Sahabat Sejati

Monday 30 July 2018

Bukroh! Bukroh! Ya sheikh...

"Mujur tak kena 'bukroh' (esok)!" ujar anakanda along Ikhwan.

"Kalau kena bukroh, jawabnya kena tidur kat kaki lima kedutaan tulah." pintas saya sambil ketawa kecil.

"Baik tidur masjid. Nak balik Kuantan, kemudian esok nak datang pulak, lagi susah." sambungnya lagi.

Jam menunjukkan pukul 10 malam. Kami berdua baru pulang dari masjid. Ada jamuan selepas solat isyak tadi. Sambil melepaskan penat kami berbual-bual di bawah anjung sambil menikmati kedinginan bayu malam.

"Hafifi dan Iqbal itu hari kena 'bukroh' (esok)." Nasib baik ada kawan di KL tu, boleh juga tumpang tidur semalaman," along Ikhwan memecah kesunyian setelah kami diam seketika.

Hafifi dan Iqbal adalah sahabat anak saya yang sama-sama belajar di Mesir dan sama pulang bercuti baru-baru ini  sempena Ramadhan dan Syawal. Nasib mereka kurang baik sewaktu mahu memperbaharui tempoh visa, berkatalah sang petugas kaunter dengan perkataan yang tidak berapa enak untuk didengar. "Bukroh! bukroh!"

Terpaksalah mereka akur dan pulang dengan sedikit hampa.  

"Mujurlah along tak kena suruh datang esok macam Hafifi dan Iqbal. Dan yang peliknya dalam lima orang yang sedang menunggu untuk buat visa, petugas tu panggil along dulu. Lepas tu suruh datang ambil minggu depan." panjang lebar along Ikhwan menerangkan pengalamannya ketika urusan menyambung visa tersebut.

Lebih kurang sama, segelintir

Ceritanya, dua minggu lepas anakanda saya, along Ikhwan ke kedutaan Mesir di Kuala Lumpur untuk menyambung visanya yang telah tamat tempoh. Alhamdulillah, nasib baik petugas kaunter mahu melayaninya pada hari tersebut. Setelah siap semua urusan diminta datang mengambilnya pada minggu hadapan. 

Genap sepuluh hari, along Ikhwan kembali semula ke Kedutaan Mesir untuk menuntut visanya. Jika diikutkan tempoh visa dijanjikan siap dalam masa seminggu. Tetapi sengaja saya menyuruhnya ke sana selepas sepuluh hari. Bukannya apa, adalah sedikit pengalaman dengan perangai segelintir pak arab yang 'tak berapa' nak baik. Janji lain tapi buat lain. Lebih kurang sama sahaja samada yang di Malaysia atau yang bertugas di Mesir. Jika dia malas, senang-senang sahaja disebutnya, bukroh! bukroh! Tetapi segelintir ye bukannya semua. 

Telahan saya benar, tengahari itu semasa along Ikhwan mahu menuntut visanya: "Datang jam 3 petang nanti," ujar petugas kaunter. 

Nampak gayanya terpaksalah dia meronda-meronda dahulu untuk mencukupkan masa. Bayangkan jika datang selepas seminggu seperti yang diminta. Tiba-tiba diberitahu belum siap lagi dan diminta datang semula esok atau lusa. Tak ke menyusahkan!

Alhamdulillah, jam 3 petang visanya berjaya dituntut.    

Sunday 29 July 2018

Falsafah Hidup


Dengan perjuangan kita dilahirkan. Di dalam gerak tangis kita mulai membuka mata. Di dalam bedungan ibu kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita ansur tegak dan kita jatuh, lalu kita tegak lagi dan jatuh lagi. Kemudian tegak terus untuk pergi berjuang ke medan permainan, lalu ke medan hidup, lalu ke perjuangan dalam batin kita sendiri, menegakkan yang baik dan melawan yang buruk. 

Selama hidup kita kerjakan demikian, menjalankan titah perintah Tuhan Yang Maha Esa. Berapa pun yang dapat kita kerjakan, harus kita syukuri. Setiap hari atau masa kita hitunglah laba dan rugi. Sampai kelak datang panggilan. Panggilan yang tidak dapat ditakhirkan walau satu saat dan tak dapat pula ditaqdimkan walaupun satu saat. Panggilan yang tak dapat dielakkan oleh setiap yang bernyawa. 

Maka terbukalah pintu kubur. Maknanya pindahlah kita dari hidup fana kepada hidup baqa, dari hidup dunia kepada hidup akhirat. Demikianlah kita menempuh hidup; lahir, berjuang dan akhirnya mati. Betapa juapun kita harus percaya, bahawa kebaikan juga yang menang. Sebab asal-usul kejahatan kita bukan jahat, hanya baik semata. Kalau kejahatan pernah menang, hanyalah lantaran dorongan nafsu. Bila nafsu telah reda, kebaikan jualah yang kita junjung. Sebab itu hendaklah kita percaya hidup penuh dengan Iman dan baik sangka kepada Tuhan. Itulah Falsafah Hidup.

Tajuk: Falsafah Hidup
Penulis: Prof Dr Hamka
Penerbit: Pustaka Dini
Cetakan: 2007
Harga: RM30.00
Mukasurat: 334

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan."

Thursday 26 July 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (39)


TEMPOH DAN TAHAP DAKWAH

Tempoh Dakwah

Kita dapat membahagikan masa dakwah Nabi Muhammad kepada dua tempoh yang masing-masing memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Dua tempoh itu adalah;

1. Tempoh di Mekah, berlaku kira-kira 13 tahun.

2. Tempoh di Madinah, berlaku selama 10 tahun.

Tahap Dakwah

Di setiap tempoh ini ada tahap-tahap lain lagi, masing-masing mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya daripada tahap yang lain. Hal itu secara jelas dapat dilihat setelah melakukan analisis dengan mendalam terhadap pelbagai keadaan yang mencakupi dakwah Islam sepanjang dua tempoh tersebut.

Tempoh di Mekah boleh dibahagi menjadi tiga tahap, iaitu:

1. Dakwah Sirriah (sembunyi-sembunyi) yang berlaku selama tiga tahun.

2. Menyampaikan dakwah secara terbuka kepada penduduk Mekah, yang bermula sejak permulaan tahun keempat kenabian sehingga akhir tahun kesepuluh.

3. Dakwah di luar Mekah, yang dimulakan sejak akhir tahun kesepuluh kenabian hingga baginda berhijrah ke Madinah.

Untuk tempoh di Madinah, penjelasannya akan disampaikan nanti.  
 
(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Wednesday 25 July 2018

Dihargai agar tahu menghargai


Hari ini kami sekeluarga ke Kemaman untuk menghadiri dan meraikan Majlis Ihtifal Pusat Pengajian Taman Islam (PPTI) ke-41. PPTI adalah tempat anak kedua saya, angah Irsalina belajar. Majlis Ihtifal ini disekalikan dengan Majlis Perasmian Mujamma' yang diadakan pada sebelah malamnya. Alhamdulillah, saya sampai di PPTI ketika tuan mudir sedang berucap. Sempat jugalah mengikuti ucapan oleh perasmi majlis selepas itu.

Saya sentiasa berazam untuk tidak gagal meraikan hari anak-anak. Ya, semua anak-anak. Mengapa? Agar anak-anak sentiasa merasa dihargai. Jiwa yang sentiasa dihargai akan melahirkan seorang yang tahu menghargai, demikianlah ingatan diri saya.

Saya pernah beberapa kali bermotosikal dari Kuantan ke Jerantut semata-mata tidak mahu terlepas meraikan majlis di sekolah anak sulung. Pernah saya 'tersadai' dalam perjalanan tersebut di tepi jalan gara-gara 'kuda pecutan' kehabisan bensin. Di kiri dan kanan jalan hanyalah rimbunan pohon kelapa sawit yang saujana mata memandang. Mujurlah ada seorang pakcik yang bermurah hati menawarkan diri untuk membeli bensin di stesen minyak berdekatan yang sebenarnya langsung tidak dekat. 

Pernah juga saya bermotosikal pada malam hari melalui jalan lama Jerantut - Maran untuk pulang ke Kuantan setelah selesai majlis. Menyusuri jalan Sungai Jerik yang sangat mendebarkan dan menguji keberanian. Di kiri kanan hanya pokok-pokok hutan yang berbalam-balam diserkup kegelapan malam. Terselit kocakan di dada bimbang motosikal yang sedang dipulas pemacunya mengalami kerosakan.

Begitu juga beberapa kali saya bermotosikal ke Kemaman untuk meraikan majlis anak kedua. Tidak kurang pengalaman yang hampir sama dialami. Namun semua pengalaman perit dan jerih yang dialami tidak mengendurkan keazaman saya untuk tidak mahu gagal menghadiri majlis anak-anak. Sekadar mana yang saya termampu saya akan cuba untuk memenuhinya.

Mengapa saya lakukan semua ini? Ianya agar anak-anak sentiasa merasa dihargai. Jiwa yang sentiasa dihargai akan melahirkan seorang yang tahu menghargai. Demikianlah saya sentiasa melihatnya begitu. 

Friday 20 July 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 109

Salam Jumaat.


"Setiap orang yang mengaku ISLAM wajib berazam dalam hatinya untuk melihat undang-undang ALLAH SWT terlaksana dalam negara." ~Ustaz Azhar Idrus #Daie Sejuta Ummah

Thursday 19 July 2018

Di serambi 42

19 Julai datang lagi bertamu mengetuk pintuku. Saban tahun berkunjung tanpa kelelahan. 19 Julai adalah potret diriku, dan tanggal 19 Julai setiap tahun adalah tanggal kelahiranku ke dunia ini.

"Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (al-Mukminuun: 14)

Puji-pujian buat Ilahi, di atas belas ehsan dan kesantunan-Nya, diri ini masih diizinkan untuk menghirup udara, makan dan minum rezeki kurniaan-Nya, menikmati kehidupan ini dengan penuh kebaikan. Sedangkan semua itu hanya sedikit yang dipinta dalam munajat doa. 

Matahari terbit esok. Apakah aku akan punyai hari esok? Entahlah, tidak mampu aku menjawabnya kerana kehidupan ini di dalam genggaman kekuasaan-Nya. Mudah-mudahan aku masih diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan hari esok di serambi 42 ini, demikianlah kata hati...

Wednesday 18 July 2018

Sekejap je tiga bulan!

'foto lebaran 1439H'

Alhamdulillah, selesai satu bab. Selesai sudah urusan pembelian tiket anakanda Ikhwan untuk pulang semula ke Mesir pada akhir bulan ini. Setelah tiga bulan bercuti di Malaysia termasuk menyambut Ramadhan dan Syawal, justeru tibalah masa untuk meninggalkan tanah tumpah tercinta ini bagi menyambung kembali jihad fisabilillah di medan menuntut ilmu.

Sejak dua minggu lalu saya menggodek-godek dari satu laman web ke laman web syarikat penerbangan. Mencari-cari tiket kapal terbang yang sesuai dan berpatutan. Bukannya apa, mana tahu jika ada tawaran menarik seperti promosi harga murah atau yang sewaktu dengannya. Jimatlah sikit! Tanpa jemu, pagi sekali dan petang sekali saya melayari laman web yang berkenaan. Demikianlah mudahnya zaman ini, semuanya melalui online. Apa sahaja!

Akhirnya, setelah menggodek sana-sini, ternampaklah satu tawaran tiket yang menarik. Wah, harga pun nampak ok. Penerbangan ke Cairo melalui syarikat penerbangan Saudi Airlines. Transit cuma sekali iaitu di Jeddah. Tanpa bertangguh saya pun membuat tempahan dan pembayaran.

Insya-Allah, anakanda Ikhwan akan berangkat meninggalkan bumi tercinta ini pada 01 Ogos. Sebagaimana berseorangan sewaktu pulang ke Malaysia dahulu, begitu juga untuk perjalanan kali ini. Tentunya saya amat mengharapkan doa daripada sahabat-sahabat agar urusan anakanda saya untuk pulang ke Mesir ini dipermudahkan serta diberikan keselamatan sepanjang perjalanan.   
Allahu al-Musta`an!

Tuesday 17 July 2018

Yayasan Amal Malaysia: 'Meeting' dan makan-makan

Mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) pada bulan ini bertempat di YAMCP Resort Maran. Sebenarnya kami bermesyuarat setiap bulan di dua lokasi tetap secara giliran. Pertama di Pejabat YAMCP  Sungai Isap, Kuantan. Mesyuarat di sini lebih 'official'. Manakala bulan berikutnya pula diadakan di rumah rakit 'YAMCP Resort'. Letaknya di pinggit Sungai Pahang, Kampung Pesagi Chenor Pahang. Rumah rakit ini berkembar. Satu dilengkapi dapur, tandas dan ruang makan. Manakala satu lagi seumpama dewan yang berfungsi sebagai tempat solat, tidur dan bersantai-santai. Mesyuarat di sini lebih dalam keadaan santai. Rata-rata di kalangan kami menyukai mesyuarat di sini kerana beberapa sebab..  


Ini adalah antara hidangan yang mesti ada setiap kali mesyuarat di YAMCP Resort. Masakan yang paling 'femes' di daerah Temerloh. Apa lagi jika bukan Patin Masak Tempoyak atau dikenali dengan Patin Gulai Masam di daerah Jerantut. Tetapi yang ini sangat istimewa kerana dimasak dengan cukup bahan  perisanya, yang disediakan oleh sahabat kami yang memang bertaraf 'chef'.  


Satu lagi yang membuka selera. Ikan Tilapia masak lemak kuning. Cukup lemak santan dan pedasnya. Bisa menitiskan peluh di dahi, dan bisa juga menambah kolesterol. Hentam sajalah, bukannya selalu, dua bulan sekali. Itupun jika hadir mesyuarat.


Tersedia menyambut ahli-ahli mesyuarat yang datang dari daerah Kuantan dan lain-lain daerah sejauh daerah Raub.  Jika tidak habis dimakan, terpaksa (bukan terpaksa sebenarnya) bungkus untuk dibawa pulang. Yalah, jika ditinggalkan tiada siapa yang mahu menghabiskan, nanti membazir pula. Sementelah lagi sahabat-sahabat di sini sudah biasa atau 'puas cemuh' makan lauk patin ni. 

 
Individu disebalik apa-apa yang terhidang. Sahabat kami, abang Rashid yang juga salah seorang ALP YAMCP. Seorang yang bagi kami sudah bertaraf 'chef' dengan masakan yang enak sehingga menjilat jari. Salah satu resepinya, gulai patin bakar pernah menjadi johan masakan antara sekolah-sekolah peringkat ASEAN. Salah seorang anak sahabat kami menyediakan resepi tersebut dalam pertandingan itu.
 

Selepas makan nasi dengan lauk-pauk yang sangat membuka selera, kena habiskan pula buah-buah yang ada. Durian dan salak yang dari kebun sahabat di sini. Rambutan belum masak lagi, duku pula belum masuk musimnya.


Acara menghabiskan apa yang ada. 


"Cebok jangan tak cebok ustaz". Sahabat kami, Ustaz Mizi yang baru mendapat 'title' YB dalam PRU 14 baru-baru ini. Memenangi salah satu kerusi DUN yang ditandingi di negeri Pahang. Syabas YB!
 

Selepas makan kena rehat-rehat dulu sebelum mula mesyuarat. Nak bagi nasi turun ke bawah dulu, jika tidak tak selesa nak bermesyuarat. Jadi ambil kesempatan berehat sambil bergebang-gebang di atas perahu fiber. Di rumah rakit ini terdapat 4 buah perahu fiber dengan pelbagai saiz yang digunakan untuk memancing dan menahan pukat di Sungai Pahang ini. 
 
 
Mesyuarat bermula di dewan rumah rakit. Masih ada yang terbaring kekenyangan di rumah rakit sebelah. Jangan sampai tertidur dah la. Tak mesyuarat mana nanti! 

Saturday 14 July 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (38)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (37) di bawah tajuk: Maksud Dakwah yang Tersirat

Sesungguhnya, ini merupakan sebuah untaian kalimat yang agung dan menggentarkan hati, yang menyedarkan Nabi daripada kehangatan pelukan isteri di rumahnya, sekaligus mendorong baginda untuk tampil ke tengah-tengah kumpulan manusia. 

Kemudian baginda pun memasukkan diri ke tengah pusaran angin kencang dan hujan deras, menikmati pelbagai penolakan dan penerimaan daripada manusia serta merasakan bagaimana realiti kehidupan yang sebenarnya.

Rasulullah saw terbangun dan terus terjaga setelah lebih 20 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada istilah rehat dan bersantai bagi baginda. Baginda hidup bukan untuk kepentingan diri dan keluarganya tetapi untuk agama Allah. Baginda bangkit dan terus berdiri berdakwah, memikul beban yang terlampau berat di bahunya, yang tidak pernah diturunkannya walau sekelip mata.

Beban tersebut adalah amanah terbesar yang pernah ada di muka bumi. Beban yang beratnya setara dengan kehidupan seluruh umat manusia, setara dengan keagungan akidah yang kuat, setara dengan pengorbanan tidak berhujung dan jihad panjang di seluruh medan peperangan. Baginda hidup di tengah-tengah pertempuran yang berpanjangan selama lebih dari 20 tahun.

Selama tempoh ini, baginda tidak terpaling sedikit pun oleh gangguan, sejak dari pertama kali menerima bebanan syariat dan menyambut seruan agung di atas. Semoga Allah membalasi baginda dengan pahala terbaik kerana telah memberi petunjuk kepada kita dan seluruh manusia.(1)

Lembaran-lembaran selepas ini akan menyajikan gambaran kecil dan ringkas daripada jihad panjang yang meletihkan itu, yang telah dipikul oleh Rasulullah saw sepanjang baginda menjadi nabi.

RUJUKAN: 
(1) Sayyid Quthub, Fi Zhilal al-Quran, tafsir surah al-Muzzammil dan al-Muddaththir, jil. XXIX, hal. 168-171 dan 182.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Wednesday 11 July 2018

Monday 9 July 2018

Momen terindah di penghujung Syawal (1439H)

Di antara momen terindah dan mengasyikkan ialah tatkala menyelongkar album foto-foto lama. Saat membelek dari selembar ke selembar menghadiahkan kemanisan dan kenyamanan. Manisnya momen itu tidak mampu digambarkan dengan bual bicara melainkan detaknya pada deria rasa.

Setiap foto yang terselit kemas di dada album ada nostalgia dan kisahnya yang tersendiri. Berbicara dan bercerita tanpa suara tentang zamannya (zaman yang telah jauh ditinggalkan). Biarpun telah kemerahan dan kabur rona fotonya, namun kenangannya masih segar di ruangan mata, sehingga bisa meramas jari-jari kerinduan.

Selembar demi selembar helaian album tua diselak. Membongkar kembali memoir silam dengan menatap wajah-wajah insan yang tertancap padanya. Tersenyum sendirian kerana ada di antaranya terselit kisah kelucuan. Kemudian ada pula getaran sebak dan kesedihan apabila jiwa tiba-tiba dipagut. Ah, kesedihan kerana ada di antara mereka yang telah ‘pergi’ meninggalkan kehidupan di dunia. Pergi yang tidak akan kembali, selama-lamanya.

Aku selak lagi lembaran album tua dan apa yang aku lihat. Sekeping foto yang tertera susunan aksara 'Foto 84' di tepinya. Bola mataku merayap-rayap dan entah mengapa begitu lekap. Mesra lagi akrab pada foto nan 'bernilai' ini. Rupa-rupanya ia sekeping foto yang telah dipotretkan pada malam aidilfitri tahun 1984. 

Sesusuk tubuh bonda sedang mengurusi tapai pulut yang sudah masak. Sebentar lagi mereka yang membuat tempahan akan datang mengambilnya. Bonda mengasingkan siap-siap agar mudah diagihkan nanti. Begitulah rutin bonda setiap kali Syawal menjelang. Ada sahaja orang kampung yang menempah tapai pulut hasil air tangan bonda. 

Ekoran terlalu banyak tempahan, kami adik-beradik turut menjadi ‘mangsa’ kerahan. Kakak-kakak membantu menyediakan pulut serta membungkusnya. Manakala aku dan abang mengambil tugasan mencari daun getah yang banyak kedapatan di pinggir kampung. Jika daun getah tidak mencukupi, ada alternatif lainnya. Kami memetik pula daun jambu laut yang hidup subur di sepanjang pantai kampung kami.

Apabila kutatap kembali foto ini, hatiku berdetak, ah sudah 34 tahun usiamu.  

Demikian, dalam dingin lembut angin sore penghujung bulan Syawal, aku mulai berkhayal-khayal dan mengelamun. Memunggah kembali bongkah-bongkah memoir yang masih terlekat di kotak minda. Dalam lamun dan khayalku pada dekad-dekad silam bagaikan meneroka menembusi terowong masa.

Dingin angin lembut di luar masih setia berhembus. Aku pula masih enak menekuri lembaran album tua ini.

#Moga Allah cucuri rahmat buat bondaku..

Sunday 8 July 2018

Biar betul, konpius-konpius..

Macam tak kena pula bila perkataan 'Welcome' di arabkan. Teruk sangat maknanya tu..

sumber: FB

Saturday 7 July 2018

Harap-harap menang!


Malam ini adalah penentuannya. Ya, malam penentuan pasukan manakah yang layak dinobatkan selaku jaguh untuk memenangi kejuaraan piala FA. Bertempat di venue kebanggaan, Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi saksi pasukan yang akan menjulang piala berprestij ini.

Apakah pasukan yang dijoloki dengan gelaran Tok Gajah (Pahang) akan menjadi juara atau pasukan Red Giants (Selangor) yang akan mengungguli kejuaraan kali ini. Setelah kedua-dua pasukan berhempas-pulas di awal musim dalam saingan liga, pasti mereka akan berjuang habis-habisan dan bermati-matian sehingga ke minit yang terakhir di pentas akhir ini.

Tentu sahaja saya mengharapkan pasukan kelahiran saya, Pahang akan menang bergaya ke atas  pasukan Selangor untuk keluar sebagai pemenang. Memanglah, 'koi' orang Pahang, tentulah sokong Pahang.

Satu lagi, kebiasaannya jika menang piala, pasti akan dapat cuti peristiwa pada hari Isnin berikutnya. Itu yang seronok sangat-sangat. Tetapi itu zaman MB dulu, sekarang kami sudah dapat MB baru, namun harap-harap dapatlah. Lagipun MB lama dan MB baru dari parti yang sama.  

Harapan yang menggunung agar kedua-dua pasukan dapat mempamerkan permainan yang berkualiti serta semangat kesukanan yang tinggi. Kalah atau menang perkara biasa, adat dalam pertandingan. Buktikan bolasepak adalah sukan yang menyatukan. Kitakan rakyat Malaysia.

Ayuh, Tok Gajahku!  

Thursday 5 July 2018

Jadi ingatan dan kenang-kenangan


“Emak, saya minta ampun dan maaf..” saya mencium tangan dan memeluk tubuh emak.

Tubuh emak yang kurus dan uzur saya rangkul seeratnya. Emak menangis sama. Tiada suara, hanya esakan yang kedengaran. 

“Ampunkan saya, emak..” 

“Iya, emak pun minta maaf juga. Emak..” sukar sekali emak mahu menghabiskan kata-kata. Hanya esak dan tangis memecah kesyahduan pagi aidifitri. 

Itulah emak. 

Yang sentiasa bersalah adalah saya, yang sepatutnya memohon ampun dan maaf adalah saya. Dan yang sentiasa tersilap dan terkhilaf adalah saya. Tetapi emak sentiasa begitu. Selama-lamanya begitu. Tidak lengah memberi maaf, tidak pernah menahan untuk memaafkan. 

Demikianlah jiwa seorang ibu yang sentiasa mengasihi anak-anak. Dalam memberi maaf, emak pula meminta maaf.

Demikianlah setiap kali lebaran, cuma..

Tanggal 20 Syawal 1432H, jam 1.00 pagi.

Tarikh itu pasti menjadi ingatan dan kenang-kenangan. Tiba-tiba diterpa dengan dugaan Allah SWT, cuma pengambilan hak-Nya yang dipinjamkan, tempat tumpahnya kasih sayang.

Hampir satu dekad lebaran ini dirayakan tanpa susuk tubuh bonda. Selama itulah tiada tangan untuk dikucup. Tiada lagi sesusuk tubuh untuk didakap. Sedangkan berada di dalam pelukannya bagaikan turun sakinah dari langit tinggi. Tenang dan mendamaikan. 

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang... Amin.”

Rileks sekejap: Ini jer yang murah!!

Ceria-ceria dipagi hari..

sumber: FB

Wednesday 4 July 2018

Bermulalah kerja-kerja kami..

 

"Phew, alhamdulillah.."

"Banner dah siap, poster pun dah, flyers dan borang pun dah siap. Semuanya sudah di'print'. Tunggu nak sebarkan je.."

Demikianlah rutin saban tahun saya dan sahabat-sahabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP). Menguruskan persiapan bagi pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah di dalam dan luar negara, termasuk juga pelaksanaan badal haji bagi tahun ini. Kebiasaannya seminggu beraya, makaselepas itu bermulalah kerja-kerja berkaitan program kemanusiaan ini.

Tugasan yang dilakukan termasuklah penyediaan artwork bahan promosi, kemudian mencetaknya dan seterusnya membuat sebaran atau promosi. Sebelum semua ini dapat dicetak dan disebar, ALP (Ahli Lembaga Pengarah YAMCP) yang bertanggungjawab perlu menjalankan survey harga haiwan ternakan serta perbelanjaan-perbelanjaan lain di lokasi yang akan dilakukan program ini. Mudahnya, setiap ALP ada tanggungjawab dan tugasan masing-masing yang telah diamanahkan.

Saya teringat kira-kira 10 tahun yang lalu, bahan promosi disebarkan hanya melalui banner dan poster, termasuk juga melalui pengumuman selepas kuliah dan ceramah oleh para azatizah kami. Amat terhad dan tidak secara menyeluruh. Berbanding sekarang, agak mudah dengan adanya teknologi IT seperti FB, whatssap, telegram dan yang seumpama dengannya. Bayangkan dengan hanya dengan satu klik, tersebar ke seantero alam. Namun begitu, banner dan poster masih lagi relevan dan tidak diabaikan.

Tahun ini Sri Lanka terpaksa digugurkan daripada senarai lokasi program pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah. Setelah bermesyuarat dan berbincang selumatnya,  keputusan ini terpaksa diambil kerana beberapa sebab, antaranya karenah birokrasi di negara tersebut yang agak cerewet. Lagipun sudah banyak NGO kebajikan yang melaksanakan program tersebut baik NGO dari Malaysia maupun sebaliknya, terutamanya dari Indonesia dan Turki.

Walaupun Sri Lanka telah digugurkan, ia telah digantikan dengan negara Uganda. Maknanya ini adalah tahun pertama kami (YAMCP) melaksanakan program ibadah qurban dan aqiqah di sana setelah hampir 15 tahun menjayakannya. Tetapi sebelum ini sudah ada YAM cawangan negeri lain yang melaksanakan di Uganda seperti YAM Terengganu, YAM Kedah dan lain-lain. Biarpun sama di Uganda tetapi berlainan wilayah. 
 
Di antara lokasi pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah pada tahun ini ialah, Rohingya, Sudan, Uganda, India dan beberapa wilayah minoriti umat Islam yang dhaif serta ditimpa musibah. Manakala di dalam negara pula ialah di Sabah dan perkampungan orang asal di Semenanjung. (Sarawak sudah lama digugurkan kerana kos haiwan korban yang amat mahal)

Tentunya harapan kami dalam setiap program kebajikan dan kemanusiaan yang dilakukan ini, di mana sahaja atau bila masanya, agar dipermudahkan dan dinilai sebagai ibadah disisi-Nya.

Mohon doa daripada sahabat-sahabat!

Monday 2 July 2018

Rumah terbuka, jangan sampai tak puasa 6

Bahang kemeriahan Aidilfitri semakin beransur hilang, walaupun bulan Syawal masih lagi berbaki. Kehidupan seharian sudah pun berjalan seperti biasa. Jika ada suasana hari raya pun apabila menghadiri jemputan rumah terbuka yang menyajikan aneka juadah dengan dendangan lagu-lagu raya. Bagai memaksa-maksa diri agar merasakan kita masih lagi beraya.

Tahun ini banyak juga saya mendapat undangan rumah terbuka. Realitinya begitulah keadaan pada setiap tahun. Samada undangan di peringkat jabatan, institusi, persatuan, termasuk juga daripada kenalan. Dan realitinya juga tidak semua undangan-undangan tersebut mampu saya penuhi. Setiap Sabtu dan Ahad sudah tentu, manakala di kalangan kenalan terutama yang tinggal satu taman biasanya pada sebelah malam.

Rumah terbuka

Dewasa ini, amalan rumah terbuka menjadi satu trend pada setiap tahun. Samada institusi atau orang perseorangan. Jika di taman perumahan (seperti di tempat saya) boleh dikatakan setiap lorong ada membuat rumah terbuka.  

Amalan rumah terbuka tidak salah tetapi ada baik dan tidak baiknya. Dengan mengadakan rumah terbuka sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Selain menjamu selera, mereka juga boleh berbual-bual dan menjalinkan kemesraan. Lebih-lebih lagi jika jemputan tersebut dihadiri berbilang latar belakang, kaum dan agama.

Selain itu, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap segelintir tetamu yang hadir, tidak mementingkan aspek kebersihan dengan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Tentunya perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku.

Jangan lupa puasa 6

Namun begitu, dalam keghairahan kita menghadiri jamuan rumah terbuka, janganlah pula lupa untuk menyempurnakan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal. Tidak kisahlah samada enam hari berturut-turut atau secara terputus. Walaupun enam hari berturut-turut adalah sunat dan lebih afdhal bermula 2 Syawal, tetapi ulama juga sepakat bahawa ia bolehkan secara terputus asalkan cukup enam hari di dalam bulan Syawal.

Sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Dari Abu Ayyub al Anshari ra. Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun”. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasaie dan Ibnu Majah). 

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. 

Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun.

Penuhi undangan rumah terbuka, tapi jangan sampai tak puasa enam.