Sahabat Sejati

Friday 31 December 2010

Ujian dari-Nya, bersabarlah...

Sudah tiga hari sang mentari menyembunyikan wajahnya. Selama itulah juga hujan turun, kadang-kala lebat, adakalanya hanya renyai-renyai sahaja, dan hari masih mendung dan suram. Namun itu amat menggusarkan sesetengah mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dinaiki air.

Saya di pejabat, menjalankan rutin seperti biasa. Tiba-tiba dikejutkan dengan SMS dari seorang sahabat baik. Kami berdua adalah diantara J/K Unit Bencana Alam di dalam Parlimen Indera Mahkota.

"Salam akhi, unit bencana alam diaktifkan. Tiga kawasan terjejas dinaiki air. Sila ke bilik gerakan untuk taklimat dan operasi ke kawasan terlibat."

Termenung seketika, berfikir sesuatu? Mempositifkan apa yang ada di dalam minda agar tidak ada keluhan seumpama menyalahkan taqdir yang telah ditentukan.

Ujian dari-Nya adalah kerana kasih sayang

Allah SWT berfirman: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan dengan merasai kelaparan, dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah: 155-156)

Apa yang dihadapi seharusnya menimbulkan rasa keinsafan yang mendalam di dalam hati kita. Demikianlah semuanya adalah ujian dari Allah SWT kepada para hamba-Nya. Allah SWT menjanjikan berita gembira, pahala dan rahmat serta jalan penyelesaian kepada hamba-Nya yang bersabar.

Justeru itu, teruskan kehidupan yang mendatang. Jadikanlah musibah yang dihadapi ini sebagai titik-tolak atau langkah permulaan bagi kita meneruskan kehidupan dengan penuh ketaqwaan. Dialah Tuhan yang menjadikan kita dan Maha mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Semoga kita semua memperolehi ganjaran yang berlipat kali ganda atas kesabaran menghadapi ujian ini, walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah keadaannya.

Musolla ar-Raudhah turut ditenggelami banjir


Ustaz Nasrudin Thantawi pun sama naik membantu...


Beginilah keadaannya


Semoga Allah memberikan kesabaran kepada mereka...


Semuanya ditenggelami air

Anggota Amal IM yang turut membantu...


Thursday 30 December 2010

KEJOHANAN FUTSAL DPP INDERA MAHKOTA

Program : KEJOHANAN FUTSAL DPP INDERA MAHKOTA
Anjuran Bersama : DACS, DPP Indera Mahkota & JPC Caw. Semambu
Tarikh : 01 JANUARI 2011
Tempat : PLANET FUTSAL, SEMAMBU



JOM KITA PAKAT DATANG RAMAI-RAMAI!!!

Wednesday 29 December 2010

Bola yang dikejar


Malam ini televisyen menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bolasepak Piala Suzuki, di antara Malaysia dan Indonesia. Rasanya majoriti rakyat Malaysia menontonnya. Saya juga tumpang seronok menontonnya bersama keluarga.

Setelah bertungkus lumus, bermandi peluh mengejar sebiji bola di padang akhirnya pasukan Malaysia yang kita cintai muncul juara, dengan agregat 4 - 2. Syabas buat keseluruhan wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia. Bangga menjadi anak Malaysia.

Teringat kata-kata pensyarah sewaktu belajar dahulu: “Kalau nak tengok dunia, tengok orang yang bermain bola. Ditendangnya bola, dikejarnya semula. Setelah dapat bola, ditendangnya semula. Tak disimpannya bola itu, patutnya dah dapat bola bawalah balik.”

Lucu rasanya analogi yang dibuat, tetapi ada juga kebenarannya.

Katanya lagi: “Kita lihat manusia bertungkus lumus siang dan malam mencari kehidupan, mengumpul kesenangan. Sedangkan apa yang kita kumpul itu pasti kita tinggalkan. Tetapi apa yang pasti kita bawa ‘balik’ tidak pula kita bersusah payah mendapatkannya sebagaimana kita mencari dunia tadi. Memang benar, kalau musim durian kita sanggup berjaga malam di kebun menunggu durian luruh, tetapi sanggupkah kita berjaga malam semata-mata untuk berqiamullail.

Cari akhirat dengan dunia

Suatu ketika Umar bin Khattab menghadap Rasulullah saw. Ia mendapati Rasulullah sedang berbaringdi atas tikar yang membekas dibahunya. Umar berkata, "Wahai Rasulullah, mengapa tidak kau ambil tilam?:

Tiba-tiba Rasulullah saw merah padam kerana marah. "Apakah seperti Sarwaih, wahai Umar? Saya ini seorang nabi, bukan raja. Apa ertinya dunia bagiku? Aku dan dunia tidak lain seumpama pengembara yang berjalan di siang terik, ia berteduh sesaat di bawah pohon lalu pergi meninggalkannya."

Kisah ini amat memberi bekas.

Islam tidak pernah mengajar umatnya membenci dunia, tidak sekali-kali! Tetapi Islam mengingatkan umatnya agar berhati-hati dengan dunia. Jangan tergila-gilakan dunia, jangan mabuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat. Bahkan Islam mengajar umatnya bahawa dunia itu penting tetapi bukan tujuan kerana selepas ini ada kehidupan yang lain. Kehidupan yang abadi iaitu negeri akhirat.

Oleh itu, gunakanlah dunia ini dengan sebaik-baiknya untuk menuju kehidupan yang hakiki. Manfaatkanlah harta, masa dan tenaga yang ada untuk mencari keredhaan-Nya. Dunia adalah ladang untuk menyemai, yang hasilnya akan dipetik diakhirat nanti.

Ingatlah pesan Rasulullah saw: "Cinta kepada dunia adalah ibu kepada kerosakan"

Tuesday 28 December 2010

Tahun baru, apa yang baru atau sama sahaja...


Assalamualaykum wrm. teman-teman sekelian,

Tirai 2010 hampir dilabuhkan. Insya-Allah beberapa hari lagi kita semua akan menguak jendela 2011. Pastinya sepanjang 2010 bermacam-macam asam garam yang telah dilalui. Pahit, manis, suka dan duka. Kehidupan manusia memang begitu.

Sambutan tahun baru cukup sinonim, setiap tahun. Boleh dikatakan kebanyakan tempat mengadakannya, khusus di bandar-bandar besar. Berkumpul beramai-ramai, mengira 5, 4, 3, 2, 1... lalu gegak gempita dengan jeritan dan kelakuan persis hilang akal bersama letusan bunga api sebagai pelengkap majlis.

Saya sendiri ada pengalaman itu. Bukan pengalaman menyambut tahun baru, tetapi bersama dalam misi dakwah pada malam tahun baru. Kami adalah "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang". Seawal selepas isya` kami berkumpul di hadapan Masjid Negeri, mengatur strategi lalu bergerak mengedar risalah dakwah, menyampaikan nasihat dan penerangan. Alhamdulillah, penerimaan cukup baik walaupun ada segelintir yang bersikap skeptik, sinis, dan ada juga yang marah-marah sambil menghamburkan kata-kata yang tidak enak didengar. Perkara biasa di dalam medan dakwah.

Jika kita soroti sirah perjuangan Rasulullah saw, baginda menghadapi dugaan lebih dari itu. Rasulullah saw juga pernah disakiti, dicerca, dihina dan dituduh pembawa ajaran sesat oleh kafir Quraisy lantaran usahanya untuk menyebarkan Islam. Tetapi baginda telah menunjukkan contoh terbaik dalam berdakwah iaitu membawa falsafah kesabaran dalam dakwah dan perjuangannya. Baginda begitu sabar dan gigih menyebarkan ajaran agama sehingga sanggup disakiti dan diseksa oleh kaum musyrikin. Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakan pengikut baginda adalah terdiri daripada ahli keluarganya dan golongan masyarakat bawahan.

Apabila turun perintah Allah SWT agar berdakwah secara terang-terangan sebagaimana firman-Nya:

"Maka sampaikanlah secara berterus-terang semua yang diperintahkan kepadamu. Dan janganlah kamu endahkan orang-orang musyrik itu." (al-Hijr: 94)

Maka baginda memperhebatkan kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka dan semakin ramai yang mengikutinya. Tetapi pada masa yang sama, baginda menghadapi berbagai-bagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin Mekah Quraisy yang pekat mempertahankan agama nenek moyang mereka.

Tercatat di dalam Sirah Nabawiyyah, peristiwa yang berlaku di Taif di mana memperlihatkan kesabaran yang tinggi serta akhlak seorang Rasul yang membawa rahmat ke seluruh pelosok alam.

Rasulullah menerima cacian tersebut dengan tenang. Baginda tidak menaruh dendam kepada mereka. Para pembesar telah melakukan bermacam-macam perkara untuk menentang Rasullullah daripada berdakwah. Baginda tidak menghiraukan ugutan mereka. Baginda terus menyeru penduduk Taif agar memeluk agama Islam.

Apabila gagal mengusir Rasulullah, mereka menyuruh semua penduduk Taif mengejek dan menghina baginda. Ramai penduduk Taif akur. Apabila Rasulullah dan Zaid lalu di hadapan mereka, mereka akan mengejek baginda.

Namun baginda hanya tersenyum. Ada juga yang kagum dengan kesabaran baginda. Namun bilangan mereka itu kecil sahaja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Penduduk Taif mencapai kayu dan batu lalu membaling ke arah Rasulullah dan Zaid. "Berlindunglah di belakang saya, Rasulullah," kata Zaid.

Zaid melindungi Rasulullah. Apabila ada kayu atau batu dibaling ke arah mereka, Zaid akan segera menepis.

Beliau mengalami luka parah akibat terkena batu dan kayu yang dibaling itu. Zaid tidak menghiraukan kesakitannya. Kasih sayangnya terhadap Rasulullah melebihi segala-galanya. Rasulullah hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Rasulullah dan Zaid berjalan keluar dari Kota Taif dalam keadaan cedera dan keletihan. Baginda kesal dengan sikap penduduk Taif. Selama sepuluh hari baginda berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah, mereka masih enggan.

"Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu. Aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Aku mengaku penghinaan manusia terhadapku," doa baginda sewaktu dalam perjalanan.

Malaikat Jibrail mendengar doa itu. Lalu meminta kebenaran untuk menurunkan bala ke atas penduduk Taif. Baginda tidak membenarkannya.

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberikan rahmat dan hidayah kepada orang-orang yang telah menghina dan mencaci baginda.

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, dikeji, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar orang yang menganiayai baginda memperoleh kebaikan.

Celikkan mata dan minda

Semua orang yang waras atau berakal sihat barangkali terkejut dengan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)baru-baru -ini yang menyebut bahawa jumlah anak luar nikah di kalangan gadis melayu yangberagama Islam pada tahun 2009 adalah 17,300 orang. Bilangan yang amat menakutkan.

Bagi tempoh 2004 sehingga 2009, jumlahnya adalah 74,723 orang. Sudah tentu angka-angka itu tidak termasuk bayi-bayi bangsa lain, bayi-bayi yang tidak didaftarkan, dibuang atau tidak sempat menikmati kehidupan di dunia ini. Sudahlah dosa terlanjur, anak pula di buang seumpama sampah.

Bayangkan dalam tempoh lima tahun lagi, bagaimana pula angkanya? Suatu jumlah dan fenomena yang memalukan dan menakutkan! Ia juga membawa konotasi, sebenarnya gadis remaja yang terjebak dalam keterlanjuran dan perzinaan lebih ramai daripada itu.

Jika dicampur dengan masalah-masalah sosial lain seperti penyalahgunaan dadah, ragut, rempit, merompak, membunuh dan sebagainya, sudah pasti kita tidak senang duduk memikirkan nasib masyarakat kita khususnya remaja hari ini.

Silap siapa? Tepuk dada tanya iman di dada yang setipis kulit bawang ini.

Satu cerita

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Beliau duduk menghadap murid-muridnya. Ditangan kirinya ada kapur, ditangan kanannya ada pemadam.

Guru itu berkata, "saya punya permainan... Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "kapur", jika saya angkat pemadam ini, maka berserulah "pemadam".

Murud-muridnya mengerti dan mengikut. Guru itu berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru tersebut kembali berkata, "baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka berserulah "pemadam", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "kapur".

Dan diulang seperti tadi, tentu sahaja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. namun lambat-laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa ketika, permainan berhenti. Guru itu tersenyum kepada murid-muridnya.

"Anak-anak, begitulah umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita lewat berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya.

Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tetapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat-laun kamu semua terbiasa dengan hal itu. Dan kamu mulai dapat mengikutinya.

Musuh-musuh umat Islam tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dengan etika. "Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal lumrah, seks sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain".

"Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, kamu sedikit demi sedikit menerimanya. Faham?" Tanya guru kepada murid-muridnya. 

"Faham cikgu..."

Kami mohon perlindunganMu Ya ALLAH! Selamatkan kami dari kemurkaan-Mu.

Anda mampu mengubahnya!!!

Monday 27 December 2010

Hujan adalah rahmat buat semua

"Ya Allah, ya Tuhan kami! Jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami"

Saya melangkah keluar dari masjid, di luar rintik-rintik hujan mula berguguran. Malam ini kuliah maghrib telah disampaikan oleh seorang pendakwah yang diundang khas dari utara semenanjung. Alhamdulillah, cukup bertenaga kuliah yang disampaikan.

Sempat saya bertemu dengan ustaz tersebut, bersalam dan memeluknya serta memohon doa darinya. Itulah yang sering saya lakukan tatkala bertemu dengan alim ulama`, meminta doa mereka, mudah-mudahan dengan berkat amalan mereka yang soleh dan paling ikhlas. Insya-Allah.

“Doakan kebaikan untuk ana, ya ustaz,” kata saya.

”Enta pun doakan untuk ana juga,” balasnya sambil menyuakan senyuman. Kemesraan segera berputik. Manisnya ukhuwah di atas nama dakwah dan perjuangan.

“Musim tengkujuh belum habis lagi,” saya bersuara sendirian sambil cepat-cepat menuju ke kenderaan. Bimbang melihat rintik hujan yang mula bertukar menjadi semakin lebat.

Memandu sendirian di keheningan malam, berteman iringan merdu zikir munajat oleh almarhum ustaz Asri Ibrahim di corong radio mencetuskan damai ke dalam diri.. Suara emas yang masih tiada penggantinya lagi.

Masih terasa akan kehilangannya. Nasyidnya, zikirnya dan tazkirahnya adalah peneman dan penghibur semenjak di alam persekolahan. Semoga semuanya menjadi amal soleh buatnya.

Nostalgia ketika hujan

Teringat perbualan dua orang ‘abang’ ketika sedang menunggu bas untuk pulang ke asrama semasa belajar dahulu. Wah! Pakaian mereka, ‘rock kapak habis’. Anda tahu rock kapak? Cukup terkenal di tahun 80-an dan 90-an dulu. Anda boleh saksikannya dalam filem `ROCK` yang ditayangkan satu ketika dahulu, yang salah seorang pelakonnya adalah Que Haidar.

“Hish..hujan la pulak, wa kalau hujan-hujan ni yang leceh ni...” kata seorang daripada mereka, dengan nada yang seperti kecewa.

“A`ah, lebat gilerr, wa cakap lu...” sampuk pula teman disebelahnya sambil mengerbangkan rambutnya yang panjang mengurai. NGERI...

“Apalah...hujan pun leceh...gilerr, kan ke rahmat Tuhan,” saya berkata di dalam hati. Bimbang juga kalau menegur dengan suara yang kuat nanti diherdik atau dijentik, walaupun saya mengenali mereka berdua. Satu kampung.

Hujan adalah rahmat

Hujan adalah rahmat Tuhan, itu yang sentiasa kita sematkan di dalam hati. Kadang-kadang ada yang memandang hujan sesuatu yang tidak baik, memberi masalah. Kita tidak dapat bersiar-siar bersama keluarga, tidak dapat menjemur pakaian dan menyebabkan bermacam-macam aktiviti terbantut, sebab hujan. Kita terlupa bahawa hujan menghidupkan pokok-pokok, menghidupkan alam. Dan faedah kebaikan ini berbalik semula kepada kita, tetapi kita tidak menyedarinya dan tidak pernah terfikirkannya.

Allah SWT berfirman:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, kami halakan dia ke negeri yang mati (daerah yang kering-kontang), lalu Kami turunkan hujan dangan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (al-A`raaf: 57).
Satu hadis yang masyhur:

Daripada`Atha` bin Abu Rabah ra. katanya, dia mendengar Ummul Mukminin A`isyah rha. berkata: "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah baginda berjalan mundar-mandir. Apabila hujan turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan kegelisahannya hilang. A`isyah berkata: Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda begitu gelisah." Baginda menjawab: Aku bimbang kalau-kalau angin mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Muslim)

Malaikat Mikail yang menguruskan hujan, mengatur pergerakan awan dan angin, tumbuh-tumbuhan serta rezeki makhluk dengan perintah Allah SWT. Tidak setitis pun hujan yang turun dari langit serta tidak bergerak seinci awan melainkan dengan campurtangan Malaikat Mikail. Demikianlah apa yang disebut oleh Imam Ibnu Kathir di dalam kitabnya.

Satu kisah yang tercatat di dalam Sahih Bukhari daripada Sayyidina Anas ra. Turut dimuatkan di dalam Sahih Muslim. Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat semasa Rasulullah saw sedang memberi khutbah. Lelaki itu memberitahu Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, telah binasa segala harta (akibat kemarau) dan berbagai usaha telah dilakukan. Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami.”

Maka Rasulullah saw pun mengangkat kedua tangan dan berdoa tiga kali dengan ucapan: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami.”

Anas berkata: “Demi Allah, tidak kami melihat satu awan pun di langit walau secebis antara kami dan bukit Sala`. Tiba-tiba muncul awan di langit seperti rupa perisai, maka ketika awan tersebut berada di tengah langit, ia berkembang dan kemudian menurunkan hujan. Demi Allah, tidaklah kami melihat matahari selama seminggu (hujan turun terus menerus selama seminggu). Kemudian seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw pada Jumaat yang berikutnya semasa khutbah. Lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, telah binasa segala harta (kerana banjir) dan berbagai usaha telah dilakukan, maka mohonlah kepada Allah untuk menahannya daripada turun (menahan hujan daripada berterusan turun)”. Maka Rasulullah saw pun mengangkat tangan berdoa: “Ya Allah, jadikanlah hujan ini turun disekitar kami dan bukan atas kami. Ya Allah, turunkanlah ianya atas gunung-ganang, bukit-bukau, lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.”

Seketika juga kami keluar dan berjalan di bawah sinaran matahari (hujan telah berhenti).

Allah yang Maha Pemurah yang menurunkan hujan dalam jumlah yang dikehendaki-Nya dengan ilmu-Nya Yang Maha Luas.

“Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” (al-Mukminun: 18)

Sunday 26 December 2010

Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza



Saya memang suka memerhati. Banyak tempat yang saya pergi saya akan sentiasa memerhati. Pelikkah? Mungkin ya bagi sesetengah orang, mungkin juga hanya sesuatu yang biasa.

Apa yang saya perhati. Saya suka memerhati gelagat manusia, saya suka memerhati alam semulajadi dan saya juga suka memerhati apa yang berlaku di sekeliling. Saya memerhati bukan dengan pandangan mata yang kosong tanpa warna. Saya memerhati untuk mencelikkan mata hati dan mencetus rasa peduli.

Saya memerhati bukan kerana mahu tahu apa yang tiada pada orang lain, jauh sekali untuk mencari kelemahan dan kekurangan mereka. Saya memerhati untuk menilai dan mengenal diri agar terbit rasa syukur dengan apa yang dimiliki.

Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza

Sesungguhnya manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4. Benar manusia memang makhluk terbaik dan istimewa. Mereka boleh melonjak melebihi darjat malaikat jika keimanannya kukuh dan menebal serta boleh turun sehina-hina haiwan jika menurut hawa nafsu dan menyeleweng dari jalan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Ada ketikanya timbul pertanyaan dari akal saya yang dangkal dan cetek ini, "mengapa Allah menjadikan manusia itu ada yang cantik dan ada yang tidak, ada yang berkulit cerah dan ada yang berkulit gelap, ada yang bermata sepet, ada yang bergigi jongang, ada yang telinga kecil, ada yang kening tebal dan berbagai-bagai persoalan lagi." Begitulah cetusan akal cetek dan jahil seorang manusia serta pandangan mata makhluk yang serba tidak sempurna ini.

Saban malam saya memerah otak mencari jawapan yang dapat meredakan hati, kadang-kadang bertamu hingga ke alam mimpi. Saya masih mencari jawapan yang hakiki. Akhirnya saya temui jawapannya di dalam majlis ilmu di kalangan sahabat saya.

"Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza" kalimah inilah yang membangkitkan saya dari persoalan yang mendodoi-dodoi hidup. Allah SWT berfirman:

"Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat dosa) terhadap Tuhan kamu Yang Maha Pemurah.
Tuhan yang telah mengatur kejadianmu lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya diadakan anggota itu) serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya.
Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki, Dia susunkan kejadianmu." (al-Infithar: 6-8)

Subhanallah! Rupa-rupanya setiap kejadian anggota badan sesuai dan seimbang dengan anggota yang lain. Mungkin mata yang sepet sesuai dengan muka yang panjang, mulut yang luas kerana sesuai dengan giginya, mungkin juga jari yang panjang sesuai dengan lengan yang kurus. Mungkin juga jerawat yang tumbuh di pipi sesuai dengan wajahnya. Semuanya seimbang menurut susunan yang dikehendaki-Nya. Ya Allah dangkalnya akalku, ceteknya pengetahuanku.

Sentiasa bersyukur dengan pemberian-Nya, adapun akal kita dangkal untuk memikirkan hikmah disebalik setiap kejadian-Nya

Syukur dan terus bersyukur dengan limpah kurnia-Nya kerana Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Walaupun kita rasa kita tidak cantik dan tidak menarik, ada jerawat, kulit gelap dan sebagainya. Firman Allah SWT:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)

Kemudian ditambah lagi dengan satu hadis Rasulullah saw untuk ketenangan hati.

Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan juga longgokan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada amal ibadat dan hati kamu." (Muslim)

Alhamdulillah. Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza. Jiwa saya tenteram.

Saturday 25 December 2010

Satu hari ....


Meluat rasanya melihat muka si 'lepat pisang' berhidung kemek memakai topi santa klaus sambil mulut ber'ho..ho..ho' di sebuah pusat membeli belah. Berjalan dengan bangganya sambil tangan menghulur semacam 'voucer' kepada setiap pengunjung.

Apa yang saya nampak adalah kelemahan jati diri yang membarah seumpama sarang labah-labah. Kemaruk mahu menjadi barat, barangkali. Kasihan...

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Hukum Sambutan Hari Krimas Oleh Umat Islam

Rata-rata masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai penganut berbeza agama. Manakala dalam setiap agama pula mempunyai tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati sesuatu peristiwa. Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan beberapa buah negara di Timur Tengah.

“Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua perkara ; Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan kedua : pengorbanan Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.

Persoalan : Adakah perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?

Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada dua :

1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :

Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat Islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.

Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka."

Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.

Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :

• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda saw yang berbunyi :

Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)

• Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah SWT berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (al-Maidah: 51)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (saw) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul." (al-Mumtahanah: 1)

• Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum tertentu, seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :

Telah menceritakan kepada kami 'Ubaid bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam dari Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk menemui aku saat itu di sisiku ada dua orang budak tetangga kaum Anshar yang sedang bersenandung, yang mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum Anshar pada perang Bu'ats." 'Aisyah melanjutkan kisahnya, "Kedua sahaya tersebut tidaklah begitu pandai dalam bersenandung. Maka Abu Bakar pun berkata, "Seruling-seruling setan (kalian perdengarkan) di kediaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam!" Peristiwa itu terjadi pada Hari Raya 'Ied. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan sekarang ini adalah hari raya kita." (Hadith ke-899 riwayat Imam Bukhari)

Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan Allah, maka tidak harus kita menyertainya.

2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :

Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.

Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).

Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (an-Nisaa’: 86)

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (al-Mumtahanah: 8)

Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.

Kesimpulan: Agama Islam merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :

1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.

2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa gembira dengan perayaan ini tetapi hanya ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.

Apa yang paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.

Rujukan :

1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da'ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr Ikrimah Sobri.

Friday 24 December 2010

Dimana dapat kumiliki kebahagiaan

Pernahkah kita menghitung berapa minitkah kesempatan hidup yang dimiliki setiap hari semalam?
Pernahkah kita memikirkan adakah setiap minit yang dilalui diisi dengan kebaikan atau adakah kita pernah bertanya berapa minitkah yang digunakan untuk menambah amal?

Kadang-kadang tanpa di sedari kita telah membuang percuma dan menyia-nyiakan kesempatan hidup yang amat bererti ini. Kita semua diperuntukkan sebanyak 24 jam tidak kurang dan tidak lebih, tidak ada yang mendapat lebih 25 jam tidak juga yang mendapat 23 jam. Semuanya sama 24 jam, jangka masa yang panjang untuk kita meraih kebahagian dan ketenangan hidup.

Tanpa ketenangan jiwa, manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan waras.

Mencari kebahagian dan ketenangan

Kebahagian dan ketenangan hidup adalah dambaan setiap manusia. Tidak ada yang menolak kebahagiaan. Jika ditanya apakah mereka mahukan kebahagiaan dan ketenangan , pasti mereka akan menjawab "ya, kami mahukannya, kami benar-benar memerlukannya." tapi bagaimana?

Ada yang beranggapan kebahagiaan hadir apabila mempunyai harta yang banyak, rumah yang besar, pangkat dan kedudukan. Ada yang rasa bahagia jika ada pengaruh dan ramai pengikut. Benarkah demikian? Cuba lihat berapa ramai yang memiliki semua itu tetapi adakah mereka semua bahagia, adakah mereka memiliki ketenangan, belum pasti.

Sesungguhnya kunci kebahagiaan dan ketenangan jiwa adalah dengan menghindari dosa dan maksiat. Bukankah ia termasuk dalam asas kehidupan, disamping kenikmatan dan kebahagiaan? Dengan meninggalkan dosa dan maksiat mereka akan menjadi orang yang beruntung dan bahagia.

“Daripada al-Nawwas bin Sam’aan Radiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” [Hadith Riwayat Muslim]

Marilah sahabat sekelian kita muhasabah diri, peruntukkan sedikit masa sebelum tidur untuk menyoal diri kita apakah dalam 24 jam hari ini kita telah menunaikan kewajipan yang telah diperintahkan. Jika "ya" alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah. Tetapi jika jawapannya kurang maka mintalah ampun dan bertaubat kepada-Nya. Tingkatkanlah ketaqwaan dan mutu ibadah kerana daripada Dialah kita mendapat sumber kekuatan bagi menghadapi segala sesuatu.

Perhatikanlah firman Allah SWT ini:

"Wahai manusia, telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa), dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Yunus: 57).

"Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." (al-Isra`: 82)

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (al-Ra‘d: 28)

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah." (al-Zumar: 23)

Sesungguhnya setiap penyakit itu ada ubatnya.

Anda ada jawapannya?

Thursday 23 December 2010

Melihat Allah di hari akhirat

Soalan:

Masalah melihat Allah dengan 'mata kepala' menjadi pertengkaran yang tiada kesudahannya. Yang kata boleh melihat Allah menggunakan alasan al-Quran dan as-Sunnah, golongan yang kata tidak boleh juga menggunakan alasan yang sama. Mana satu yang boleh diterima pakai. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Masalah yang anda kemukakan sepatutnya tidaklah sampai kepada tahap pertengkaran yang mengundang pecah belah dan masam muka.

Perkara ini bukan perkara besar dan kalau pun berlaku masalah yang disebut sebagai melihat Allah SWT itulah bukanlah masalah di dunia ini, tetapi ianya masalah di akhirat nanti. Sesudah akhirat nanti, barulah kita tahu, boleh atau tidak kita melihat Allah.

Oleh kerana itu pada saya, jika wujud pertengkaran sebagaimana yang anda utarakan, ianya tidak akan memberi manfaat apa-apa selain mengundang perpecahan.

Firman Allah (mafhum-Nya): "Pada hari akhirat itu, wajah-wajah (orang mukmin) berseri-seri; melihat kepada Tuhannya". (Surah al-Qiyamah: 22-23)

Mengenai perkara ini, banyak perbincangan dan pendapat dikalangan ulama. Tetapi jelas pada ayat ini bahawa Allah SWT akan memberi peluang kepada orang-orang yang beriman, melihat-Nya pada hari kiamat.

Untuk mengendurkan ketegangan atau merungkaikan permasalahan yang anda hadapi, bolehlah saya tumpang perjelaskan bahawa. "Orang yang mengatakan Allah tidak boleh dilihat, adalah berpandukan ayat al-Quran sebagaimana firman Allah (mafhum-Nya): "Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan ingatlah Dialah yang mentadbir segala-galanya. Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata). Dan Dialah Yang Maha Halus, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-An`am: 102-103)

Ayat tersebut adalah ditujukan kepada semua makhluk yang berada di dalam dunia hari ini. Makhluk-makhluk keseluruhannya, ada mata yang boleh melihat, tetapi untuk melihat ke alam akhirat ini dinafikan Allah untuk melihatnya.

Secara tabiinya, kejadian makhluk Allah, diletakkan tutupan atau penghalang bahawa mereka tidak boleh melihat Allah sama sekali.

Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw (mafhumnya): "Seandainya Allah membuka hijab (penutup mata) manusia di dunia ini, maka bolehlah mereka melihat Allah."

Oleh kerana hijab atau penutupan itu tidak dibuka, maka semua pandangan makhluk kepada Allah, terhalang.

Adapun hujah lain, dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda (mafhumnya): "Sembahla Allah, seolah-olah kamu melihat Allah, kalau kamu tidak dapat juga melihat Allah, maka Allah melihat kamu."

Hadis ini merujuk kepada penglihatan mata batin ataupun hati terhadap kebesaran dan keagungan Allah, bukan dengan melihat dengan mata kepala.

Inilah juga, jika kita merujuk kepada peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa as. Nabi Musa tatkala diperintahkan mengadap Allah, sehingga boleh bercakap dengan Allah SWT, baginda memohon untuk melihat Allah dengan mata kepalanya.

Allah SWT menjawab kepada Nabi Musa, "Kamu tidak boleh melihat Daku."

Kisah sepenuhnya disebut oleh Allah dalam firman-Nya (mafhum): "Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang telah Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata; "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu. Allah berfirman; "Engkau tidak sekali-kali tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku." Setelah Allah Tajalla (menzahirkan kebesaran-Nya, kepada gunung itu, maka gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman." (surah al-A`raaf: 143)

Mengikut sesetengah mufassirun, Allah bukan menampakkan diri-Nya kepada bukit, kerana bukit tidak melihat Allah dengan matanya, kerana bukit tiada mata seperti manusia.

Apa yang berlaku kata mufassirun, Allah sekadar mempamerkan Keagungan dan Kehebatan-Nya kepada bukit, sehingga bukit yang pejal dan kukuh hancur luluh.

Bayangkan jika Allah tunjukkan yang seperti itu kepada Nabi Musa atau kepada manusia, tanpa ada perisai atau pelindung, tentulah Musa walaupun rasul, pasti akan hancur berkecai.

Kerana itulah Nabi Musa as yang diberi keizinan untuk bercakap dengan Allah, pun tidak dibenarkan melihat Allah di dunia, bagaimana kita atau yang selain daripada Nabi Musa, boleh melihat Allah?

Pada saya, cukuplah kita dengan pegangan, bahawa masalah ini terlalu akademik, dan terlalu relatif. Usahlah diperbahaskan atau dipanjang bicarakan.

Tunggulah di hari akhirat nanti, dengan izin Allah SWT, kita boleh melihat Allah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday 22 December 2010

Dalam al-Ma`arij ada ingatan

Sesungguhnya mereka memandang (azab itu) jauh sekali.
Sedangkan kami memandangnya amat dekat (tetap akan berlaku).
Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair.
Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu (yang berterbangan).
Dan tidak ada seorang teman akrab pun yang menanyakan temannya.
Mereka saling melihat (antara satu dengan yang lain). Orang yang berdosa pada hari itu ingin anak-anaknya menebus (dirinya) daripada azab itu.
Dan isteri serta saudaranya.
Kaum keluarga yang melindunginya.
Dan orang-orang yang ada di atas bumi, maka (semua itu) diharapkannya dapat menyelamatkannya.
Tidak sekali-kali. Sesungguhnya neraka itu api yang menyala.
Yang menggugurkan kulit kepala.
Yang memanggil orang yang membelakangi dan yang memalingkan mukanya.
Dan orang yang mengumpulkan (harta) dan menyimpannya.”

(al-Ma`arij: 6 - 18).

Demikianlah di antara peringatan hari kiamat yang disebut di dalam al-Quran. Sesungguhnya cara yang terbaik untuk mempelajari perihal kiamat ini adalah dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw. Mempelajari perihal kiamat ini ialah sebagai satu peringatan agar manusia tidak lalai dan hanyut dalam angan-angan yang panjang dan serta hidup semata-mata untuk membangun dunianya sahaja.
Lihatlah apa yang berlaku pada zaman sekarang, manusia rakus mengejar kemewahan dan kebendaan seolah-olah lupa pada ketentuan yang pasti ini.

Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan, tetapi biarlah kekayaan itu tidak menghalang dari mengingati Allah. Malahan Islam menggalakkan umatnya menjadi kaya kerana dengan kekayaan itu dia dapat berperanan sebagai juruwang kepada saudara yang miskin melalui zakat, sedekah, infaq dan sebagainya. Demikianlah yang kaya menjadi pembantu yang miskin, yang kuat menjadi pelindung kepada yang lemah, yang alim menjadi sumber ilmu kepada yang jahil. Bukankah Islam itu saling lengkap melengkapi?

Akhir kalam, ingatlah kehidupan ini adalah satu pelayaran menuju destinasi yang pasti. Dunia hanyalah sementara dan tempat untuk kita menyemai bekalan. Semailah sebanyaknya bekalan agar kita dapat menuai di sana.

Semoga kita semua mendapat petunjuk dari-Nya.

Tuesday 21 December 2010

Umpama sarang labah-labah


Petang yang mendamaikan, di tepi perigi berhampiran pagar yang banyak menyimpan kenangan semasa kecil. Suka dan duka.

Sungguh asyik saya memerhatikan sang labah-labah membina rumahnya. Ia membina rumahnya dengan benang-benang halus yang dihasilkan tubuhnya dan disulam menjadi sebuah jaring. Ia melempar benang yang dipintalnya ke udara lalu aliran udara ini membawanya ke tempat tertentu dimana ia menempel. Lalu kerja menyusun benang-benang itu dimulai. Mula-mula labah-labah menarik tegang benang dari titik pusat ke arah luar untuk mempersiapkan rangkanya. Kemudian menggunakan benang jenis kendur yang melekat untuk membuat lingkaran dari arah luar ke dalam. Benangnya di susun dan dianyam dengan rapi untuk membentuk satu jalinan yang tersusun, cantik.

"Subhanallah...subhanallah..." itulah yang termampu saya ucapkan dengan akal yang pendek dan terbatas ini.

Rumah labah-labah

Anda tentu biasa melihat sarang labah-labah. Ianya mudah ditemui dan terdapat di mana-mana hatta di dalam rumah kita. Tidak ada orang yang suka kepada sarang labah-labah kerana mencacatkan pemandangan, dan menandakan sesuatu itu telah usang dan lama apabila sudah dilitupi sarang labah-labah.

Allah SWT berfirman:

"...dan sesungguhnya rumah-rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah, kalau mereka mengetahui." (al-Ankabut: 41)

Allah SWT menyebut bahawa sarang labah-labah adalah rumah yang paling lemah. Mengapa? Perhatikan, lemah kerana ia paling gagal berfungsi sebagai rumah kerana tidak dapat memelihara penghuninya daripada panas matahari dan siraman hujan. Malah jika dirempuh ranting atau dibaling batu kecil pun, rumah ini akan musnah dengan mudah dan tidak akan memberikan perlindungan kepada labah-labah lagi, maka ia terpaksa membina semula rumahnya. Demikianlah keadaannya. Bagaimana pula aqidah yang seumpama sarang labah-labah?

Islam adalah agama yang berteraskan aqidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah SWT kemudian di ikuti kepada malaikat-Nya, Rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat dan keyakinan kepada qada` dan qadar dari-Nya. Hasil dari keyakinan inilah, lahirnya kesedaran, kesanggupan dan ketaatan dalam melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ini dapat dilihat dalam sejarah dakwah Rasulullah saw yang berusaha menanam aqidah yang mantap kepada para sahabat ketika di Makkah. Selama 13 tahun Rasulullah saw mengajar dan mendidik mereka sehingga lahir dikalangan mereka yang sanggup mempertahankan Islam tanpa berbelah bagi. Kita biasa mendengar nama-nama seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Bilal bin Rabah, Mus`ab bin Umair dan ramai lagi. Mereka membuktikan keimanan mereka yang sejati dan ini tidak mungkin berlaku tanpa aqidah yang mantap dan kukuh.

Dalam kehidupan di zaman yang amat mencabar ini, kita haruslah memastikan aqidah diri, keluarga serta masyarakat ditanam dengan kukuhnya. Tetapi ini semua bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak faktor yang menyumbang ke arah kerosakan aqidah kini. Kita lihat kebejatan akhlaq dan moral serta pemujaan budaya hedonisma yang melampau-lampau dikalangan masyarakat kini. Cuba lihat di televisyen program realiti TV "macam-macam ada" ada untuk kanak-kanak, ada untuk remaja, ada untuk orang dewasa dan untuk yang dihujung senja pun ada.

Kita amat bimbang kerana ini adalah jarum suntikan yahudi untuk melekakan umat Islam. menurut satu artikel yahudi menggunakan beberapa strategi untuk merosakkan pegangan umat Islam serta menjuhkan mereka dari pegangan agamanya. Strategi tersebut dikenali sebagai 5F-4S:

-Film
-Family
-Fashion
-Fun
-Food

-Song
-Sex
-Smoke
-Sport

Berhati-hatilah sahabat semua, mantapkanlah aqidah dan keimanan kita kepada Allah SWT. Percayalah hanya Islam yang boleh membawa kepada kebahagian. Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Lebih memerhati

Oleh itu perhatikanlah ciptaan Allah agar kita dapat mengambil pengajaran dan pelajaran. Sesungguhnya segala ciptaan Allah itu tidak sia-sia, pasti ada manfaat dan gunanya. Hanya kita sahaja yang tidak mengetahui dan memahaminya. Inilah yang Allah maksudkan dalam surah Ali-Imran ayat 191: "Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan waktu berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi, seraya mereka berkata "Wahai Tuhan kami, tidak engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka jauhkanlah kami dari azab neraka".

Subhanallah! Maha Suci Allah yang bersifat dengan Maha Bijaksana, hanya menggunakan labah-labah yang dikenali oleh siapa sahaja sebagai perumpamaan menggambarkan kerapuhan aqidah dan iman golongan yang menurut hawa nafsu ini sebagai metode paling mudah untuk difahami. Labah-labah adalah haiwan kecil berkaki lapan yang memerangkap serangga sebagai makanannya dengan jaring yang juga rumahnya.

Semoga kita semua lebih memerhati...

Monday 20 December 2010

Hikmah memberi nasihat



Saya singgah di sebuah masjid untuk bersolat asar. Sementara menanti iqamah dilaungkan saya bersandar di dinding belakang sambil memerhatikan suasana di dalam masjid. Kelihatan ramai pelajar KAFA yang turut sama di dalam masjid. Ada yang berbual, ada yang bergurau sesama mereka, tidak kurang juga yang bermain-main.

Sebenarnya masjid tersebut berada di dalam satu kawasan dengan bangunan KAFA. Jadi, mereka bersolat asar terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Suasana agak hingar-bingar dengan suara mereka.

“Diam sikit, macam pasar!” tiba-tiba kedengaran suara separuh menjerit dari sebelah muslimat. Saya tersentak.

“Bising apa lagi ni, orang dah nak sembahyang tu!” sekali lagi kedengaran suara yang sama. Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Siapa yang buat bising pelajar atau si ‘ustazah’ yang bersuara itu. Beberapa orang pakcik menggeleng-gelengkan kepala. Entahlah apa yang ada di dalam kepala mereka.

“Diamlah!”

Satu perbandingan

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz di dalam satu kuliah.

Sebiji bola yang ditendang mengenai tingkap sebuah gereja yang menyebabkan tingkap itu pecah. Budak-budak yang bermain bola itu merasa takut. Mereka berkira-kira ingin melarikan diri. Tiba-tiba keluar seorang paderi yang menjaga gereja itu, lalu dia memanggil budak-budak yang bermain bola tadi. Sambil tersenyum si paderi itu memberi sebiji gula-gula getah kepada setiap seorang lalu menyuruh mereka memakannya. Ketika budak-budak tersebut leka mengunyah, dengan suara yang lembut dia menasihati mereka semua.

Budak-budak tersebut hanya mendengar tanpa berkata apa-apa kerana sibuk mengunyah gula-gula getah. Setelah selesai menasihati, si paderi tadi pun
memulangkan bola mereka semula, dan berlalu untuk melihat kerosakan tingkap tersebut. Selesai satu masalah.

Bagaimana agaknya jika bola itu terkena tingkap masjid, lebih buruk lagi jika tingkap itu pecah. Bolehkah kita bayangkan apa reaksi ahli masjid. Bagaimana agaknya nasib budak-budak yang mengakibatkan tingkap masjid pecah. Saya rasa pasti akan dimarahi dengan leteran yang panjang berjela persis ceramah.

Saya tidaklah mahu pukul rata mengatakan bahawa semua pegawai masjid bersikap demikian. Hanya segelintir sahaja dari mereka yang tidak mesra kanak-kanak. Tetapi sikap yang sebeginilah menyebabkan yang lain terpalit sama. Sepatutnya kita perlu lebih berhikmah dalam menasihati golongan muda ini. Kita bimbang golongan kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya kita didik untuk datang ke masjid tetapi menjauhkan diri dari masjid. Kita rasa hairan mengapa golongan muda ini susah nak ke masjid, ‘degil’ kata kita, tetapi kita terlupa yang sikap kita seumpama memusuhi golongan muda mendekati masjid.

“Tu nak merampas masjid le tu...” ada juga yang berbunyi begitu, tatkala golongan muda mula aktif melibatkan diri dalam program-program masjid. Ada yang merasa ia bagaikan satu ancaman, pening kepala. Sepatutnya baguslah orang muda dah mula menghulur sumbangan baik tenaga, masa maupun kewangan.

Peranan memakmurkan masjid

Baik pegawai masjid, orang ramai ataupun golongan muda, masing-masing ada peranan bagi memastikan masjid dimakmurkan.

Pada zaman Nabi saw dan Khulafa ar Rasyidin, masjid tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam termasuk hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan, menuntut ilmu, dan merencanakan kegiatan kemasyarakatan. Kaum muslimin membicarakan masalah-masalah agama, pendidikan, sosial, politik, dan berbagai masalah kehidupan di masjid, mengajak manusia pada keutamaan, kecintaan, pengetahuan, kesedaran sosial, serta pengetahuan tentang hak dan kewajiban kepada Tuhan dan Negara. Bermula dari masjid pula, mereka menyebarkan akhlak dan ilmu. Oleh karena itu, masjid merupakan tempat paling baik bagi kegiatan pendidikan dan pembentukan moral keagamaan.

Justeru kita merasa amat sedih jika ada masjid yang hanya dibuka pada waktu-waktu solat sahaja. Sedangkan roh kepada masjid adalah majlis ilmu, jika masjid tiada majlis ilmu seumpama tiada roh. Bagaimana sekiranya jasad yang tiada roh, pastinya jasad itu tidak memberi erti.

Namun demikian, pengisian kuliah di masjid juga mesti ditingkatkan ke tahap sesuai mengikut perkembangan masyarakat, dengan menghindari fekah yang menyusahkan supaya menjadikan Islam itu mudah dan praktikal.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengembalikan fungsi asal masjid dalam usaha memulihkan keadaan masyarakat yang semakin terdesak dan tersasar jauh dari ajaran agama.

Jadikan masjid mesra kepada semua lapisan usia, baik kanak-kanak, remaja, orang dewasa maupun orang tua. Anda mampu mengubahnya!

Seeru `ala barakatillah!

Sunday 19 December 2010

Cetusan rasa: Aku hanyalah sebutir pasir

Aku yang tersirat
Hanyalah sebutir pasir yang lemah dan kerdil
Berserakan di dataran tandus dan kontang

Aku yang tersurat
Hanyalah si jahil yang kosong tanpa lorekan warna
Bagai setitis dengan selautan

Masih mahu meninggi diri?


Cetusan rasa abuikhwan
Kuantan Pahang

Saturday 18 December 2010

Seloka perjalanan hidup

Dalam meniti arus kehidupan ini, setiap insan tidak terlepas dari mendaki tingkat-tingkat perubahan. Demikianlah sebagai mematuhi sunnatullah yang azali.

Demikianlah pantasnya masa berlalu, silih berganti malam dan siang. Pejam dan celik.

Ketika dulu dia tiada, lalu dengan kudrat dan iradat-Nya di hadirkan ke dunia ini. Setelah berjanji taat setia:

Tika ditanya, “Bukankah Aku ini adalah Tuhanmu”
“Benar! Bahkan aku menyaksikan” jawabnya

Tanpa ada pilihan, dia meninggalkan alam rahim, alam kasih sayang. Biarpun terpaksa, walau melansing tangisan. Namun apakan daya...

Maka lahirlah dia sebagai bayi yang tidak mengerti apa-apa. Tanpa seurat benang, tanpa sebarang bekalan, hadirnya begitulah keadaan. Tangisannya disambut dengan tawa gembira ibu dan bapa. “Syukur pada-Mu ya Allah,” bisik hati kecil mereka.

Dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, dipercikkan sedikit sifat itu ke dalam hati ibu dan bapa, lalu dia dibelai sepenuh raga. Dia dijaga bagai putera raja. Mana mungkin dihinggap walau seekor serangga berduri. Indahnya ketika ini. Dia kata inilah duniaku...

Kemudian tanpa sebarang pilihan, dia dipaksa menjadi kanak-kanak. Rela atau tidak terima sahaja, itulah kiraannya. Rupanya zaman ini penuh ceria, penuh tawa dan ria. Bermain, berlari, berkejaran ke sana ke sini tiada runsing di hati. Dia kata inilah duniaku...

Namun, zaman itu terpaksa jua dia tinggalkan. Jika ada pilihan, dia kata ingin selamanya di zaman itu. Menjadi kanak-kanak sepanjang masa. Apakan daya...dirinya tiada kuasa. Zaman itu ditinggalnya jua.

Menginjak usia muda remaja, dia rasa inilah hidup yang dicari. Bebas, ke mana pergi mengikut fikirannya sahaja. Bersama rakan sebaya dia rasa bagai berkuasa. Ibu dan bapa sekadar melihat sahaja. Anakmu usah ditegur, kerana dia berkata, “aku orang muda.”

Tetapi awas anak muda, zaman ini penuh liku dan pancaroba. Zaman ini tidak kenal siapa. Siapa yang lalai buruk padahnya.

Dijawabnya pula, “aku peduli apa.”

Dia kata inilah duniaku sebenarnya...

Meniti usia menuju dewasa. Kamu semua ikut kataku, kerana kini aku telah dewasa.
Lalu hiduplah dia di zaman manusia berlumba-lumba menyelitkan diri di celahan kebendaan, mungkin juga di celahan kerosakan. Inilah duniaku...

Saat kematangan diri mula menjelma. Kini dia menjadi ketua keluarga. Kepada pewarisnya dia selalu berkata, “jangan jadi seperti bapa, dulu bagaikan dunia ana yang punya. Ke sana ke mari bebas seadanya. Bebas...bebas...

Sekarang apa yang ada?? Sesal sekarang tiada berguna. Namun jalan pulang masih ada, seumpama rahmat dan keampunan-Nya sentiasa terbuka.

Menginjak usia menuju senja.

Badan mulai lemah, tenaga hanya sekadar sahaja. Rambut banyak yang putih dari yang hitam. Mata mulai kabur. Gigi banyak yang gugur. Saat itu mula teringat kepada janji taat setia:

Tika ditanya, “Bukankah Aku ini adalah Tuhanmu”
“Benar! Bahkan aku menyaksikan” jawabnya.

Maka habiskan masa hanya untuk-Nya.

Ibnu Abid Dunya meriwayatkan dengan isnadnya dari Mujahid, ia mengatakan: "Tak satu pun hari kecuali mengatakan, wahai anak Adam! Hari ini aku masuk ke dalam kehidupanmu dan tidak akan kembali kepada kehidupanmu setelah hari ini."

Sesungguhnya hari yang berlalu, maka ianya akan dilipat dan disimpan dan akan dibuka kembali pada hari akhirat. Maka sebanyak mana hari yang kita habiskan di dunia dahulu, sebanyak itulah yang akan dibentang di hadapan Allah SWT dan akan menceritakan perilaku kita. Baikkah atau burukkah akhlaq kita? Bakhilkah kita atau pemurahkah kita? Semuanya diceritakan oleh hari yang menjadi tetamu di dunia dahulu.

Diceritakan dari mula kita dilahirkan, tangisan ketika bayi. Zaman kanak-kanak, kenakalan, kelucuan dan kesedihan sehinggalah menginjak dewasa, sehinggalah ketika usia senja. Diceritakan bagaimanakah kepedulian dan layanan kepada-Nya, taat atau ingkar. Sehinggalah diceritakan saat kematian dan bagaimana kita menghadapinya.

Semuanya diceritakan dengan jujur tanpa disembunyikan walau sebesar zarah pun.

"(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekali pun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya) kerana sesungguhnya Allah Maha Halus PengetahuanNya lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi." (Luqman: 16)

Friday 17 December 2010

Pelik, kenapa unta nabi Saleh jadi mukjizat?

Soalan:

MUKJIZAT adalah sesuatu yang unik untuk membuktikan benarnya dakwaan seseorang Rasul, bahawa dia benar-benar seorang Rasul, seperti benarnya tongkat Nabi Musa as. bertukar menjadi ular. Al-Quran juga adalah mukjizat yang tiada tolok bandingannya. Akan tetapi saya pelik, bagaimana unta boleh menjadi mukjizat kepada Nabi Saleh as. Bukankah unta itu haiwan biasa yang terdapat di mana- mana negeri Arab. Bagaimana boleh unta menjadi mukjizat? Jelaskan.

Jawapan:

Mukjizat adalah sesuatu yang benar. Ia anugerah Allah kepada setiap Rasul utusan-Nya.

Semua mukjizat kepada Rasul-Rasul adalah sebagai bukti nyata kerasulan mereka pada zaman mereka sahaja.

Setelah mereka kembali kepada Allah, mukjizat itu juga hilang. Melainkan kesan kepada tempat-tempat berkenaan sahaja yang dapat dilihat sehingga ke hari ini. Kecuali al-Quranul karim, ia mukjizat dari dahulu, kini dan selama-lamanya.

Unta Nabi Saleh as. adalah mukjizat Allah kepada umat Nabi Saleh untuk membuktikan bahawa baginda benar-benar Rasul yang diutuskan.

Ceritanya tertera di dalam al-Quranul karim, terdapat dalam surah al-A`raaf dan beberapa surah lain.

Kesimpulan ceritanya, Nabi Saleh as. menyeru kaum Tsamud kepada agama Allah. Menyeru mereka menyembah Allah Yang Esa. Kaumnya ingkar, akhirnya mereka meminta bukti daripada beliau, agar mengeluarkan seekor unta betina yang bunting sepuluh bulan dari sebuah batu besar di tepi sebuah bukit.

Mereka mensyaratkan pula kepada Nabi Saleh, unta itu setelah keluar dari batu besar melahirkan anaknya di hadapan mereka. Unta itu pula hendaklah pula meminum dari perigi yang ada di tempat tersebut.

Setelah meminum dari perigi tersebut, handaklah ianya mengeluarkan susu, yang sebanyak mana air diminum. Dengan itu susu unta boleh diminum oleh seluruh penduduk kampung.

Permintaan kaum Tsamud itu ditunaikan oleh Allah SWT kepada nabi-Nya seperti yang mereka minta.

Allah menceritakan perihal ini di dalam al-Quran: "Nabi Saleh berkata: "Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya). Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana). (asy-Syua'raa: 155-158)

Kemukjizatan unta itu adalah daripada kisah lahirnya. Ia tidak beribu atau berbapa. Ia lahir daripada seketul batu besar, atas cabaran kaum Nabi Saleh.

Lahinya pula secara tiba-tiba. Mereka meminta yang bunting. Melahirkan anak di hadapan mereka. Meminum air yang mereka tetapkan dan mengeluarkan susu yang banyak. Semuanya berlaku.

Nabi Saleh mengingatkan kaumnya bahawa ini adalah unta Allah. Maksudnya unta khusus sebagai anugerah Allah sebagai mukjizat kerasulannya. Nabi Saleh mengingatkan mereka jika mereka menyakitinya, kelak bala Allah akan turun menimpa mereka.

Kaum Tsamud membunuhnya, maka bala Allah pun turun. Itulah mukjizat unta yang boleh dijadikan renungan, bahawa Allah SWT berkuasa apa sahaja untuk mengemukakan bukti benarnya Rasul utusan-Nya, dengan mukjizat yang diberikan kepada Nabi-Nya, tidak ada mana-mana insan atau makhluk yang boleh menyamai atau meniru keadaan tersebut.

Itulah dia mukjizat unta yang dipanggil unta Allah dan ia adalah satu mukjizat yang membuktikan benarnya kerasulan Saleh as. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din
Harakah bilangan 1585

Thursday 16 December 2010

Bonda, di situ damainya hati...

Hujan telah pun reda, namun rintiknya masih berdetap sekali-sekala menimpa atap. Suara katak masih bersahutan memanggil hujan agar turun lagi, bagaikan irama yang membingitkan telinga bagi sesetengah orang. Namun bagi diri saya yang berasal dari desa itulah irama yang menghiburkan tatkala hujan turun. Termasuk kokokan ayam, deru alur jernih serta siulan mergastua di hutan hijau, semuanya pelengkap damai desa.

Di satu sudut rumah bonda

Saya merapatkan sila sambil menyandarkan belakang ke dinding. Dari beranda usang rumah bonda saya memerhatikan langit petang. Redup mendung bagaikan mahu menumpahkan hujan lagi. Mungkin malam ini hujan lagi. Musim tengkujuh, hati saya bermonolog sendirian.

Beberapa ekor ayam peliharaan bonda meluru keluar dari bawah rumah menuju ke tengah halaman. Mungkin mencari rezeki habuan tembolok, kalau-kalau ada cengkerik yang leka atau belalang yang berlindung di celahan rumput hijau.

"Untung kamu sang ayam tidak perlu ke pejabat, tiada memikul tanggungjawab. Tak perlu beribadat, tak perlu pening kepala memikirkan masalah umat. Bangun pagi ke sana ke mari mengejar rezeki habuan tembolok," tiba-tiba hati kecil berbicara sendirian.

"Memang kami tidak serupa kamu wahai manusia, tetapi kami juga ada tanggungjawab. Setiap pagi kami mengejutkan kamu dari tidur. Kami juga berzikir kepada Tuhan walau tidak seperti kamu," Seakan terdengar sang Jalak bersuara, sambil bertenggek di tunggul kelapa yang sudah separuh tersisa.

"Maafkan diri ini, wahai sang Jalak yang berjasa."

Bonda yang satu

Ahh...jauh sungguh lamunan ini. Saya menarik nafas dalam-dalam membiarkan wajah di sentuh angin lembut yang bertiup. Damai dan mendamaikan. Lebih mendamaikan lagi apabila dapat bertemu dengan bonda. Allah jua yang mengetahui betapa sejuknya dapat mencium tangan bonda. Di dalam pelukan bonda terasa tenang bagaikan turun sakinah dari langit. Perpisahan yang bukanlah terlalu lama tetapi saya sentiasa diburu rasa bersalah membiarkan bonda keseorangan di kampung. Benarlah kata orang tua-tua, "seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu." Saya segera insaf dan memohon keampunan-Nya.

Termenung dimeja makan yang menyimpan seribu satu kenangan. Dimeja inilah dulu kami semua adik beradik bergurau senda dengan bonda dan ayahanda. Ayahanda lebih suku abad meninggalkan kami. Namun segala nasihat dan panduan masih tersemat kukuh di jiwa kami semua.

Tidak semena-mena saya jadi sebak. Fikiran melayang ke langit lepas, teringat kembali e-mail yang dikirim oleh rakan sekerja semalam. berkali-kali saya membacanya, sehingga meruntun jiwa ini.

Nilai kasih Ibu

Seorang anak mendapatkan ibunya sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

1)Kos upah membantu ibu:
2)Tolong pergi kedai $4.00
3)Tolong jaga adik $4.00
4)Tolong buang sampah $1.00
5)Tolong kemas bilik $2.00
6)Tolong siram bunga $3.00
7)Tolong sapu sampah $3.00
Jumlah $17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

Kos mengandungkanmu selama 9 bulan ?
PERCUMA
Kos berjaga malam kerana menjagamu ?
PERCUMA
Kos air mata yang menitis keranamu ?
PERCUMA
Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu ?
PERCUMA
Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu ?
PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku
PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh
si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata, "Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis 'Telah Dibayar' pada mukasurat yang ditulisnya.

Diriwayatkan seorang telah bertemu Rasulullah SAW dan bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak mendapat layanan baik dariku? Rasulullah menjawab, "Ibumu (dan diulang sebanyak tiga kali), kemudian ayahmu, kemudian saudara-saudara terdekatmu.

Maafkan anakmu duhai bonda yang tiada galang ganti...

Kokokan ayam, deru alur jernih, suara katak dan mergastua lengkaplah kepulangan saya ke kampung. Tetapi pelukan dan keampunan bonda itulah pelengkap segala-galanya. Damai dan mendamaikan.