foto hiasan: sumber fb
Sungguh, tatkala saya kenang-kenangkan waktu itu, terasa benar-benar penat jerihnya. Saya melihat di depan mata, malah merasai sendiri kehidupan seorang penoreh getah. Realitinya tidak dapat disangkal, dahulu saya pernah bergelar anak kepada penoreh getah. Ya, hakikatnya begitulah.
Kampung saya ketika itu masih lagi luas kebun getahnya. Justeru, rata-rata penduduk bekerja sebagai penoreh getah. Manakala sebilangan kecil pula menjadi pekebun sayur atau penternak. Boleh dikatakan juga kebanyakannya melakukan dua kerja, sebelah pagi menoreh getah kemudian sebelah petang melakukan kerja lain pula. Termasuklah orang tua saya.
Masih melekat di kotak minda, memori kebun getah yang nun meluas, sayup mata memandang di hujung kampung, menganjur dari timur ke barat. Semuanya bagaikan subur menghijau di pelupuk mata dan sering juga mengusik perasaan. Kadang-kadang jika terlalu asyik mengenangkannya hingga bertamu di alam mimpi.
Masih ada bongkah-bongkah memori
Arwah bonda pernah bercerita, seawal usia saya 3 tahun, saya telah dibawa ke kebun getah. Alasannya, tiada siapa yang mahu menjaga di rumah. Turut sama kakak saya yang berusia dalam lingkungan 6 tahun. Dialah yang menjadi ‘mangsa’ menjaga saya sewaktu bonda sedang menoreh. Dialah yang menyorongkan kereta tolak (buatan sendiri daripada kayu) dan dialah juga yang baik hati mengibas-ngibas menghalau nyamuk yang rakus mahu menghisap darah.
Bongkah-bongkah memori kebun getah tidak terhenti di situ sahaja. Ketika di sekolah rendah, setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah tiba, kebun getah adalah destinasi wajib yang mesti dikunjungi. Dan saya menuruti 'kerahan' bonda tanpa berbasa-basi, kerana ia memang termasuk dalam kesukaan saya iaitu mendekatkan diri dengan alam.
Seawal pagi, di saat matahari masih belum menampakkan wajahnya, kami sudah mengatur langkah. Sama juga seperti kebanyakan penduduk kampung yang lain. Kata bonda pokok getah perlu ditoreh pada awal pagi kerana susunya yang banyak pada waktu itu. Lagipun jika pergi awal, boleh disiapkan awal kerja-kerja menoreh tersebut.
Saya tidak pandai menoreh walaupun beberapa kali pernah mencuba, jadi saya menolong bonda apa yang patut sahaja. Rutinnya, saya membersihkan pot getah daripada cawannya, membawa baldi susu getah, membantu membuat getah keping serta menyorongkan basikal yang dimuatkan guni getah sekerap di atas pelantarnya untuk dibawa pulang.
Getah sekerap tersebut saya bawa ke kedai Pak Rani, seorang pemborong getah sekerap kampung kami. Hasil jualan getah sekerap tersebut bonda bagi upah sebanyak lima puluh sen. Nilai yang cukup besar ketika itu.
Ada masanya saya melilau dan menjarah di segenap ceruk kebun getah. Maklumlah sejak dari kecil sudah akrab dan mesra dengan pepohon getah yang tegak merimbun. Berada di suasana redup dikelilingi pohon-pohon, suara burung dan mergastua tingkah-meningkah, manakala angin yang berhembus dari arah bukit menciptakan kedinginan dan kedamaian yang tersendiri. Semuanya amat dekat dengan jiwa saya.
Ah, saya ketawa sendirian. Masih ada buntil-buntil memori yang masih panas untuk dikenang. Masih saya ingati, saat bonda dan sahabatnya yang menoreh di kebun getah sebelah berehat melepaskan lelah sambil menikmati bekal yang dibawa, saya pula menapak sambil mengutip buah-buah getah banyak kedapatan di lantai bumi. Adalah nanti menjadi permainan nanti buah-buah getah tersebut.
Selalu juga saya memanjat pokok-pokok getah yang sederhana besar batangnya. Saya memanjat hingga ke pucuk yang paling atas. Di ketinggian tersebut saya melorongkan pandangan di kejauhan sambil menikmati kepuasan di pelupuk mata.
Kemudian tanpa rasa malu dan segan saya menyanyi-nyanyi pelbagai lagu. Puas menyanyi saya menjerit-jerit pula tanpa biji butir sehingga mengejutkan mergastua yang sedang berdamai-damai. Itulah keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan bual bicara.
Setelah selesai memproses getah keping, sebelum pulang, ada lagi tugasan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang kami mengumpul dahan-dahan kering yang jatuh untuk digunakan sebagai kayu api. Setelah dikumpul lalu diikat dan dibawa pulang dengan basikal. Nanti bolehlah diguna sebagai bahan bakar.
Jika diikutkan banyak lagi nostalgia yang mahu saya coretkan. Tetapi biarlah dulu, insya-Allah ada sambungannya. Bimbang juga jika dicoret panjang-panjang tiada yang mahu menatapnya.
Hari ini..
Di kedewasaan ini, kenangan di kebun getah terus bersemadi di lubuk memori saya. Masakan saya dapat melupakannya kerana darah yang mengalir di dalam tubuh ini datangnya dari busuknya getah sekerap dan getah keping. Ianya pernah berjasa menyara dan menampung kehidupan kami sejak sekian lama.
Tatkala pulang ke desa, saya akan membawa anak-anak menjarah dari satu lorong ke satu lorong untuk menunjukkan kepada mereka kebun-kebun getah yang masih bersisa. Walaupun sudah tidak banyak, namun cukuplah agar mereka dapat mengenali dan mengerti akan apa yang pernah melingkungi kehidupan bapa mereka suatu ketika dahulu.
1 comments:
Assalamualaikum Abu.
Mmmm... Memori daun getah ni ya...
Walaupun kami bukan keluarga penoreh tapi bau getah sekerap tu tetap menjadi nostalgia pada kakak. Dulu2 tak dapat lari dari pokok getah dan sawah padi.
Post a Comment