Sahabat Sejati

Wednesday 26 February 2020

Dah masuk Rejab!

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya`ban, serta sampaikanlah kami kepada Ramadhan.”

Subuh tadi imam masjid di tempat saya membacakan doa ini.

Allahu.. Rupa-rupanya sudah pun masuk bulan Rejab. Diam tak diam hari ini sudah tanggal 1 haribulan. Saya sendiri pun tidak perasan jika tuan imam tidak membaca doa tersebut pada subuh hari tadi.

Itulah, asyik sangat melayani isu politik semasa yang agak hangat suhunya sehari dua ini. Sangat menarik apa yang berlaku. Tidak perlulah saya mengulasnya kerana sahabat-sahabat juga telah maklum akan kondisinya. 

Apa pun saya mengharapkan agar semuanya dalam keadaan baik tanpa berlaku ketegangan yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum di negara ini.

Masuk sahaja bulan Rejab, ia bermakna lebih kurang enam puluh hari lagi kita semua akan bertemu dengan Ramadhan yang diberkati. Demikianlah harapan dan doa yang dipanjatkan, moga bertemu dengan bulan penuh keberkatan ini. Insya-Allah.

Berbalik kepada bulan Rejab. sebenarnya tiada satu hadis khusus yang sahih menceritakan tentang kelebihan pada bulan Rejab atau malam-malam tertentu bulan tersebut serta amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan berkenaan.

Namun, para alim ulama sangat menggalakkan dan menekankan kepada kita untuk beramal. Kita perlu perbanyakkan amalan pada bulan Rejab supaya ia menjadi latihan terbaik sebelum kita masuk bulan Ramadan.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ini adalah dan amalan-amalan ini bersifat umum adalah: Berpuasa, memperbanyakkan bersedekah,  memperbanyakkan membaca al-Qur’an,  memperbanyakkan berzikir dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Selamat beramal!

Sunday 23 February 2020

'Kontrak' yang mengetuk minda

“Kita semua telah membuat perjanjian. Saya, kamu dan sesiapa sahaja, baik Muslim atau tidak, perjanjian yang telah dilafazkan di alam roh dahulu. Namun, setelah kita hadir ke dunia, kita kenal dunia, lalu kita leka dengan keindahan dan kemanisannya, tanpa sedar sedikit demi sedikit kita mula melupakan perjanjian tersebut.” 

Bicara diatur, perlahan menembusi gegendang telinga mereka. 

Diam..

Sepi... 

Hanya suara cengkerik dan reriang malam yang memecah kesunyian.

“Masih ingatkah lagi perjanjiannya?” soalan dilontar buat mengetuk minda yang asalnya fitrah. 

“Bukankah Aku ini Tuhanmu?" “
Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." 
(al-A`raaf: 172)

Angin malam yang bertiup lembut terasa dinginnya menyentuh kulit. 

“Kita sentiasa terleka dengan kesibukan mengejar dunia, sedangkan ‘kontraknya’ tetap tertulis sehingga akhir umur dunia. Maka binasalah mereka yang melupakan ‘kontrak’ ini,” kata bersambung lagi mengisi minda mereka dengan peringatan. 

“Apakah dunia ini tidak berguna dan sia-sia? Tidak mungkin kerana setiap apa yang dijadikan ada manfaatnya. Bukankah dunia ini ladang akhirat? Maka layarilah dunia ini dengan panduan Islam dan Iman.” Saya menyudahkan perbincangan. 

Kefahaman tentang erti kehidupan cuba dipahat di minda anak-anak remaja di hadapan. 

Dari mana kita datang? 
Mengapa kita datang? 
Ke mana kita akan kembali? 

Persoalan-persoalan ini cuba saya jentikkan ke benak mereka, agar mereka sentiasa berfikir bahawa kehidupan ini bukan sekadar hidup, sama seperti makhluk-makhluk yang lain.

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ 
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Ku.” (adz-Zariyat: 56) 

Kita punya matlamat, kita bukan hanya hidup untuk hari ini, tetapi ada kehidupan lain pula yang abadi selepas ini. 

Betapa besarnya makna sebuah kehidupan apabila persoalan ini dijernihkan. 

3 hari 2 malam yang amat memberi makna.

Wednesday 19 February 2020

Beli buku!

Alhamdulillah, awal bulan ini saya telah membeli beberapa buah buku untuk koleksi perpustakaan peribadi saya. Sekaligus memenuhi azam saya untuk sentiasa meningkatkan bilangan buku yang dibaca pada setiap tahun. Saya meletakkan sasaran tidak kurang seratus buah buku yang perlu dibaca sehingga akhir tahun ini. Jika lebih, ia adalah satu bonus dan tentunya ia lebih baik. Insya-Allah, mudah-mudahan tercapai!


Tajuk: USTAZ TRAVELLER
Penulis: Hamizul Abdul Hamid
Penerbit: Karang Kraf
Harga: SM 35.00 / SS 38.00
Mukasurat: 346


Tajuk: Segelas `ASIR Di Muara NIL
Penulis: Ibnu Rijal
Penerbit: Karang Kraf
Harga: SM 25.00 / SS 28.00
Mukasurat: 180


Tajuk: AJAIBNYA SEDEKAH
Penulis: Muhammad Muhyidin
Penerbit: PTS Millennia
Harga: SM 12.00 / SS 14.00
Mukasurat: 147



3 buah buku bergenre Novel Tarbiah

1. Terminal Cinta Kaherah karya Asyraf  Farique

2. KERNA SYURGA BUKAN PERCUMA karya Najmi Fetih

3. IZINKAN AKU MENCARI TUHAN karya Aizuddin Hamid

Wednesday 12 February 2020

Tuesday 11 February 2020

Kisah nabi Ibrahim as dibakar

Nabi Ibrahim adalah putera Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh A.S. Ia dilahirkan di sebuah tempat bernama "Faddam A'ram" dalam kerajaan "Babylon" yang pd waktu itu diperintah oleh seorang raja bernama "Namrud bin Kan'aan."

Al-Hafiz Ibnu Kathir menceritakan: “Penduduk negeri Harran adalah kaum musyrikin penyembah bintang dan berhala. Seluruh penduduknya adalah orang-orang kafir kecuali Ibrahim as, isterinya, dan anak saudaranya, iaitu Nabi Lut as. Ibrahim as terpilih menjadi hamba Allah SWT yang menghapuskan kesyirikan tersebut dan menghilangkan kebatilan-kebatilan yang sesat. Allah SWT telah anugerahkan kepadanya kegigihan sejak masa kecilnya. Beliau diangkat menjadi Rasul, dan Allah SWT memilihnya sebagai kekasih Allah pada masa berikutnya. Awal dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Allah Ibrahim as ialah dituju kepada ayahnya, kerana dia seorang penyembah berhala dan yang paling berhak untuk diberi nasihat. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/326). 

Nabi Ibrahim telah dijatuhkan hukuman oleh Raja Namrud, dimana dia akan dibakar hidup-hidup dalam api yang besar. Kisah Nabi Ibrahim dibakar ini merupakan salah satu kisah yang penting di dalam al-Quran di mana ia dikisahkan dengan pembakaran itu dilakukan di hadapan khalayak ramai dan persiapan bagi upacara pembakaran tersebut disaksikan oleh seluruh rakyat. 

Raja Namrud lalu memerintahkan supaya tiap-tiap orang membawa seberkas kayu api. Semua penduduk bergotong-royong mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang dapat sebagai bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancurkan oleh Nabi Ibrahim. 

Setelah kayu api dilonggokkan dengan banyaknya sehingga menjadi sebuah bukit, maka Baginda pun dibawa ke tempat itu, “Engkau akan dibakar, wahai Ibrahim. Kalau engkau benar-benar mempunyai Tuhan lain dari tuhan-tuhan kami, mohonlah kepadaNya. Kami ingin melihat setakat mana kebenaranmu,” ujar pengikut-pengikut Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim. 

Nabi Ibrahim tetap tenang, kerana dadanya telah dipenuhi dengan iman. Baginda rela menghadapi segala apa juga pun kerana menegakkan agama Allah SWT. Kisah ketabahan Nabi Ibrahim AS diabadikan dalam al-Quran melalui firman-Nya. Meskipun kaumnya dengan begitu bersemangat untuk membakar dirinya, namun Nabi Ibrahim AS tetap tabah dan menyerahkan segala perkara kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT:

 قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ ﴿٩٥﴾ وَاللَّـهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ ﴿٩٦﴾ قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ ﴿٩٧﴾ فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ 
Maksudnya: (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu". Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). Surah al-Saffat (95-98) 

Al-Suddi berkata: “Mereka menahannya dalam sebuah rumah. Mereka mengumpulkan kayu bakar, bahkan hingga seorang wanita yang sedang sakit bernazar dengan berkata, “Sungguh jika Allah SWT telah memberikan bagiku kesembuhan, maka aku akan mengumpulkan kayu bakar untuk membakar Ibrahim.” Setelah kayu bakar terkumpul menjulang tinggi, mereka mulai membakar setiap hujung tepian dari tompokan itu, sehingga apabila ada seekor burung yang terbang di atasnya nescaya ia akan hangus terbakar. Mereka mendatangi Nabi Ibrahim as kemudian mengusungnya sampai di puncak tumpukan tinggi kayu bakar tersebut”. Riwayat lain menyebutkan, ia diletakkan dalam hujung manjaniq. 

Nabi Ibrahim as mengangkat kepalanya menghadap langit, maka langit, bumi, gunung-gunung dan para malaikat berkata: “Wahai, Rabb! Sesungguhnya Ibrahim akan dibakar kerana (memperjuangkan hak-Mu)” 

Nabi Ibrahim berkata, “Ya, Allah, Engkau Maha Esa di atas langit, dan aku sendiri di bumi ini. Tiada seorang pun yang menyembah-Mu di atas muka bumi ini selainku. Cukuplah bagiku Engkau sebaik-baik Penolong.” (Lihat Fath al-Bari, 6/483) 

Mereka lantas melemparkan Nabi Ibrahim AS ke dalam tumpukan kayu bakar yang tinggi, kemudian diserukanlah (oleh Allah SWT dengan firman-Nya):

 يَٰنَارُ كُونِي بَرۡدٗا وَسَلَٰمًا عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ 
Maksudnya: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!" Surah al-Anbiya’ (69) 

Ibnu Abbas dan Abu al-Aliyah, keduanya berkata: “Jika Allah SWT tidak mengatakan (وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ) ‘serta selamat sejahtera kepada Ibrahim,’ nescaya api itu akan membinasakan Ibrahim AS dengan dinginnya.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 9/43) 

Tersebut kisah mengenai burung layang-layang yang melihat Nabi Ibrahim di bakar lalu mengambil air di paruhnya lalu dicurahkan keatas unggun api tersebut. Walaupun dia tahu bahawa perbuatannya tidak akan dapat memadamkan api tersebut, namum dia berusaha ingin menegakkan kebenaran. Cerita ini secara tersendiri tidak dapat dikesan kesahihannya. Wallahua'lam.

Begitu juga didalam cerita yang menceritakan bahawa burung-burung turut menangis tanda protes diatas peristiwa Nabi Ibrahim as di bakar. Terdapat seekor burung yang paling lemah dikalangannya telah terbang menuju kepada Nabi Ibrahim as. dan dihalang oleh Malaikat. Lalu burung tersebut berkata: "Tidakkah engkau tahu bahawa sahabat Allah sedang dibakar. Walaupun aku tidak dapat menyelamatkannya, aku ingin menunjukkan simpatiku dengan bersama beliau didalam api". Wallahua'lam.

Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim menjelaskan bahawa semua binatang-binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim as kecuali cicak, sebagaimana hadith riwayat Ibn Hatim, daripada A'isyah rha bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan kedalam api, semua binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api, kecuali cicak, kerana sesungguhnya ia (cicak) meniupkan api ke atas Nabi Ibrahim..." (Lihat juga Tafsir al-Munir, Wahbah al-Zuhaili, 9/93)

Riwayat ini menunjukkan bahawa setiap makhluk di muka bumi ini, termasuk binatang, yang beriman dengan Allah SWT dan Nabinya Ibrahim as, telah cuba berikhtiar menyelamat Nabinya. Yakin diatas kebenaran yang dibawa oleh Ibrahim, dan kekalutan serta kezaliman yang dibawa oleh Namrud, mereka berusaha memadamkan api tersebut, walaupun pada hakikatnya mereka tidak berupaya memadamkannya. 

Orang ramai yang berkumpul di sekitar kawasan itu masing-masing merasakan betapa dahsyatnya api itu, api besar yang belum pernah disaksikan oleh mereka sebelumnya. Masing-masing merasa yakin sudah pasti Ibrahim akan hangus menjadi abu. 

Ibn Kathir menukilkan bahwa Ka’ab al-Ahbar menyebut: Ketika itu, seluruh penduduk bumi tidak mampu mengambil manfaat daripada api, sedangkan tubuh Ibrahim as tidak terbakar selain tali (yang mengikat dirinya). 

Al-Dahhak berkata: Diriwayatkan bahwa Jibril as mengusap keringat dari wajah Ibrahim as dan tidak ada yang disentuh oleh api kecuali keringatnya. (Lihat Qasas al-Anbiya’, 183) 

Akhirnya apabila api telah terpadam sehingga kayu menjadi abu, maka orang ramai takjub apabila mendapati Nabi Ibrahim as selamat dengan tidak terkesan oleh api besar tersebut.

Sentiasa ada..

Allah tidak pernah memalingkan wajah-Nya daripada kita, bahkan Allah sentiasa bersama dengan hamba yang bergantung harap kepada-Nya. Sememangnya kita disuruh berdoa dan meminta pertolongan kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: 

"Sekiranya hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Aku, sesungguhnya Aku amat dekat." (al-Baqarah: 186) 

"Berdoalah kepada-Ku maka Aku akan perkenankan." (al-Mukmin: 60) 

Tetapi harus kita ingat, jangan diertikan bahawa pertolongan Allah itu selalu datang dalam bentuk yang sesuai dengan keinginan kita. Mungkin juga Allah memberi pertolongan tidak dalam bentuk yang kita ingini, bukan juga menurut masa yang kita tetapkan. 

Kesimpulannya, Allah menjadikan pertolongan-Nya kepada orang beriman hanya bila ada usaha daripada diri mereka sendiri. Allah tidak memberi pertolongan-Nya sebagai sesuatu yang dijatuhkan begitu saja dari langit.

Sunday 9 February 2020

Melunaskan hasrat yang sekian lama terpendam.


Akhirnya sampai jua ke sini. 

Ziarah makam Tun Da (Yusuf) Pedah, Engku Muda Diwajid Tun Kadir dan Wan Endut@Ali Pedah serta makam nenek moyang yang lain. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas semua yang telah mendahului kami.

Al-Fatihah..

#Lokasi: Kampung Pedah, Jerantut Feri, Jerantut Pahang.

Saturday 8 February 2020

Macet (letih) tetapi membahagiakan


Alhamdulillah.

Telah berakhir program besar untuk awal tahun ini semalam. Program yang dinamai dengan "HIMPUNAN PERDANA PENYATUAN UMMAH" Peringkat Negeri Pahang Tahun 2020 telah dianjur oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Masjid Sultan Ahmad 1 Kuantan. Manakala penaja utama ialah Pusat Kutipan Zakat (PKZ) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Saya turut terlibat dalam program besar ini sebagai jawatankuasa penganjur. Diamanahkan sebagai jawatankuasa Media bersama beberapa sahabat yang lain. Antara tugas utama jawatankuasa ini ialah memastikan sistem audio dan video dalam keadaan baik dan memuaskan semasa program ini berlangsung, selain turut berperanan mempromosikannya. 

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kami dapat memikul tugas yang telah ditaklifkan dengan baik. Walaupun ada juga beberapa masalah kecil yang berlaku, namun semuanya berjaya diatasi hasil kerjasama dan muafakat bersama. 

Bagi pihak diri saya, secara peribadinya amat berharap agar lebih banyak lagi program sebegini akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang serta keterlibatan agensi-agensi swasta demi kelansungan dakwah di bumi Pahang tercinta ini.

Aturcara program:


Rabu 5/2/2020 - 7.30 malam 
Kuliah Maghrib Khas 
Al-Fadhil Ustaz Fauzi Bin Mustaffa 
Tajuk: Ujian Allah

Khamis 6/2/2020 - 11.00 pagi 
Kuliah Dhuha Muslimat 
Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Binti Syed Ismail 
Tajuk: Srikandi Dambaan Syurga

Khamis 6/2/2020 - 7.30 malam 
Kuliah Maghrib Khas 
Al-Fadhil Ustaz Syed Nor Hisham Bin Tuan Padang Al-Idrus 
Tajuk: Fastabiqul Khoirat

Jumaat 7/2/2020 - malam 
Kuliah Maghrib Khas 
Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus (UAI)

Jumaat 7/2/2020 - 9.00 malam 
Ceramah Khas
Al-Fadhil Dr. Abdul Somad Batubara (UAS)

Audien:

'Dalam Masjid'

'Perkarangan masjid'

'Padang'

Wednesday 5 February 2020

Tuesday 4 February 2020

Dua yang berbeza tetapi saling melengkapi

Sesungguhnya Allah SWT yang telah menciptakan kehidupan ini. Dia yang telah menciptakan wanita untuk lelaki. Wanita menjadi tempat lelaki menumpahkan bibit cinta dan kasih sayang, begitulah sebaliknya lelaki sebagai pelindung dan tempat bermanja kepada wanita. Demikianlah lelaki dan wanita yang berbeza peranan tetapi saling lengkap-melengkapi dan saling memerlukan. 

Wanita adalah rakan setia bagi lelaki. Jika baik wanita maka baiklah lelaki yang menjadi temannya dan jika buruk (akhlaqnya), maka buruklah (akhlaq) lelaki tersebut. 

Seseorang pemimpin negara, jika isterinya baik akhlaq dan berbudi bahasa, maka baiklah kepimpinannya terhadap rakyat dan negara. Tetapi jika isteri atau teman wanitanya tidak baik dan mempunyai akhlaq yang buruk, maka menjadi musibah keburukan ke atas rakyat dan kepimpinan negara tersebut. 

Kata ahli hikmat: "wanita adalah penawar dan wanita juga adalah racun, maka berhati-hatilah." 

Wanita yang solehah, mempunyai didikan agama Islam yang sempurna, berakhlaq mulia dan beriman maka dia adalah umpama penawar kepada suaminya, masyarakat. Sebaliknya jika seseorang wanita itu tidak beriman, mempunyai akhlaq yang buruk, maka dia adalah racun yang berbisa kepada suaminya dan akan meruntuhkan masyarakat dan juga sebuah negara. 

Allah SWT berfirman: 
"Allah menjadikan isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang yang kafir. Kedua-duanya di bawah (pimpinan dan kasih sayang) dua orang hamba dari hamba-hamba Kami yang soleh; lalu isteri-isteri itu berkhianat (menentang perintah Allah SWT) kepada kedua-dua suami mereka, maka kedua-dua suami mereka itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun dari (siksaan) Allah; Dan dikatakan (kepada mereka): Masuklah ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)." (at-Tahrim: 10) 

Sabar dan hikmah 

Kita mungkin pernah mendengar kisah yang dialami oleh sebahagian orang terdahulu. Menarik kisahnya dan banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Ada kisah orang yang beriman serta memiliki ilmu agama yang baik. Tetapi dalam masa yang sama mereka memiliki isteri-isteri yang rendah akhlaqnya, lidah yang ringan, suka membanggakan kecantikan, sombong dengan warga sekeliling dan bermacam-macam lagi sifat yang jelek. 

Walaupun begitu, suami-suami mereka tetap sabar dan sentiasa menunjukkan sifat yang baik. Ketika ditanya, mengapa mereka boleh bersabar dengan karenah isteri yang berperangai jelek itu? 

Jika kita apakah jawapannya. Mungkin berbakul-bakul sumpah seranah. Mungkin ringan kaki dan tangan kita menghayun sebijik dua. 

Mungkin meletus perang dunia ketiga, atau "you get out!!!! Bergegar `Arsy Allah. 

Tetapi jawapan mereka: "Barangkali isteri saya dihadirkan oleh Allah SWT untuk ujian dan hukuman bagi saya kerana dosa yang sudah terlanjur saya lakukan. Kalau saya cerai, saya takut terhadap hukuman yang lebih keras lagi." 

Sesungguhnya perkahwinan adalah proses yang telah diambil perjanjian di dalamnya. Pada saat akad nikah, si suami telah mengikat perjanjian akan melaksanakan hak-hak isteri secara sempurna dan sungguh-sungguh. Demikianlah amanah yang amat besar dari Allah SWT. 

Seorang suami seharusnya bersabar dengan sikap isterinya, terutamanya ketika disergap emosi yang meluap-luap. Kita boleh mengambil pengajaran dari sirah Nabi saw, bagaimana baginda menangani persoalan-persoalan kehidupan rumahtangga. Pernah isteri-isteri baginda menuntut harta dan nafkah yang keterlaluan seta amarah isteri yang membuak-buak. 

Bagaimana reaksi dan tindakan Rasulullah saw? Baginda tetap bersabar dan berlembut. Akhirnya situasi rumahtangga yang hampir dilanda badai itu tenang kembali, tanpa gelora dan tanpa gelombang. 

Sabda Rasulullah saw: "Carilah jalan yang paling baik untuk (menghadapi) wanita (isteri-isteri) kamu. Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk bahagian atas. Jika kamu meluruskannya, akan patahlah ia dan jika kamu biarkan , ia akan tetap bengkok, maka carilah jalan yang baik untuk (menghadapi) wanita." (Muttafaq `alaihi) 

Hadis di atas menjelaskan betapa sulitnya menghadapi wanita (isteri). Apabila tidak berhati-hati menghadapinya maka dibimbangi akan menimbulkan masalah dan kerosakan yang lebih besar. Oleh itu para lelaki atau suami mestilah mempunyai ilmu atau teknik yang tersendiri untuk menanganinya. 

Menyelesaikannya dengan penuh hikmah dan bijaksana tanpa melukakan hati dan mencalarkan emosi mereka. Seumpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. 

Diantaranya ialah dengan cara senda gurau dan bersifat romantik. Contoh bijaksana dan bersahaja yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam satu peristiwa, ketika Aisyah isterinya yang tercinta menghidangkan masakan kepada Saodah madunya, tetapi Saodah menolak masakan tersebut. Hal ini menyebabkan Aisyah marah dan dilemparkan sedikit makanan itu ke arah Saodah. Lalu makanan itu mengenai wajah Saodah sehingga menjadi comot. 

Melihat ketegangan itu, Rasulullah saw tidak berpihak kepada salah satunya. Baginda tersenyum lalu menyuruh Saodah untuk membalas yang setimpal kepada Aisyah. 

"Lemparkan bubur itu kepada Aisyah," kata baginda. 

Lalu Saodah serta-merta menceduk bubur itu sedikit dan melempar ke wajah Aisyah sehingga bercomotan seperti dirinya. Melihat itu, Rasulullah saw tertawa. 

Nah! Begitulah cara Rasulullah saw menghadapi tingkah dan emosi wanita. Dengan bersahaja tetapi bijaksana dan berhikmah. 

Umar al-Khattab pula berkata, hendaklah ada masa-masanya seorang suami bersikap seperti kanak-kanak terhadap isterinya, supaya terjalin KEMANJAAN dan rasa saling sayang menyayangi. Tetapi apabila keluar rumah jadilah "lelaki perkasa." 

Selitkan senda gurau dalam kehidupan suami isteri untuk keadaan-keadaan tertentu agar tercipta rasa bahagia dan senang di dada keduanya, kerana rumahtangga bukanlah untuk sehari dua. 

Anda mampu mengubahnya!