Sahabat Sejati

Friday 29 April 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 65

Salam Jumaat.


Jangan berinteraksi dengan manusia melalui uslub yang sama...
Bukan semua pesakit mengambil ubat yang sama.

Thursday 28 April 2016

Beberapa fakta mengenai Abu Bakar as-Siddiq

 foto hiasan

Abu Bakar as-Shiddiq adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang telah dijamin akan masuk syurga. Abu Bakar al-Siddiq (أبو بكر الصديق‎) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634.

Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) kerana ibunya telah bernazar sekiranya mendapat anak lelaki akan dinamakan Abdul Kaabah. Tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar yang bermaksud ayah unta muda kerana masa mudanya suka memelihara anak-anak unta.

Nama lengkap Abu Bakar adalah Abdullah bin Usman bin Amir bin Amru bin Ka'ab bin Sa'ad bin Tayyim bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ay bin Ghalib bin Fihir at-Tamimi. Bertemu nasabnya dengan nabi pada jurai keturunannya, Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai, dan ibu dari Abu Bakar adalah Ummu al-Khair Salma binti Shakhr bin Amir bin Ka'ab bin Sa'ad bin Taim yang bererti ayah dan ibunya sama-sama dari kabilah Bani Taim.  Ayahnya yang bernama Usman atau lebih dikenali dengan nama Abi Qahafah.

Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan) kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah saw. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra` dan Mi`raj yang telah dialami oleh Rasulullah saw. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Saiyidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saiyidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakannya meninggal dunia secara biasa.

Sebelum kewafatannya, Saiyidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Umar al-Khatab sebagai khalifah yang baru. Saiyidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad saw. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Saiyidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah iaitu golongan murtad, yang tidak mahu membayar zakat dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.  

Berikut adalah beberapa fakta mengenai Saiyidina Abu Bakar bin Abi Qahafah as-Siddiq ra:

1. Dia adalah sahabat dan tetangga Nabi Muhammad saw sebelum turunnya Quran.

2. Dia adalah orang dewasa pertama dan yang pertama di luar keluarga Nabi Muhammad saw yang memeluk Islam.

3. Dia adalah orang keempat yang memeluk Islam secara keseluruhan (Setelah Khadijah rha – wanita pertama, Ali ra – anak pertama dan Zaid Bin Haritsah – budak pertama)

4. Dia adalah orang pertama yang membebaskan budak di jalan Allah.

5. Dia memiliki gelar ‘Siddiq’ dan ‘Atiq’ dari Nabi saw

6. Dari semua sahabat, Abu Bakar adalah yang paling dekat dan paling menyayangi Nabi. Dia menjadi pendamping Nabi dalam gua ketika hijrah dari Makkah ke Madinah.

7. Puterinya Aisyah rha, menikah dengan Nabi Muhammad saw

8. Tanah untuk Masjid Nabawi di Madinah (Yathrib) dibeli dengan wang dari Abu Bakar.

9. Ketika Abu Bakar memeluk Islam, beliau memiliki 40.000 dirham. Dia menghabiskan seluruh wang untuk Islam. Nabi menyatakan bahwa kekayaan Abu Bakar digunakan untuk Islam lebih dari kekayaan orang lain. Dalam perang Tabuk, Abu Bakar memberikan semua kekayaannya.

10. Nabi saw senang menunjuk Abu Bakar sebagai orang yang pertama bergelar “Amirul Hajj” dalam sejarah Islam.

11. Ketika Rasulullah saw sakit, baginda melantik Abu Bakar as-Siddiq imam solat.

12. Dalam pidato terakhirnya di Masjid Nabawi, Nabi memerintahkan agar semua pintu ke masjid harus ditutup kecuali pintu menuju ke rumah Abu Bakar.

13. Abu Bakar adalah khalifah pertama dalam sejarah Islam.

14. Dia adalah satu-satunya Khalifah dalam sejarah Islam yang mengembalikan kekayaannya ke perbendaharaan negara pada saat kematiannya yang ia perolehi ketika menjawat sebagai khalifah.

15. Nabi saw berkata: Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku mahu mengambil seorang khalil (kekasih), aku akan mengambil Abu Bakar, tetapi beliau adalah saudaraku (dalam Islam). Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar di antara dua buah rumah untuk Abu Bakar.” (Hadis Abu Said ra)

16. Ketika Rasulullah saw berada di atas mimbar, baginda berkata: "Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya, samada beliau ingin memilih kemewahan dunia ataupun diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternya beliau memilih apa yang ada di sisi Allah." Selepas itu Abu Bakar menangis dan berkata: "Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku." Abu Said berkata: "Rasulullah yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku." (Hadis Abu Said ra) 

17. Saiyidina Abu Bakar mendapat kehormatan dimakamkan tepat di sebelah Nabi Muhammad saw di Madinah.

Wednesday 27 April 2016

Ia adalah sunnah (1)


Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (an-Nisa`: 19)

Sabda Nabi saw yang bermaksud:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.”(Riwayat Abu Daud)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib bermaksud:
“Rasulullah saw bersabda: "Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.”(Riwayat Abu Daud).

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Berwasiatlah kamu semua supaya berlaku baik terhadap isteri-isteri. Sesungguhnya kamu semua mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan kamu semua menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan kalimah Allah SWT.”(Riwayat At-Tirmidzi) 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 
“Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” (Riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani)

Tuesday 26 April 2016

Bicara santai: Tekan butang 'pause' di dahi...

foto hiasan (sumber) 
 
Memang rasa tidak puas hati. Nak marah pun ada juga. Tetapi setelah difikir-fikir nak marah pun tak berbaloi kerana ia telah pun terjadi. Marah sampai terjengil biji mata pun tidak akan merubah apa-apa, makin tambah sakit hati sahaja. Jadi sebelum perasaan menjadi melarat-larat, saya segera menekan butang 'pause' di dahi. Pasrah sambil mengurut dada. 

Teringat pula pesan junjungan mulia, orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan kemarahannya kepada orang lain. Benar, bukan semua yang memiliki kekuatan ini. Namun, tidaklah ini bermakna kita tidak boleh marah langsung. Tempat yang perlu marah, kena luahkan kemarahan. Sesuai dengan keadaan. Nampak depan mata orang mencuri kasut kita, kenalah marah takkan nak dibiarkan sahaja. “Haa, ambik..ambik.. tak apa.” Takkan nak kata begitu. Kena marah! Tetapi, dalam hal saya ini, jika mahu marah pun tak salah rasanya. Asalkan tidak berlebih-lebihan sudahlah. Paling kurang mencebik bibir pun sudah memadai. 

Ceritanya, ummu Ikhwan telah menghantar kain untuk dijahit kepada seorang kenalan. Sehelai baju melayu ala Raihan dan satu lagi baju kemeja. Kedua-dua baju tersebut adalah uniform anakanda sulung di Kulliah Abu Bakar. Sudahnya, semalam sewaktu mahu mengambilnya, terjadilah episod yang tidak diingini. Lain yang ditempah, lain pula yang jadi. 

Bukan jahitannya tidak bagus, bahkan memang sangat bagus jahitannya. Setahu saya ramai yang datang menempah menjahit pakaian dengannya. Namun apa yang berlaku kepada tempahan saya ialah, keduanya bertukar 'pesen'. Baju melayu Raihan yang sepatutnya dibuat poket tebuk, dibuat poket tampal. Manakala baju kemeja pula dibuat poket tebuk dan kolar bulat. Mahu pakai tali leher macamana kalau begitu keadaannya. Kelakar! Kemudian adalah sedikit kesilapan kecil yang lain. 

Tambah lucu lagi, kami pula dikatakan mahu baju-baju tersebut dijahit sedemikian. Alahai, sabar jelah! Alhamdulillah, saya tidak menggunakan pendekatan dua puluh tahun dulu, kalau tidak hmm.. Yalah umur pun sudah tua, buruk sangat keadaannya jika semua benda nak marah. Akhirnya saya cuba mengawal diri dengan bersangka baik agar tidak terbit rasa tertekan. 

“Sudah suratan taqdir..” Getus untuk menyejukkan hati. Ummu Ikhwan pula tenang seperti biasa. 

Sudahnya, ambil baju, bayar dan balik, habis cerita. Nantilah hantar 'repair' di kedai lain atau pun beli kain yang baru kemudian jahit semula. Kalau diikutkan juga ada sehelai lagi kain yang mahu dijahit iaitu kemeja batik. Tetapi dah jadi macam ni, terbantutlah hasrat tersebut. Nampak gaya kena cari kedai jahit yang lainlah jawabnya. Balik rumah tengok semula baju tersebut, akhirnya berderai gelak ketawa kami semua. Alhamdulillah, tiada stress.

Monday 25 April 2016

"Nasib baik" tanda banyaknya nikmat Allah

 Foto hiasan (Lokasi: Jeti bot Kuala Tahan)

Firman Allah SWT: 
“Dan diberikannya kepadamu semua (sumber keperluanmu) yang kamu mohonkan. Sekiranya kamu (cuba menghitung) kurniaan Allah, maka tidak akan terhitung olehmu (berapa jumlahnya). Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar (tidak mensyukuri nikmat Allah).” (Ibrahim: 34) 

Terlalu banyak nikmat yang Allah SWT berikan, sama ada kita sedar atau lalai. Nikmat yang mendatang, juga nikmat yang sedia ada. Tidak mampu untuk kita menghitungnya kerana tidak akan susut jika cuba dihitung. Analogi mudah, tanda tidak habis nikmat Allah ialah dengan adanya perkataan ‘nasib baik’. 

“Dia tu ‘eksiden’ nasib baik tak apa-apa.” 

Kalau patah tangan, “nasib baik patah sebelah tangan, kalau dua-dua tak boleh nak buat kerja.” 

Kalau patah kedua-dua tangan, “nasib baik patah tangan, kaki tak patah kalau tidak.....” 

Kalau patah kaki dan tangan, “nasib baik kepala tak apa-apa...” 

Kalau lagi teruk, “si anu eksiden, nasib baik hidup lagi kalau tidak siapa nak jaga anaknya. Tengok pada kereta memang tak ada harapan.” 

Kalau dah mati, “nasib baik mati, kalau hidup tentu susah orang nak menjaganya.” 

Lihat! Mati pun masih nasib baik lagi. 

Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya dan tidak ternilai harganya. Walaupun sebelah mata yang buta, ia tidak dapat diganti dengan beribu-ribu ringgit. Begitu juga dengan anggota badan yang lain, nikmat akal dan fikiran yang dengannya kita dapat memanfaatkan isi alam yang terbentang luas ini. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat yang melimpah ruah ini, lebih-lebih lagi bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman. 

Thank you Allah, atas nikmat Islam dan Iman yang tidak ternilai harganya sekalipun dibanding dengan dunia dan seluruh isinya.

5 Fakta tentang Asma' binti Abu Bakar


ASMA’ binti Abu Bakar telah dicatat oleh sejarah sebagai salah satu wanita yang mulia dalam perjuangannya kepada Islam. Berikut adalah beberapa fakta tentangnya yang dikumpulkan dari berbagai sumber: 

1. Asma’ dilahirkan tahun 27 sebelum Hijrah. Asma’ 10 tahun lebih tua daripada saudaranya seayah, Aisyah, Ummul Mu’minin dan dia adalah saudara se-kandung dari Abdullah bin Abu Bakar. 

2. Asma’ mendapat gelar Dzatun nithaqain (si empunya dua ikat pinggang), karena dia mengambil ikat pinggangnya, lalu memotongnya menjadi dua. Kemudian, yang satu dia gunakan untuk sufrah (bungkus makanan untuk bekal) Rasulullah SAW, dan yang lain sebagai pembungkus qirbahnya pada waktu malam, ketika Rasulullah SAW dan Abu Bakar Ash- Shiddiq keluar menuju gua. 

3. Asma’ ikut dalam Perang Yarmuk bersama suaminya, Az-Zubair, dan menunjukkan keberaniannya yang baik. Dia membawa sebilah belati dalam pasukan Said bin Ash di masa fitnah, lalu diletakkannya di balik lengan bajunya. Kemudian ditanyakan kepadanya: “Apa yang kamu lakukan dengan membawa ini?” Asma’ menjawab :”Jika ada pencuri masuk kepadaku, maka aku tusuk perutnya.” 

4. Umar ibnul Khaththab. memberi tunjangan untuk Asma’ sebanyak 1000 dirham. Asma’ meriwayatkan 58 hadits dari Nabi SAW; dan dalam suatu riwayat dikatakan : bahwa dia meriwayatkan 56 hadits [Al-Kazaruni, “Mathaali’ul Anwaar”]. Telah sepakat antara Bukhari dan Muslim atas 14 hadits. Bukhari meriwayatkan sendiri atas 4 hadits, sedangkan Muslim juga meriwayatkan sebanyak itu pula. [Al-Hafih Al-Maqdisi, Al-Kamaal fii Ma’rifatir Rijaal]. 

5. Asma’ adalah wanita penyair dan pemberani yang mempunyai logika dan bayan. Dia berkata mengenai suaminya, Az-Zubair, ketika dibunuh oleh Amru bin Jarmuz Al-Mujasyi’i di Wadi As-Siba’ (5 mil dari Basrah) ketika kembali dari Perang Jamal : “Ibnu Jarmuz mencurangi seorang pendekar dengan sengaja di waktu perang, sedang dia tidak lari. Hai, Amru, kiranya kamu ingatkan dia tentu kamu mendapati dia bukan seorang yang bodoh, tidak kasar hati dan tangannya semoga ibumu menangisi, karena kamu bunuh seorang Muslim dan kamu akan terima hukuman pembunuhan yang disengaja.”

(sumber: islampos.com)

Friday 22 April 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 64

Salam Jumaat.


Hati yang baik lebih manis dari rupa paras yang menawan.
Kesucian jiwa lebih cantik dari pakaian sutera.

Wednesday 20 April 2016

Kuliah ilmu 2 selebriti dakwah

Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada yang berdekatan dan berkelapangan khususnya penduduk Kuantan, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu yang akan disampaikan oleh dua selebriti dakwah tanahair. Jadual kuliah seperti tertera pada poster. Jom, semarakkan majlis ilmu!  

Kuliah Maghrib & Infaq Dana Pembangunan Surau
Ustaz Azhar Idrus (Kitab Jam`ul Jawami`)
22 April 2016 (Jumaat)
Surau Pak Long Sohor, Kampung Darat, Sungai Ular Kuantan
Lokasi GPS: 4.044503, 103.305423
Tempahan Gerai: 013-963 6265 (Zek)



Ceramah Perdana & Pelancaran Dana Surau al-Furqan
Ustaz Zul Ramli M. Razali (Personaliti TV & IKIM FM)
23 April 2016 (Sabtu) / 9.15 Malam
Padang Bola Taman PSJ, Sungai Karang Kuantan
Tempahan Gerai: 
016-7069952 (Syed Ismail)
012-9645579 (Syed Idrus)

Sampaikanlah kami kepadanya, ya Allah..

foto hiasan (sumber)

Kuliah subuh tadi diakhiri dengan doa yang sangat bermakna.

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan."

Usai melantunkan doa tersebut, tidak semena-mena hati saya merasa gementar. Bagaimana jika ia tidak diperkenankan oleh Tuhan? Rupa-rupanya Ramadhan yang lalu menjadi yang terakhir buat saya... Sebagaimana telah ramai yang mendahului, dan sama sekali tidak mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. Atau boleh jadi sempat bertemu dengan Ramadhan tahun ini, tetapi siapa tahu, ajal terlebih dahulu menjemput tanpa sempat menghabiskannya sehingga ke hari terakhir.

Inilah harapan setingginya yang terkandung dalam di dalam doa yang dilafazkan. Satu harapan. Sebagaimana ulama silam yang berdoa 6 bulan sebelum dan selepas Ramadhan. Enam bulan sebelum Ramadhan agar sempat bertemu Ramadhan, dan enam bulan selepas Ramadhan agar diterima semua amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan. 

Apa jua ketentuan adalah milik-Nya yang mutlak. Redha dan pasrah tidak pernah berkurang. Namun, harapan untuk bertemu Ramadhan sentiasa di relung hati.

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan." 

Tuesday 19 April 2016

Kembara Ilmu KUANTAN 2016

Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada sahabat-sahabat yang berkelapangan, khususnya warga Kuantan dijemput menghadiri program Kembara Ilmu Kuantan 2016. Program yang akan berlangsung selama 4 hari di beberapa lokasi terpilih menampilkan suami isteri, Prof Muhd Kamil Ibrahim dan Puan Raudzah Roslan. Kedua-dua pasangan penulis buku ini telah bermastautin di Madinah kerana bertugas di sana, dan dalam rangka bercuti di Malaysia. 

Oleh itu, kepada sahabat sekelian, jangan lepaskan peluang untuk menimba ilmu daripada mereka. Rugi jika tak datang! 



*20 April 2016 (Rabu)
# Kuliah Maghrib - Surau al-Mukmin Taman Impianku Kampung Padang, Kuantan



*21 April 2016 (Khamis)
# Kuliah Subuh - Masjid Kampung Padang, Kuantan

# 8.30 Pagi - Sek Men Keb (P) Methodist, Kuantan (Puan Roza)

# 3.00 Ptg - Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang

# Kuliah Maghrib - Masjid Fatimah az-Zahra Indera Sempurna, Kuantan


*22 April 2016 (Jumaat)
# Kuliah Subuh - Surau al-Ikhwan Bukit Setongkol, Kuantan

# 8.00 Pagi - Sek Men Keb Hajah Kalsom, Kuantan

# 12.15 Tghari - Masjid Tepian Putra, Kuantan

# 3.00 Ptg - Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (Puan Roza)


# Kulliah Maghrib - Masjid Sementara Bukit Sekilau, Kuantan

*23 April 2016 (Sabtu)
# Kuliah Subuh - Masjid Bukit Setongkol, Kuantan

# 9.00 Pagi - Majlis Pelancaran Buku (Disempurnakan oleh Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Maimunah Iskandariah)

Monday 18 April 2016

Seeru `ala barakatillah...jalan-jalan ke Pekan


Alhamdulillah, petang semalam saya dan keluarga sekali lagi ke daerah Pekan untuk menziarahi anakanda Ikhwan yang belajar di Kulliah Sultan Abu Bakar. Bukan ada apa-apa perkara yang penting pun, sekadar mahu bertemu dan bertanya khabar. Sementelah lagi hari Sabtu minggu ini saya tidak mempunyai apa-apa komitmen atau program, jadi bolehlah ke sana. 

Saya melalui jalan bypass menuju ke Permatang Badak dan terus ke masuk ke simpang Pekan berhampiran Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di Batu 6. Pemanduan seterusnya amat selesa dengan jaringan jalan raya yang baik, 2 lorong sebelah. Tetapi jika tidak mengejar masa saya lebih suka menggunakan jalan Pantai Sepat berhampiran Penor. Dapatlah mencuci mata dengan pemandangan kampung-kampung dan pepohon menghijau di kiri dan kanan jalan. Jalan pantai Sepat ini juga akhirnya bertemu dengan jalan yang sama di hadapan KIPSAS.   



Lebih kurang 40 minit sampailah kami di depan pintu pagar Kulliah Sultan Abu Bakar. Kenderaan diluncurkan terus menuju ke blok asrama pelajar lelaki. Bertemu anakanda Ikhwan, seperti biasa mulutnya yang petah dengan bermacam-macam cerita. Termasuklah minggu lepas, beliau dan kumpulan nasyidnya dijemput mengadakan persembahan sempena program 'Syria Care'di SMK Nenasi. Hari ini pula kumpulannya mengadakan persembahan dalam majlis konvokesyen Kulliah Sultan Abu Bakar bagi meraikan pelajar STAM 2015. Semoga sentiasa sukses duhai anakandaku...insya-Allah, tetapi bernasyid jangan sampai mengabaikan pelajaran. 



Sebelum meninggalkan Pekan Bandar Diraja, kami menyusuri Jalan Sultan Ahmad untuk membeli kuih-muih yang dijual di gerai yang terdapat di sana. Di Jalan Sultan Ahmad ini juga terletaknya Muzium Sultan Abu Bakar. Muzium ini mempamerkan barang-barang antik, termasuk banyak barang-barang China kuno yang diperbuat daripada kaca dan tembikar, serta barang-barang yang berkaitan dengan sejarah semula jadi, arkeologi, etologi, dan raja. Sejarah Pahang, khususnya yang berkenaan dengan raja-raja kunonya, didokumenkan dengan baik dalam muzium ini.

Bangunan muzium ini asalnya bangunan kayu dua tingkat yang dibina oleh Inggeris pada tahun 1888 untuk kediaman Residen British yang pertama di Pahang, J.P Rodger. Pada 1898, ibu negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis dan bangunan ini dijadikan tempat penginapan Residen-residen Inggeris yang datang menjalankan tugas-tugas rasminya di bandar Pekan. Pada tahun 1929, bangunan kayu ini digantikan dengan bangunan batu dua tingkat seperti yang terdapat sekarang ini. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini digunakan sebagai markas pegawai-pegawai tentera Jepun.

Dalam tahun 1948, bangunan ini telah diduduki oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai menggantikan Istana Sri Terentang. Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Istana Kota Beram yang menjadi tempat persemayaman baginda dan menjalankan upacara-upacara yang lain. Pada tahun 1954, lantaran kedudukan ruang-ruang di dalam istana yang agak terhad, kerajaan negeri telah membina bangunan tambahan untuk dijadikan balai yang dikenali dengan Balairung Seri.

Pada tahun 1970, YAB Perdana Menteri Tun Haji Abdul Razak dalam pertemuannya ketika itu dengan penduduk Pekan telah mengusulkan agar diwujudkan sebuah Muzium Pahang, bertujuan untuk mengumpul dan mempamerkan sejarah dan kebudayaan negeri Pahang. Lanjutan daripada itu, pada tahun 1974, kerajaan negeri Pahang telah mengkaji keperluan menubuhkan muzium ini. Satu Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan untuk mengubahsuai Istana Kota Beram kepada Muzium Negeri. Muzium ini kemudiannya dinamakan sebagai Muzium Sultan Abu Bakar bersempena dengan istana yang pernah menjadi tempat persemayaman baginda.

Pada tahun 1975, satu Enakmen telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri Pahang dan diwartakan Kerajaan pada 14 Ogos 1975. Melalui enakmen ini Kerajaan negeri Pahang telah menubuhkan satu badan pentadbiran muzium yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Negeri Pahang yang bertanggungjawab terhadap pengurusan muzium ini. Pada 21 Oktober 1976, DYMM Sultan Haji Ahmad Syah, Sultan Pahang telah berkenan menyempurnakan pembukaan rasmi Muzium Sultan Abu Bakar. Semenjak daripada itu, muzium ini terus giat mengumpul dan mempamerkan kesan dan tinggalan sejarah serta kebudayaan tradisional negeri Pahang. (Arkib Negara)



Dah pun sampai. Gerai ini terletak betul-betul di hadapan Masjid Sultan Ahmad Syah Pekan yang juga dikenali dengan nama Masjid Kubah 10. Bermacam-macam jenis kuih yang dijual. Ada kuih yang tidak pernah saya lihat, namanya pun pelik-pelik. Selain menjual kuih-muih, turut dijual air kelapa dan air tebu sejuk. Sesuai sangat untuk dinikmati pada musim panas sekarang ini. Selain gerai ini ada satu lagi gerai di sebelahnya, tetapi saya tidak pernah singgah. Insya-Allah nantilah jika saya datang ke sini lagi. 



Sambil-sambil menikmati kuih-muih, badan pula terasa nyaman dengan hembusan angin dari terusan ini. Entah apa nama terusan ini, tidak pula saya bertanya kepada penduduk tempatan. Terusan ini bersambung dengan satu anak sungai dan mengalir terus ke Sungai Pahang. Sebut Sungai Pahang, teringat dalam buku Geografi masa sekolah dahulu ditulis, "Sungai Pahang ialah sungai terpanjang di Semenanjung Malaya iaitu sepanjang 459km. Sungai itu berhulu di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling dan mengalir ke Laut China Selatan."

Di dalam satu artikel saya membaca mengenai persoalan iaitu di mana hulu Sungai Pahang? Sangat menarik! Disebutkan, Sungai Pahang tiada hulunya sekadar ada kuala. Hulunya masih belum diketemukan sehingga hari ini. Sekiranya Sungai Tembeling (Hulu Tembeling) hendak dijadikan hulu Sungai Pahang, mengapa ada kualanya (Kuala Tembeling). Seperti juga dengan Sungai Jelai yang ada hulunya tetapi tiada kuala. Di pertembungan air Sungai Jelai dan air Sungai Tembeling disebut orang Kuala Tembeling. Wallahua`lam. Artikelnya panjang, nantilah saya kongsikan. Insya-Allah.
  


Pemandangan masjid lama Pekan yang dikenali dengan nama Masjid Sultan Abdullah yang terletak bersebelahan dengan masjid Sultan Ahmad Syah. Dibina pada tahun 1929 dan dibuka dengan rasminya pada tahun 1932, bersebelahan dengan makam Diraja. Masjid ini sudah tidak digunakan lagi apabila masjid Sultan Ahmad Syah dibuka denga rasminya.
    


Alhamdulillah, selamat sampai di Kuantan. Singgah berehat dan sembahyang maghrib dulu di Masjid Sultan Ahmad 1 sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Seeru `ala barakatillah! 

Friday 15 April 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 63

Salam Jumaat.


Kejayaan sebenar dalam kehidupan.. Tatkala kamu mampu hidup dengan gaya yang kamu inginkan.
Pastinya bagi kita orang Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Wednesday 13 April 2016

Memakai tangkal untuk elak kejahatan dan hasad dengki manusia

Soalan: 

Bolehkah saya menggunakan memakai tangkal untuk menghalang kejahatan atau hasad dengki manusia? 

Jawapan: 

Di zaman permulaan Islam amalan memakai tangkal digunakan ramai masyarakat jahiliyyah. Raslullah saw telah mengharamkan pengunaan tangkal dan menggantikan dengan pengunaan ayat al-Quran dan doa, khususnya memohon daripada Allah SWT menghindari dari sesuatu yang tidak diingini. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, juzuk ke 4 halaman 156 disebut hadis yang mafhumnya, "Sesiapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik." 

Hadis ini merupakan hadis umum. Berlaku suatu ketika apabila sahabat-sahabat menerima ayat al-Quran daripada Rasulullah saw, diamalkan untuk menghindari ganguan, menulis ayat tersebut di kertas dan menggantungkan kepada anak-anak mereka yang belum boleh membaca al-Quran. Bila dirujuk kepada Rasulullah, baginda tidak melarangnya. 

Ada sebahagian pendapat jika tangkal tersebut diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan. 

Pandangan ulama-ulama muktabar yang dipetik daripada Kitab al-Fatawa az-Zahabiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga) pada halaman 253 bagi soalan seperti dikemukakan ini, dijawab bahawa, "Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah SWT untuk dijadikan tangkal, maka ulama-ulama berselisih pendapat. Di kalangan ulama-ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya, dengan syarat-syarat khusus. Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan tangkal-tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis terdahulu. 

Tentang keharusan yang Rasulullah berikan kepada beberapa orang sahabat, itu adalah pada permulaan Islam. Apabila iman sudah tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, maka, dilarang sama sekali penggunaan tangkal, walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana, 1; mencegah daripada keburukan yang lebih besar, 2; menjaga kesucian al-Quran dari terbawa dalam tandas dan 3; membulatkan keyakinan bahawa Allah Taala sahaja yang melindungi manusia daripada segala-galanya." 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Telah lama perpisahan...


Ayahanda,
Telah begitu lama perpisahan kita
37 tahun yang lalu, satu jarak masa yang panjang
Anakanda pula sekira-kira menjengah usia 3 tahun
Tentu hati ini sebak dalam rindu yang menggamit
Kerana tidak sempat mengenali siapa dirimu...

Ayahanda, 
Bicara ini sentiasa dengan kalimah redha-Nya
Apa yang ditaqdirkan pasti ada hikmah kebaikan
Namun, tidak mampu anakanda sembunyikan rindu yang terbenam
Mudah-mudahan dapat jua wajah ayahanda ditatapi depan mata
Di akhirat nanti dengan izin-Nya...

Ayahanda,
Sejahtera buatmu di kelana alam barzakh
Moga doa yang dititipkan menemanimu di sana  
Daripada anak-anak yang mengasihimu... 

Tuesday 12 April 2016

Semoga ianya selesai dengan baik..


Almarhum Syeikh Ahmed Deedat dan Dr Zakir Naik (sumber: FB)
 
Saya sedang asyik menekuni butir bicara Dr Zakir naik menerusi aplikasi youtube. Terpegun dengan kepetahan dalam berhujah dengan non-Muslim menggunakan dalil al-Quran, bible dan kitab agama hindu. Kepetahannya mengingatkan saya kepada seorang lagi susuk tubuh yang menggunakan method dakwah yang sama, iaitu almarhum Syeikh Ahmed Deedat, yang juga merupakan guru kepada Dr Zakir Naik.

Ketika artikel ini ditulis, Dr Zakir Naik telah pun berada di Malaysia dalam siri jelajah dakwahnya. Namun, sedikit insiden memalukan apabila beberapa siri ceramahnya telah dibatalkan oleh pihak polis atas alasan boleh mengganggu ketenteraman awam. Saya menonton klip video kenyataan ketua polis negara berkenaan pembatalan ceramah tersebut. Pelik juga! Sedangkan beliau adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa 1435H/2013M, yang mana anugerah tersebut telah disampaikan oleh yang di-Pertuan Agong.

Secara peribadinya saya agak kesal dengan apa yang berlaku. Walaupun tidak semua siri ceramahnya dibatalkan, (ada beberapa negeri membenarkan) tetapi rasa sangat pelik. Anugerah tokoh dapat, tetapi ceramah tidak dibenarkan! Jika artis dari luar negara boleh pula dibawa masuk dengan mudah, mengapa seorang pendakwah pula menjadi sebaliknya. Saya teringat berapa ramai artis luar yang mengadakan konsert di sini tanpa ada persoalan ia boleh mengganggu ketenteraman awam.  


Dr Zakir Naik seorang yang baik dan sangat cemerlang di bidangnya. Inilah masanya untuk kita sambut baik kedatangannya. Di negara India, daripada 1.3 billion keseluruhan rakyatnya komposisi agama dapat dibahagikan kepada Hindu 79.8%, Islam 14.2%, 6% lagi Kristian dan lain-lain. Di sana, kerajaan India (Hindu) boleh membenarkan Dr Zakir Naik membuka stesen TV sendiri, buat pelbagai kerja dakwah, berbincang secara terbuka dengan orang yang beragama Hindu? Tidak pula kerajaannya berasa terancam atau berasa ianya menyentuh sensitiviti masyarakat kaum Hindu. 

Tapi sebaliknya berlaku di Malaysia yang agama rasminya adalah Islam. Ditambah lagi dengan gelaran 'setan' yang diberikan kepada Dr Zakir Naik oleh salah seorang ahli politik bukan Islam menambah perisa dalam isu ini. Apa pun, semoga isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Friday 8 April 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 62

Salam Jumaat.


Redhakan manusia suatu matlamat yang tidak mampu dicapai...
Muhasabah diri dan redhakan Tuhanmu...
Jangan peduli selepas itu orang membenci atau menyukaimu...

Wednesday 6 April 2016

Nafar bersama 'si kecil Haikal yang istimewa' ke IJN

'Si Haikal di TSK, bas belum datang lagi..'

Jam 12.30 pagi bas mula bergerak meninggalkan Terminal Sentral Kuantan (TSK) menuju ke ibu kota Kuala Lumpur. Termasuk berada di dalam perut bas tersebut, saya dan ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Hari ini saya membawa Haikal untuk memenuhi temujanjinya di IJN. Seperti biasa saya memilih perkhidmatan bas ekspres sebagai pengangkutan untuk memaksimumkan waktu rehat. Lagi pun saya tidak betah untuk memandu di tengah bandaraya Kuala Lumpur, bukan apa, tidak biasa dengan jalan raya di sana. Bimbang banyak makan ‘buah langsat’ (sesat) nanti. 

Alhamdulillah, perjalanan berjalan lancar tanpa ada kesulitan. Cuma agak sedikit cuak dengan bas yang dipandu cukup laju. Menciut bunyi roda menggigit aspal jalan tatkala pemandunya menekan pedal brek. (Saya pula seringkali membrek angin). Biasalah waktu dinihari, tidak banyak kenderaan yang berada di atas dada jalan, memang seronok menekan pedal minyak. Tidak sedar penumpang di belakang yang cemas dan risau. 

Lebih kurang jam 3.40 pagi kami berserta sebahagian penumpang turun di Perhentian Bas Pekeliling. Perjalanan diteruskan pula menuju ke IJN dengan menggunakan perkhidmatan teksi. Tidak jauh, jangkamasa kira-kira 5 hingga ke 8 minit sahaja, bergantung kepada pemandu teksi. Urusan pendaftaran bermula jam 8 pagi, jadi sempatlah melelapkan mata terlebih dahulu di mana-mana ruang bangunan IJN sebelum bangun mandi dan solat subuh.

Sedar tak sedar sudah banyak kali saya ke IJN untuk memenuhi temujanji si Haikal. Pertama kali ketika dia berusia tiga bulan. Waktu itu ummu Ikhwan turut pergi bersama. Yalah, mudah sedikit jika pergi bertiga. Jika seorang mahu ke bilik air, yang seorang lagi boleh menjaganya. Begitu juga dengan urusan-urusan yang lain. Sehinggalah apabila si Haikal sudah besar sedikit, barulah kami pergi berdua sahaja. Seperti saya sebutkan tadi, bermula usia tiga bulan sehinggalah sekarang usianya 11 tahun. Maknanya sudah 11 tahun saya berulang-alik ke IJN! Lama tu...

 'Air mineral jenama IJN..'

Berada di IJN sedikit sebanyak membuka ruang keinsafan. Banyak benda di depan mata yang boleh menjadikan hati berdetik. Kadang-kadang, kita merintih kerana merasakan bahawa kitalah yang berat diuji, rupa-rupanya tidak begitu. Benarlah kata Imam al-Ghazali: “Dalam perkara dunia lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu.” Bukannya apa, supaya kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur.

Walaupun 'si kecil Haikal yang istimewa' mempunyai masalah kesihatan yang banyak tetapi di masih boleh berjalan, biarpun cara berjalan tidak seperti manusia normal yang lain. Namun, masih ramai yang terpaksa dipapah dan bertongkat, malahan ada yang hanya terpaku di kerusi roda. Demikianlah saya melihat, dan ia benar-benar menjadikan saya insaf dan bersyukur.

"Dalam perkara dunia lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu.." Benarlah pesanan sang imam itu.

Monday 4 April 2016

Paya itu asalnya bendang

'Desa tercinta'

Saya memberhentikan kenderaan di bawah pokok kelapa gading yang sedang galak berputik. Angin petang yang bertiup tenang memberikan kesegaran kepada saya. Di hadapan mata deretan rumah teres yang melatari pandangan. Saya mendongak-dongakkan kepala memerhati sekeliling untuk mencari sesuatu. Sedikit kecewa. Memori seakan kelam kerana banyak ‘tanda’ yang telah hilang.

Hari ini kami sekeluarga pulang ke kampung. Setelah menziarahi saudara-mara, tidak lupa juga pusara kaum keluarga tercinta, saya membawa anak-anak menyusuri jalan tar kecil menghala ke baruh dengan harapan ada sesuatu yang boleh ditunjukkan kepada mereka. Lazimnya, sesuatu yang sering saya lakukan apabila pulang ke kampung. Mahu menyapa pakcik dan makcik di beranda yang kian keuzuran dimamah usia serta menyusuri di pelusuk denai kampung yang masih ada.

Hati sentiasa meronta-ronta mahu menunjukkan kepada anak-anak sesuatu yang pernah mengitari kehidupan abi mereka, seorang budak kampung yang naif. Saya mahu mereka semua menyelami sebuah kehidupan yang tidak mungkin akan mereka kecapi kini. Sekurang-kurangnya ada detikan di hati mereka, “oh inilah desa dan asal-usul abi...” Serba kekurangan tanpa sebarang gajet moden, namun sentiasa mengundang bahagia.

Entahlah, di sisi yang lain, kadang-kadang saya terfikir, apakah sebenarnya yang saya mahu tunjukkan kepada mereka? Atau ia lebih kepada mengulang nostalgia kepada diri sendiri.

Saya pernah menulis, “rindu tidak pudar seiring masa”. Semakin usia bertambah, semakin menebal rasa rindu. Rindu tidak semestinya pada seseorang, boleh jadi rindu itu pada suasana persekitaran, kehidupan atau masa lalu dan sebagainya. Itulah yang saya rasakan ketika ini. Ya, semakin jauh masa lalu ditinggalkan, semakin menebal saya rasakan kerinduan padanya.

“Kalaulah masa itu dapat diundurkan...”

Paya itu asalnya bendang

 'Asalnya paya, sebelum itu bendang yang terbentang'

“Dulu, di sinilah di antara tempat abi dan kawan-kawan bermain. Tangkap ikan laga, panjat pokok, tahan jerat burung ruak-ruak.” saya memberi muqaddimah kepada anak-anak.

“Sekarang ini semua dah tak ada, dah jadi perumahan.” Saya menyambung kata.

Mereka semua mengangguk.

Bagaikan masih segar diingatan, dulunya ia adalah kawasan paya, tempat saya dan rakan-rakan sebaya meranduk mencari kepuasan diri. Zaman budak-budak, tidak pernah ada kerunsingan, bahkan setiap waktu yang dilalui sentiasa penuh dengan keriangan. Biarpun sakitnya telinga dipulas emak tatkala pulang lewat petang dengan betis kotor berselut, tetapi tiada perasaan serik. Esok buat lagi, budak-budak!

Dulunya pemandangan biasa di kawasan ini, burung bangau terbang lalu hinggap di belakang sang kerbau yang sedang asyik meragut rumput. Ada juga yang hinggap di lopak-lopak air mengintai anak-anak ikan untuk habuan tembolok. Ah, kami pun sama naik dengan sang bangau dan sang kerbau. Meranduk lopak-lopak paya mencari sesuatu, tanpa menghiraukan si lintah yang sentiasa dahaga mahu menghisap darah kami. Dari satu belukar rimbas ke belukar rimbas kami menjarah. Di dalam benak tidak pernah terfikir akan si sawa batik yang mungkin sedang melingkar menunggu habuan. Tidak pernah pula kami mendengar ada penduduk kampung yang menjadi mangsa di baham si sawa. Tidak pernah lagi.

Kata arwah nenek dulu, paya di kampung kami asalnya bendang padi. Memang hairan juga pada mulanya apabila melihat banyaknya paya di kampung kami. Rupa-rupanya ia adalah bekas bendang padi. Sebahagian besar daripada penduduk kampung mengusahakan sawah padi pada masa itu, selain ada yang menjadi penoreh getah dan berkebun. Walaupun sudah banyak yang ditimbus dan diratakan semahunya, lalu di situ dinaikkan tiang berceracak menjadi kawasan perumahan, tetapi masih ada lagi saki-baki terutama di sebelah hujung kampung.

'Ini sahaja yang tinggal, binaan konkrit tali air'

Saya tidak sempat dengan zaman orang kampung menanam padi. Kegiatan mengusahakan sawah padi sudah lama terhenti. Saya tidak dapat menjangkakan dengan tepat, mungkin diawal tahun 70-an atau mungkin lebih awal daripada itu. Tetapi satu tanda yang masih tinggal ialah pintu air yang digunakan untuk mengairi bendang masih ada lagi. Masa budak-budak dulu selalu saya bermain di situ dan ia masih berfungsi dengan baik. Seingat saya pemegang kunci pintu air tersebut bernama Pak Hamid (arwah), garangnya ya Rabbi. Rumahnya berhampiran dengan kunci air tersebut. Pernah beberapa kali saya melihat Pak Hamid membuka pintu air untuk melepaskan air ke sungai. Wah, seronok melihat air berpusu-pusu laju mengalir ke sungai. 

Lima tahun dulu ketika lalu di situ saya lihat yang tinggal hanya kerangka konkritnya. Stering pemulas, tiang, rantai besi yang memegang pintu air dan segala komponen yang diperbuat daripada besi sudah tiada. Agaknya dicabut sekerat-sekerat oleh pencari besi buruk, mungkinlah. Tali air itu pun sudah semakin sempit dengan semak-samun dan hutan menerung yang subur di kiri dan kanan.

Seronoknya jika dapat bersawah...

foto hiasan: sumber

Sesekali apabila pulang ke kampung, tatkala melihat saki-baki paya yang masih tinggal, saya cuba membayangkan bagaimana suasana menanam padi. Saya membayangkan bagaimana tanah dibajak dengan kerbau yang gagah. Kemudian benih padi ditabur dan menunggu ia tumbuh, selepas itu menyemainya pula di petak semaian dengan menggunakan kuku kambing. Sehinggalah penuh sepetak demi sepetak, serelung demi serelung, lalu sawah bendang menjadi hamparan hijau yang saujana mata memandang.

Kemudian apabila padi mulai masak menguning mulalah sibuk berperang dengan burung Tiak yang begitu ganas meratah padi. Terpaksalah pula memasang ‘orang-orang’ untuk menghalau si Tiak yang berkawan itu. Jika ‘orang-orang’ tidak berhasil, maka dipasang pula tali yang diikat dengan plastik, tin dan sebagainya. Tali itu kemudiannya bersambungan mengelilingi sawah. Apabila si Tiak datang, maka ditariklah punca tali tersebut sehingga berkocak tin dan berkibaran plastik. Terkejutlah si Tiak lalu bertempiaran terbang ke sana ke mari.

Sehinggalah padi mula betul-betul masak tunduk menguning, lalu dituai dengan sabit bengkok yang bergerigis matanya. Kemudian padi dihempas di tong bujur, dijemur di bawah terik matahari sambil menjaga daripada gangguan ayam yang memang gemar melahapnya. Setelah itu padi ditumbuk dengan lesung indik untuk menceraikannya daripada kulit.

Ahh, semuanya saya cuba putarkan di lubuk memori agar terserap larut seolah-olah saya sendiri pernah melaluinya.

Saya tidak pasti mengapa orang kampung kami meninggalkan kerja menanam padi ini. Entahlah, mungkin pada masa itu zaman ekonomi gawat, jadi menanam padi tiada untung lagi. Atau mungkin sudah tidak berdaya dek kerana faktor usia, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi kerja-kerja bergelumang dengan selut lumpur. Mereka lebih senang bekerja makan gaji di sektor perkilangan atau di dalam pejabat yang berhawa dingin.

Akhirnya, bendang yang sudah menjadi paya ditimbus dan diratakan, kemudian dinaikkan tiang yang berceracak untuk didirikan rumah kediaman. Demikianlah senario yang berlaku di desa saya nan permai. Ada juga yang terbiar begitu sahaja sehingga ditumbuhi semak-samun dan hutan menerung. Menjadi tempat pertapaan katak, ular, biawak dan bermacam-macam serangga. Tetapi sampai bila pun saya tidak pasti. Tiba masanya mungkin ia juga akan ditimbus dan diratakan semahunya.

Friday 1 April 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 61

Salam Jumaat.


Perkara paling penting di dunia ini...
Jangan bandingkan keputusan dan hasilmu dengan orang lain...
Setiap orang ada matlamat yang berbeza.