Sahabat Sejati

Tuesday 31 August 2021

Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021

sumber foto

Alhamdulillah, sekali lagi kita menyambut tarikh keramat 31 Ogos. Walaupun dalam suasana mengekang dan melawan pandemik covid 19, kegembiraan dan kebanggaan seharusnya tetap dizahirkan.

Sudah masuk tahun ke-64 membina negara bangsa mengikut acuan sendiri. Dalam tempoh panjang tersebut, seharusnya mematangkan semua warga dalam membina kemakmuran.

Marilah sama- sama berganding bahu untuk mengukuhkan ikatan perpaduan yang telah disemai sesama kita. Semoga kita tidak lupa kepada perjuangan generasi terdahulu yang telah menumpahkan airmata, keringat dan darah demi untuk mendapatkan kemerdekaan ini. 
 
Marilah kita sama-sama menikmati kemerdekaan ini dengan penuh kesyukuran. MALAYSIA PRIHATIN.

Friday 27 August 2021

Bicara Santai: Moh kuarantin!


Assalamualaikum warahmatullah, salam Jumaat yang diberkati. Moga teman-teman beroleh kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan kehidupan. Puji dan syukur kepada Allah SWT yang tidak pernah berkurang nikmat dan belas kasihan kepada para hamba-Nya.

Alhamdulillah, keputusan ujian swab saya yang pertama tempohari telah pun diperolehi. Berkat doa sahabat-sahabat, keputusannya negatif. Insya-Allah, minggu hadapan ujian swab kedua pula akan dilakukan. Semoga keputusannya turut sama. Amiin.

Menjalani hari-hari tempoh kuarantin, ada juga masa-masa yang membosankan, apatah lagi terkurung seorang diri di dalam bilik. Biarpun sudah ada pengalaman dikenakan perintah kuarantin yang pertama dulu, namun bagi saya yang sudah biasa bergerak dalam gerakerja kemanusiaan bersama Yayasan Amal Malaysia, terkurung begini tanpa dapat keluar menyertai sahabat-sahabat yang lain menghantar bantuan terasa juga kekecewaannya. 

Namun, saya pasrah. Arahan mengasingkan diri oleh pihak berwajib bukanlah suatu hukuman yang dikenakan, tetapi untuk kebaikan semua orang. Tentunya saya menyokong pengasingan diri ini dalam membantu usaha pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik ini. Tak apalah, cuma 14 hari. Pejam celik, pejam celik, cukup dua minggu. Jangan sambung lagi sudahlah.

Seperti biasa, sekali lagi bilik bacaan menjadi lokasi uzlah. Telefon bimbit, komputer riba dan buku-buku menjadi teman pendamping yang setia dalam mengisi masa-masa yang dilalui. Bayangkan jika semua itu tiada, alangkah tambah bosan. 

 


Sekarang ini saya sedang menghabiskan bacaan buku berjudul 'Hang Tuah di Lautan Ceritera'. Sebuah buku bergenre kajian sejarah. Sebuah buku yang amat menarik pada hemat saya. Banyak lagi buku yang telah dibeli tetapi belum sempat dibelek dan dibaca. Insya-Allah, moga asbab kuarantin ini saya dapat menghabiskan lebih banyak lagi buku-buku yang sederetan di dalam rak. Doakan.

Sunday 22 August 2021

Kali kedua

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, bertemu lagi sahabat-sahabat di alam maya ini. Lama juga tidak mencoret sesuatu di laman ini. Hasrat keinginan memang mengharapkan pertemuan setiap hari. Apakan daya, mahu dan mampu seringkali tidak beriringan.

Semalam saya dihubungi oleh pihak Kementerian Kesihatan agar hadir menjalani ujian swab secara pandu lalu di Terminal Sentral Kuantan. Ianya berikutan telah disahkan menjadi kontak rapat pertama kepada seorang pesakit covid-19 yang juga rakan saya.

Pagi tadi saya telah ke sana untuk melakukan ujian swab tersebut. Seperti biasa selepas ujian swab tersebut, lalu dipakaikan gelang sebagai tanda. Kali ini gelang berwarna merah jambu pula, sekaligus diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama dua mnggu. Ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin. Kali pertama pada bulan Mei yang lalu.

Insya Allah, dalam masa empat hari lagi keputusannya akan diperolehi. Samada positif atau negatif. Mohon doa daripada sahabat semua, mudah-mudahan keputusannya baik-baik sahaja. Allahu al-Musta`an.