Sahabat Sejati

Showing posts with label ma`al hijrah. Show all posts
Showing posts with label ma`al hijrah. Show all posts

Wednesday, 17 June 2026

Salam Maal Hijrah 1448, moga hari ini lebih baik dari semalam..


Moga hati sentiasa dalam damai.. walau dunia tidak selalu indah seperti yang kita rancang. 

Kerana hidup ini bukan tentang sempurnanya jalan, tetapi tentang kuatnya jiwa melangkah, meski penuh luka dan tanda tanya. 

Ada hari kita tersenyum, ada hari kita diuji tanpa henti. Namun di celah retak itulah, Tuhan selitkan tenang yang tidak terucap. 

Belajarlah memeluk takdir dengan sabar, kerana setiap yang terjadi bukan untuk mematahkan, tetapi untuk mendewasakan. 

Dan saat dunia terasa berat, ingatlah.. damai itu bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada hati yang redha menerima. 

Moga kita semua dipelihara rasa tenang itu. Tenang yang tidak bergantung pada dunia, tetapi bersandar sepenuhnya kepada-Nya.

Salam Maal Hijrah 1448.  

Tuesday, 11 September 2018

Salam Ma'al Hijrah 1440H/2018M


Menanti tahun baru tidaklah lebih utama daripada mengurus masa yang sedang menyulit diri di ketika ini. Hari ini mestilah lebih baik dari semalam dan hari esok pula mestilah lebih baik dari hari ini, begitulah seterusnya hari-hari yang dilewati. Walaupun ia terlalu sukar untuk dipenuhi, namun ia sentiasa menjadi penguat dan peransang kepada diri dan kehidupan pada hari esok. Ia hikmah yang cukup menginsafkan namun menakutkan kerana sedar diri sentiasa diulit kelalaian. 

Setiap dari kita mengimpikan kekuatan dalam melayari kehidupan ini. Kita sentiasa mahukan kekuatan untuk menampal kelemahan dan kesilapan yang sering memayuti diri setiap masa. Tanpa pertolongan dan kasih sayang-Nya tidak mungkin kekuatan itu kita miliki. Kita hanyalah hamba-Nya yang amat lemah. Mudah-mudahan kita diberikan ruang dan kesempatan untuk memperbaiki kesilapan masa lalu...

Salam Ma'al Hijrah 1440H/2018M

Friday, 22 September 2017

Salam Ma`al Hijrah 1439, sahabat-sahabat..


Alhamdulillah. Kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara 1439H. Kedatangan tahun baru ini memberi peluang untuk kita membuka diari hidup yang baru dan mengatur dengan sebaiknya. Dalam masa yang sama memberi peluang kepada kita untuk muhasabah dan koreksi diri, apakah perjalanan hidup setahun yang lalu telah diisi dengan sesuatu yang bermanfaat. 

Andai kata masih banyak lagi lompang-lompang yang kita tinggalkan, maka bangkitlah. Tidak perlu menyesali apa yang telah berlaku, bahkan jadikan ia sebagai ruang untuk memperbaiki diri tanpa mengulanginya lagi. Berazamlah untuk membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan. Sebagaimana tahun baru masehi yang sentiasa dihiasi dengan azam baru, maka letakkanlah 'target' pada tahun baru hijrah ini untuk turut berazam. Azam umpama niat. Setiap niat yang baik sudah diganjari dengan satu pahala daripada Yang Maha Pengasih. Tinggal lagi usaha untuk melaksanakannya. Maka berusahalah! Berhijrahlah!

Hijrah sememangnya dituntut ke atas setiap muslim. Tentunya hijrah dan perubahan memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, hijrah pasti tidak akan berjaya. Lihat, para sahabat berhijrah dari Makkah ke Yathrib (Madinah), dengan meninggalkan kesenangan dan kesayangan mereka. Mereka menempuh perjalanan jauh yang getir untuk sampai ke tempat yang dituju. Inilah pengorbanan. 

Oleh itu, kita juga perlu berkorban untuk melakukan hijrah dan perubahan. Berubah dari suasana yang tidak baik kepada yang baik, seterusnya kepada yang lebih baik. Kemudian dalam masa yang sama, kita memindahkan kebaikan tersebut kepada orang lain. Ya, kita berkongsi kebaikan, kita bertolongan di dalam perkara taqwa. Kita berasal dari negeri syurga, maka kita pastinya ingin balik semula ke syurga. Tentu lebih manis lagi sekiranya kita dapat mengajak orang lain untuk bersama-sama memasuki syurga yang kekal itu, insya-Allah.    

Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1439 kepada semua sahabat-sahabat, khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Setiapkali kunjungan sahabat-sahabat ke sini membuatkan saya merasa amat dihargai, justeru saya turut sama merakamkan penghargaan dan dengan lafaz ucapan doa kebaikan kepada sahabat sekelian.

Mudah-mudahan kita semua yang berada di tahun baru ini, sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.  

Sayang sahabat semua,
abuikhwan
01 Muharam 1439H

Friday, 9 December 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 89

Salam Jumaat Mubarakah.


"Kalau kamu kenal nilai sebenar harga dirimu, 
kamu tidak akan hinakannya dengan maksiat. 
Sesungguhnya Allah menghalau iblis dari rahmat-Nya kerana ia tidak sujud kepada dirimu. 
Alangkah peliknya bagaimana kamu boleh berdamai dengan musuh dan tinggalkan kekasih."

~Imam Ibnu Qayyim

Sunday, 2 October 2016

Salam Ma`al Hijrah 1438...


Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (al-Baqarah: 218)

Alhamdulillah, segala puji adalah milik-Nya. Syukur kepada Allah SWT kerana kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk bertemu tahun baru 1438H. Pastinya dengan kesempatan ini menuntut kita melakukan muhasabah dan seterusnya melunaskan tanggungjawab serta pengorbanan kepada Islam dan ummatnya. Hayatilah semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh junjungan mulia dan para sahabat baginda yang setia.

Salam Ma`al Hijrah 1438 kepada semua sahabat yang dikasihi khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mohon maaf atas semua khilaf dan kekurangan yang telah lalu. Moga kehadiran tahun baru ini membawa keberkatan dan semangat yang lebih gigih untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Kata Imam Abu Hurairah ra.

"Setiap kali datangnya tahun baru,
Membuat daku risau dan resah selalu,
Kerana semakin singkat umurku,
Semakin dekat ajalku,
Semakin tipis pengampunan Allah terhadapku,
Dan semakin dekatnya hari perhitunganku."

Allahu al-Musta`an..

Friday, 3 June 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 70

Salam Jumaat.


Banyak masalah akan hilang jika manusia belajar untuk bercakap antara satu sama lain lebih daripada bercakap tentang satu sama lain

Saturday, 17 October 2015

Jom hijrah, hari ini lebih baik dari semalam...

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.” (al-Hajj: 58) 

Hijrah adalah satu tuntutan yang besar nilainya di sisi Islam. Allah sendiri memerintahkan Rasulullah saw berhijrah pada saat sukar bagi baginda mendirikan negara Islam pertama. Para sahabat juga berhijrah setelah mendapat restu Rasulullah saw. Tetapi bukanlah sesuatu yang mudah untuk berhijrah. 

Makna hijrah ialah meninggalkan kepentingan, mengorbankan harta dan menyelamatkan diri. Ia dilakukan dengan kesedaran bahawa diri mereka mungkin terbunuh atau dirompak pada awal maupun pada akhir perjalanan. Demikian pula kesedaran bahawa diri mereka berjalan menuju masa hadapan yang belum pasti, sedangkan mereka tidak tahu apa yang akan menerpa mereka kemudian hari. 

Hari ini kita juga digesa agar berhijrah. Tetapi hijrah kita bukanlah meninggalkan tanah tumpah menuju ke suatu tempat asing. Selepas pembukaan kota Makkah tidak lagi dianjurkan berhijrah sebagaimana hadis Rasulullah saw: 

Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda Rasulullah saw:  
“Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025) 

Hijrah yang mesti berlaku di kalangan orang Islam pada hari ini ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari muka lebih baik dari hari sebelumnya. 

Benar, memang sukar untuk berhijrah. Namun, tiada alasan untuk kita berkata tidak mampu melakukan yang terbaik. Keinginan dan keyakinan antara faktor kejayaan disamping doa dan tawakkal kepada Allah. Penghijrahan bukan membabitkan soal perubahan semata-mata, tetapi soal jati diri dalam kehidupan. Kepayahan yang dihadapi adalah kemanisan dan kebahagiaan di masa hadapan. Alangkah bahagianya mereka yang dapat mengecapi kemanisannya. 

“Pesan Imam al-Ghazali di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam”.

Tunggu apa lagi, jom hijrah!

Tuesday, 13 October 2015

Salam Ma`al Hijrah 1437

 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'

Assalamualaikum warahmatullah.

Dikesempatan masa dan usia yang masih berbaki ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1437 kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan. Sejujurnya, sokongan sahabat sekelian amatlah saya dambakan, justeru saya terus bersemangat untuk mencoret sesuatu di pondok kecil ini. 

Pejam dan celik, 
Hari berganti hari, 
Bulan berganti bulan, 
Tahun berganti tahun, 

Kita telah pun berada di 1437H. Semangat dan azam baru untuk meneruskan langkah selaku khalifah di atas muka bumi ini. 

Penuhilah masa yang masih diberikan dengan iman dan taqwa. Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam. Manakala hari esok lebih baik dari hari ini. Demikianlah seterusnya hari-hari yang dilalui. Semoga kedatangan tahun baru ini memberikan seribu kebaikan serta meningkatkan lagi amalan kepada-Nya.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali-Imran: 185). 

Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, sesungguhnya itulah kejayaan yang sebenarnya.