikir dibenak memang tak dapat ke Sabah, Benar, nampaknya tak keluar lagi tahun ini. Tidak lama selepas itu menteri membuat pengumuman larangan merentas negeri. Mujurlah tiket penerbangan belum ditempah. 

Sudah dua tahun tidak keluar ke mana-mana, samada di dalam negeri apatah lagi luar negara. Bukan sahaja misi qurban, termasuk juga misi-misi kebajikan yang lain. Rindu pengalaman membantu golongan yang memerlukan. Apa pun, kami akur dengan undang-undang. Arahan larangan merentas negeri untuk kebaikan bersama.

Walaupun buat masa sekarang para petugas tidak dapat keluar ke lokasi pelaksanaan qurban, namun ibadah tersebut tetap dijalankan. Wakil-wakil kami sentiasa di setiap lokasi samada di India, Chad, Bangladesh, Sudan, Cambodia dan sebagainya, sentiasa komited menggalas amanah menyemurnakan ibadah qurban rakyat Malaysia.

Insya-Allah moga kondisi yang berlaku akan segera berakhir. Ya Allah, angkatlah musibah covid-19 ini dari bumi Malaysia yang tercinta dan dunia seluruhnya, agar kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Amiinn.

Wednesday 7 July 2021

Pada seekor kambing

Foto hiasan

Jabir bin Abdillah meriwayatkan, suatu hari Rasulullah saw bersama para sahabat memetik buah di Marru Zahran iaitu kawasan lembah sekitar 8 kilometer dari Makkah, arah ke Madinah. 

Buah yang dipetik dikenali sebagai buah kabath (كباث). Rupanya seperti buah tin. Ia adalah makanan untuk unta dan kambing. Tetapi tika terdesak, manusia pun makan juga buah ini. 

Dikatakan peristiwa ini berlaku pada zaman awal dakwah baginda. Umat Islam ditindas dan ditekan. Hidup susah. Maka buah kabath ini jadi makanan kepada mereka. 

Sambil para sahabat memetik buah berkenaan, Rasulullah saw bersuara,

 عليكم بالأسْوَدِ منه؛ فإنَّه أَطْيَبُهُ 

"Petiklah buah yang berwarna hitam kerana itulah yang paling baik." 

Para sahabat kehairanan, bagaimana baginda tahu tentang buah itu mana yg baik mana yang kurang. Biasanya buah ini hanya dikenali oleh pengembala kambing dan penghuni padang pasir sahaja. 

Lalu mereka bertanya," Ya Rasulullah adakah tuan pernah memelihara kambing?" 

Baginda lantas menjawab:

 وهلْ مِن نَبِيٍّ إلَّا وقدْ رَعَاهَا 

"Tiadalah seorang nabipun melainkan semuanya membela kambing." 

Dalam riwayat Abu Hurairah, baginda bersabda:

 ما بَعَثَ اللَّهُ نَبِيًّا إلَّا رَعَى الغَنَمَ، فقالَ أصْحابُهُ: وأَنْتَ؟ فقالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أرْعاها علَى قَرارِيطَ لأهْلِ مَكَّةَ. 

"Tiadalah Allah mengutus seseorang sebagai nabi melainkan dia memelihara kambing." 

Sahabat bertanya, "Tuan juga?" 

Baginda menjawab, "Ya. Aku juga pernah memeliharanya dengan mengambil upah dari penduduk Makkah." 

Hadis ini menjelaskan bahawa kesemua nabi yang diutuskan Allah pasti melalui pengalaman memelihara kambing. 

Kalau sudah semuanya, menunjukkan ia bukan satu kebetulan. Bukan sekadar hobi. 

Tetapi ia adalah tarbiyah ilahiyah untuk melatih mereka dengan suatu aktiviti mencabar dan bermanfaat untuk menghadapi cabaran dakwah. 

Pasti ada suatu yang istimewa pada kambing. 

Beberapa kurun sebelum itu, moyang baginda telah mencatat sejarah menunaikan korban dengan menyembelih kambing atau kibasy di Mina. 

Nabi Ibrahim alaihissalam dianugerahkan binatang sembelihan itu setelah lulus ujian dan terbukti ketaatannya menunaikan perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. 

Lebih awal daripada itu sejarah mencatatkan manusia pertama yang mengorbankan kambing ialah anakanda Nabi Adam alaihissalam iaitu Habil. 

Dia dan abangnya Qabil, diperintahkan Allah supaya berkorban untuk menentukan siapa yang diterima  korbannya. 

Qabil hanya memberikan hasil tanamannya berupa sayur (gandum) yang tidak berkualiti. 

Sedangkan Habil memilih ternakannya yang paling gemuk berupa seekor kambing untuk dipersembahkan kepada Allah. 

Ternyata korban kambing dari Habil diterima Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 27 bermaksud, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”.

Semoga musim korban yang bakal tiba seminggu dua lagi, tidaklah ada di antara kita yang korbankan sayur kangkung dan bayam sahaja.

Saturday 3 July 2021

Korban buat orang yang telah meninggal dunia

Permasalahan mengenai korban buat si mati adalah permasalahan yang diperselisihkan oleh para fuqaha’. Di dalam permasalahan ini, terdapat beberapa pendapat, antaranya: 

Pertama: Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah. 

Ini berdasarkan sebuah hadith dari ‘Aisyah R.Anha yang mana meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ketika menyembelih menyebutkan: 

 بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ 

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad. Riwayat Muslim (1967) dan selainnya. 

Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad saw itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda saw menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan korban bagi orang yang telah meninggal dunia. 

Al-Kasani Rahimahullah menyebutkan: “dari sudut istihsannya bahawa kematian bukanlah penghalang untuk taqarrub. Dalilnya adalah dibenarkan untuk bersedekah buat si mati dan juga menunaikan haji buatnya dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda saw telah melakukan sembelihan korban dengan dua ekor kibasy yang mana satunya untuk Baginda saw dan baki satunya untuk umat Muhammad yang tidak melakukan korban dan sesungguhnya ada dikalangan umat Muhammad saw itu yang telah mati dan tidak sempat melakukan korban maka ini menunjukkan bahawa orang yang telah mati boleh bertaqarrub dengannya (melalui ibadah korban)..” [Lihat Bada’i al-Sana’i, 5/72] 

Seterusnya Ibn ‘Abidin Rahimahullah menyebutkan: “Siapa yang melakukan korban bagi si mati maka lakukanlah sepertimana dia melakukan korban buat dirinya sendiri daripada sedekah dan makan. Adapun pahala untuk si mati dan pemilikan untuk si penyembelih”. [Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/326] 

Daripada Hanabilah pula menyebutkan: “Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah”. [Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/472] 

Kedua: Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah. Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan: “Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”. [Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42] 

Ketiga: Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321] 

Kesimpulan 

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, kami cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya. 

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490] 

Justeru, kami berharap agar permasalahan ini dapat difahami dengan baik serta mengikuti neraca syariah dan fiqhnya. Wallahu a’lam.

Thursday 1 July 2021

Rileks sekejap: Melayani anakanda 'Haikal yang istimewa' di pkp

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang berkuasa menghidup dan mematikan. Tuhan yang mencurahkan bermacam-macam nikmat, maka dengan nikmat-nikmat itu para hamba-Nya dapat mengecapi kemanisan hidup ini.

Tuesday 29 June 2021

Menggabungkan korban dan aqiqah

Jika seorang ayah baru mendapat anak dan berbetulan pula dengan hari-hari korban, bolehkah dia berniat sekali korban dirinya dan akikah anaknya pada satu bahagian lembu atau seekor kambing? . 

Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak. Sebelum itu, perlu diketahui bahawa dalam perbahasan fekah terdapat satu topik berkenaan penggabungan beberapa ibadah dalam satu amalan. Contohnya, 

1. Mengabungkan tahiyyatul-masjid bersama solat fardhu atau solat sunat yang lain, 

2. Menggabungkan puasa enam atau puasa isnin/khamis bersama puasa qadha, 

3. Menggabungkan mandi sunat jumaat atau hari raya bersama mandi wajib/junub. . 

Para dasarnya para ulamak menetapkan satu kaedah; dua amalan/ibadat dari jenis yang sama dan kedua-duanya mempunyai sisi tujuan yang sama dan masing-masing tidak memiliki tujuan khusus (dari pensyariatannya), boleh digabungkan dalam satu perbuatan sahaja (al-Suyuti & al-Sa'di). Sebagai contoh; solat tahiyyahul masjid. Tujuan Syariat memerintahnya ialah agar seseorang itu beribadah (solat) terlebih dahulu sebelum duduk dalam masjid. Tujuan ibadah turut terdapat dalam solat fardhu, maka dengan melakukan solat fardhu terangkum sekali tahiyyatul masjid kerana keduanya memiliki sisi tujuan yang sama.

Korban dan akikah dari segi amalan adalah sama iaitu menyembelih haiwan ternak (unta, lembu atau kambing). Namun apakah kedua-duanya mempunyai sisi maksud yang sama? Para fuqahak berbeza dalam menjawab persoalan ini, menyebabkan mereka berikhtilaf dalam memutuskan hukum apakah korban dan akikah boleh disatukan atau tdak?

Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; kedua-dua ibadat itu boleh digabungkan kerana ia memiliki sisi tujuan yang sama iaitu bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan penyembelihan dan menjamu makan orang lain (Syeikh al-Munajjid, no. fatwa; 106630). Syeikh Sayid Sabiq menjelaskan; menurut mazhab Hanbali; jika bertepatan hari korban dengan hari akikah, mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dan hari jumaat, mencukupi sekali mandi sunat sahaja untuk kedua-duanya" (Fiqh al-Sunnah, 3/193) 

Namun menurut mazhab Maliki dan Syafiie; tidak sah digabungkan (yakni mesti dilakukan setiap satu secara berasingan) kerana sekalipun ada sisi tujuan yang sama, namun masing-masing darinya turut memiliki tujuan dan sebab tersendiri, iaitu yang satu bersempena kelahiran anak dan yang satu bersempena 'idil-adha dan hari-hari tasyriq (Rujukan; fatwa Syeikh al-Munajjid, 106630). Dalam erti lain, kedua-duanya adalah ibadah sunat yang berdiri sendiri dan jamuan setiap satu darinya juga bersifat tersendiri (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, hlm. 911).

Kesimpulannya, para ulamak adakalanya melihat suatu masalah dari perspektif yang berbeza, kerana itu hukum fiqh mereka juga berbeza. Mungkin ada yang bertanya; pada pandangan ustaz, dalam masalah ini mana yang rajih? Bagi saya, tidak semestinya kita melihat khilaf ulamak dari sudut rajih dan marjuhnya. Adakalanya perlu dilihat sebagai ruang kemudahan bagi umat itu. Bagi yang mampu, buatlah kedua-duanya secara berasingan. Bagi yang kurang mampu, gabunglah kedua-duanya, beramal dengan pandangan kedua. Walaupun tidak dapat pahala maksimum, mudah-mudahan tidak ketinggalan pahala minimum. Itulah rahmat Allah untuk umat ini.

Sunday 27 June 2021

Bicara santai: Sampai bila agaknya.. wallahu a`lam


Seingat saya, bilik bacaan peribadi ini menjadi tempat yang paling kerap saya 'berkurung' sepanjang tempoh PKPD dan kemudiannya PKP. Apa nak buat, mahu keluar rumah tanpa ada urusan yang perlu tidak digalakkan. Jadi, 'berkampunglah' di dalamnya menyelak helaian buku, sambil melakukan kerja-kerja rumah yang sepatutnya. 

Mahu menonton televisyen, saya tidak punya peti televisyen. Lebih 10 tahun kami tidak menonton televisyen. Untuk mengetahui berita semasa, semuanya menerusi talian internet. Lagipun dalam usia begini keinginan menonton televisyen sudah pun hampir tiada.

Sama juga sewaktu menjalani kurantin di rumah kerana menjadi kontak rapat pertama pesakit covid-19, saya menjadikan bilik ini sebagai bilik kuarantin. Makan, minum dan tidur semuanya di sini. Apa-apa urusan, cuma disebalik daun pintu. Orang lain tidak dibenarkan masuk. Sehinggalah tamat tempoh kuarantin tersebut dan setelah disanitasi barulah ahli keluarga dibenarkan masuk ke dalamnya.

Alhamdulillah, hampir dua puluh hari dalam keadaan seumpama terpisah dengan 'dunia luar', akhirnya saya dibebaskan daripada 'penjara' tersebut. Saya telah disahkan negatif dan dihubungi oleh pihak KKM untuk urusan pemotongan gelang sakti tersebut. Gelang sakti kerana ia mampu menjauhkan manusia lain mendekati pemakainya.  

Meneliti laporan kes yang berlaku setiap hari, nampak gaya seperti lambat lagi kita semua dapat menjalani kehidupan normal seperti dulu. Bebas berjalan ke amana-mana, tidak perlu lagi memakai pelitup muka apabila keluar rumah, boleh bersalam apabila bertemu dan sebagainya

Terasa rindu pula dengan laporan sepertimana tahun lalu. Sehari tidak sampai 10 kes. Diharapkan dengan pemberian vaksin ini akan dapat menjadikan keadaan bertambah baik. Allahu al-musta`an.  

Saturday 26 June 2021

Apakah ada nabi wanita?

Apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an secara jelas, Rasul itu adalah dalam kalangan lelaki dan bukannya wanita. Inilah pandangan jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, 6/447. Hal ini juga dinukilkan oleh Imam al-Nawawi bahawasanya telah sepakat para ulama’ menurut Imam al-Haramain dalam al-Irsyad bahawa Maryam bukanlah Nabi (al-Azkar, m. 119) 

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

 وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى 

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar,…” (Surah Yusuf: 109) 

Ayat ini telah menegaskan bahawa Allah SWT tidak mengutuskan nabi dalam kalangan wanita dan juga jin. Walaubagaimanapun, ada beberapa ulama’ yang berpegang bahawa adanya nabi dalam kalangan wanita. Antaranya adalah Imam al-Qurtubi, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Ibn Hazm. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/226). Antara wanita yang dianggap sebagai nabi adalah Maryam, Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa, Sarah dan Hajar. 

Menurut John DelHousaye, Bible ada menyebutkan beberapa bukti tentang adanya Nabi wanita. Dalam Perjanjian lama, ada disebutkan nama Maryam (Exodus 15:20), Deborah (Judges 4:4), Huldah (2 Kings 22: 14; Chronicles 34: 22), Noadiah (Nehemiah 6: 14) dan istilah “beberapa nabi wanita” (Isaiah: 8: 3). Manakala dalam Perjanjian Baru ada disebutkan tentang seorang wanita bernama Anna yang digambarkan oleh Lukas sebagai nabi wanita. (Lihat https://www.cbeinternational.org/resources/article/mutuality/q-who-are-women-prophets-bible) 

Dalam agama Yahudi pula terdapat 7 orang nabi wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh Rabbi Shlomo Yitzchaki dan juga direkodkan dalam Talmud iaitu Sarah, Maryam, Devorah, Hannah (ibu Nabi Samuel), Avigail (isteri Nabi Daud), Huldah dan Esther. Hal ini juga dihuraikan dengan mendalam di dalam buku Kabbalistic Teachings of the Female Prophets: The Seven Holy Women of Ancient Israel oleh J. Zohara Meyerhoff Hieronimus. 

Menurut Imam al-Qurtubi ketika mengulas Surah Yusuf ayat 109:

“Ini adalah kritikan kepada mereka yang berpendapat ‘Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? " (Surah al-An’am: 8) iaitu diutuskan kepada kami dalam kalangan lelaki, tidak ada pada mereka wanita dan juga jin, begitu juga malaikat. Ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.’ (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 9/179) 

Tentang penetapan kenabian Maryam: ‘Manusia berbeza pandangan tentang kenabian Maryam. Dikatakan: (i) ‘Kenabiannya adalah kerana malaikat diutuskan kepadanya dan berkomunikasi dengan malaikat. Dikatakan: (ii) Beliau bukan nabi kerana beliau berkomunikasi dengannya sebagaimana manusia, beliau melihat fizikal malaikat sebagai diperlihatkan Jibril dalam sifat fizikal Dihyah (al-Kalbi); ketikamana disoal Nabi SAW tentang iman dan juga Islam. Pandangan (i) adalah yang lebih kuat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 11/62) 

Berkenaan hadith yang dibawakan oleh Imam al-Qurtubi iaitu:

 إِنَّ فِي النِّسَاءِ أَرْبَعُ نَبِيَّاتٍ حَوَّاءُ وَآسِيَةُ وَأُمُّ مُوسَى وَمَرْيَمُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.” 

Kami tidak menjumpai teks hadith ini dalam mana-mana kitab hadith. 

Ibn Hazm menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui adanya isu berkenaan hal ini kecuali ketika beliau di Cordoba. Beliau membawakan tiga pandangan ulama’ dalam isu ini: 

Menolak adanya nabi wanita. 

Menerima adanya nabi wanita. 

Tidak memberi apa-apa pandangan sehingga datangnya dalil (tawaqquf) 

Ibn Hazm menegaskan bahawa kisah Maryam dan ibu Nabi Musa adalah bukti yang jelas tentang kenabian wanita. (al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa al-Nihal, 5/12). Kisah Maryam tersebut adalah peristiwa Jibril datang kepadanya. Bagi beliau, antara ciri kenabian adalah didatangi malaikat. Manakala kisah ibu Nabi Musa pula adalah tentang ilham yang Allah SWT berikan terus kepada beliau untuk menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Pandangan Ibn Hazm berkenaan kenabian Maryam ini juga dinukilkan oleh Imam al-‘Aini. Walaubagaimanapun, bagi beliau Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bersama-sama dengan ulama’ lain dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam isu ini iaitu Nabi hanya dalam kalangan lelaki. (Lihat ‘Umdat al-Qari, 4/194). 

Pada hakikatnya, tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap sebagai Nabi jika didatangi malaikat kerana jika dilihat pada sabda Nabi SAW ini, malaikat juga datang kepada orang biasa:

 أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ 

Maksudnya: "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Lelaki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.' (Riwayat Muslim, no. 4656) 

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa seperti dalam ayat:

 وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ 

Maksudnya: "Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia;..." 

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur'an juga merekodkan lebah yang menerima "wahyu" yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah SWT: 

 وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون

Maksudnya: "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia." (Surah al-Nahl: 68) 

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi. 

Kesimpulannya, jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja. Allah SWT juga menegaskan:

 وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka.” (Surah al-Nahl: 43)

Semoga penjelasan ini dapat menambahkan pemahaman kita dalam agama dan membawa kita kepada jalan yang diredhai-Nya. Wallahu a'lam.