Sahabat Sejati

Monday 27 August 2018

Seraut damai desaku


Damai desaku.

Melihat pepohon kelapa yang melambai-lambai bagai menggamit sang perantau.
Juga rumpun buluh menghijau dan semilir rimba yang memupuk mesra.
Bau rumput yang baru dipotong serta bau asap dedaun kering yang dibakar.
Ada kokok sang jalak di atas tunggul kering sambil mengirai sayapnya.
Seketika desir angin dan gemersik daun kayu yang berlanggaran.

Tatkala tirai senja gugur, desaku tidur di dalam pelukan selimut malam.
Zikir cengkerik dan tingkah reriang di bawah kolong rumah.
Rayuan rindu sang pungguk pada sang ratu bulan yang jauh meninggi. 
Demikianlah suasana desa, sentiasa mendamaikan hati yang resah.
Maka sang perantau ini menjadi lupa kepada kesibukan dan kekalutan hutan batu.
Semuanya kerana seraut wajah desa nan permai..

Tuesday 21 August 2018

Salam 'Eidul Adha 1439H / 2018M


Para sahabat yang amat ku kasihi, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha ini, marilah sama–sama kita menginsafi diri dan memperbanyakkan amal serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Pengorbanan itu bukan sekadar kita menumbangkan binatang ternakan, tetapi hendaklah dilihat dari kacamata yang lebih luas. Lihatlah, sebagaimana kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Baginda diuji pada perintah menyembelih anaknya sendiri. Seorang bapa diperintahkan meletakkan senjata tajam di tengkuk anak yang selama ini dijaga penuh kasih, jauh dari duri dan bahaya kehidupan.

Namun, apakah kata Nabi Ismail kepada ayahandanya: “Teruskan ayahanda, nescaya engkau akan dapati aku ini dari kalangan mereka yang sabar”, Seruan yang juga bukan calang-calangnya.

Keyakinan yang datang juga dari cinta dan taat yang tinggi kepada-Nya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim membuktikan cinta dan taat kekada kekasihnya, Allah SWT. Baginda tidak tergugat dengan perintah menyembelih anak kesayangannya.

Akhirnya, Allah SWT menukarkan dengan binatang sembelihan yang akhirnya menjadi sunnah ikutan sehinggalah ke akhir zaman.

Oleh itu saya mengajak sahabat-sahabat sekelian, mariah kita menghayati peristiwa besar ini untuk meningkatkan ketaqwaan dan keyakinan kita kepada agama Allah SWT yang maha benar ini. Mudah-mudahan kita semua dipilih oleh Allah SWT menjadi hamba-Nya yang istiqamah dalam perjuangan agama-Nya serta sanggup berkorban tanpa mengira harta, masa, tenaga hatta nyawa sekalipun untuk melihat syariat Allah didaulatkan di dalam negara Malaysia yang tercinta ini. 

Justeru, saya ingin mengucapkan "Aidiladha mubarak, Kullu `Aam wa Antum bi Alf al-Khair" khususnya kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan, semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat-Nya. Ameen.

Wednesday 15 August 2018

Misi ke Lombok, moga dipermudahkan..


Susulan kejadian gempa bumi di Lombok Utara, kami (YAMCP) memutuskan untuk melaksanakan ibadah korban dan aqiqah di sana. Persetujuan ahli mesyuarat dicapai, lalu kami namakan program ini dengan "Misi Korban dan Aqiqah Lombok: Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi."

Jika diikutkan pelaksanaan korban di Lombok tiada dalam senarai pada tahun ini. Namun, atas rasa prihatin dengan apa yang telah berlaku, pihak YAMCP merasa terpanggil untuk melaksnakan misi ini. Ia adalah perkara biasa apabila beberapa lokasi dimasukkan di saat-saat akhir. Semuanya mengikut keperluan semasa. Pada tahun lalu Marawi Mindanao dimasukkan pada saat-saat akhir. Begitu juga tahun-tahun sebelumnya.  

Beberapa ekor lembu dan kambing akan dihantar ke sana untuk tujuan ini. Jumlah sebenar belum muktamad lagi. Mungkin sehari dua ini akan beroleh jumlah sebenar setelah pengiraan kos selesai. Oh ya, maksud "menghantar" ialah membawa wang bagi membeli haiwan korban di sana, bukannya membawa haiwan dari sini.

Wakil kami di sana akan menempah terlebih dahulu dan kami akan membayar harganya sejurus tiba  kemudian. Lagipun harga haiwan korban di sana lebih murah termasuk juga di lokasi-lokasi lain yang kami laksanakan ibadah korban dan aqiqah ini. Di Malaysia sahaja yang agak mahal, entahlah. 
 
Insya-Allah, sehari sebelum 'eidul adha wakil YAMCP akan berangkat ke sana. Turut bersama beberapa wakil daripada Yayasan Amal Malaysia (Pusat) yang akan mengetuai misi ini. Mudah-mudahan misi ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Allahu al-Musta`an. 

Sunday 12 August 2018

Peduli sesama..


Alhamdulillah, kumpulan pertama Yayasan Amal Malaysia telah pun berangkat  ke Lombok Utara pada 3 Ogos yang lalu dalam misi menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa bumi. Bantuan berupa bahan makanan, ubat-ubatan, khemah, selimut dan sebagainya disalurkan terus kepada mangsa-mangsa di pusat penempatan sementara dengan bantuan beberapa NGO tempatan.

Di Kayangan, salah satu daripada Kecamatan dalam Kabupaten Lombok Utara sahaja lebih 170 korban, banyak kecederaan dan lebih 80% kediaman musnah atau tidak selamat diduduki lagi. Majoriti penduduk di Kabupaten Lombok Utara mendiami Posko atau khemah sementara kerana rumah mereka musnah dan phobia untuk berada di dalam rumah kerana masih ada susulan gempa. 

Komentar sahabat saya terlibat dalam misi ke Lombok, 
"Air mataku tertumpah di Lombok. Sungguh besar dugaan mereka. Hanya Allah yang tahu. Tapi aku yakin masyarakat mereka gigih menerima. Raut wajah sedih disembunyikan, kesusahan mereka tidak mampu diceriterakan walaupun yang ada semua menjadi debu. Allah pertemukan kami dengan relawan yang gigih dari seluruh nusantara. Budi baik mereka tiada tandingan. Tiada yang marah-marah dengan tugas yang ada. Yang ada semua diberikan tiada harap balasan. Lombok! aku pamit dulu, sampai ketemu lagi dengan Lombok yang akan makmur. Aku minta permisi."

Insya-Allah, kumpulan kedua akan menyusul pada 3 September nanti dengan misi dan hasrat yang sama. Masa dan waktu yang masih berbaki sekarang kami penuhi untuk mengutip dana dan sumbangan daripada orang ramai untuk dibawa ke sana. Semoga apa yang dilakukan ini diberkati dan dirahmati Allah SWT, seterusnya kami berdoa agar dipermudahkan semua urusan dan beroleh keselamatan dalam misi tersebut. Ameenn.   

Beberapa foto berkenaan misi tersebut:

Berita 1

Berita 2

Berita 3

Berita 4

Berita 5

Friday 10 August 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 110

Salam Jumaat.


"Di antara tanda engkau bersangka baik kepada Allah ialah terus-menerus berdoa, walaupun lambat dikabulkan"

Thursday 9 August 2018

Alhamdulillah, moga Allah membalas kemurahan hati para penderma


Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan semua hal berkaitan misi aqiqah dan qurban di luar negara yang semakin hampir tarikhnya, sempat juga kami (YAMCP) membantu meringankan kepayahan yang dihadapi seorang warga emas di Kampung Kandis Maran. 

Pakcik Hasan bin Mohammad atau lebih dikenali dengan Hamzah Tok tinggal bersama sepupunya disebuah rumah yang hanya layak dipanggil pondok. Pekerjaannya hanyalah menoreh getah di kebun orang  dengan pendapatan yang tidak seberapa. Rumah yang didiaminya tidak mempunyai kemudahan elektrik dan menumpang bekalan air dari rumah jiran.

Ekoran itu, bagi membantu beliau, pihak Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang dengan kerjasama Sekretariat ADUN Chenor telah bersetuju untuk membina sebuah rumah keluasan 20’ X 14’ untuk beliau. Anggaran kos sejumlah RM10,000 bagi tujuan tersebut

Bagi memulakan kempen membina rumah untuk Hamzah Tok, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) telah mengambil inisiatif untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai. Kempen dan promosi dijalankan. Poster ditularkan seluasnya menerusi media elektronik.

Alhamdulillah, dalam jangkamasa tidak sampai dua minggu, jumlah yang dianggar berjaya dikumpul. Paling mengharukan apabila kami menerima sumbangan daripada seorang dermawan sebanyak RM10,000 selain daripada penderma-penderma yang lain.

Justeru, kami telah pun menutup kempen sumbangan tersebut dan telah memulakan kerja-kerja pembinaan rumah kekal untuk Hamzah Tok. Jazakallah khairan jaza' kepada semua penderma.

Monday 6 August 2018

Lihatlah pada diri...fikir-fikir


“Dan apakah mereka tidak memikirkan pada diri mereka sendiri.....” (ar-Rum: 8)

Satu pertanyaan yang bukan sekadar pertanyaan tetapi lebih dari itu, mengandungi saranan. 

Berfikirlah! 

Gunakanlah fikiran! 

Jangan berhenti berfikir! 

Sentiasa memikirkan dan renungkanlah ke dalam diri sendiri! 

Lihatlah pada dirimu, bagaimanakah ia diciptakan. Nescaya bertemulah dengan Maha Kuasa Allah. 

Betapa luarbiasa indahnya diri manusia jika dibanding dengan makhluk yang lain. 

Susunan letak tubuh, keseimbangan wajah, ukuran kedua mata di atas hidung, satu mulut untuk menjamah makanan, di dalamnya terdapat satu lidah yang pelbagai guna untuk melantunkan gema suara. Lebih dari itu buat membezakan rasa masam, manis, tawar, pahit, pedas dan bermacam-macam lagi. Susunan gigi yang merata dengan berbagai jenis. 

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan? 

Lihat pula kepada kedua tangan yang seimbang. Pertautan kelima-lima jari namun kuat tatkala menggenggam. Sedangkan setiap satunya berbeza fungsi dan kegunaan. Hidung yang menyedut dan menghembus udara. Darah yang berganti keluar masuk ke dalam jantung, sedangkan jantung tidak jemu-jemu berdegup sejak lahir sehinggalah manusia menemui kematian. 

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan? 

Tidakkah kita merasa takjub melihat dan memikirkan susunan tubuh kita sendiri. Hati, jantung,limpa dan paru-paru. Lihat bagaimana limpa berfungsi untuk menyaring darah, darah pembagi kekuatan. Dari jantung naik ke otak, dan otak untuk berfikir. Urat-urat yang berselirat berfungsi mengalirkan darah dengan cepat. 

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan? 

Perhatikan pula pada jari! Sudah berbilion manusia yang mati, ramai lagi yang hidup sekarang ini, dan semuanya akan mati serta akan datang lagi manusia baru sehinggalah hari kiamat, namun tidak ada yang serupa cap jarinya, hatta pasangan kembar sekalipun. Tidak sama! 

Sepasang kaki yang cepat melangkah dan pantas berlari sama panjangnya. Kuat menampung berat badan. 

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan? 

Tiap-tiap manusia diciptakan dengan keperibadian sendiri, yang tidak dapat ditukar atau diganti dengan keperibadian orang lain. Saya adalah saya, dia adalah dia, manakala kamu adalah kamu. Mana mungkin saya dapat ditukar atau diganti dengan keperibadian dia maupun kamu atau sesiapa. 

Manusia memang sama jenisnya, tetapi garis hidup yang dilaluinya tidak sama. Ada yang menjadi pemimpin, ada yang menjadi ulama`, ada yang menjadi terkenal seumpama artis, karyawan dan sasterawan. Ada juga yang datang kosong dan pulang juga kosong. Namun yang sama adalah, semuanya tetap mendapat rezeki dari-Nya. 

Perhatikanlah dan fikirkanlah. 

Renungilah keajaiban ini, pasti akan timbul kekaguman, akan timbul rendah hati dan kekerdilan diri.

Tidak akan berhenti ‘perasaan jiwa hamba’ jika akal ini sentiasa merenung dengan mata hati.

“Dan (juga ada tanda-tanda kekuasaan Allah) pada diri kamu sendiri. Kenapa tidak kamu perhatikan?” (az-Zaariyat: 21)

Friday 3 August 2018

Masanya telah tiba..


Cuti 3 bulan telah pun melabuhkan tirainya. Tibalah masa anakanda Ikhwan kembali ke Perlembahan Nil untuk menyambung kembali misi di dalam medan tempur menuntut ilmu. Masa masih berbaki 4 tahun yang perlu dilalui di bumi anbiya'.

Semalam kami menghantar beliau untuk menaiki pesawat di KLIA. Entah mengapa sewaktu melambai buat kali terakhir, tiba-tiba hati saya menjadi sebak dan sayu. Seketika saya memandang ke arah lain untuk meredakan perasaan dan agar tidak terlihat kesedihan yang terlukis di wajah. Semakin berusia sebegini, jiwa saya menjadi semakin sentimental. Begitu mudah mengundang kesayuan.

Tambah terasa lagi tatkala melihat gelagat 'si kecil Haikal yang istimewa' di rumah. Ke sana ke mari dengan baju abangnya di tangan. Sambil dipegang diciumnya berkali-kali lalu menggayakan tangan untuk menyatakan abangnya telah menaiki kapal terbang. Malamnya pula tidur berselimutkan selimut milik abangnya. 

Teringat sewaktu mula-mula pemergian along Ikhwan ke Mesir dulu. Demikianlah hal keadaan si kecil Haikal. Hampir sebulan juga dia berkeadaan begitu. Setelah agak lama barulah dia dapat menerima situasi yang berlaku. Sekarang ini keadaannya pun hampir sama. Insya-Allah, nanti semua akan kembali seperti biasa. Harapnya begitu. Yalah, melihatnya begitu, kita pun turut berperasaan demikian.

Ya Allah, moga diberikan keselamatan dan dipermudahkan semua urusan sepanjang keberadaan di sana. Allahu al-Musta`an.