Sahabat Sejati

Showing posts with label rileks sekejap. Show all posts
Showing posts with label rileks sekejap. Show all posts

Friday, 26 December 2025

'Karun Dari Selat'.. karun dari kenangan


Saya menyudahkan bacaan sebuah novel lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis sahaja, sekitar 151 halaman, namun cukup untuk membawa saya mengembara jauh. 

Judulnya Karun Dari Selat, karya Hamdan Raja Abdullah, seorang penulis yang telah melahirkan banyak novel dan cerpen menarik sepanjang perjalanan sasteranya. Novel ini diterbitkan pada tahun 1984, dan terasa benar nafas zamannya. 

Kisahnya bermula dengan rahsia syiling emas, harta karun yang dihanyutkan dari selat. Tiga sahabat, Amli, Helmi dan Miguel, menjadi penemunya. Namun penemuan itu bukan membawa bahagia, sebaliknya membuka pintu kepada kerakusan manusia. Seisi Kampung Muara meredah paya bakau mencari syiling yang berbaki. Ada pula yang tamak ingin mengaut untung, ayah Amli dijadikan tebusan, dan kampung yang selama ini damai mula bergegar oleh dengki dan ketamakan. 

Novel ini bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi cermin kecil tentang manusia. Tentang bagaimana harta boleh menguji persahabatan, menggoncang kepercayaan, dan merobek keharmonian sebuah komuniti. 

Menutup helaian terakhirnya, saya terdiam seketika. Ada rasa rindu yang sukar dijelaskan, rindu pada cerita-cerita lama yang jujur, rindu pada zaman membaca tanpa tergesa, dan rindu pada nilai-nilai yang diselitkan halus di celah-celah kisah pengembaraan. 

Mungkin itulah karun sebenar novel ini. Bukan syiling emas dari selat, tetapi pengajaran yang terus berkilau dalam ingatan.

Wednesday, 24 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 12): Utusan Senja dan Persalinan Yang Tak Disangka

Baca di sini Part 11 

'foto hiasan'

Petang itu hangatnya sederhana. Angin beralun lembut membawa bau wangi serai dari dapur dan suara burung murai bersahutan di hujung pokok jambu. Kami berempat, aku, Pak Andak, Mak Andak dan Seri Seroja, duduk di beranda rumah, berbual kosong. 

Seri Seroja sedang menghiris daun kaduk untuk dibuat kerabu, sambil mencubit Busu yang asyik mencuit-cuit kucing yang tidur lena. Tawa kecil berselang seli dengan gurau Pak Andak yang gemar menyelit peribahasa pelik-pelik. 

Damai. 

Hinggalah tiba-tiba, bayang-bayang panjang muncul dari hujung laman. Seorang lelaki berbusana biru tua, bertanjak rapi, bersama dua pengiring berkuda. 

"Maaf mengganggu.." suaranya dalam dan penuh adab. 

Kami segera bangun. Mataku dan mata Pak Andak bertembung. 

"Kami datang sebagai utusan rasmi dari Istana Melaka," katanya sambil membuka lipatan surat bermohor lilin merah keemasan. 

"Titah perintah dari Paduka Baginda Sultan Mansur Shah, agar seorang anak muda bernama Ahmad Zahran, menghadap ke balairung istana pada hari esok, sekira-kira ‘hari belum tinggi’." 

Hatiku gugup. Dunia seakan berhenti berputar. Sultan Mansur Shah?!

Aku pandang Pak Andak, dia kaku. Seri Seroja kelihatan terkejut, dan Mak Andak mengurut dadanya. 

“Ampun Datuk, boleh kami tahu atas urusan apa..?” tanya Pak Andak perlahan. 

Utusan itu menjawab, “Berita tentang kepahlawanan anak muda ini yang menyelamatkan Datuk Penghulu Bendahari daripada kekacauan di pasar pagi telah sampai ke istana. Baginda ingin melihat sendiri.. siapakah gerangan anak muda itu.” 

Degupan jantungku makin deras. 

Aku tak tahu harus bangga atau menyesal. 

Dalam hati.. datang rasa bersalah. 

Bukankah aku berjanji tidak mahu mengubah sejarah? 

Bukankah aku ingin hanya menjadi angin yang berlalu di zaman ini? Tapi tindakanku hari itu, walau niatku hanya untuk melindungi, kini telah menjadi gelombang yang tak dapat ditarik semula. 

Pak Andak menepuk bahuku. “Zahran, ini bukan soal pilihanmu lagi. Ini mungkin jalan yang ditentukan untukmu.” 

Aku menunduk. “Tapi Pak Andak.. saya tiada persalinan yang layak ke istana.” 

Sunyi sebentar. Tiba-tiba, dari sebalik tangga, muncul suara yang tidak asing: “Kalau kau tak kisah pakailah baju aku... Aku ada beberapa pasang persalinan baru. Tak pernah pakai pun. Nanti aku bawakan untuk kau cuba ” 

Dia berdiri dengan tangan bersilang, senyum tak begitu lebar, tetapi penuh makna. 

"Mak suruh aku simpan untuk pakai hari kenduri.. tapi rasanya kau lebih layak pakai untuk ke istana." 

Aku terkedu. Dunia berputar lagi. Dulu, dia yang hampir menumbukku. Hari ini, dia yang menutup aibku. 

“Terima kasih, Alang..” kataku perlahan. 

Dia mengangguk. “Kau jaga maruah kampung. Hari ni, biar kami jaga maruah kau." 

Debaran hari esok 

Aku bersiap. Persalinan yang disarungkan, baju sikap hijau tua bersulam benang perak, lengkap dengan bengkung dan tengkolok, memang bukan milikku.. tetapi petang itu, aku memakainya dengan jiwa yang penuh rasa syukur dan gemuruh.

Pak Andak tersenyum, memandang dari sisi. Alang membetulkan bahagian bahuku yang senget sedikit. “Jangan calit apa-apa kat baju tu. Nanti pulang semula,” gurau Alang, separa serius. 

Aku berdiri tegak di depan cermin lama di sudut anjung, melihat bayangan sendiri. 

Persis seorang pahlawan. 

Dan di saat itu, tanpa dapat aku tahan, satu lintasan nakal hadir dalam benak: 

"Aduh.. kenapalah aku tak bawa henfon aku masa ‘tercampak’ ke sini. Kalau tidak.. potret satu dua.. post dalam IG story — 'Throwback zaman Kesultanan Melayu'. Mesti viral." 

Aku ketawa kecil dalam hati sendiri. Tak bersuara, tapi cukup untuk menggoncang jiwa yang sedang berperang antara dua zaman. 

Bersambung Part 13.. 

Tuesday, 23 December 2025

Dah pun sampai..

'Alhamdulillah, dah pun sampai. Tunggu yang lain pulak..'

Parcel yang ditunggu akhirnya mendarat dengan selamat di hadapan pintu pagar. Terima kasih, Mr. Kurier. Jasamu kukenang! 

Dalam dunia yang serba laju ini, sampai dengan elok pun sudah cukup untuk menenangkan hati. 

Koi bukan jenis yang kerap membeli secara dalam talian. Hanya bila ada keperluan dan dalam keadaan tertentu, barulah jari menekan butang checkout. Mungkin sebab itu, setiap parcel yang tiba membawa rasa yang sedikit berbeza, bukan keterujaan kosong, tetapi rasa cukup dan bersedia. 

Satu persatu dibuka, diperiksa. Sleeping bag, air pillow, headlamp. Bateri SJCAM bersama dual charger set. Dan juga waterproof phone pouch case. Alhamdulillah, semuanya sampai dalam keadaan baik, lengkap seperti yang diharapkan. 

Barang-barang ini bukan sekadar senarai keperluan. Ia lambang persediaan, untuk perjalanan, untuk pengalaman, untuk detik-detik yang belum lagi berlaku. Ada sesuatu yang menenangkan apabila kita tahu, perlahan-lahan kita sedang bersiap. 

Masih ada beberapa lagi yang belum tiba, dalam perjalanan agaknya. Seperti banyak perkara lain dalam hidup. InsyaAllah, sampai masanya nanti, ia akan sampai juga. 

Kadang-kadang, hidup ini tidak perlu tergesa-gesa. Cukup kita bersedia, bersyukur, dan percaya.. bahawa apa yang ditunggu akan tiba pada waktunya.

Sunday, 21 December 2025

Cendok Kuali, satu kuali kongsi dua..

'Satu kuali kena kongsi 2 orang'

Cuaca agak panas hari ini.Matahari memancar tanpa segan silu, seolah-olah mengerit kulit kami yang keluar rumah tengah hari begini. 

“Panas-panas macam ni.. pekena cendol memang ngam,” bisik hati, sambil mata sudah mula membayangkan ais yang berkerincing dan manis gula Melaka yang cair di lidah. 

Tanpa banyak fikir, aku membawa Ummu Ikhwan dan anak-anak ke sebuah kedai cendol milik sahabatku di Cenderawasih, tidak jauh dari pusat bandar. Cendol Kuali, nama yang ringkas, tapi cukup menggoda. 

Sebaik melangkah masuk, mata terus tertancap pada menu yang tertera. Satu persatu seperti memanggil, seolah berkata, “pilih aku dulu.” Anak-anak pula sudah tidak sabar, masing-masing ada pilihan sendiri, lengkap dengan senyuman yang tak perlu dipujuk. 

Saat suapan pertama mencecah lidah, terasa benar nikmatnya. Manisnya sederhana, sejuknya menenangkan, dan panas terik di luar seakan-akan hilang perlahan-lahan. Bukan sekadar cendol, tapi momen kecil yang mengikat kebahagiaan keluarga. 

Bahagia itu sederhana. Cukup dengan cuaca panas, semangkuk cendol, dan orang-orang yang kita cintai di sisi.

Friday, 19 December 2025

Salam Jumaat: Damai dan tenang di bawah langit kelabu


Cuaca mendung pagi ini seolah-olah menghadiahkan sebuah kedamaian. Langit kelabu, angin lembut dan dingin, dan hati terasa lebih perlahan dari biasa. 

Dalam perjalanan ke tempat bertugas, aku singgah di sebuah warung kecil. Entah kenapa, aku memang suka menikmati sarapan di warung-warung kampung begini. Ada momen yang sukar digambarkan,  kesederhanaan yang menenangkan, dan rasa “cukup” yang jarang ditemui di tempat lain. 

Sekeping roti canai dan segelas teh tarik menjadi santapan di pagi Jumaat yang berkah ini. Tak mewah, tak istimewa pada rupa, tetapi cukup untuk menyusun semula niat sebelum melangkah ke hari yang panjang. 

Kadang-kadang, bahagia itu hanya singgah sebentar. Asal kita sudi berhenti, menikmati, dan mensyukuri ia sudah lebih daripada cukup. 

Selamat pagi Jumaat teman-temanku yang dikasihi. Moga langkah hari ini dipermudah, dan hati sentiasa diberi damai dan tenang.

Wednesday, 17 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 11): Rahsia Di Sebalik Bungkusan

Baca di sini Part 10 

foto hiasan ~ sumber

Malam itu langit gelap tanpa bintang. Angin bertiup sayup dari arah hutan rimba, membelai pucuk-pucuk padi yang sedang bunting. Di rumah Pak Andak, aku duduk di anjung, termenung memikirkan perubahan yang semakin terasa. Bukan hanya pada nasibku dan takdirku, tetapi dalam hatiku sendiri. 

Selepas peristiwa di pasar, penduduk kampung mulai mesra. Berselisih memberi salam, menyapa, malah mengajak berborak. Alang pula, sejak itu tak lagi bersikap dingin. Malah petang tadi, dia datang membawa serumpun ubi kayu dan berkata, “Untuk mak kau.. eh, maksud aku, Mak Andak.” Gagapnya mengundang tawa kecil di dapur. 

 Namun malam ini, sesuatu terasa ganjil.

Pak Andak, selepas solat Isyak, memanggilku masuk ke ruang tengah. Cahaya pelita minyak tanah membuai-buai di dinding, melemparkan bayang-bayang panjang wajahnya yang tenang. 

“Ada sesuatu yang aku nak tunjuk,” katanya perlahan. 

Pak Andak bangkit lalu melangkah masuk ke dalam bilik. Derap kakinya tenggelam dalam kesenyapan malam. Aku menunggu tanpa bertanya, hanya ditemani bunyi cengkerik di luar dan degup jantungku sendiri yang semakin jelas di telinga. 

Tidak lama kemudian, dia kembali dengan sebuah peti kayu kecil, usang dimamah usia, dibalut kain merah yang warnanya sudah pudar, seakan menyimpan kisah yang lama terpendam. Aku memerhati tanpa mengeluarkan suara, seolah-olah satu hela nafas yang tersalah hembus boleh mengganggu keseimbangan saat itu. 

Peti itu diletakkan di hadapanku. 

Perlahan-lahan, Pak Andak membuka penutupnya. Dari dalam, dia mengeluarkan sehelai kain baldu lama, berlipat kemas, membalut sesuatu yang jelas bukan sekadar besi biasa. 

“Apa tu, Pak Andak?” soalku, hampir berbisik. 

Tiada jawapan serta-merta. Tangannya bergerak hati-hati, membuka balutan baldu itu seolah-olah sedang membuka halaman terakhir sebuah kitab rahsia. 

Saat kain itu diselak sepenuhnya, nafasku terhenti. 

Sebilah keris lama terbaring di situ, bilahnya kusam, namun memantulkan cahaya pelita dengan cara yang ganjil. Hulu kerisnya bertatahkan ukiran yang tidak pernah kulihat sebelum ini; bukan ukiran Melayu yang biasa, sebaliknya lebih purba, lebih asing, seakan datang dari zaman yang tidak tercatat dalam hikayat. 

Dan di pangkalnya, terukir satu simbol, seperti gelung yang tiada hujung dan pangkal, sebuah lingkaran yang seolah-olah bernafas. Lambang masa. Lambang perjalanan yang tidak lurus. 

Aku terpana. Jantungku berdegup laju, seolah-olah bilah itu mengenaliku terlebih dahulu. 

“Keris ni asalnya milik moyangku,” Pak Andak bersuara akhirnya, suaranya rendah tetapi sarat makna. 

“Kemudian diwariskan turun-temurun.. Dia sendiri yang menempanya, dengan berbagai campuran besi, besi gunung, besi sungai, dan besi yang dibawa dari tanah jauh.” 

foto hiasan ~ sumber

Aku menelan liur, mataku tidak lepas daripada keris itu. Setiap lekuknya seperti menyimpan gema masa silam. 

Pak Andak menghela nafas perlahan. 

“Aku berhajat untuk menghadiahkannya kepadamu. Entahlah, Zahran.. hati aku kuat benar untuk memberikannya pada engkau. Dan aku rasa.. engkau layak menyimpannya.” 

Kata-kata itu jatuh satu demi satu, berat, seolah-olah sedang menyerahkan bukan sekadar senjata, tetapi sebuah amanah. 

“Baik, Pak Andak,” jawabku. Suaraku bergetar, tersekat di antara rasa syukur dan gentar.

Keris tua itu berpindah tangan. 

“Zahran, kau gunakanlah keris itu untuk menjaga keselamatan dirimu,” pesan Pak Andak, nadanya lembut tetapi tegas. 

Saat aku menggenggam hulu keris itu, satu rasa aneh merayap masuk, getaran halus yang seakan menyambung urat sarafku dengan besi tersebut. Bukan panas, bukan sejuk. Tetapi hidup. Seolah-olah sesuatu di dalam keris itu sedang mengenali tuannya yang baru. 

Pak Andak memandangku lama. Matanya tenang, tetapi di dasarnya tersimpan kebijaksanaan yang dalam. 

“Zaman ini..” katanya perlahan, hampir seperti berbisik kepada malam, “mungkin bukan kebetulan kau sampai sini.” 

Pelita terus berayun. Bayang-bayang kami berganjak di dinding. Dan di saat itu, aku tahu, detik ini bukan sekadar hadiah, tetapi sebuah pintu. 

Pintu kepada rahsia masa yang sedang menunggu untuk dibuka.

 Bersambung Part 12..

Tuesday, 16 December 2025

Dalam Sunyi Malam, Saya Memilih Sebuah Kisah Lama

Saya membelek-belek buku yang tersusun di rak mini library saya. Mata melompat dari satu judul ke satu judul, hati pula berkira-kira, “Buku mana pula nak dibaca ni..?” 

Setelah puas memilih, akhirnya tangan saya berhenti pada sebuah buku nipis, sebuah novel sejarah bertajuk Darah Titik Di Semantan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1986. 

Karya Arman Sani ini tidak tebal, hanya 152 muka surat, namun isinya cukup untuk memikul berat sebuah zaman. 

"Ia mengisahkan perjuangan anak bangsa menentang penjajah. Latar gelanggangnya di Pahang, dipimpin oleh Datuk Bahaman dan para pengikut setianya. Lawannya, para pegawai Inggeris yang melanggar perjanjian, merampas hak, dan menghina anak negeri dengan sikap angkuh serta tamak haloba.

Selembar demi selembar, saya disentuh oleh kenyataan pahit yang tidak pernah bersisa daripada sejarah: 

"Dalam usaha menegakkan kebenaran, ujian datang bertindih-tindih. Ada yang menangguk di air keruh. Ada yang menjadi talam dua muka. Ada pula yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri kerana kepentingan diri yang sempit. Inggeris pula bijak bermain jarum, memecahbelahkan, memfitnah, dan meracik perpaduan rakyat sedikit demi sedikit." 

Saat saya menekuni bab terakhir, hati saya tiba-tiba dihimpit rasa sayu. Ada luka halus yang terbuka, bukan kerana cerita itu baharu selesai saya baca, tetapi kerana ia mengingatkan kembali betapa mahalnya harga sebuah perjuangan. 

Dan di antara sunyi malam yang menemani bacaan saya, saya terfikir: Demikianlah sejarah.. Kadang ia jauh di belakang, tapi gema perjuangannya tetap mengetuk dada hari ini.

Judul yang sama tetapi berlainan edisi

Thursday, 11 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 10): Jejak Yang Tak Kembali

Baca di sini Part 9 

foto hiasan ~ sumber 

Hidupku di kampung ini terus berjalan dalam harmoni dan sederhana, membantu Pak Andak ke pasar pagi setiap hujung minggu, mengangkat bakul hasil jualan, menyusun hasil kebun, dan sesekali bergurau dengan Busu yang tetap ceria. 

Walaupun masih ada pandangan sinis dari sesetengah orang kampung terhadap asal-usulku, tetapi aku belajar menjadi tenang, tidak memaksa diri untuk diterima. Sejarah bukan sesuatu yang boleh aku gentarkan dengan tangan. Aku hanya mahu hidup sebagai insan yang hadir, bukan mengubah takdir. Asalkan keluarga Pak Andak menerimaku seadanya itu sudah memadai. 

Namun takdir itu sendiri kadang memilih untuk menyingkap rahsia kita. 

Mula dipandang dan diterima 

foto hiasan ~ sumber

Pagi itu, pasar pagi seperti biasa, hiruk-pikuk suara tawar-menawar, aroma kuih-muih dan pucuk daun yang masih segar dibasuh embun. 

Pak Andak seperti biasa menyusun ulam di atas meja. Aku membantu, sementara mata kadangkala melirik ke arah Seri Seroja bersama ibunya yang sibuk di gerai jiran, membeli kuih puli dan kuih dangai. Senyumannya seperti embun yang melekat di hujung rumput, tenang, jujur, dan membuatku lupa bahawa aku bukan dari sini. 

Tiba-tiba, pekikan nyaring meruntuhkan kesunyian pagi. 

Beberapa lelaki berwajah bengis menyerbu ke dalam pasar, mencetuskan kekecohan. Mereka memaki, melanggar gerai, menendang bakul hasil tani. Seorang daripadanya mengacukan parang ke arah orang tua yang cuba menegur. 

Pasar menjadi porak-peranda. 

Dan di tengah-tengah itu.. Datuk Penghulu Bendahari, yang sedang melakukan rondaan bersama beberapa pengiring. Malangnya, saat genting itu, pengawal-pengawal beliau melarikan diri ketakutan. Orang ramai berselerak. 

Dan entah kenapa.. aku tidak bergerak. Seakan ada sesuatu dalam tubuhku yang terpelanting keluar, sesuatu yang lama tersimpan. 

Langkahku laju, menebuk celahan orang ramai. Aku berdiri di hadapan Datuk Penghulu Bendahari. 

Tangan kutegap ke sisi. “Datuk, berlindung di belakang hamba.” 

Tanpa suara, aku mengatur nafas. 

Langkah silat gayung, silih berganti dengan buah kalimah dan tari sendeng. Semua yang kupelajari dahulu dari tiga perguruan utama silat di zamanku, tiba-tiba mengalir dalam gerak tubuhku. Lincah. Cermat. Penuh tenaga. 

Satu demi satu, mereka kutangkis. Ada yang tertolak, ada yang terduduk, dan seorang hampir tersungkur ke dalam parit kecil di sisi pasar. 

Tangan ini, yang dahulu hanya menggenggam alat teknologi moden, kini menjadi dinding untuk sejarah masa silam. 

Dan tanpa aku sedari, Alang dan rakan-rakannya menjadi saksi. 

Dari jauh, aku nampak wajahnya. Tidak lagi garang tetapi tercengang. Antara kagum dan terpinga. Dia tidak berkata apa-apa.. tetapi mata itu telah berkata cukup banyak. 

Peristiwa itu menjadi bualan orang kampung. Namaku disebut bukan lagi sebagai “orang asing yang dipungut Pak Andak”, tetapi sebagai penjaga kehormatan pasar. 

Beberapa hari kemudian, Datuk Penghulu Bendahari mengadakan majlis kesyukuran dan majlis untuk menghargai keberanian. Seisi kampung diundang. 

Aku, Pak Andak, Mak Andak, Seri Seroja, dan Busu turut bersama, duduk di sisi, wajah mereka bangga. 

Datuk Penghulu menyuakan tangannya kepadaku. “Anak muda.. asalmu mungkin jauh, tapi keberanianmu dekat dengan hati kami.” 

Aku hanya tunduk. Dunia ini bukan tempatku, tetapi mengapa aku mula merasa seperti.. aku telah menjadi sebahagian daripadanya? 

Dan sewaktu semua hadirin mula untuk menjamah juadah, Alang menghampiriku. Dia tidak berkata apa-apa. Tapi tangannya terhulur untuk berjabat tangan. 

Dan pada saat itu, aku tahu, dendam kecil telah luntur menjadi hormat. 

Bersambung Part 11.. 

Tuesday, 9 December 2025

Alkisah sarapan pagi ini

Kenal lagi kat aku ye Budin..

Pagi ini, seperti biasa aku menunggu roti telur dan teh O limau, sarapan ringkas yang selalu menjadi peneman hari-hari yang tenang. 

Belum sempat makanan tiba, ada sahabat kecil datang memanjat kerusi yang kududuki. 

“Eh Budin.. kamu kenal lagi aku, ya?” “Lama dah aku tak singgah makan di sini.” 

Budin adalah panggilan yang kuberikan padanya. Si kucing comel yang selalu muncul setiap kali aku bersarapan di warung ini. Tidak pernah gagal menemaniku. Dan kalau sudah menemani, tentu ada rezekinya. 

Hari ini aku pesan roti telur. Maknanya, roti untukku.. dan telur, seperti selalu, rezeki untuk Budin. 

Melihat dia makan perlahan-lahan, sambil ekornya bergoyang gembira, hati aku tiba-tiba jadi syahdu. Rezeki Allah itu luas. Budin datang sebagai seekor kucing yang mengingatkan aku untuk berkongsi walau sedikit. 

Dan pagi ini, syukur rasanya.. Aku kenyang, Budin pun senang.

Manja Budin lepas makan

Monday, 8 December 2025

Kisah lama yang masih bernafas


Novel lama setebal 96 muka surat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak mengambil masa lama pun untuk saya khatamkan. Judulnya 'Kisah Di Sempadan', cetakan pertama tahun 1979, tulisan Nazel Hashim Mohamad. 

Sebuah cerita pengembaraan berlatar sempadan Malaysia–Negeri Thai, tentang sekumpulan pelajar yang akhirnya berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api. Kisah yang ringkas, tetapi tegang dan hidup, penuh ketekunan, kebijaksanaan dan keberanian. 

Buku-buku lama seperti ini membawa saya kembali ke zaman sekolah. Ada masanya saya jumpa di perpustakaan sekolah, ada ketikanya kakak-kakak saya yang meminjamnya di perpustakaan, lalu saya pinjam pula untuk dibaca. Dan saya, seperti biasa, akan membaca sepantas mungkin, sebelum buku itu dipulangkan semula. 

Entah kenapa, setiap kali membuka buku lama, terasa seperti membuka semula pintu kenangan. Ada bau nostalgia, ada gema suara masa lalu, dan ada saya yang kecil, duduk di beranda, membaca dunia yang tak pernah saya jejaki, tetapi tetap saya rindui.

Thursday, 4 December 2025

Pertama Kali Cuba Goreng Pisang Dengan Sambal Kicap

Eksperimen hari ini

Hari ini saya buat satu eksperimen kecil yang mungkin boleh menggoncang identiti orang Pahang saya, goreng pisang dicicah sambal kicap. 😄

Ya, sambal kicap. Benda yang saya selalu dengar, tapi tak pernah rasa. Selama ini goreng pisang bagi saya ialah “makanan suci” yang dimakan begitu sahaja.. atau kalau nak bergaya sikit, cicah air lada. Standard Pahang. 

Cerita asalnya bermula bertahun dulu. Seorang sahabat kerja (dah bersara pun), orang Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pernah beritahu: “Eh, kami kat Johor makan goreng pisang cicah sambal kicap tau.” 

Masa itu saya terus terdiam. Dalam hati, “Hah? Betul ke ni atau dia nak prank aku?” Maklumlah, kita ni membesar dengan budaya goreng pisang versi ‘single’, tiada pasangan, tiada sos, tiada drama. 

Tapi hari ini, entah kenapa saya tergerak hati nak cuba juga. Pisang nangka beli dengan sahabat yang berkebun, sambal kicap pula baru belajar melalui YouTube (YouTube ni kadang-kadang lebih boleh diharap daripada kawan bagi resepi). 

Dan bila saya cicah.. dan saya rasa..  

Eh, boleh tahan juga! Mulut saya pun macam terkejut kecil, tapi terkejut yang gembira, bukan terkejut macam jumpa biawak dalam stor. 

Lulus! kena dengan tekak 😁

Rupanya manis pisang dan pedas-manis sambal kicap tu saling melengkapi. Macam pasangan drama Melayu, mula-mula pelik, lama-lama sweet. 

Kesimpulannya, hari ini saya belajar satu perkara: Jangan pandang pelik makanan orang lain selagi kita tak cuba. Kadang-kadang yang kita anggap ‘aneh’ itulah yang sebenarnya mungkin sedap. 

Dan.. saya rasa saya dah faham kenapa orang Johor bangga dengan sambal kicap mereka.

#Tapi goreng pisang cicah air lada tetap pilihan utama😁

Tuesday, 2 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 9): Konflik di Pinggir Sawah

 Baca di sini Part 8 

foto hiasan ~ sumber

Sejak peristiwa perbalahan dengan Alang di pinggir sawah tempoh hari, aku memilih untuk menyimpannya jauh di sudut paling dalam. Biar luka itu aku yang tanggung, biar parutnya hanya aku yang tahu. 

Kepada Busu pun aku tegaskan, “Jangan cerita pada sesiapa, terutama pada Pak Andak.” 

Aku tak mahu menambah resah di wajah lelaki tua itu, wajah yang sejak awal menerima aku seperti anak sendiri, walau asal-usulku menjadi pertanyaan yang tak berjawab. 

Beberapa hari berlalu, dan aku berusaha menjauh sejauh-jauhnya daripada Alang. Namun, tidak bagi dia. Langkahnya seperti bayang gelap yang sentiasa mengejar matahari, tak pernah berhenti, tak jemu mencari peluang untuk menyalakan bara. 

Pernah suatu petang, ketika aku dan Busu sedang memancing di tali air, tenang angin sawah tiba-tiba bertukar menjadi ribut. Alang muncul bersama tiga orang kuncunya. Senyum mereka sinis, bersulam niat yang tidak baik. 

Sebelum sempat aku bangun, joran kami dipatahkan satu-persatu seperti ranting kering. Busu menjerit kecil, tetapi aku hanya mampu menggenggam penumbuk. 

Dan ketika aku melangkah setapak ke depan, Alang menolak dadaku dengan kasar. Tubuhku hilang imbangan lalu terjatuh, menyelam dalam air keruh yang memercikkan lumpur dan kehinaan. 

Jangan ganggu kami!” jerit Busu sambil cuba menghalang mereka, namun dia juga didorong ke tepi. 

Ketika pulang petang itu, Pak Andak menunggu di serambi. Tatapan matanya tajam tetapi berlapik risau. “Kenapa baju basah?” soalnya. 

foto hiasan

Aku menarik nafas dalam-dalam. “Tergelincir di tali air,” jawabku ringkas, cuba menyembunyikan getar pada suara sendiri. 

Aku tak tahu sama ada Pak Andak percaya atau tidak. Cuma aku nampak renungan panjangnya seolah-olah mengukur sesuatu yang aku sendiri tidak nampak. 

Beberapa hari kemudian, rahsia yang aku cuba kuburkan mula timbul juga ke permukaan. Seperti bangkai, seperti bau busuk yang tak mungkin ditutup selamanya. 

Petang itu, ketika aku membantu Pak Andak dan Mak Andak mengikat daun nipah, Pak Andak tiba-tiba bersuara, tenang, tetapi tajam seperti pisau yang sering diguna untuk menyadap mayang nipah. 

“Aku dengar kau bergaduh dengan anak ketua kampung,” katanya tanpa memandang aku. Aku tersentak. Hati serasa jatuh ke buku lali. 

“Err.. mana Pak Andak tahu?” tanyaku dengan suara yang seperti hilang separuh keberanian. 

“Orang kampung bercerita..” Pak Andak menutup kata-katanya sambil memandang terus ke mataku. 

“Zahran, kau kena tahu.. dunia sini tidak sama dengan dunia yang kau tinggalkan. Di sini, setiap langkah membawa akibat. Dan setiap musuh yang kau dapat.. boleh jadi penentu takdirmu nanti.” 

Kata-katanya tidak tinggi, tetapi cukup untuk membuatkan hatiku bergetar. Ada sesuatu di sebalik nasihat itu. Sesuatu yang lebih besar daripada sekadar pergaduhan budak kampung. 

“Yalah Zahran, Mak Andak pun bimbang apa-apa yang terjadi kepada kamu,” Mak Andak pula menyambung, suaranya bergetar perlahan. 

Di angin senja yang mulai dingin, aku sedar.. konflik kecil yang bermula di tepi sawah itu mungkin hanya permulaan kepada arus besar yang bakal menelan aku. 

Dan jauh di dada langit, burung-burung putih berterbangan, seolah-olah menjadi saksi kepada bab kecil yang semakin menapak menjadi takdir. 

Bersambung Part 10.. 

Monday, 1 December 2025

Selesai bacaan 'Pelanduk Hutan Keningau'


Selesai saya menghadam sebuah novel nipis, hanya 122 halaman semuanya. Tak lama pun untuk dikhatam, tapi 'rasa' yang ditinggalkan.. panjang. 

Buku ini adalah antara buku lama yang saya miliki, cetakan pertama tahun 1989, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judulnya Pelanduk Hutan Keningau karya Mahmud Eddie, sebuah judul yang kedengaran sederhana, tapi rupanya menyimpan dunia kecil yang tidak dijangka. 


Kisahnya tentang tiga remaja — Tumin, Salbin dan Justin, yang mengembara ke pedalaman Sabah. Niat asal hanya mahu melihat pelanduk, sambil menimba pengalaman di hutan Keningau. Namun hutan tak selalu sekadar hijau dan tenang; kadang-kadang ia menyembunyika n sisi manusia yang lebih gelap. 

Penipuan dan kerakusan, rupa-rupanya, bukan hanya milik kota. 

Di dalam hutan belantara pun ia tumbuh diam-diam. 

Tumin, Salbin dan Justin, ditemani Suin dan abangnya, Mijan, akhirnya terperangkap oleh satu kumpulan yang jalankan kegiatan tersembunyi di tengah hutan. Dalam kekalutan, Justin dan Salbin berjaya meloloskan diri.. meski tidak sepenuhnya selamat. 

Salbin pengsan di tepi anak sungai. Justin pula sesat dalam hutan yang luas dan sunyi. 

Mijan, anak muda keturunan Murut pengsan dipukul kerana cuba melawan. 

Apakah sebenarnya dilakukan oleh kumpulan yang menawan Tumin dan rakan-rakannya? 

Saat saya membaca helaian demi helaian, saya seperti ikut berjalan bersama mereka. Dingin embun di hujung dedaun, bunyi serangga, dan rasa cemas yang tak menentu.. semuanya macam hidup kembali dalam imaginasi. 


Dan yang paling mencuit hati, halaman-halaman yang disertakan ilustrasi. Ilustrasi yang ringkas, gaya buku cerita zaman sekolah rendah dulu-dulu. Sekali pandang saja, terus saya terimbas kembali saat duduk bersila di kerusi kayu perpustakaan sekolah, baca buku tanpa sedar hari dah lewat. 

Ada sesuatu pada buku lama: bau kertasnya, nadanya yang jujur, dan kenangan yang datang tanpa disuruh. 

Begitulah Pelanduk Hutan Keningau buat saya, tipis saja, tapi penuh rasa. 

Kadang-kadang, buku kecil pun mampu membuka pintu memori yang besar.

Sunday, 30 November 2025

Sarapan Nostalgia di Bandaraya Lestari

 

Usai menghantar anak ke terminal bas untuk pulang ke UiTM, kami sekeluarga tidak terus balik. Hati terasa sayang hendak berpisah begitu sahaja dengan pagi yang masih muda. 

Jadi, kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan seketika di bandaraya Kuantan. Perut pun kebetulan sudah mula berbunyi minta diisi. Tanpa banyak fikir, kami singgah di Restoran Selera Padang di hadapan Jalan Mahkota, sebuah tempat yang sudah lama saya suka. 

foto Google

foto Google

foto Google

Bukan sekadar kerana makanannya, tapi kerana vibe klasiknya yang mengundang kenangan. Ruang dalamannya dihiasi dengan barang-barang lama, radio kayu, pinggan lama, gambar hitam putih, seolah membawa kita pulang ke zaman dulu yang penuh sederhana. 

Pagi itu, saya dan si Haikal 'yang istimewa' memilih lempeng, manakala Ummu Ikhwan dan angah Irsalina  memilih lontong sebagai teman santapan. 

Harumnya lempeng panas yang baru diangkat dari kuali, lembut disuap dengan sambal tumis bilis, benar-benar menyentuh jiwa yang rindu suasana kampung. 

foto Google

foto Google

Sambil menikmati sarapan, saya termenung sejenak, betapa indahnya detik kecil seperti ini. Sekadar duduk bersama keluarga, berkongsi cerita dan tawa, di sebuah restoran klasik di tengah bandar yang perlahan-lahan sibuk dengan kehidupan. 

Kadang-kadang, kebahagiaan itu tidak perlu dicari jauh. Ia ada di depan mata, di dalam secawan minuman dan sepinggan lempeng di pagi yang damai.

Friday, 21 November 2025

Thank you.. aok sudi neman koi

'Salam Jumaat'

Pagi ini, di warung kecil yang masih berwap teh panas, ia muncul dengan langkah kecil dan mata yang bersinar-sinar. Tak semena-mena ia panjat kerusi sebelah aku, duduk sambil menjulurkan kepala. Matanya jernih. 

“Terima kasih.. mujur aok sudi teman koi makan. Kalau tak, sunyi pulak.” Aku bersuara perlahan, tapi renungannya cukup untuk buat hati aku lembut. 

Sesekali dia jeling aku menyuap nasi. “Aok lapar?” aku tanya. 

Ia diam. Malu-malu, mungkin

“Tak apa.. nanti koi belanja aok ayam goreng. Tapi tak boleh makan sini.. nanti tuan kedai bising.” 

Aku menunjuk bawah meja. 

“Aok makan kat bawah.” Ia segera menurut. 

Aku ketawa kecil. Begitulah kisah sarapan pagi ini, ditemani makhluk kecil yang polos, yang tak minta apa-apa.. cuma sedikit perhatian.

Dan dalam hati, aku bersyukur. 

Kadang-kadang, teman sekecil itulah yang menghilangkan sunyi.

Tuesday, 18 November 2025

Pengembaraan Masa (Part 8): Layang-layang dan bayang-bayang sengketa

Baca di sini Part 7 

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di Kampung Permatang berjalan perlahan, tenang seperti arus anak sungai yang tidak pernah mendesak. Setiap pagi aku turun membantu Pak Andak di sawah. Di sinilah denyut hidup kampung bernafas, antara bau daun yang dibasahi embun dan suara burung yang memanggil pagi. 

Menjelang petang, langit membakar lembayung jingga yang tumpah di kaki langit. Angin meliuk-liukkan padi yang semakin menguning, seolah-olah seluruh hamparan itu sedang berzikir lembut. Di atas permatang yang panjang, aku dan Busu berlari-lari kecil, tawa kami berbaur dengan desir angin. Layang-layang merah yang kuikat sendiri terbang tinggi, mengepak seperti burung yang baru belajar percaya pada sayapnya. 

Pada saat itu, di tengah sawah lama, aku terasa seakan seluruh dunia menjadi sebuah kenangan yang sedang dilukis perlahan. 

foto hiasan

“Abang! Abang tengok! Layang-layang ni naik lagi tinggi!” jerit Busu sambil berlari. 

Aku ketawa kecil. Dalam riang Busu, aku rasakan dunia ini menjadi sedikit lebih ringan. Entah kenapa, zaman ini yang asing telah mula menyatu dengan nadiku. 

Namun ketenangan itu tak kekal lama. Dari celah semak di pinggir sawah, muncul tiga bayang tubuh sasa. Langkah mereka kasar. Wajah mereka bukan wajah ingin bersahabat. 

“Busu.. mari sini,” kataku perlahan, tangan menyentuh bahunya. 

Dia terhenti. Layang-layang masih tergantung di angkasa, tapi benangnya mula melonggar dek tangan yang mula bergetar. 

Alang, anak ketua kampung yang pernah aku dengar sebagai pemuda yang sukar dijangka, melintasi kami di pinggir bendang. Tatapannya tajam, tapi aku memilih diam. 

Bukan kerana takut.. tetapi kerana aku tidak mahu mengubah apa-apa. Aku tetamu di masa ini. Sekali aku campur tangan dalam sejarah, mungkin seluruh jalan waktu akan berubah. 

“Apa ke budak dua orang ni main macam tak tahu adab?” ujar Alang, suaranya serak. “Ini kawasan aku. Siapa suruh main sini?” 

Wajahnya angkuh seperti biasa. Di kiri dan kanannya dua pemuda lain, kuncu setia, ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menjengkelkan. 

Aku melangkah ke hadapan. Biar tubuhku jadi perisai buat adik kecil ini. 

“Maaf, Alang. Kami tak tahu ini kawasan larangan,” aku cuba menahan nada, cuba untuk berbahasa. Menahan diri dari berlaku onar walau dadaku sedang marah. 

Dia mendekat, mata tajam menikam pandang. “Kau ni siapa sebenarnya? Asal usul kau tak pernah orang kampung tahu. Pak Andak kutip kau dari mana?” 

Aku diam. Kata-kata yang hendak kujawab terhenti, apa yang boleh aku katakan? Aku dari abad ke-21, terperangkap dalam dunia mereka? 

Tidak mungkin!

Busu menyentuh hujung bajuku. “Jangan ganggu abang aku..” suaranya perlahan, tapi cukup membuatkan Alang tergelak besar. 

“Heh! Tengok ni, nak jadi hero konon,” sindir Alang. 

Seketika kemudian, dia melangkah pantas, tangan kasarnya menyentap layang-layang dari tangan Busu dan melemparkannya ke tanah. Tapaknya memijak layang-layang merah itu, senyum puas terukir di bibirnya. Aku sudah tak mampu diam. Lengan kiriku pantas menarik tangan Alang dari bahu Busu. 

“Cukup!” 

Alang merenungku tajam. “Berani kau?” 

Aku tahu.. aku akan menyesal, tapi tanganku terangkat, menepis lengan Alang. Tubuhnya tersentak ke belakang. Sunyi sesaat. Kuncunya terkejut. Wajah Alang merah padam. Nafasnya kencang. 

“Kau tahu siapa aku?” Alang bertanya seraya menepuk-nepuk dadanya dengan nada bongkak, 

“Nanti.. kau akan tahu padahnya..” katanya perlahan. Dia berpaling. “Mari!” Menggamit kuncu-kuncunya pergi. 

Langkah mereka menjauh, tetapi amaran itu tak hilang dari dada. Layang-layang itu koyak. Tapi Busu memungutnya, dan tersenyum tipis. 

“Tak apa bang.. kita buat baru.” 

Aku usap rambutnya. Dalam hati, aku tahu, gelora zaman ini tidak sekadar ombak tenang. Akan ada badai. Dan aku.. kini bukan lagi sekadar tetamu masa. Aku sedang menjadi sebahagian daripada sejarahnya. 

Bersambung Part 9.. 

Monday, 17 November 2025

Pengembaraan Masa (Part 7): Rahsia hampir terbongkar?

Baca di sini Part 6 

foto hiasan ~ sumber

Peristiwa pertemuan dengan Sultan Mansur Syah di pasar tempohari masih bermain diingatanku. Dikatakan baginda memerintah dengan bijaksana di atas kerajaannya, bermesyuarat dengan orang tua untuk pemerintahan yang baik dalam perkara yang keadilan serta keselamatan negeri. Baginda menyatukan rakyatnya. 

Demikianlah yang pernah aku baca di dalam buku sejarah di zamanku. Cuma wajahnya ini tidak sama dengan potret yang kulihat di Muzium Melaka. Yalah, potret tersebut hanya imaginasi pelukis sahaja. 

Isi hati Seri Seroja 

Petang itu, matahari sudah hampir condong ke barat. Warna jingga menyiram langit dan menyentuh permukaan sawah yang mulai kering. Aku dan Pak Andak duduk di pondok yang dibina di bawah pokok sentang yang rendang, tempat biasa Pak Andak melepas lelah selepas separuh hari membanting tulang. 

foto hiasan ~ sumber

Pak Andak membuka terendak di kepala, mengibas sedikit peluh di dahi lalu tersandar pada tiang pondok. 

“Letih hari ni, Zahran.. tapi syukur. Lihatlah langit tu. Kalau bukan kerana penat, kita takkan tahu nikmat tenang begini.” 

Aku hanya tersenyum. Tangan masih menggenggam sebatang ranting kecil, melukis sesuatu yang tidak bermakna di atas papan lantai. 

Tak lama kemudian, dari arah rumah yang samar dalam kehijauan, Seri Seroja datang perlahan. Busu mengikuti dari belakang sambil mulutnya becok menghalau burung tiak yang cuba menghampiri rumpun padi. 

Langkah Seri Seroja sopan, membawa dulang yang beralaskan daun pisang. Di atasnya ada nasi, goreng ikan sepat, sayur lemak pucuk paku dan air minuman yang terisi daun pandan yang dilipat rapi. 

“Ayah.. Zahran.. ini bekal. Mak pesan, makan sebelum sejuk.” 

Pak Andak bersuara, “Ha.. elok sangat. Mari Zahran, kita makan dulu. Rehat sekejap. Hari ini Seroja rajin benar menolong ibunya.” 

Seri Seroja duduk bersimpuh di tengah pondok, Wajahnya tunduk seperti biasa, tapi matanya beberapa kali menjelingku sekilas. Diamnya.. bukan kosong. Seperti ada yang ingin diselami. Busu di sebelahnya. 

Aku menyambut air minuman yang berisi daun pandan. 

“Terima kasih… Seri Seroja. Enak benar air ini, wangi sekali.” 

Dia tersenyum nipis.  

“Air dari perigi tua di belakang rumah. Orang kata, kalau orang luar minum air dari situ.. dia akan terus tinggal di sini.” Dia mengusik. 

Aku terbatuk kecil. Bukan kerana air, tapi kerana usikannya begitu tepat menyentuh hati. 

“Mungkin itu cuma cerita lama, cerita orang tua-tua sahaja,” balasku, tenang. 

“Tapi cerita lama kadang-kadang ada benar, bukan?” tanya Seri Seroja perlahan. 

“Zahran… boleh hamba tanya satu perkara?” 

Aku menoleh, sedikit cemas. “Boleh, selagi soalan itu tidak berat untuk dijawab.” 

Dia merenung sawah yang luas di hadapan. Suaranya halus, hampir ditiup angin. “Zahran.. tuan bukan orang sini, kan? Gaya tuan berkata-kata, caranya melihat, dan kadang-kadang.. seperti tuan tahu lebih dari yang biasa.” 

Aku terdiam. Pak Andak sudah mula terlelap sedikit setelah menikmati makan (atau sengaja terlelap?), bersandar di tiang pondok dengan topi pelepah menutupi wajah. Aku, Seri Seroja dan Busu hanya tinggal bertiga dalam damai petang itu. 

“Maafkan hamba.. jika kata hamba lancang,” tambahnya perlahan. 

Aku menunduk, memicit jemari sendiri. Lalu dengan nada yang lembut, aku menjawab: 

“Kadang-kadang, Seroja.. seseorang datang bukan kerana dia tahu ke mana harus dituju. Tapi kerana ada sesuatu yang membawanya. Hamba.. hanya sedang mencari tempat untuk diam sebentar dari ribut yang panjang.” 

Dia mengangguk. Dan selepas diam seketika, dia bersuara lagi: “Jika benar begitu.. hamba doakan, semoga damai di sini akan menambat hati tuan. Walau hanya seketika, biarlah seketika itu memberi makna.” 

Aku menoleh. Untuk pertama kalinya, mata kami bertaut lama. Tidak lama, tapi cukup untuk aku merasa, ada sesuatu yang mengikat antara kami, walaupun belum bernama. 

“Terima kasih.. Seri Seroja. Kata-katamu seperti air perigi itu juga, jernih, tapi dalam.” 

Kami tidak berbicara lagi selepas itu. Hanya duduk menatap sawah yang mulai tenggelam dalam cahaya keemasan. Tapi dalam diam itu.. hati aku resah. 

Mungkin dia sudah tahu. Atau mungkin dia hanya meneka. Tapi aku belum bersedia membuka kisah tentang masa yang kulewati.. dan masa yang belum tiba. 

Pak Andak - Bicara Lelaki Dewasa 

Sebaik Seri Seroja berlalu semula ke rumah.. Pak Andak yang kelihatan lena tadi, tiba-tiba membuka mata. Dia menghela nafas panjang, memandang ke arah Busu yang bermain-main dengan beberapa ketul anak batu.

"Busu nak buat apa dengan batu-batu tu?" Tanya Pak Andak.

Nak guna untuk halau burung yang makan padi." Jawab Busu, sekilas berlalu ke hujung batas sawah.

Tinggal aku berdua dangan Pak Andak. 

“Zahran… aku ini orang lama. Dari renungan mata pun kadang-kadang aku boleh membaca sedikit.” 

Aku menoleh, gugup. “Apa yang Pak Andak nampak?” 

“Entah.. Cuma rasa di hati. Bahawa engkau ni orang yang sedang mencari jalan pulang. Tapi belum tahu.. pulang ke mana.” 

Aku tunduk. Kali ini, tidak mampu menjawab. 

“Tapi satu pesanku, nak. Kalau kau benar dari tempat yang jauh.. sejauh mana pun itu, jangan kau tinggalkan luka sebelum pergi. Kalau kau harus berlalu… tinggalkan damai.” 

Aku mengangguk, menahan rasa di kerongkong. “Hamba mengerti, Pak Andak. Hamba tak mahu sejarah menangis kerana langkah hamba yang khilaf.” 

Mimpi yang menghantui 

foto hiasan ~ sumber

Malam itu, aku tidur dalam lena yang sunyi. Angin dari celah dinding papan membawa bau kayu basah dan bunga tanjung. Dalam mimpi, aku berada di tengah sebuah padang hijau, luas, tidak berpenghujung. Langitnya berwarna ungu tua, dan kabut nipis menyelimuti tanah. 

Dari kejauhan, Seri Seroja berjalan menghampiri, berpakaian putih bersulam benang perak. Rambutnya terurai, tidak seperti selalu. Wajahnya damai, tapi matanya menyimpan sesuatu. 

Dia berdiri di hadapanku, meletakkan tangan di dada, lalu berbisik: “Jika kau tetap di sini.. takdir akan menyimpang. Tapi jika kau pergi.. hati-hati yang tertinggal akan retak perlahan.” 

Aku cuba menyentuh tangannya, tapi bayangnya kabur, seperti kabut yang tidak boleh digenggam. 

Suaranya mengalun sekali lagi: “Antara kasih dan sejarah.. kau tidak boleh memilih kedua-duanya.” 

Aku tersedar. Nafasku berat. Bulan di luar jendela hampir tenggelam. Dan dalam gelap yang sepi itu, aku menyedari.. 

Masa depan belum pun tiba, tapi ia sedang menunggu keputusan hari ini. 

Bersambung Part 8 

Sunday, 16 November 2025

Di tepi sungai Pahang, aku terkenang..


Aku duduk di jeti kayu yang menghadap sungai Pahang. Airnya mengalir tenang, membawa bersama bayang langit sore dan kenangan lama yang tiba-tiba datang menyinggah. 

Di hadapan, sepinggan nasi berlauk masak lemak cili api ikan kerai tersaji sederhana, lauk kampung yang pernah mewarnai masa kecilku. Di sisi, kacang botor hijau muda menjadi ulam penyeri, renyah dikunyah sambil menikmati desir angin yang lembut menampar pipi. 

Tiada muzik yang lebih indah daripada bunyi alam kala itu, desir air yang memukul tebing, kicau burung yang terbang pulang, dan sesekali bunyi enjin perahu kayu dari seberang. Semuanya berpadu dalam harmoni yang sukar diganti dengan hiruk-pikuk kota. 

Setiap suapan terasa seperti mengembalikan aku ke masa lalu, masa ketika arwah ayah masih di anjung bersama kerusi malasnya yang setia, dan arwah mak masih tersenyum sambil memanggil aku pulang sebelum senja benar-benar turun.

Segalanya terasa dekat, walaupun waktu sudah lama pergi.. 

Masa ketika di meja makan bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi ruang kecil yang menyimpan tawa, teguran dan nasihat yang waktu kini sudah memahat jadi doa dalam hati.

Aku kembali menatap sungai Pahang. Dalam setiap hembusan anginnya, ada bisikan lembut yang menenangkan hati. Dan dalam setiap hembusannya, seolah-olah ada bisikan lembut berkata:  "Hidup ini indah, jika kita tahu menghargai yang sederhana, dan kenangan adalah antara anugerah paling halus yang Tuhan titipkan..."

Saturday, 15 November 2025

Coretan pagi Sabtu yang dingin

'Menekuni lembaran demi lembaran yang mengenyangkan minda'

Hasrat hati nak buat brisk walk pagi ini. Tapi hujan renyai yang turun sebaik sahaja selepas subuh seakan memegang tangan dan berkata, “Rehatlah dulu.” 

Jadi, pagi ini aku biarkan sahaja ritma hujan menepuk lembut atap rumah. Dengan secawan minuman panas di sisi, aku menyelak kembali naskhah yang sudah lama setia dalam simpanan, “MALACCA HAS FALLEN – Keruntuhan Sebuah Empayar Agung”, terbitan 2019. 

Entah bagaimana, aku boleh tenggelam sampai ke muka surat 206 tanpa sedar masa bergerak. Lembaran demi lembaran dihadam mengenyangkan minda. 

Di celah-celah helaian sejarah itu, tiba-tiba terlintas tentang siri imaginasi PENGEMBARAAN MASA ABAD ke-15 - yang telah berhenti pada Part 6 - baca. 

Terdetik juga soalan yang tak pernah terjawab: Perlu ke aku sambung? Ada ke orang nak baca? Atau sebenarnya aku ni syok sendiri je.. 😊 

Tapi, begitulah kan.. Ada cerita yang hidup bukan kerana ramai yang membaca, tetapi kerana hati sendiri terasa ingin bercerita.

Tuesday, 4 November 2025

Pengembaraan Masa (Part 6): Ke Pasar Pagi, Bertemu Jantung Melaka

Baca di sini Part 5 

foto hiasan

Satu pagi yang bening, Pak Andak mengetuk daun pintu bilikku. 

"Zahran, kalau sudi, marilah ikut aku ke pasar pagi. Kita bawa hasil sayuran dan buah-buah. Mungkin kamu nak lihat suasana pasar di Kota Melaka.” 

Aku segera bangun. Dada berdebar, bukan sekadar mahu melihat hiruk-pikuk pasar, tapi kerana ini kali pertama aku benar-benar akan menyusuri jantung zaman Kesultanan Melaka dari mata dan kaki sendiri. 

Teruja! Aku menggenggam hujung kain selimutku yang kusut. Inilah saat yang selalu aku bayangkan dalam buku-buku sejarah, tetapi kini, aku hidup di dalamnya. Ah, Melaka.. izinkan aku memahami degupmu dengan mataku sendiri. 

Berperahu Menyusuri Sungai 

Kami bertolak seawal fajar. Embun masih melekat pada pucuk nipah. Dengan perahu panjang buatan tangan, Pak Andak mendayung perlahan menyusur sungai yang jernih dan tenang, dihiasi riak kabus pagi yang memeluk permukaan air. Aku duduk di hadapan dan Busu di tengah. 

Burung bangau berdiri satu kaki di tepi tebing. Daun-daun jatuh tenang ke permukaan air, dan bunyi dayung menyentuh sungai menjadi irama sunyi yang damai. 

“Air sungai Bertam ini, Zahran.. bagaikan nadi desa. Dari sinilah hidup mengalir,” kata Pak Andak perlahan. 

Aku angguk. Dalam hati, aku sedar, zaman ini punya roh yang tak terganti. 

Pasar Pagi di Pinggir Kota Melaka 

foto hiasan ~ sumber

Setibanya kami di jeti kecil berhampiran muara sungai, suasana sudah pun riuh. Aku menjejakkan kaki ke tanah, memandang sekeliling. 

Di sinilah, fikirku, barangkali dahulu Parameswara berhenti berehat, di bawah pohon besar, memerhati anjing buruannya mengejar pelanduk putih. Sejarah yang selalu hanya hidup dalam buku, kini terasa bagai bernafas di hadapanku. Ah, Melaka.. setiap inci tanahmu seperti menyimpan gema kisah yang membina sebuah empayar. 

Orang ramai berjalan dengan bakul mengkuang, ada yang menjinjit tembikar, ada yang membawa kambing atau ayam hidup. Peniaga berseru, pelanggan menawar, anak-anak kecil berkumpul menonton beberapa pemuda sedang memasang kelir. 

“Sirih, kapur, tembakau!” 

“Gaharu, setanggi!” 

“Pakaian dari Palembang, kain sulam tangan!” 

Bau kunyit, kapur barus, daun pandan dan ikan kering bersatu dalam udara. 

foto hiasan ~ sumber

Lalu-lalang bukan sahaja dari orang Melayu, tapi juga saudagar dari Arab, Gujarat, Pasai, India dan lain-lain. Di satu sudut, ada peniaga dari Jawa menjual ukiran kayu, sementara seorang lelaki Cina menjual teh wangi dan tembikar kecil. 

Pak Andak membentang tikar di bawah pohon sena besar, menyusun sayur dan buah-buahan dari ladang. Aku membantu mengikat daun kunyit dan lada secara berikat, sambil mata melilau melihat keindahan yang tidak mungkin ditiru oleh mana-mana zaman moden. 

Dalam hati aku berbisik, Oh.. beginilah rupanya pasar di pinggir Kota Melaka. Bukan sekadar jual beli, ini nadi sebuah tamadun, denyut yang menghidupkan empayar. Jika dunia moden punya bangunan tinggi dan lampu neon, di sini manusia memiliki jiwa dan harum sejarah yang tak pernah pudar. 

Ketibaan Datuk Pembesar dan Sultan 

Tiba-tiba, orang-orang di pasar mula bergerak ke tepi. 

Dari arah pintu kota, kelihatan seorang pembesar negeri berjalan masuk bersama dua pengawal bersenjata lembing dan perisai. Wajahnya yang bermisai tebal menampakkan ketokohannya, namun tenang, seorang yang biasa mengurus rakyat dan urusan harta negeri. 

Langkahnya teratur, kain persalinannya beralun perlahan ditiup angin pagi. Orang-orang pasar menunduk hormat, dan aku dapat merasakan aura wibawa seorang penjaga amanah negeri, bukan sekadar pembesar, tetapi penimbang adil antara rakyat dan raja. 

“Jaga timbangan. Jangan tipu sukatan,” katanya dengan suara yang tegas namun beradab kepada seorang peniaga muda. 

Tiba-tiba dia memandang ke arah kami. Wajahnya berubah ceria, senyuman kecil terukir. “Eh, Andak Musa rupanya. Sudah lama tidak nampak kamu di kota. Masih kuat mendayung dan bertani rupanya,” tegurnya berseloroh tetapi penuh hormat. 

Pak Andak tersenyum, menunduk sedikit. “Alhamdulillah, Datuk. Hidup sederhana, makan rezeki dari tanah. Selagi tubuh diberi kudrat, selagi itu hamba bekerja.” Sosok yang dipanggil datuk itu mengangguk, matanya bersinar bangga. 

“Kamu ini, ketika muda dahulu.. bukan calang-calang orang. Kalau tidak kerana keberanian orang seperti kamu dalam perang menentang pasukan Pahang suatu masa dulu, belum tentu aman kita hari ini.” 

Benar, Pahang ketika di bawah kekuasaan Siam pernah menyerang Melaka, sepertimana yang pernah aku baca dari buku sejarah. 

Aku terpempan. Dunia terasa berputar sebentar. Pak Andak.. seorang pahlawan dahulu? Di balik wajah tenang dan tangan kasar mengikat daun kunyit, tersembunyi sejarah seorang yang pernah menghunus keberanian demi negeri. 

"Itulah Datuk Syahbandar. Dia yang menjaga keamanan di sini serta pelabuhan Melaka." Bisik Pak Andak kepadaku setelah pembesar tersebut berlalu. 

Aku mengangguk, kagum. 

foto hiasan ~ sumber

Belum sempat suasana reda, tiba-tiba bunyi paluan gong kecil kedengaran dari jauh. Seekor gajah berhias cantik muncul dari celah bayang pintu kota, melangkah megah bagaikan bumi sendiri memberi laluan. Di atasnya, seorang lelaki berpakaian serba kuning diraja, dengan tengkolok bertatah permata dan kain songket bersinar ditimpa cahaya pagi. Itulah Sultan Melaka, wajahnya tenang namun tegas, diiringi Temenggung yang gagah di sisi. 

Manakala di hadapan dan belakang haiwan besar tersebut, sekira-kira dua belas orang pengawal istana mengiringi dengan memegang tombak kehormatan negeri. 

Serta-merta.. semua orang duduk hormat di tempat masing-masing. 

Tiada siapa berdiri. Tiada siapa bersuara. 

Kanak-kanak tunduk, perempuan mendekap anak ke dada, peniaga menundukkan kepala. 

Suasana sunyi.. seperti bumi sendiri menahan nafas. 

Sultan Melaka sedang lalu. 

Bukan sebagai raja yang menindas, tapi sebagai payung rakyat. 

“Daulat Tuanku..” bisik orang ramai. 

Dan aku.. di celah mereka semua, turut tunduk. Walau aku bukan dari zaman ini, aku tetap merasa daulat itu hidup, bukan kerana takhta, tapi kerana adilnya pemerintahan. Seolah seluruh semesta bersaksi: keadilan adalah mahkota sebenar seorang raja.

Penutup 

Sebaik Sultan berlalu, pasar kembali riuh seperti tadi. Tapi ada sesuatu yang berubah. Ada rasa terhormat dalam udara. Seolah-olah semua tahu, mereka bukan hanya berdagang, mereka membina peradaban. 

Petang itu, sebelum pulang menaiki perahu semula, aku sempat mencatat dalam hati: 

“Hari ini aku bukan sekadar melihat sejarah. Aku berdiri di dalamnya. Dalam hidup rakyat biasa, dalam wibawa pemimpin, dalam suara pasar dan diam raja. Ya Allah… mampukah aku pulang tanpa merindui semua ini?" 

Bersambung Part 7..