Sahabat Sejati

Thursday 25 April 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Amalan-amalan di bulan Ramadhan (2)

 

...sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak - Amalan-amalan di bulan Ramadhan (1)

4 – Bersedekah 

Ibnu Abbas ra. berkata: Rasulullah saw adalah manusia yang sangat pemurah dan baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan…dan baginda lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” (Riwayat Bukhari) 

Rasulullah saw menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Rasulullah saw: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar.” (Riwayat Bukhari) 

Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah saw, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing.” 

Rasulullah saw telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal? Sabdanya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadhan.” (Riwayat at-Tirmidzi, didhaifkan oleh Albani) 

Ia mempunyai banyak cara dan cabangnya: 

a) Memberi makan 

Para ulama salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain. Ianya samada dengan memberi makan orang yang kelaparan ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang faqir. 

Rasulullah saw bersabda: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, Nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya.” Bangun seorang a`rabi (orang kampung) bertanya: “Untuk siapakah bilik-bilik itu ya Rasulullah? Sabda Nabi saw: “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur.” (Riwayat at-Tirmidzi, hasan) 

Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al-Mubarak memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan dan memenuhi keperluan mereka. 

Hammad bin Sulaiman akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadhan dan dia akan memberikan kepada setiap mereka 100 dirham di Hari Raya. 

Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat lain, seperti rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga. 

Sabda Rasulullah saw: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi.” (Riwayat Bukhari) 

b) Memberi makan (berbuka) orang yang berpuasa 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Riwayat at-Tirmidzi, sahih) 

Sabda Rasulullah saw: “Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke syurga dengan sejahtera.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi, sahih) 

Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara puasa dan sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa. 

Nabi saw bersabda: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, sahih) 

5 – Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak akan berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” (Riwayat Bukhari) 

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah, sebagaimana seseorang itu manahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuhannya. 

Sabda Rasulullah saw: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa, maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh. Sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” (Riwayat Muslim) 

Ali bin Abi Thalib ra. berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga daripada penipuan, kebatilan dan perkara yang sia-sia.” 

Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu.” 

Abu al-`Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap dalam ibadatnya selagi dia tidak melakukan Ghibah.” 

Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia adalah seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara yang fardhu untuk melakukan perkara-perkara yang sunat, apakah faedahnya? 

6 – Doa, Zikir dan Istighfar 

Semua hari-hari Ramadhan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti: 

• Ketika hampir waktu berbuka. Nabi saw menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak, antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. (Riwayat at-Tirmidzi, sahih) 

• Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: “Adakah ada orang yang berdoa, maka Aku perkenankan, adakah orang yang memohon kempunan, maka Aku mengampunkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

• Memohon keampunan Allah SWT ketika waktu sahur. Firman Allah SWT: “Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan.” (adz-Zariyat: 18) 

Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang yang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw yang sahih menjelaskannya. 

7 – Umrah pada bulan Ramadhan 

Sabda Rasulullah saw: “Satu umrah pada bulan Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji.” Dalam riwayat yang lain: “Menyamai satu haji bersamaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

8 – Beriktiqaf 

Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini, ialah digalakkan beriktiqaf padanya. 

9 – Lailatul Qadar 

Di dalam bulan Ramadhan yang berkat ini Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. (Huraian akan datang) 

Penutup 

Sabda Rasulullah saw sewaktu menaiki mimbar di Madinah: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi) 

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang Muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya. 

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah, semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas. Dituliskan nama kita di antara hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat daripada azab neraka. Aaamin.

Tuesday 23 April 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Amalan-amalan di Bulan Ramadhan (1)


Firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan batil).” (al-Baqarah: 185) 

Risalah ini sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadhan serta apakah amalan yang sepatutnya diisi sepanjang bulan yang mulia ini. 

Semoga ia menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya. 

Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:

• Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah 
• Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. 
• Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan 
• Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan 
• Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup 
• Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebajikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan. 
• Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan. 
• Pada setiap malam bulan Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka. 

Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ialah: 

1 – Berpuasa 

Rasulullah saw bersabda: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah) 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharap pahala) maka diampun baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Berpuasa banyak memberi faedah kepada kehidupan jasmani rohani. 

Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya. 

2 – Ramadhan dan membaca al-Quran 

Nabi saw menceritakan bahawa Jibril as. membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan baginda sebanyak dua kali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Para ulama bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tiga malam, sebahagian setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh sepuluh hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat. 

Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau membacanya di luar solat. 

Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti Makkah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat.” 

3 – Qiyamullail 

Bagi seorang mukmin apabila berada pada bulan Ramadhan akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya. Pertama jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga. 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Firman Allah SWT: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka..” (al-Furqan: 63-64) 

Qiyamullail adalah kebiasaan Nabi saw dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. ‘Aisyah rha. pernah berkata: “Jangan kamu tinggalkan qiyamullail. Rasulullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila baginda sakit atau kepenatan, baginda solat sambil duduk.” (Riwayat Abu Daud) 

 Khalifah Umar bin al-Khattab ra. akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata: “Solah, solah!” (bangun untuk bersolat). 

Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat). 

Abi Zar ra. meriwayatkan Nabi saw bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 hingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada baginda saw: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki-baki malam kami dengan solat sunat.” 

Maka Nabi saw bersabda: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga di (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” (Riwayat Tirmidzi, sahih)

Sunday 21 April 2019

Memenuhi sekeping hasrat kerinduan


Roda kenderaan dipandu bergerak lancar menjamah dada aspal. Tenang sekali. Tidak banyak kenderaan yang menyusuri Lebuhraya Pantai Timur malam ini. Jarang-jarang sekali kenderaan yang memotong kereta yang saya pandu. Suasana sekitar terasa sepi, sesekali saya menoleh kiri dan kanan, memerhati pohon-pohon yang berbalam diserkup kegelapan malam.

Supaya hati menjadi tenang dan damai, saya turut melagukan alunan zikir munajat yang berkumandang daripada corong radio. Terkenang kepada al-Marhum Ustaz Asri Ibrahim, pemilik suara emas yang saya kira belum ketemu penggantinya lagi. Masih terasa akan pemergiannya. Nasyidnya, zikirnya dan tazkirahnya adalah peneman dan penghibur semenjak di alam persekolahan. Semoga semuanya menjadi amal soleh yang terkumpul buatnya.

Kenderaan masih lagi gagah menyusuri jaringan lebuhraya yang terbentang. Isteri di sebelah sudah hanyut dalam mimpi indahnya. Keletihan barangkali menempuh perjalanan jauh. Seawal jam 4 pagi dia sudah bangun menyiapkan segala macam yang mahu dibawa. Sememangnya kami sudah berkira-kira mahu singgah berkelah di mana-mana dalam perjalanan pulang nanti. Saya melihat keceriaan terpamer di wajah isteri dan anak-anak.

Ke Pulau Tawar, Jerantut


Sebenarnya kami semua dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Pulau Tawar, Jerantut. Kunjungan ke sana langsung tidak dirancang. Entah mengapa, tiba-tiba terdetik perasaan rindu di hati saya kepada Pulau Tawar. Gejolak hati tua ini ingin mengesani dan mencium kembali jejak langkah yang pernah dilalui dulu.

Lalu saya suarakan kepada ummu Ikhwan hasrat untuk bersantai-santai damai ke Pulau Tawar. Keputusan diambil untuk ke sana, dan ia tertunai pada hari ini. Alhamdulillah, syukur.

Beberapa destinasi telah pun ada di dalam fikiran, bahkan ia sentiasa menjadi persinggahan wajib setiap kali ke sana. Makam aki Mat Kilau, masjid lama Pulau Tawar, Galeri Mat Kilau tidak pernah jemu untuk saya kunjungi. 



Tidak lupa kepada masjid Jerantut Feri yang terpahat memori padanya. Teringat sewaktu pertama kali singgah di masjid tersebut tika dinihari 10 tahun yang lalu. Berkenalan dan menjalin kemesraan dengan seorang pakcik misteri, berbual dan berbicara dengan penuh hikmah. Butir-butir mutiara nasihatnya masih saya kenang sehingga kini. Apakah beliau masih ada lagi, entahlah..

Seawal jam 6.45 pagi kami memulakan perjalanan, menyusuri lebuhraya yang masih dibalut kedinginan yang menyentuh kulit. Memang saya suka bertolak awal pagi jika mahu berjalan jauh. Tentunya saya tidak mahu terkejar-kejar masa. Malahan, lebih banyak pula tempat yang boleh di singgah yang tiada di dalam perancangan. Demikianlah benak saya membuat telahan.


Makam aki Mat Kilau di Kampung Kedondong saya kunjungi lagi buat sekian kalinya. Menghadiahi al-Fatihah sambil mengenang perjuangannya mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Kemudian bertafakur sebentar di Masjid Lama Pulau Tawar yang pernah mencatatkan peristiwa bersejarah yang menggemparkan negara. Di sinilah aki Mat Kilau mengisytiharkan dirinya setelah lama menyembunyikan identitinya. Sekarang masjid ini telah dijadikan pondok pengajian agama.

Perjalanan pulang

Pemanduan merentasi LPT berjalan lancar. Gelap malam pertengahan syaaban dengan bulan di langit yang semakin membulat mengiringi perjalanan pulang. “Cantiknya bulan di langit”, getus kata hati. Simfoni terang bulan menjadi metafora kerinduan sang pungguk merayu-rayu pada sang ratu bulan.

Suasana hening ini telah mengimbau sejuta kenangan silam, menerjah masuk mengambil ruang kosong di dalam benak saya. Masa terus bergulir, tidak terasa 5 tahun anakanda sulung saya pernah menginfaqkan masanya menuntut ilmu di sini.

Tidak semena-mena teringat ketika hari terakhir beliau berada di sini. Kami sekeluarga datang mengambilnya pulang. Lalu dia mengucapkan selamat tinggal kepada sekolahnya, guru-gurunya yang banyak berjasa, dan membawa pulang segudang lipatan memori yang tidak mungkin dilupakan.


Saya juga terasa kesannya. Lima tahun masa yang berlalu, tempoh itulah saya berulang-alik ke sini jika terdapat urusan yang memerlukan saya hadir. Memang saya telah berazam untuk tidak gagal menghadiri program sekolah anak-anak, biarpun sejauh di Jerantut atau di Kemaman (anak ke-2).

Kekerapan ke sini menyebabkan saya mendapat ramai kenalan yang terdiri daripada penduduk tempatan. Sungguh, penduduk di sini sangat baik dan cepat mesra. Ditambah lagi dengan suasana kampung tradisi menyebabkan saya hanyut dalam dunia yang tersendiri.

Seingat saya, ketika itu mungkin inilah kunjungan terakhir ke Pulau Tawar yang mendamaikan ini. Selepas ini tentu agak sulit, tanpa apa-apa urusan tidak mungkin untuk saya datang ke mari. Rupa-rupanya agakan saya silap. Kerinduan yang memayuti tangkai hati menyebabkan saya tidak dapat menolak untuk berkunjung lagi ke sini. Dan pada hari ini saya telah memenuhi sekeping hasrat kerinduan yang terpendam. 

Monday 15 April 2019

Maafkan seadanya..

sumber       

Kita hamba yang tak memiliki apa-apa, saban masa dan ketika kita melakukan dosa. Kita banyak melanggar perintah-Nya. Justeru, kita amat mendambakan keampunan dari-Nya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. 

Benar, maafkanlah semua kesalahan orang kepada kita setiap hari sebelum melelapkan mata. Jika kita memaafkan orang lain maka ALLAH SWT akan membuka pintu hati orang lain untuk memaafkan kita. Kepada Allah jua dikembalikan semua urusan. ...

Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu 
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu 
Ampunkan dosaku terimalah taubatku 
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...

Monday 8 April 2019

Genap 40 tahun dua nisan tegak berdiri

Kesedihanku tidaklah memberi apa-apa makna, kerana yang ayahanda perlukan hanyalah doa daripada penerus warismu. Saban ketika, tanpa alpa aku memanjatkan bahasa doa agar ia menjadi peneman ketika penantianmu di sana. Mudah-mudahan ketika dibangkitkan pada hari yang dijanjikan, ia menjadi penolakmu ke syurga Ilahi. Aku benar-benar memohon kepada-Nya. 

“Ya Allah, ampunilah ibu bapa kami, rahmatilah mereka, maafkanlah mereka. Uzurkanlah kekurangan-kekurangan mereka. Limpahilah rahmat-Mu di dunia dan redha-Mu di akhirat. Engkaulah sebaik-baik pemberi kasih sayang. Ameen.” 



Sunday 7 April 2019

Bicara santai: Kunjungan kedua

Subuh di sini

Bersama sejemput tawakal kepada Allah, maka bergulinglah roda kenderaan di dada aspal membelah kedinginan malam yang menusuk tulang sum-sum. Alhamdulillah, hari ini kami sekeluarga memulakan detik safar ke Teluk Intan atas urusan keluarga. Tidak hanya kami, turut ditemani saudara ramai yang lain. 

Bersama detik waktu, bersama denyut nadi, daerahku kian jauh ditinggalkan. Roda kenderaan terus berputar di lebuh raya bersaing dengan kenderaan lain yang masih berpusuan waktu dinihari ini. Masing-masing menuju destinasi dengan sebab dan tujuan tersendiri. 

Bayu subuh terus bertiup lembut menyentuh dedaun di hujung ranting, dinginnya terasa menguasai kulit. Dan apabila azan subuh berkumandang, bumi Teluk Intan berada dalam dakapanku. Lalu kami singgah menunaikan kewajipan mendirikan tiang agama di masjid yang berada di tepi laluan utama ini. Masjid Jamek Kampung Baru Changkat Jong, demikianlah susunan aksara yang kubaca di papan tanda. 

Ada sesuatu yang menarik perhatianku. Usai solat, tatkala imam memimpin bacaan wirid, setiap makmum mengambil tasbih di dalam satu bekas rotan yang diedarkan. Oh, rupa-rupanya setiap daripada mereka turut sama memetik buah tasbih bersama imam. Manakala aku lebih selesa menggunakan ruas-ruas jari untuk mencukupkan bilangan zikir dan tahlil. 

Setelah bersalaman dengan para jemaah sebelum memulakan kembali perjalanan, aku menyandarkan belakang pada tiang kayu bersegi di tengah masjid. Berteleku, bertafakur sejenak. Ada sesuatu yang bermain di minda. Entah tidak tahu bagaimana mahu digambarkan perasaan ketika ini. Tetapi aku merasakan sangat tenang dan damai saat berada di dalam masjid ini. Ya, damai sekali.

Hari sudah beransur samar-samar. Perjalanan masih lagi jauh di hadapan. Namun, perjalanan ini penuh makna. Ia adalah kunjungan kedua selepas lebih sedekad yang lalu.

Thursday 4 April 2019

Untukmu teman (aku)

Teman, 
Tiada kekuatan apa pun yang mampu menggoyahkan jiwa seseorang yang mendapat curahan rahmat Allah. Tiada kegelapan apa pun yang dapat menyesatkan jiwa yang di dalam lindungan-Nya. Tiada keresahan yang mampu merobek jiwa seseorang yang mendapat kasih sayang Allah. 

Sebaliknya hati yang ‘terputus’ dengan tali ikatan Allah amat sulit untuk mengecap tenteramannya kehidupan. Demikianlah jiwa yang gelap tanpa sinar petunjuk-Nya, jalannya berliku dan bergelombang tanpa cahaya kebenaran-Nya. 

Teman, 
Jika Allah SWT mahu memberikan kebahagiaan, ia tidak dapat dihalang oleh mana-mana tangan sekalipun. Tetapi jika Allah SWT menghalang kebahagiaan kepada seseorang, maka ia tidak dapat dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun. 

Oleh itu, sentiasalah berhubung dengan-Nya dan berpeganglah dengan tali-Nya, agar kebahagiaan dan ketenangan sentiasa dihulurkan kepada kita. Biarpun manusia ramai melihat kita tiada apa-apa, sedangkan di dalam dada kita menggenggam sakinah...ketenangan. 

Allahu al-Musta`an..

Wednesday 3 April 2019

Wordless Wednesday: Never give up!

sumber: fb

Salam Isra' Mi'raj, ingat Palestin dan Masjidil Aqsa..

Ketika Nabi Muhammad sedang berada pada peringkat di mana dakwah baginda mulai merentas sebuah jalan antara seksaan dan kemenangan serta mula lahir menjadi bintang-bintang kecil yang berkelip-kelip di ufuk nan jauh, maka terjadilah peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa yang mencarik adat dan di luar kotak pemikiran manusia ini merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab merupakan suatu peristiwa besar yang berlaku ke atas batang tubuh Rasulullah saw. Walaupun ada khilaf di kalangan ulamak mengenai berlakunya Isra' dan Mikraj dalam bulan Rejab, namun apa yang penting ialah banyak pengajaran yang boleh diambil darinya. Di antara perkara penting yang perlu kita ambil ialah hubung kait Isra’ da Mikraj dengan Palestin. 

Isra' Mi'raj, Palestin dan Masjidil Aqsa

Dr Fadl Hasan Abas, seorang ahli akademik pakar ilmu tafsir berasal dari Palestin yang buta matanya, menulis sebuah buku berjudul Nafahat Min al-Isra’ wal Mikraj. Di antara kupasannya menyebut Isra’ Mikraj ialah hari Palestin.

Masjidil Aqsa merupakan destinasi terakhir perjalanan Rasulullah saw di bumi sebelum baginda di Mikrajkan ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT. Hal ini bukanlah kebetulan, tetapi merupakan peraturan Ilahi yang penuh hikmat.

Di Masjidil Aqsa Rasulullah saw bertemu dengan para anbiya' dan menjadi imam solat. Hal ini merupakan satu isyarat tentang pemindahan agama bagi dunia dari bani Israel kepada umat yang baru, Rasul yang baru, kitab yang baru iaitu untuk seluruh alam.

Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (al-Anbiya’: 107)

Surah al-Isra’ turun selepas surah al-Qasas. Surah al-Isra’ juga dinamakan surah Bani Israel. Tentu ada hikmah dinamakan demikian. Disebut Bani Israel bersama peristiwa Isra’ menunjukkan sejarah yang panjang di antara keduanya. Ini mengingatkan kepada orang Islam betapa keturunan bani Israel ini akan bertembung dengan orang Islam terutama dalam isu Palestin ini. Apatah lagi apabila mereka mendakwa punya hak ke atas bumi Palestin ini.

Sikap mereka dalam dakwaan hak ini tersangat sombong dan angkuh, bahkan tidak mempunyai asas yang kukuh baik dari segi agama maupun sejarah. Akan tetapi mereka hanya mengambil penguat atau dalil tersebut dari agama dan sejarah secara rekaan dan pembohongan. (lihat al-Qudsu Qadiyyatu Kulli Muslim – Dr Yusuf al-Qardhawi)

Kaum Yahudi, tabiatnya sentiasa melanggar perjanjian walau pun sudah dimeterai pada mulanya. Lihat di dalam sirah, bagaimana mereka melakukan tipu daya terhadap Rasulullah saw dan para sahabatnya ra.hum. Mereka bergabung dengan kaum musyrikin untuk memerangi Rasulullah saw, menyerang kota Madinah untuk memusnahkan kaum Muslimin di situ.

Di dalam al-Quran banyak menceritakan buruknya sifat permusuhan orang Yahudi terhadap kaum Muslimin. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya kamu mendapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” (al-Maidah: 82)

Pertembungan ini akan terus berlaku sehinggalah hari Kiamat.

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidzi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-orang Islam akan memerangi Yahudi. Orang-orang Islam akan memerangi (membunuh) Yahudi dan mereka akan bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok. (Ketika itu) Batu dan pokok akan akan bersuara 'Wahai muslim! wahai hamba Allah! di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi". (no 7523, riwayat Muslim)

Ketika ini rakyat Palestin sedang diserang bertubi-tubi dan Masjidil Aqsa masih lagi dicengkam regim Yahudi dan sekutunya. Tidakan regim haram ini yang telah melancarkan serangan ke atas Gaza dan perlakuan tidak berperikemanusiaan secara terang-terangan ini wajar dikecam dan dikutuk sekerasnya.  

Justeru, sempena berada di dalam bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita mengambil sebesar-besar iktibar mengenai Isra' dan Mikraj. Janganlah kita hanya mendengar kisahnya saban tahun tanpa ada apa-apa perubahan dan peranan yang dapat kita lakukan.

Marilah kita menyumbang segenap kemampuan dalam usaha untuk membantu saudara seaqidah kita di Palestin, sekurang-kurangnya berdoa setiap kali selepas sembahyang. Mudah-mudahan segala usaha yang kita lakukan diberkati Allah SWT.

Monday 1 April 2019

Bicara santai: Panasnya..

Panasnya..

"Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci. Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang ramai. Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur." (al-Furqaan: 48-50)

Alhamdulillah, hujan turun lagi hari ini membasahi bumi yang sekian lama gersang. Seingat saya hampir tiga bulan tempat kami dilanda kemarau, sehinggakan ada beberapa kawasan berlaku kebakaran. Hari ini adalah hari keempat hujan turun. Sesekali renyai-renyai dan sesekali lebat dengan guruh dan kilat memancar. Tetapi hujan tidaklah turun berterusan selama empat hari melainkan sekejap-sekejap berhenti.

Rumput-rumput yang kekuningan mulai tampak segar dan hijau. Seakan jelas rumput-rumput yang sebelum ini tertunduk lemah, mula berdiri tegak menjulang. Lopak-lopak air mula bertakung kembali. Allahu, nikmatnya hujan yang turun meredakan sedikit kepanasan suhu yang meruap-ruap.  

Demikianlah, bumi yang sentiasa memerlukan air dari langit untuk hidup, sebagaiman firman Allah SWT di dalam surah al-Furqaan, "Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci. Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati". Begitulah perbandingan, bumi dapat hidup dengan air dari langit, manakala hati-hati manusia pula memerlukan wahyu dari langit untuk sentiasa hidup. 

Justeru, untuk memastikan hati sentiasa hidup, lazimilah berada di dalam majlis-majlis yang ada menyebut nama Allah SWT seumpama majlis ilmu atau majlis zikir. Keutamaan berada di dalam majlis ilmu telah disabdakan oleh Rasulullah saw:
 
Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. (Riwayat Muslim - 4867)

Lazimilah majlis ilmu. Duduklah bersimpuh mengadap guru, nescaya akan turun rahmat keampunan dan ketenangan daripada Allah SWT.  (saya mengingati diri)