Sahabat Sejati

Thursday 8 November 2018

Sekadar celoteh

Cuti persekolahan sempena perayaan Deepavali telah pun berakhir.  Bermulalah rutin harian menghantar dan mengambil 'sikecil Haikal yang istimewa' di sekolahnya. Awal pagi bergulinglah roda motosikal tua yang banyak berjasa ini melanyak aspal jalan bersaing dengan deretan kenderaan yang bernafsu muda dan garang. Jika hari hujan terpaksalah menggunakan khidmat 'si tua' beroda empat pula. Pemandunya juga sama sedang menuju hari-hari tua. 

Semalam saya menghantar anakanda acik Adawiyah pulang ke asramanya. Hujan rengai-renyai dan sesekali lebat mengiringi perjalanan kami menuju ke sekolahnya. Pada sebelah paginya cuaca cerah dengan matahari memancarkan cahaya kekuningan. Melihat gaya cuacanya, saya bermonolog sendirian, mungkin cuaca cerah hari ini berlanjutan sampai ke petang. Namun, telahan saya silap, "kusangka panas hingga ke petang, tapi hujan di tengahari..." Alhamdulillah..

Pada hari Selasa sebelum itu pula, kami ke Kemaman. Buat apa ke sana? Oh, menghantar anakanda angah Irsalina pulang ke asramanya. Negeri Terengganu memulakan sesi persekolahan pada hari Rabu. Maklumlah, mereka bercuti awal sehari kerana negeri tersebut cuti hujung minggunya pada Jumaat dan Sabtu. Bergeraklah kami petang itu membelah aspal jalan yang sibuk dengan kenderaan yang berpusu-pusu menuju destinasi masing-masing. Ditambah dengan hujan yang turun sejak daripada pagi lagi, menjadikan pemanduanagak perlahan. 

Oh ya, anakanda angah Irsalina menduduki peperiksaan akhir tahun peringkat Thalis Sanawi pada hari ini (Rabu). Saya panjatkan doa agar dia beroleh ketenangan dan kefahaman dalam menghadapi medan tempur ini. Seterusnya mendapat kejayaan yang cemerlang, sebagaimana yang diimpikan oleh setiap orang. Amiinn.

Cepatnya masa berlalu, sedar tak sedar hampir dua tahun anakanda along Ikhwan bermukim di Perlembahan Nil. Alhamdulillah, setakat ini tiada apa-apa kesulitan yang besar yang dihadapinya melainkan isu visa tempohari. Hanya doa dan tawakkal yang sentiasa dipanjatkan, moga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan di sepanjang perjalanan hidupnya di sana. Amiinn.

Demikianlah, anak-anak semakin membesar. Akhirnya tinggallah kami berdua menyulam hari-hari tua setelah mereka semua membina kehidupan sendiri. 

3 comments:

PeRdU cINta said...

Moga setiap urusan menuntut ilmu dilancarkan..diredhai dan mewah dengan keberkatan.
Musim hujan sekarang..alhamdulillah nikmat.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...Alhamdulillah anak2 semua cemerlang dlm pembelanjaran mrk...moga kelak sbg insan soleh n solehah yg berbkti kpd semua

Normala Saad said...

Begitulah kita dengan anak-anak. Bila masa berlalu rasa makin takut jauh pula. Tambahan anak kak dua orang sahaja. Nasih ada cucu pengubat jiwa. Sebab tu anak sulung dulu kat syaratkan calon orang daerah yang sama.

Post a Comment