Sahabat Sejati

Monday 31 December 2018

Entry penutup 2018

Alhamdulillah thumma innal Hamdalillah.

Puji-pujian yang tertentu buat Tuhan semesta alam, dengan izin-Nya saya masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk mencoret sesuatu di pondok kecil abuikhwan ini. Hampir seminggu saya menyepikan diri tanpa mampu berkunjung ke sini. Dalam tempoh tersebut banyak perkara yang telah berlaku. Semuanya adalah penyebab yang memungkinkan saya melupakan sejenak pondok kecil ini.

Pertama, kesibukan dalam program Back 2 School (B2S) bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Kesibukan dan kelelahan yang menggembirakan. Hari ini program B2S melabuhkan tirainya. Siang tadi 20 orang pelajar di Dun Luit telah diraikan dan menerima sumbangan persiapan persekolahan. Moga Allah SWT membalas kebaikan para dermawan sekelian.

Kedua, diuji dengan masalah kesihatan yang pastinya tidak menyamankan. Masa banyak dihabiskan di tempat pembaringan. Ujian kesakitan yang mengingatkan agar sentiasa menghargai nikmat sihat yang diberikan. 

Ya, kadang-kadang sakit itu perlu agar kita menginsafi akan nilai dan harga sebuah nikmat yang dinamai sihat! Hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung dengan kesihatan. Ya, kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Jadi, sesekali diuji dengan kesakitan barulah kita tahu dan sedar akan nikmatnya sihat.

Ketiga, mendapar perkhabaran sedih daripada teman sekampung. Berita pemergian empat orang penduduk kampung yang amat saya kenali dan setiap mereka mempunyai kaitan dalam perjalanan hidup saya. Selama empat hari berturut-turut sahabat di kampung menggali liang. Menambah perisa kesedihan, saya tidak dapat pulang untuk memberi penghormatan terakhir. Moga Allah SWT memberikan kerehatan kepada mereka semua daripada kesibukan dunia. Dan dengan kasih sayang-Nya, maka diampunkan semua kesalahan mereka.

Demikianlah, kematian tiada pernah memilih, tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Tidak pernah peduli terhadap raja atau rakyat biasa. Ia melenyapkan kemegahan, memutuskan manusia dari kehidupan yang dilalui. Mengeluarkan seseorang dari istana, dari pondok buruk kemudian membenamkan ke dalam liang lahad yang sempit dan gelap gelita.

Moga tahun 2018 yang ditinggalkan mencatat segenap kebaikan ..

Wednesday 26 December 2018

Sunday 23 December 2018

Sambutlah hidayah..

foto hiasan: sumber

Saat hidayah mula menjengah, 
Suara hati merintih penuh keinsafan, 
Sendu tangisan lontaran iman, meraba-raba di mana jalan pulang, 
Sesungguhnya di dalam jasad ini ada fitrah
yang sering memanggil-manggil, 
Ayuh! Bersegera kembali memaut cinta-Nya... 

Sesungguhnya hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya, andai diri masih seronok dalam gelumang dunia yang tiada sudahnya. 

Sambutlah hidayah itu andai ia datang bertamu...

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kami ke (syurga) ini, dan kami tidak akan mendapat hidayah (ke syurga) kalau sekiranya Allah tidak menunjukkan kami” (al-A’raaf: 43).

Wednesday 19 December 2018

Diam seketika, merawat rasa

foto hiasan: sumber

Dalam suasana yang penuh serabut ini, saya memerhatikan dunia sekeliling. Membuka mata dan fikiran tetapi memaksa diri mengunci kata-kata dari berbicara. Namun diam bukan diam seumpama menjeruk pekasam, tetapi diam mencari akal merawat rasa.
 
Seribu satu macam gawat. Mahu disebut satu persatu?  Cukuplah sebahagiannya sahaja.

Wabak gejala sosial yang kian membengkak dan membarah..
Persendaan terhadap bangsa dan agama..
Belum masuk politik negara yang makin 'berkuca-lana'..
Pemergian wira negara.. 'Mohd Adib' yang amat menyentuh perasaan. (moga beroleh keadilan)

Ada lagi..

Kecelaruan pemikiran masyarakat hari ini semakin di luar norma-norma kemanusiaan. Lihat pula kegawatan yang berlaku di dalam diri, mana noktahnya. Yang tidak baik dilihat baik, yang tidak baik dilihat baik. Yang salah dianggap pejuang, yang benar itulah dianggap pengkhianat.

Gawatnya hari ini.

Sesaknya nafas memerhati semua yang berlaku, lalu saya jernihkan dengan merenung ungkapan mulia seorang Nabi:

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Pada suatu masa ketika Rasulullah saw sedang berada di dalam satu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A`rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw, “Bilakah akan terjadinya hari kiamat?” Maka Nabi saw pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan,tetapi pertanyaan itu tidak disukainya.” Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu.” Sehingga apabila Nabi saw selesai dari percakapannya beliau bersabda, “Dimana orang yang bertanya tentang hari kiamat itu tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya, saya wahai Rasulullah”. Naka Nabi saw bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat.” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi saw menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” (Riwayat Bukhari).

Mengapa begini Malaysiaku yang tercinta....

Monday 17 December 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (43)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (42) di bawah tajuk utama: DAKWAH TAHAP PERTAMA: SEBUAH JIHAD TERSEMBUNYI

foto hiasan: sumber

Tatkala Berita Solat Sampai ke Telinga Quraisy

Melalui pengamatan yang adil terhadap pelbagai peristiwa, dapat disimpulkan bahawa meskipun dakwah pada tahap ini dijalankan secara sembunyi-sembunyi dengan sasaran perseorangan, namun pelbagai berita tentang dakwah ini juga didengari oleh Quraisy. Namun, pada waktu itu mereka tidak terganggu olehnya.

Muhammad al-Ghazali berkata, "Berita tentang dakwah Islam sejak awal telah berkembang dalam kalangan Quraisy, namun mereka tidak terlalu mempersoalkannya. Ini adalah kerana pada awalnya Nabi Muhammad dianggap sama sahaja seperti orang yang mengamalkan suatu ajaran agama, yang bercakap tentang ketuhanan berserta hak-haknya menurut pandangan dia, seperti yang dilakukan oleh Umayyah bin Abu Shalut, Qus bin Saidah, Amru bin Nufail dan yang lainnya.

Namun begitu lama-kelamaan orang Quraisy mulai khuatir melihat Islam berkembang, dianuti banyak orang serta membentangkan pengaruhnya. Sejak itu, mereka mula mengawasi setiap pergerakan dan dakwah baginda."(1)

Tiga tahun berlalu, dakwah dijalankan secara sembunyi-sembunyi dan perseorangan. Sepanjang tempoh ini, terbentuk satu jemaah orang beriman yang saling bersaudara dan tolong-menolong antara satu sama lain. Mereka mula menyampaikan risalah (ajaran Islam) dan mengukuhkannya. Selepas itu, turunlah wahyu kepada Nabi Muhammad untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada kaumnya, melawan kebatilan mereka sekaligus menyerang berhala-berhala mereka.

Rujukan: 

(1) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 76

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Friday 14 December 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 116

Salam Jumaat.


"Aku telah merasakan semua kemanisan dalam hidup, dan tiada perkara yang lebih manis aku temui melainkan nikmat KESIHATAN''.

"Aku telah merasakan semua kepahitan dalam hidup, dan yang paling pahit adalah BERHARAP KEPADA MANUSIA''.

''Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada HUTANG''.

Buntil-buntil memori anak penoreh getah..

 foto hiasan: sumber fb

Sungguh, tatkala saya kenang-kenangkan waktu itu, terasa benar-benar penat jerihnya. Saya melihat di depan mata, malah merasai sendiri kehidupan seorang penoreh getah. Realitinya tidak dapat disangkal, dahulu saya pernah bergelar anak kepada penoreh getah. Ya, hakikatnya begitulah. 

Kampung saya ketika itu masih lagi luas kebun getahnya. Justeru, rata-rata penduduk bekerja sebagai penoreh getah. Manakala sebilangan kecil pula menjadi pekebun sayur atau penternak. Boleh dikatakan juga kebanyakannya melakukan dua kerja, sebelah pagi menoreh getah kemudian sebelah petang melakukan kerja lain pula. Termasuklah orang tua saya. 

Masih melekat di kotak minda, memori kebun getah yang nun meluas, sayup mata memandang di hujung kampung, menganjur dari timur ke barat. Semuanya bagaikan subur menghijau di pelupuk mata dan sering juga mengusik perasaan. Kadang-kadang jika terlalu asyik mengenangkannya hingga bertamu di alam mimpi. 

Masih ada bongkah-bongkah memori 

Arwah bonda pernah bercerita, seawal usia saya 3 tahun, saya telah dibawa ke kebun getah. Alasannya, tiada siapa yang mahu menjaga di rumah. Turut sama kakak saya yang berusia dalam lingkungan 6 tahun. Dialah yang menjadi ‘mangsa’ menjaga saya sewaktu bonda sedang menoreh. Dialah yang menyorongkan kereta tolak (buatan sendiri daripada kayu) dan dialah juga yang baik hati mengibas-ngibas menghalau nyamuk yang rakus mahu menghisap darah. 

Bongkah-bongkah memori kebun getah tidak terhenti di situ sahaja. Ketika di sekolah rendah, setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah tiba, kebun getah adalah destinasi wajib yang mesti dikunjungi.  Dan saya menuruti 'kerahan' bonda tanpa berbasa-basi, kerana ia memang termasuk dalam kesukaan saya iaitu mendekatkan diri dengan alam.

Seawal pagi, di saat matahari masih belum menampakkan wajahnya, kami sudah mengatur langkah. Sama juga seperti kebanyakan penduduk kampung yang lain. Kata bonda pokok getah perlu ditoreh pada awal pagi kerana susunya yang banyak pada waktu itu. Lagipun jika pergi awal, boleh disiapkan awal kerja-kerja menoreh tersebut.

Saya tidak pandai menoreh walaupun beberapa kali pernah mencuba, jadi saya menolong bonda apa yang patut sahaja. Rutinnya, saya membersihkan pot getah daripada cawannya, membawa baldi susu getah, membantu membuat getah keping serta menyorongkan basikal yang dimuatkan guni getah sekerap di atas pelantarnya untuk dibawa pulang. 

Getah sekerap tersebut saya bawa ke kedai Pak Rani, seorang pemborong getah sekerap kampung kami. Hasil jualan getah sekerap tersebut bonda bagi upah sebanyak lima puluh sen. Nilai yang cukup besar ketika itu.


Ada masanya saya melilau dan menjarah di segenap ceruk kebun getah. Maklumlah sejak dari kecil sudah akrab dan mesra dengan pepohon getah yang tegak merimbun. Berada di suasana redup dikelilingi pohon-pohon, suara burung dan mergastua tingkah-meningkah, manakala angin yang berhembus dari arah bukit menciptakan kedinginan dan kedamaian yang tersendiri. Semuanya amat dekat dengan jiwa saya. 

Ah, saya ketawa sendirian. Masih ada buntil-buntil memori yang masih panas untuk dikenang. Masih saya ingati, saat bonda dan sahabatnya yang menoreh di kebun getah sebelah berehat melepaskan lelah sambil menikmati bekal yang dibawa, saya pula menapak sambil mengutip buah-buah getah banyak kedapatan di lantai bumi. Adalah nanti menjadi permainan nanti buah-buah getah tersebut. 

Selalu juga saya memanjat pokok-pokok getah yang sederhana besar batangnya. Saya memanjat hingga ke pucuk yang paling atas. Di ketinggian tersebut saya melorongkan pandangan di kejauhan sambil menikmati kepuasan di pelupuk mata. 

Kemudian tanpa rasa malu dan segan saya menyanyi-nyanyi pelbagai lagu. Puas menyanyi saya menjerit-jerit pula tanpa biji butir sehingga mengejutkan mergastua yang sedang berdamai-damai. Itulah keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan bual bicara. 

Setelah selesai memproses getah keping, sebelum pulang, ada lagi tugasan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang kami mengumpul dahan-dahan kering yang jatuh untuk digunakan sebagai kayu api. Setelah dikumpul lalu diikat dan dibawa pulang dengan basikal. Nanti bolehlah diguna sebagai bahan bakar.

Jika diikutkan banyak lagi nostalgia yang mahu saya coretkan. Tetapi biarlah dulu, insya-Allah ada sambungannya. Bimbang juga jika dicoret panjang-panjang tiada yang mahu menatapnya.   

Hari ini.. 

Di kedewasaan ini, kenangan di kebun getah terus bersemadi di lubuk memori saya. Masakan saya dapat melupakannya kerana darah yang mengalir di dalam tubuh ini datangnya dari busuknya getah sekerap dan getah keping. Ianya pernah berjasa menyara dan menampung kehidupan kami sejak sekian lama. 

Tatkala pulang ke desa, saya akan membawa anak-anak menjarah dari satu lorong ke satu lorong untuk menunjukkan kepada mereka kebun-kebun getah yang masih bersisa. Walaupun sudah tidak banyak, namun cukuplah agar mereka dapat mengenali dan mengerti akan apa yang pernah melingkungi kehidupan bapa mereka suatu ketika dahulu.

Thursday 13 December 2018

Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang: Back 2 School 2.0

Alhamdulillah wa tabarakallah, program Bantuan Persekolahan 2019 anjuran YAMCP diteruskan lagi. Kali ini seramai 20 orang pelajar yang terpilih dari Dun Sungai Lembing diraikan dalam program tersebut. 

Kami  telah membawa pelajar-pelajar ini ke sebuah pusat membeli-belah dan mereka memilih sendiri apa yang mahu dibeli. Dana bagi program bantuan ini semestinya hasil sumbangan orang ramai, manakala YAMCP hanyalah menguruskan bagi memudahkan pelaksanaan agihan bantuan ini. 

Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan dengan lafaz jazakallah khairan jaza' kepada semua dermawan yang telah menyumbang. Moga Allah SWT membalas dengan sebaik-baik ganjaran kepada mereka semua. 

Insya-Allah, dalam masa terdekat ini beberapa program B2S 2019 akan diteruskan lagi di beberapa lokasi terpilih.









poster B2S 2019

Friday 7 December 2018

'Haikal yang istimewa' di angka 13


Selamat ulang tahun kelahiran buat anakanda 'Haikal yang istimewa' pada hari ini. Dalam pejam dan celik, silih hari yang bergulir, telah genap 13 tahun usianya. Dengan belas kasihan-Nya telah menyampaikan kami sehingga ke saat ini. Syukur, terima kasih Tuhan atas nikmat ini, yang sentiasa tercurah tanpa berkira-kira sedangkan amat sedikit yang kami panjatkan di dalam doa.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sepanjang hidup bersamanya. Memoir silamku di tahun-tahun awal kelahirannya menari-nari diminda tuaku. Ada suka dan duka, ada manis dan jerih serta capek kelelahan bergaul sebati. Semuanya telah menjadikan diriku semakin kuat dalam menongkah terowong kehidupan. Benar-benar anak ini satu anugerah yang tidak ternilai.

Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak abi dan ummi ke syurga Ilahi yang abadi. 

Moga 'anakanda Haikal yang istimewa' sentiasa di dalam limpahan rahmat Ilahi.

Tuesday 4 December 2018

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Bantuan Persekolahan 2019

Alhamdulillah, kelmarin sempat menyantuni pelajar-pelajar terpilih dalam program "Bantuan Persekolahan 2019" bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Program ini adalah program komuniti tahunan YAMCP bertujuan untuk membantu persediaan para pelajar yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.



Program ini memberi tumpuan kepada kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi uniform sekolah, kasut, stokin, beg sekolah dan juga alat tulis.Apa yang diharapkan dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka.



Dana program ini sudah tentu hasil daripada sumbangan orang ramai. YAMCP hanya mengurus dan mempermudahkan urusan berkaitan. Malahan selama ini, dalam semua program kebajikan termasuk sumbangan ramadhan dan aidilfitri, musibah, bencana alam dan sebagainya, ia adalah daripada sumbangan para dermawan.




Apakah kemuncak yang kami rasakan? Kemuncak itu adalah tatkala melihat senyuman yang terukir di ulas bibir mereka. Tentunya senyuman mereka adalah satu kegembiraan bagi kami yang tidak mampu untuk diterjemahkan dengn kata-kata melainkan getarnya pada detak rasa. Kegembiraan dan kemanisan yang dihayati dan dikenyam lalu menusuk ke dalam jiwa yang paling dalam.



Mengapa perlu  ditunjukkan semua ini? Bukankah kebajikan itu perlu disembunyikan? Oh, ini hanyalah sekadar satu perkongsian. Benar, perkongsian dalam setiap gerakerja kebajikan adalah semata-mata dengan niat mahu merangsang dan menjentik hati sahabat sekelian untuk sama-sama menyedari bahawa kita hidup bukan untuk kehidupan kita sahaja.

Teringat kata guru saya: “ Tidak ramai orang yang menjadikan hidupnya untuk orang lain. Sedangkan Rasulullah saw sentiasa menjadikan seluruh kehidupannya untuk orang lain. Dicerca, dipulau, diusir dan diancam bunuh semata-mata untuk memberikan kegembiraan hidup kepada orang lain.”

Benar, biarlah kegembiraan hidup ini kita kongsi bersama dengan manusia lain. Mudah-mudahan di akhirat nanti ia akan menjadi sumber kegembiraan pula kepada kita. Insya-Allah.  



Ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya para dermawan yang tidak henti-henti menyumbang serta para relawan yang tidak mengenal erti penat dalam menjayakan apa jua program kebajikan. Moga setiap sumbangan tidak kira wang ringgit, tenaga, masa, buah fikiran dan sebagainya, beroleh ganjaran yang sebaiknya daripada Allah SWT.

Saturday 1 December 2018

Batuk dan selsema yang berkunjung lagi..

Sudah seminggu menghidap selsema dan batuk yang mengokoh. Kata orang batuk dan selsema adalah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan. Jika batuk, tidak lama kemudian datanglah pula selsema. Benar sekali, tetapi selsema yang saya hidapi sudah pun sembuh sejak lima hari yang lalu. Hanya batuk yang masih belum berkurangan. 

Siang atau malam apabila batuk datang menjengah, serta-merta mewujudkan kondisi yang sangat tidak selesa. Dan ketidakselesaan ini makin ketara tatkala berada di khalayak ramai. Justeru, mengobrol (berbual) dan bercanda sesama teman-teman pun sedikit terjejas.

Apabila tekak mula terasa miang meremut-remut, di waktu itulah terhambur batuk tanpa simpati sehingga bisa menegangkan urat perut dan leher. Aduh sungguh menyakitkan. Suara pula sudah bertukar menjadi ala-ala suara itik serati. Mujurlah bukan penagih candu (rokok), jika tidak tentu lebih sadis lagi halnya. 

Sebenarnya, perkara biasa saya diserang batuk dalam 4 atau 5 bulan sekali, atau jangkamasa kurang daripada itu. Malahan perkara biasa juga saya menghidap batuk dalam jangkamasa yang agak lama. Pernah hampir dua bulan saya batuk-batuk, sehingga ditegur oleh sahabat-sahabat. 

Saya memang malas ke klinik jika batuk tidak berapa kuat. Memadai hanya dengan mengamalkan madu lebah yang dicampur dengan perahan limau nipis. Ternyata saya selesa dengannya. Madu lebah memang diakui akan banyak kegunaannya di dalam bidang perubatan. Justeru, saya sentiasa memastikan stok madu lebah sentiasa tersedia di rumah. Kata orang "bersambung beli".

Stok madu diperolehi melalui sahabat-sahabat yang menjualnya. Saya tidak membeli sembarangan, terutama daripada orng yang tidak dikenali. Bukan apa, tidak kena gaya terbeli madu yang dicampur dengan air gula. Huh, taktik biasa menipu. Sama juga dengan tempoyak yang dicampur dengan isi pisang.

Jika ke Chenor, saya membeli pula madu lebah dengan sahabat di sana. Salah seorangnya yang saya panggil Pak Din Chenor. Dia sendiri masuk ke hutan mencari madu lebah bersama beberapa orang lagi sahabatnya. 

Tetapi jika batuk yang agak teruk dan lama, saya pergi juga membuat pemeriksaan. Bimbang juga jika tersangkut penyakit lain. Alhamdulillah, setakat ini semuanya dalam keadaan baik.

Ujian-Nya

Sesungguhnya sakit adalah di antara ujian Allah SWT kepada hamba-Nya. Apabila kita berdepan dengan ujian kesakitan ini, kita ada dua keadaan yang perlu dilakukan. Pertamanya, kita mesti berikhtiar mengubatinya. Jangan terbitkan rasa jemu dan berputus asa walaupun kesakitan itu mengambil masa yang lama untuk sembuh. Keduanya, disamping kita berikhtiar, kita mesti ada rasa menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita amat memerlukan kekuatan emosi dan spiritual, semuanya adalah dengan merujuk kepada-Nya.

“Tidaklah mengenai akan seorang muslim daripada penyakit, kesusahan, penderitaan, dukacita, rasa sakit, termasuk duri yang mengenainya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahannya disebabkan kesusahan itu.” (Bukhari dan Muslim).