Sahabat Sejati

Sunday 31 March 2019

Rindu ayahanda..

Sifat seorang ayah, dia tidak akan menunjukkan kesedihan, tidak akan menunjukkan kesusahan kepada anak-anaknya. Semoga pengorbanan seorang ayah itu diberi ganjaran syurga. 













kredit foto: ARIF SAN (fb)

Tuesday 26 March 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (45)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (44) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

Menyeru Saudara

Tindakan pertama yang dilakukan oleh Rasulullah saw setelah turunnya ayat tersebut (as-Syu'ara': 214) ialah memanggil Bani Hasyim. Mereka pun datang berkumpul memenuhi panggilan itu tetapi Bani Mutalib bin Abd Manaf juga turut datang sehingga jumlah mereka yang hadir adalah kira-kira 45 orang.

Sebelum Nabi Muhammad bercakap, Abu Lahab telah mendahului, "Mereka (kalangan Bani Mutalib) adalah bapa-bapa saudaramu dan juga sepupu-sepupumu, Maka, bercakaplah apa yang kamu mahu dan jangan bersikap seperti kanak-kanak. Ketahuilah bahawa kaummu (Bani Hasyim) tidak mempunyai kekuatan di hadapan bangsa Arab. Aku orang yang paling berkewajipan untuk menegurmu dan yang akan ada di belakangmu (membelamu) nanti hanyalah Bani ayahmu (Bani Hasyim).

Jika kamu tetap pada apa yang telah kamu lakukan, (mengembangkan Islam dengan sembunyi-sembunyi) maka itu lebih mudah bagi mereka untuk membelamu dibandingkan ketika kamu dimusuhi oleh seluruh suku Quraisy dan ditambah lagi seluruh bangsa Arab (kerana mengembangkan Islam secara terang-terangan). Sebabnya, aku belum pernah menemui seorang pun yang datang kepada keluarga keturunan ayahnya dengan membawa sesuatu yang lebih buruk daripada apa yang kamu bawa ini." Rasulullah saw hanya diam, tidak bercakap sepatah kata pun pada waktu itu.

Di kesempatan berikutnya, Rasulullah saw mengundang mereka berkumpul untuk kali keduanya. Kali ini Rasulullah saw bercakap kepada mereka, "Segala puji bagi Allah. Aku memuji dan memohon pertolongan-Nya. Aku beriman dan bertawakal kepada-Nya. Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya."

Kemudian baginda meneruskan, "Seorang penunjuk jalan tidak akan membohongi keluarganya. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan Dia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu secara khusus dan kepada manusia secara umum. Demi Allah kamu pasti akan mati sebagaimana kamu tidur. Kamu pasti akan dibangkitkan seperti kamu bangun tidur. Kamu pasti dihisab atas apa yang kamu lakukan. Kesudahannya adalah syurga selamanya atau neraka selamanya."

Abu Talib membala, "Kami gembira untuk menolongmu. Kami menerima nasihatmu dan kami sangat percaya kata-katamu. Inilah keluarga keturunan ayahmu telah berkumpul. Aku salah seorang antara mereka. Hanya akulah orang yang paling cepat melakukan apa yang kamu suka. Maka teruskanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan melindungimu. Namun begitu, jiwaku tetap tidak mengizinkanku untuk meninggalkan agama Abdul Mutalib."

Abu Jahal berkata, "Demi Allah, ini benar-benar buruk. Ambillah tindakan terhadapnya sebelum orang lain melakukannya."

Abu Talib membalas, " Demi Allah, selama kami masih hidup, kami akan tetap melindunginya."(1)

Rujukan: 

(1) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 77-78

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Monday 25 March 2019

Cerita kenduri kahwin

'tetamu sudah pun pulang'

Membuat kerja-kerja kenduri kahwin sememangnya memenatkan, terutama apabila ia dilakukan sendiri tanpa campurtangan khidmat katering, sebagaimana kebanyakan yang diamalkan hari ini (tidak semua).  Jika menggunakan khidmat katering, tidak perlu bersusah-payah. Boleh goyang-goyang kaki sambil menyambut tetamu yang datang, cuma sediakan sahaja ongkosnya.  

Tetapi kami tidak mahu menggunakan khidmat katering. Semuanya mesti dibuat dengan cara bergotong-royong sebagaimana masyarakat dahulu. Bermula beberapa perancangan, seterusnya penyediaan bahan-bahan masakan, kemudian memasak, menghidang kepada tetamu sehinggalah mengemas kembali setelah selesai semuanya. 

Demikianlah apa yang saya rasakan, melepek hampir seharian selepas majlis tersebut tamat pada sebelah petang. Mana tidaknya, bermula malam sebelumnya (malam besar) sudah pun ‘berperang’ dengan lembu dan ayam di dapur. 

Begitulah ceritanya, Sabtu yang lalu, kakak saya telah mengadakan majlis kahwin anak bongsunya. Seperti biasa majlis tersebut diadakan di rumah bapa saudara kami. Lagipun memang beliau mahukan majlis tersebut dijalankan di rumahnya. Maklumlah kedua orang tua kami telah pun tiada, jadi merekalah saudara tertua yang masih ada. 

Dengan halaman rumah yang luas, peralatan memasak yang telah cukup tersedia serta kepakaran memasak yang dimiliki oleh mereka suami isteri, lebih-lebih lagi beliau dan isterinya memang tukang masak kenduri di kawasannya. Jadi, semuanya serba memudahkan.

'apa-apa kerja pun boleh'  

Seperti biasa saya memilih untuk berkhidmat di bangsal memasak. Kerja-kerja yang sangat minati. Tetapi kali ini bukan hanya kerja-kerja memasak, bahkan semua kerja saya ‘tapau’. Memasak, menyediakan hidangan tetamu, menjaga bangsal air minuman, mengutip dan membasuh cawan, sehinggalah kerja-kerja mengemas apabila tetamu sudah pulang. Itu yang sampai melepek macam ular berlingkar. Capek.

Walaupun penat yang agak ketara, namun hati saya merasa sangat terharu puas. Tentunya saya melihat majlis ini bukan semata-mata mahu meraikan pasangan mempelai, tetapi ada sesuatu yang lebih berharga daripada itu. Saya melihat ia adalah satu rahmat apabila bertemu dan berkumpul sesama kaum keluarga. Berkenal-kenal dengan yang dekat dan jauh, bermesra-mesra yang mana tidak rapat. 

Sepupu-sepapat yang berpupu-pupu, sehingga habis susur-galur keluarga dikorek. Seperti kata kakak sepupu saya, “setelah orang tua tiada, maka terputuslah perhubungan kami semua. Yang muda-muda berlaga bahu pun tidak bertegur kerana tidak kenal.”  Jadi, majlis seperti perlu diambil kesempatan untuk mengenali kaum kerabat sendiri.

Benar sekali katanya. Saya sendiri pun, terkial-kial mahu mengingati saudara-mara yang datang. “Ini ayah dua pupu sebelah nenek saudara kamu yang di Jerantut, ini adik isteri sepupu kamu yang tinggal di Muar. Yang ini tinggal Teluk Intan, yang ini pula…” Allahu, jika tidak ada yang menjelaskan, ini siapa, itu siapa, jawabnya berlaga bahu pun memang tidak bertegur sapa. 

Demikianlah, dalam kecapekan yang melingkari, terkandung di dalamnya rahmat yang seharusnya disyukuri.

Thursday 21 March 2019

Cerita korban (lambat lagi)

Sudan, beberapa tahun yang lalu

“Visa untuk Kashmir masih kekal, masih sama harga macam sebelum ni.” 

“Tahun ni kita akan hantar satu kumpulan ke Uganda.” 

Begitulah bunyi pesanan ringkas yang dihantar oleh Pengerusi YAMCP melalui aplikasi whatsapp group. 

Ceritanya berkenaan ibadah korban dan aqiqah bagi tahun ini. Biarpun lambat lagi masanya, tetapi begitulah tindakan prihatin dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh ketua kami itu. Sentiasa mendahului dalam apa jua perkara. Selayaknya bagi seorang pemimpin (senyum) 

Saban tahun YAMCP dan YAM negeri-negeri lain mengendalikan pelaksanaan ibadah korban. YAMCP sendiri sudah pun masuk tahun yang ke 14 pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah bagi tahun 2019. Sepanjang masa tersebut banyak asam garam yang dilalui sebagai pengalaman hidup yang amat berguna. 

Kebanyakan lokasi yang dipilih adalah lokasi minoriti umat Islam yang sangat dhaif di sesebuah negara. Tetapi tidak semua negara yang boleh dilakukan ibadah korban, melainkan negara yang mudah dari sudut birokrasi, termasuk juga tahap keselamatan para sukarelawan. 

Teringat satu peristiwa yang dialami oleh sahabat saya dari YAM negeri lain sewaktu pelaksanaan di sebuah negara benua afrika. Bagaimana dia dan sukarelawan yang lain berdepan dengan detik cemas apabila dirompak di pertengahan jalan. Bukan duit yang dirompak tetapi lembu yang mahu dibawa ke lokasi korban. Mahu tak mahu kenalah menggantikan semula lembu yang telah dilarikan. Pada hari kedua dan seterusnya terpaksalah menggunakan khidmat pihak tentera sebagai 'escort', alhamdulillah.

Bagi YAMCP, lokasi yang amat sinonim ialah di pedalaman Sabah, perkampungan orang asal Semenanjung, Indonesia, Filipina, Bangladesh, Sri Lanka dan India. Insya-Allah, tahun ini bakal mengorak langkah baru iaitu di Uganda, sebagaimana saranan (keputusan) pengerusi kami. Entahlah siapa pula yang akan ditugaskan ke sana. 

Pihak YAM Pusat sendiri amat menggalakkan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah di negara-negara sebelah afrika. Namun, sebilangan negara-negara tersebut, agak 'longgar' tahap keselamatannya selain karenah birokrasi yang agak menguji tahap kesabaran.

Apa pun, setiap yang berlaku dapat dihadapi dengan sebaiknya. Semuanya menjadi dugaan dan pengalaman dalam misi-misi kebajikan dan kemanusiaan yang dilakukan. Kepada Allah jua dipanjatkan doa agar setiap yang dilakukan berjalan dengan lancar. 
  
“Anta nak ke mana tahun ni?” Tanya seorang sahabat.

“Entahlah, belum fikir lagi..”

Kemana ya?

Monday 18 March 2019

DAGING UNTA MEMBATALKAN WUDHUK?

Soalan: 
Apakah benar memakan daging unta membatalkan wudhuk? 

Jawapan: 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. 

Berdasarkan soalan di atas, perkara ini telah menjadi khilaf di antara alim ulama’ atau mazhab-mazhab di dalam Islam. Di sini kami nukilkan pendapat para fuqaha’ daripada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah terhadap hukum memakan daging unta adakah ia membatalkan wudhuk. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42-43/8] 

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa memakan daging unta tidak membatalkan wudhuk. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, diriwayatkan bahawa Nabi SAW: 

 إنَّمَا الْوُضُوءُ مِمَّا يَخْرُجُ وَلَيْسَ مِمَّا يَدْخُلُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya berwudhuk (perlu) berdasarkan apa yang keluar, bukannya berdasarkan apa yang masuk.” [Riwayat al-Baihaqi (708)][Imam al-Nawawi mengatakan riwayat al-Baihaqi ini sanadnya adalah hasan atau sahih][Imam al-Zahabi mengatakan riwayat ini adalah mawquf di dalam Tanqih al-Tahqiq dan begitu juga Imam al-Mulaqqin di dalam Khulasah al-Badr al-Munir] 

Selain itu juga, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Jabir RA berkata:

 كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتِ النَّارُ 

Maksudnya: “Antara perintah terakhir Rasulullah SAW adalah meninggalkan wudhuk pada makan apa-apa yang diubah (disentuh) api.” [Riwayat Abu Daud (192)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah sahih] 

Ini kerana, apa yang dimakan itu sama sahaja seperti makanan-makanan yang lain (selain daripada daging). 

Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq RA, Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Ibn Mas’ud RA, Ubai bin Ka’ab RA, Abi Talhah RA, Abi Darda’ RA, Ibn Abbas RA, Amir bin Rabi’ah RA dan Abi Umamah RA. Selain itu, pendapat ini adalah yang dipegang oleh jumhur Tabi’in dan ia merupakan pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan pendapat yang sahih di dalam mazhab al-Syafi’e. 

Adapun, mazhab Ahmad dan juga pendapat qadim (terdahulu) di dalam mazhab al-Syafie mewajibkan berwudhuk bagi orang yang memakan daging unta dalam semua keadaan iaitu dalam keadaan daging itu mentah atau dimasak dan juga samada orang tersebut tahu (akan batalnya wudhuk dengan memakan daging tersebut) dan jahil (tidak tahu). 

Pendapat ini dipegang oleh Ishak bin Rahawayh, Yahya bin Yahya dan dikhabarkan oleh al-Mawardi daripada kalangan sahabat pula ialah Zaid bin Thabit RA, Ibn Umar RA, Abu Msa RA dan Abu Talhah RA. Ia juga merupakan pilihan bagi beberapa orang ulama’ yang bermazhab al-Syafie seperti Abu Bakar bin Khuzaimah, Ibn Munzir, al-Baihaqi dalam tarjihan serta pilihannya dan juga pendapat tersebut dikuatkan (disokong) oleh al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Majmu’. 

Mereka ini menggunakan dalil daripada hadith al-Barra’ bin Azib berkata: 

 سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْوُضُوءِ مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ، فَقَالَ: تَوَضَّئُوا مِنْهَا، وَسُئِلَ عَنْ لُحُومِ الْغَنَمِ، فَقَالَ: لَا تَوَضَّئُوا مِنْهَا 

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya berkaitan daging unta. Maka Nabi SAW menjawab: “Berwudhuklah kamu disebabkannya. Baginda SAW juga ditanya berkaitan daging kambing. Maka jawab Baginda SAW: Tidak berwudhuk disebabkannya.” [Riwayat Abu Daud (184)] [Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah sahih] 

Antara hadith yang lain adalah, bahawa Nabi SAW bersabda:

 تَوَضَّئُوا مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ، وَلَا تَتَوَضَّئُوا مِنْ لُحُومِ الْغَنَمِ 

Maksudnya: “Berwudhuklah kamu disebabkan daging unta dan janganlah kamu berwudhuk disebabkan daging kambing.” [Riwayat Ibn Majah (497)][Menurut Syeikh Fuad Abd al-Baqi di dalam sanad hadith ini terdapat perawi bernama Baqiyyah bin al-Walid dan dia adalah seorang mudallis. Dia juga meriwayatkan hadith ini dengan “العَنْعَنَةْ”. Perawi yang lain adalah thiqah melainkan Khalid adalah seorang yang majhul (tidak diketahui keadaannya). 

Sebelum kami nyatakan pendapat kami dalam masalah ini, suka bagi kami untuk menukilkan pendapat Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’: 

 وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا ينتقض الوضوء بشئ مِنْ الْمَأْكُولَاتِ سَوَاءٌ مَا مَسَّتْهُ النَّارُ وَغَيْرُهُ غَيْرَ لَحْمِ الْجَزُورِ وَفِي لَحْمِ الْجَزُورِ بِفَتْحِ الْجِيمِ وَهُوَ لَحْمُ الْإِبِلِ قَوْلَانِ الْجَدِيدُ الْمَشْهُورُ لَا يَنْتَقِضُ وَهُوَ الصَّحِيحُ عِنْدَ الْأَصْحَابِ وَالْقَدِيمُ أَنَّهُ يَنْتَقِضُ وَهُوَ ضَعِيفٌ عِنْدَ الْأَصْحَابِ وَلَكِنَّهُ هُوَ الْقَوِيُّ أَوْ الصَّحِيحُ مِنْ حَيْثُ الدَّلِيلُ وَهُوَ الَّذِي أَعْتَقِدُ رُجْحَانَهُ 

Maksudnya: “Mazhab kami (mazhab al-Syafi’e) adalah tidak membatalkan wudhuk sesuatu daripada makanan samada ia dikenakan api (dimasak) atau selain daripadanya melainkan daging unta terbahagi kepada dua pendapat. Pendapat yang baru lagi masyhur (dalam mazhab al-Syafi’e) adalah tidak membatalkan wudhuk dan pendapat ini adalah sahih di sisi ashab al-Syafi’eyyah. Adapun, pendapat yang qadim (pendapat lama dalam mazhab al-Syafi’e) adalah membatalkan wudhuk dan pendapat ini adalah dhaif (lemah) di sisi ashab al-Syafi’eyyah. Akan tetapi, pendapat ini (pendapat yang lemah) lebih kuat atau sahih dari sudut dalil dan aku lebih cenderung kepada pendapat ini dari sudut ketepatannya.” [Lihat: al-Majmu’, 57/2] 

Jawapan Para ulama’ 
Berikut adalah dua jawapan yang diberikan oleh para ulama’ (yang mengatakan memakan daging unta tidak membatalkan wudhuk) dalam berinteraksi dengan dalil-dalil yang dilihat lebih kuat bagi pihak yang mewajibkan berwudhuk sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan kami nukilkan jawapan ini daripada fatwa negara Jordan: 

Pertama: 
Hadith yang memerintahkan untuk berwudhuk adalah mansukh (hukumnya digantikan disebabkan datangnya dalil yang lain) dengan hadith Jabir RA yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud. 

Kedua: 
Maksud wudhuk di dalam hadith adalah membasuh tangan dan berkumur. Akan tetapi, mengapa dikhususkan daging unta adalah disebabkan lemak yang berlebihan ada pada dagingnya. Selain itu, Nabi SAW melarang seseorang itu tidur dalam keadaan tangan dan mulutnya berlemak (lemak daging) kerana bimbang disengat oleh kala jengking dan seumpamanya sebagaimana yang disebut di dalam Sunan Abi Daud. 

Pendapat kami 
Setelah melihat pendapat-pendapat di atas, maka kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama’ yang tidak membatalkan wudhuk bagi sesiapa yang memakan daging unta. Akan tetapi, jika seseorang itu berwudhuk selepas memakan daging unta adalah lebih baik sebagai langkah berjaga-jaga dan keluar daripada khilaf pendapat yang mewajibkan. 

Penutup 
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam agama. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin. 

Wallahua’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri

Friday 15 March 2019

Salam Jumaat: Innalillah...


Moga Allah SWT mengurniakan darjat syahid kepada semua mangsa yang terlibat, serta mengampuni kesalahan mereka dan menerima semua amal kebaikan yang dilakukan. Al-Fatihah.

Wednesday 13 March 2019

Alhamdulillah, masa untuk berkhidmat pula..


Alhamdulillah, mesyuarat agung dwi tahunan kali ke- 9, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang melabuhkan tirainya. Sama seperti cawangan negeri-negeri lain, ikrar 'Berkhidmat Untuk Kemanusiaan - Beramal Kerana Allah' bergema memenuhi dewan. Masa untuk bekerja dan berkhidmat pula selepas ini. Tekad untuk merealisasikan apa yang telah menjadi slogan kami sejak penubuhannya 18 tahun dulu.

Sejarah mengenai Yayasan Amal Malaysia. 

Yayasan Amal Malaysia (AMAL) atau Amal Foundation of Malaysia (AMAL) telah ditubuhkan pada tahun 2001. Sejak penubuhannya, AMAL banyak menjalankan misi bantuan kemanusiaan melibatkan lebih 40 buah negara di rantau Asia, benua Afrika, Asia dan Eropah. Peristiwa Tsunami Acheh 2004 menyaksikan penyertaan AMAL sebagai badan kebajikan dunia antara paling proaktif menyalurkan bantuan. 

AMAL juga merupakan rakan kerjasama dengan 9 NGO Kebajikan Antarabangsa dan telah mengasaskan sebuah pertubuhan kebajikan antarabangsa yang dinamakan sebagai International Federation for Relief and Development (IFRD) untuk mengkoordinasi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat dunia yang memerlukan bantuan. 

Semenjak IFRD ditubuhkan, AMAL masih lagi diberi kepercayaan sehingga kini untuk mengepalai gerak kerja mengkoordinasi bantuan ke seluruh pelusuk dunia melalui kerjasama ahli IFRD yang diwakili oleh NGO-NGO daripada 10 buah negara iaitu India, Sri Langka, Bangladesh, Turki, Indonesia, Filipina, Malaysia, Pakistan, Sudan dan Mesir. 

AMAL akan sentiasa terus proaktif dalam bertindak balas dengan isu-isu kecemasan seperti menyediakan bantuan kepada mangsa bencana alam atau buatan manusia seperti peperangan, penzaliman, penindasan, pengusiran dan seumpamanya. AMAL juga aktif dalam menjalankan projek pembangunan dan pemulihan seperti pembangunan pusat pendidikan & latihan, penyediaan air bersih & sanitasi dan penjagaan kesihatan. 

Menerusi amanah yang dipikul, kami berharap dapat terus bergerak ke hadapan dalam memupuk keamanan sejagat dan menyelesaikan permasalahan yang melanda masyarakat dunia tanpa rasa jemu dan lelah.


VISI AMAL 
Menjadi NGO Kebajikan pilihan dunia menjelang tahun 2025.

MISI AMAL 
Yayasan Amal Malaysia berkhidmat secara sukarela untuk membangun ummah melalui pendekatan pendidikan, kebajikan, kesihatan, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Yayasan Amal Malaysia melahirkan ahli dan sukarelawan terlatih yang menghayati teras budaya AMAL.

TERAS BUDAYA AMAL 
Berilmu
Beriman & Beramal
Berakhlak Mulia
Berprinsip & Berdisiplin
Berkemahiran & Berketerampilan
Berkasih-sayang, Jujur & Hormat-menghormati
Beramal Kerana ALLAH


Maklumat 2017

Wednesday 6 March 2019

Walau jasad dibalut kelelahan, namun jiwa beroleh kerehatan..

Melepek. Keletihan yang teramat sangat, mungkin di tahap tepu. Sofa di ruang tamu di bawah kipas yang ligat berputar menjadi tempat beradu melepaskan kelelahan.

'Sikecil Haikal yang istimewa pun rasa damai dan gembira'

Dua hari bergelar penghuni hutan, dua hari juga bertukar menjadi penjarah deru alur sungai. Hutan tidaklah terlalu tebal tetapi tidak ramai yang mahu berkunjung ke situ. Laluan masuknya sahaja begitu tampak sukar dengan permukaan yang tidak rata bahkan memerlukan pacuan empat roda untuk sampai rapat ke tepi tebing. Memang melelahkan tetapi sudah cukup untuk mendamaikan jiwa saya kerana jauh dari hiruk-pikuk kebejatan hutan batu. 

Sudah lama saya tidak beraktiviti begini. Kalau dulu paling tidak sebulan sekali saya akan keluar mencari hutan hijau, alur jernih atau pun mencari pulau yang dikelilingi kebiruan samudera. Mendengar tingkah reriang rimba dan cengkerik malam, yang akhirnya saya jadi hanyut dan lupa pada kekusutan minda yang bersarang. 

'Melelahkan tetapi jiwa beroleh kerehatan'

Bersama detik waktu, bersama denyut nadi, saya menikmati perasaan damai ini. Dikelilingi oleh ciptaan Allah SWT yang dicipta dengan kekuasaan-Nya. Hutan, pepohon, sungai, kicauan mergastua, bongkah-bongkah batu yang berserakan, tidak lupa tajam duri manau dan rotan, umpama melambai selamat datang.

Teringat kata-kata murabbi: "Kita tenang dengan alam semulajadi kerana ia adalah ciptaan langsung Allah SWT, justeru membawa kita dekat kepada-Nya. Jika mendekati ciptaan Allah itu mengundang damai dan tenang, apatah lagi jika kita mendekati-Nya terus pada zikir dan fikir yang langsung."

Inilah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan yang paling mujarab. Membawa diri dekat dengan ciptaan-Nya. Saya benar-benar merasainya. Walau jasad dibalut kelelahan, namun jiwa beroleh kerehatan. Alhamdulillah.

'Aksi hebat seorang chef, tapi hebat di dalam hutan je'

Tuesday 5 March 2019

Tak lama dah, moga sempat..

Semalam seorang sahabat mengirim satu pesanan ringkas.

"Assalamualaikum akhi, Ramadhan 62 hari lagi.."

Saya membalas, "Wassalam. Terima kasih atas ingatan mesra.."

Pejam dan celik, Ramadhan bakal berkunjung tiba. Sekira-kira dua bulan jarak masa yang memisahkan. Jangkamasa dua bulan bukanlah terlalu lama. Siang dan malam yang berganti, maka habislah tempoh dua bulan tersebut. Sementelah lagi peredaran masa zaman ini yang seakan semakin singkat sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis akhir zaman.

Daripada Anas bin Malik ra. berkata: Rasulullah saw bersabda: "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (Riwayat at-Tirmizi)

Masa dirasakan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu suntuk menjengah malam, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tidak ada perkara yang dapat kita selesaikan. Demikianlah singkatnya masa.

Berbicara mengenai Ramadhan, tiba-tiba saya diterpa dengan sesuatu yang menyentak. Ingatan melayang-layang lalu hinggap di ruangan mata. Pastinya wajah saudara-mara dan sahabat handai yang telah 'pergi'. Dua minggu lepas seorang sahabat sekampung yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah telah kembali ke rahmatullah. Tentunya sahabat saya ini dan mereka yang telah pergi tidak mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka.

Saya jua diulit kebimbangan. Apakah saya dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini ataupun sebaliknya. Jangkamasa dua bulan yang masih berbaki, tiada jaminan untuk masih mampu menghirup udara di dunia ini. Entah-entah telah tertulis suratan di sisi-Nya, saya juga tidak dapat bertemu dengan Ramadhan tahun ini. Ataupun boleh jadi sempat bertemu Ramadhan tetapi tidak mampu untuk menghabiskannya hingga ke hari terakhir. Siapa tahu?

Justeru, dalam tunduk bersimpuh lemah, saya memohon kepada Tuhan yang Maha Pengasih agar dianugerahkan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan yang berkat ini.   

Allahu al-Musta`an.