Sahabat Sejati

Monday 28 February 2022

Kuarantin lagi..

foto hiasan ~ sumber

Melabuhkan tirai Februari 2022, kami duji lagi. Bermula semalam kami sekeluarga telah diarahkan menjalani kuarantin asbab Covid 19. Salah seorang anak saya telah disahkan positif dengan simptom. Maka berkurunglah kami sekeluarga sebagaimana yang diarahkan.  

Bagi saya pula ini adalah kali ketiga terpaksa menjalani kuarantin. Cuma masanya lebih singkat berbanding dahulu, dan tidak perlu lagi memakai gelang. Dahulunya saya menyebut dengan gelang sakti kerana ia mampu menjauhkan dan menakutkan orang untuk mendekati, bahkan silap-silap boleh terbang bunga-bunga Ringgit Malaysia jika melanggar peraturan pemakaiannya.

Saya mengambil sikap bernada positif. Setiap yang berlaku pasti ada rahmat dan hikmah. Kadang-kadang ternampak kebaikan disebaliknya dan banyak pula yang tidak kita sedari. Namun, semestinya terkandung sesuatu yang menguntungkan padanya.

Tentunya asbab kuarantin ini saya dapat meluangkan masa yang amat maksimum bersama keluarga. Demikianlah saya merasakan. Maklumlah kebelakangan ini masa saya sentiasa dipenuhi dengan jadual aktiviti samada bersama Yayasan Amal Malaysia, Khidmat Malaysia maupun Yadim. 

Sekarang ini bencana banjir baru melanda negeri di pantai timur iaitu di Terengganu dan Kelantan. Nampaknya saya terpaksalah mengucap selamat jalan kepada sahabat-sahabat yang akan ke Hulu Terengganu pada hari lusa dalam misi bantuan banjir. Memandangkan tarikh tersebut saya masih di dalam tempoh kuarantin. Sedih juga.

Apa pun, saya mendoakan sahabat-sahabat saya yang akan ke sana dipermudahkan dalam menjalankan tugasan nanti.

Allahu al-Musta`an.          

Monday 21 February 2022

Doakan sahabat saya ini dan semua yang sedang diuji..

 

Mohon sahabat-sahabat doakan moga al-Fadhil Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor sembuh dan diberi kesihatan yang baik. Sahabat saya ini telah disahkan positif Covid-19 tahap 4.

Doakan juga buat sahabat-sahabat yang sedang diuji dengan penyakit ini moga segera sembuh.

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقْمًا 

Ya Allah Rabb manusia, zat yang menghilangkan rasa sakit, sembuhkanlah, sesungguhnya Engkau zat yang Maha menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan dari kesembuhan-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak menyisakan rasa sakit. (Lihat Imam An-Nawawi, Al-Adzkar, [Damaskus: Darul Mallah, 1971 M/1391 H], halaman 113)

أَسْأَلُ اللهَ العَظِيْمَ رَبَ العَرْشِ العَظِيْمِ أَنْ يَشْفِيَك

Aku memohon kepada Allah yang agung, Tuhan arasy yang megah agar menyembuhkanmu,”

Saturday 19 February 2022

Bicara santai: Bimbang juga!

'Moga ujian Covid-19 segera berakhir'

 Assalamualaikum warahmatullah. 

Alhamdulillah, sama-sama kita merafa`kan rasa syukur kepada tuan empunya dunia, Allah SWT yang masih memberikan kepada kita semua bermacam-macam nikmat. Tentunya dengan semua nikmat tersebut kita dapat menjalani kehidupan dengan sebaiknya di dunia ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya tidak terkira, sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi engkar.” (Ibrahim: 34)

Di antara nikmat-nikmat yang tertinggi daripada semua nikmat itu ialah nikmat Islam kerana dengan Islam-lah Allah SWT menyempurnakan agama (Ad-Deen) melengkapi nikmatnya buat kita, dan redha dengan Islam sebagai agama kita kerana Islam adalah penutup kepada semua agama.

Alhamdulillah adalah ungkapan ringkas sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan. Sedangkan Allah SWT juga menegaskan, bagi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur akan ditambah nikmat mereka. Sifat syukur juga membolehkan seseorang mendapat pahala yang besar. Justeru, marilah kita menyebut "ALHAMDULILLAH"

Hari ini kes jangkitan virus Covid-19 semakin meningkat. Bahkan setiap hari makin bertambah. Di lingkungan  tempat tinggal saya sendiri sudah lebih 20 orang yang dikenalpasti positif. Samada orang dewasa maupun kanak-kanak. Ini juga termasuk di antara perkara yang agak membimbangkan. Harap-harap tidak berlaku PKPD atau apa-apa `P` sudahlah! 

Tambahan pula sekarang ini kita semua dalam menghitung hari menuju Ramadhan. Moga tidak berulang kembali sebagaimana Ramadhan yang lalu. Doakan..

Tuesday 8 February 2022

Sanah helwah angah Irsalina


Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat anakandaku, Wan Nur Irsalina (angah) pada hari ini. 

Seperti insan lain yang digelari bapa, tiadalah doa abi pada usia ini semata mengharapkan moga dirimu sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. 

Sesungguhnya tidak pernah terlalai dalam rintihan munajat, sentiasa abi ingin mendapat nikmat usia itu dipanjangkan agar dapat melihat penuh insaf maju mundur kehidupan anakanda dalam menongkah liku gelombang kehidupan. 

Moga anakanda menjadi penyejuk mata dan penyenang hati abi dan ummi, ameenn.

Lebatnya hujan hari ini..

Juadah enak ketika hujan ~ foto hiasan (sumber)

 Makin menjadi pula hujan hari ini.

Bermula pagi, membawa ke tengahari. Kemudian semakin lebat menjelang petang. Sehinggalah entry ini sedang dicoret hujan masih 'mengganas' di luar, berdetak-detak memukul atap.

"Hai, nak jadi gelombang ketiga pula ke?" Saya mengusik rakan sekerja sewaktu menunggu-nunggu masa untuk pulang. Dia hanya tersenyum. Melihat keadaan hujan, seakan belum tamat lagi musim tengkujuh.

Terkenang keadaan rumahnya yang ditenggelami air banjir tempohari. Mujur juga sebahagian barang-barang sempat dialih ke tempat tinggi. Jika tidak, tentu lebih banyak lagi yang akan mengalami kerosakan.

Banyak perkara yang ditimpakan kepada manusia seperti banjir besar, kebakaran, tanah runtuh dan sebagainya, pastinya menjadi ujian untuk menilai seseorang sehingga zahir keperibadiannya yang sebenar.

Sebagai Muslim yang beriman, pastinya kita meyakini janji Allah SWT yang sesekali tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-Nya. Malah apa jua yang berlaku pasti ada hikmah dan pengajaran untuk dijadikan iktibar kepada semua.

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ 

“Dan (pasti) Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan (kekurangan) hasil tanaman. Khabarkan berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah: 155)

Walaupun Allah SWT menguji hamba-Nya dengan bermacam bentuk ujian, sama ada ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, kunci utama bagi menghadapi ujian itu ialah sabar. 

Sabar adalah satu sifat mahmudah dan menjadi senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong kita untuk berdepan dengan setiap cubaan yang digusari itu.  

Hujan masih lagi keras menimpa bumi. Doakan agar semuanya baik-baik sahaja.

Sunday 6 February 2022

Rejab menuju Ramadhan..


Pantasnya masa berlalu pergi.

Pejam dan celik berlalu seminggu. Pejam dan celik berlalu sebulan. Pejam dan celik setahun berlalu. Pejam dan celik, lalu tidak celik-celik kerana ajal telah mendatangi. 

Terkuak tirai jendela Rejab 1443. 

Sudah mula kedengaran bacaan doa Rejab yang masyhur oleh sang imam di masjid dan surau. Di medsos juga sama rancak, sahabat-sahabat mengirimnya. Semuanya untuk mengingatkan bahawa kita telah berada di bulan Rejab. Lebih daripada itu, mengingatkan untuk bersedia memasuki bulan Ramadhan yang amat didamba.

Acapkali saya menulis, berapa ramai kaum keluarga dan sahabat handai yang telah pergi mendahului tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. 

Saya jua diulit kebimbangan. Apakah saya dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini ataupun sebaliknya. Jangkamasa dua bulan yang masih berbaki, tiada jaminan untuk masih mampu menghirup udara di dunia ini. Entah-entah telah tertulis suratan di sisi-Nya, saya juga tidak dapat bertemu dengan Ramadhan tahun ini.  

Justeru, seandainya kita diberi kesempatan dan peluang untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini nanti, maka gunakanlah anugerah Allah ini dengan bersungguh-sungguh mengisi waktu dengan ibadat dan amalan yang soleh.

Allahu al-Musta`an..