Poster 'FLOTILLA4RAKHINE' ~ Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang
Yayasan Amal Malaysia bersama gabungan beberapa NGO lain telah melancarkan program bantuan kemanusiaan yang diberi nama ‘Frotilla4Rakhine’. Setiap wakil daripada NGO yang terlibat seperti Yayasan Amal Malaysia, Mapim, Haluan, Salimah, Baraka (sekadar menyebut beberapa nama) akan ke kem pelarian di wilayah Arakan (Rakhine) untuk menghantar bantuan melalui jalan laut. Insya-Allah, dijadualkan kapal akan berlepas pada 10 Januari 2017 dari Pelabuhan Kelang. Sama-sama doakan agar misi ini beroleh kejayaan serta keselamatan kepada mereka yang terlibat.
Alhamdulillah, sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, saya turut terlibat secara langsung dalam program ini di peringkat negeri Pahang. Tetapi peranan saya tidaklah sebesar mana, hanya di belakang tabir iaitu menggerakkan kutipan dana dan barangan keperluan. Jika mahu disamakan dengan mereka yang berada di barisan hadapan, yang akan belayar ke sana, tentu bagai langit dan bumi situasinya. Tidak terbanding sumbangan dan pengorbanan mereka semua.
Alhamdulillah, kerja-kerja mencari sumbangan dana ini mendapat kerjasama yang sangat baik dengan beberapa masjid dan surau. Pihak masjid dan surau yang terlibat bersedia menjadi lokasi pusat pengumpulan sementara, serta melancarkan tabung derma khusus untuk program ini. Sumbangan wang daripada individu melalui akaun bank juga menggalakkan. Masih ramai yang ambil cakna dengan isu muslim Rohingya yang teruk dibantai oleh regim zalim Myanmar.
Sebagai makluman, Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan Amal Kebajikan. Gerak kerja Amal adalah bertebaran seluruh dunia. Moto Amal adalah "Working for Humanity, Serving God". (Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah). Setiap negeri mempunyai cawangan Yayasan Amal masing-masing yang diketuai dan dipantau oleh Yayasan Amal Malaysia di peringkat Pusat.
Pada mulanya saya menyertai Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang sebagai sukarelawan. Kemudian tidak berapa lama pula saya dilantik sebagai ALP (Ahli Lembaga Pengarah). Banyak program dan aktiviti kebajikan yang telah saya ikuti dan sertai. Ia memang sesuatu menyeronokkan, tetapi lebih banyak menginsafkan. Menyeronokkan kerana dapat menyumbang sedikit amal bakti kepada yang memerlukan. Tatkala melihat kuntuman senyuman daripada ulas bibir mereka yang dibantu, itulah saat yang amat menggembirakan dan sukar dilupakan.
Menginsafkan pula apabila melihat musibah dan ujian yang menimpa mereka (seperti di Acheh, Sri lanka, India, Sudan, Pakistan, Sabah dan sebagainya). Lalu, tidak semena terbit rasa syukur kerana tidak diuji sebagaimana mereka. Yalah, apakah saya mampu menahan ujian tersebut seumpama mereka. Kadang-kadang kita mudah melantunkan kalimat 'sabar' dan rasa kuat kerana belum diuji. Tetapi apabila dihempap musibah dan ujian sehingga terduduk, barulah kita tahu tahap mana kekuatan dan kemampuan kita. Itulah yang seringkali saya ingatkan.
"Ya Allah, janganlah uji kami dengan ujian yang tidak mampu kami menahannya.."
Opss, bukan mempamerkan diri
Apa yang saya coretkan hanyalah sebagai perkongsian rasa. Tidak terdetik mahu mempamerkan diri di hadapan manusia, malahan tidak sedikit pun mahu menunjukkan kehebatan diri. Apalah yang ada pada saya sekadar menumpang nikmat-Nya. Dia yang Maha Hebat. Seperti apa yang saya nyatakan tadi , coretkan ini hanyalah sekadar mahu berkongsi (bimbang jika ada yang tersalah sangka nanti). Mudah-mudahan ada yang mendapat peransang dan motivasi untuk melakukan perkara yang sama.
Memanglah kita seharusnya berusaha menyembunyikan kebaikan yang dilakukan. Namun, di sana para ulama membenarkan dengan niat mahu menggalakkan orang lain turut melakukan kebaikan yang sama. Tunjukkanlah kebaikan sebanyak mana, dengan syarat menjaga hati daripada terjebak ke lembah riya’. Saya akur, sebesar debu riya’ yang terbit, maka akan melebur-hanguskan amalan tanpa bersisa. Moga Allah SWT menetapkan hati dan tindak-tanduk saya dalam keikhlasan, Allahu al-Musta`an, amiin ya Rabb.
NGO dan agensi yang terlibat