Sahabat Sejati

Monday 26 November 2012

Ingat berani sangat...

Tentera Israel menangis dan terkena sawan apabila melihat serangan roket Hamas...Ingat berani sangat. Pasukan tentera terbaik di dunia konon... Poodah!


Saturday 24 November 2012

Mengenang as-syahid Syeikh Dr Abdullah Yusuf Azzam (1941 - 24 November 1989)


Satu nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah dan gerakan Islam di rantau Arab. Dikenali dengan nama Azzam, adalah figur utama dalam perkembangan pergerakan Islam.

Kecintaan kepada jihad dan mati syahid sangat memenuhi relung hatinya. Bukan sekadar kata-kata kosong tetapi beliau membuktikannya dengan mewakafkan seluruh hidupnya untuk perjuangan Islam. Bahkan beliau telah memahat tuntutan jihad di hati kaum muslimin.

Beliau menjadi inspirasi dan ikon para mujahid muda. Beliau sanggup mengorbankan cara hidup mewah untuk bergulat bersama anak-anak muda dan menginspirasikan mereka tentang tanggungjawab untuk membebaskan umat Islam daripada kezaliman.

Beliau pernah berkata: 

“Aku rasa seperti baru berusia 9 tahun, setengah tahun jihad di Afghanistan, 1 setengah tahun jihad di Palestin dan tahun-tahun yang selebihnya tidak bernilai apa-apa.” 

Sejarah hidup

 Syeikh Dr. Abdullah Yusuf Azzam dilahirkan pada tahun 1941 di desa As-ba`ah Al-Hartiyeh, wilayah Jenin di sebelah barat Sungai Jordan. Bapanya adalah salah seorang mujahidin penting di Palestin yang sentiasa mendidik beliau untuk mencintai Islam dan mengambil berat akan Palestin. Abdullah Azzam semenjak kecil ditanam untuk solat berjemaah di masjid kampungnya.

Setelah menamatkan pendidikan awal dan lanjutan di kampungnya, dia melanjutkan pelajaran di Kolej Khadorri dekat kota Tulkarem, Palestin untuk mengambil jurusan pertanian peringkat diploma. Setelah tamat, Syeikh Azzam bertugas sebagai guru di perkampungan Adder, Jordan. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di Syariah College di Universiti Damsyik, Syria bagi memperolehi gelaran B.A pada tahun 1966.

Beliau telah berpindah ke Jordan untuk melibatkan diri dengan Ikhwanul Muslimin Palestin di sana. Beliau telah terlibat dalam beberapa pertempuran penting seperti pertempuran al-Massyru` yang membunuh 63 orang tentera yahudi. Beliau juga telah memimpin beberapa siri pertempuran dalam tahun 1970.

Syeikh Azzam kemudiannya berangkat ke Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti al-Azhar, Kaherah dan mendapat gelaran Master di bidang syariah.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Universiti Jordan di Amman dan pada tahun 1971 beliau kembali ke Universiti al-Azhar dan memperolehi Ph.D dalam bidang Usul Fiqh. Pada tahun 1980 beliau telah dilantik sebagai pensyarah di Universiti King Abdul Aziz di Jeddah dan pernah memegang jawatan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Islamabad. Namun beliau meninggalkan jawatan tersebut untuk memberikan sepenuh masa kepada perjuangan Jihad di Afghanistan.

Beliau melangsungkan perkahwinan pada tahun 1965 dan dikurniakan cahaya mata seramai 8 orang, lima lelaki dan tiga perempuan. Mereka terdiri daripada Muhammad dan Ibrahim (keduanya gugur syahid bersama bapa mereka ketika berusia 20 dan 15 tahun), Hanifah, Hamzah dan Mus`ab, sementara anak-anak perempuannya terdiri daripada Fatimah, Wafa` dan Sumaiyah.

Pemergiannya 

Musuh Allah sentiasa merancang untuk menamatkan perjuangannya di bumi Afghanistan, pelbagai perancangan telah diatur. Beberapa kali Abdullah Azzam menerima ujian pembunuhan. Sampai akhirnya beliau dibunuh syahid pada hari Jumaat, 24 November 1989.

Tiga buah bom yang sengaja dipasang di kawasan yang biasa dilalui oleh Syeikh Abdullah Azzam meledak ketika sedang meletakkan keretanya untuk menunaikan solat Jumaat di Peshawar, Pakistan.

Kenderaan Syeikh Abdullah Azzam hancur lebur. Anaknya, Ibrahim tercampak keluar sejauh 100 meter. Letupan yang begitu kuat sehingga memutuskan bekalan elektrik dikawasan sekitarnya. Dianggarkan bahan letupan berkuasa tinggi telah digunakan iaitu TNT seberat 20 kilogram.

Beliau meninggal serta-merta bersama dua anaknya iaitu Muhammad dan Ibrahim di tempat kejadian. Tubuh mereka hancur. Namun keajaiban terjadi pada Syeikh Abdullah Azzam. Tubuhnya masih utuh bersandar pada sebuah tembok, hanya sedikit darah yang mengalir dari bibirnya. Turut terbunuh dalam peristiwa itu ialah anak lelaki al-Marhum Syeikh Tamim Adnani (seorang perwira di Afghanistan).

Sesungguhnya Islam dan jihad di Afghanistan benar-benar terasa akan kehilangan sebutir mutiara yang sangat berharga.

(Adaptasi dari buku Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden)

Thursday 22 November 2012

Santai Petang, Minum...Borak...Bergambar...

Kepada sesiapa yang berdekatan dan berkelapangan, Jom! Jangan lepaskan peluang untuk mendengar tazkirah secara santai bersama Personaliti Tanyalah Ustaz TV9, al-Fadhil Ustaz Syed Kader al-Joofre.

Minum...Borak...Bergambar...

Meh Pakat Mari Ramai-Ramai!

Ajaibnya tawakkal


Selalu saya menyebut dan mengulang-ulanginya: “Tiada siapa yang dapat menjangka atau meneka apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Bahkan seminit dari sekarang juga kita tidak dapat memastikannya. Kita mungkin boleh mengagak jika buat begini, ini yang akan berlaku, itu yang akan berlaku, tetapi hakikatnya hanya Allah SWT yang menentukan kehidupan ini.”

Kadang-kadang terbit difikiran kita iaitu ada perkara-perkara yang kita rasa tidak mampu untuk menggalasnya, tetapi jika Allah mengizinkan ia tetap berlaku dan terbukti kita mampu. Dan ada pula orang yang merasakan dirinya mampu menghadapi sesuatu, yakin dengan segala kekuatannya, tiba-tiba dia gagal dalam hidupnya.

Cuba kita ingat kembali sewaktu kita bersekolah dahulu, kita lihat rakan-rakan kita yang mendapat nombor yang baik-baik, gred yang bagus-bagus. Tetapi pada hari ini cuba kita fikir, adakah semua yang mendapat nombor dan gred yang baik itu menjadi orang yang hebat-hebat? Anda berfikir demikian, belum tentu bukan? Kerana taqdir kehidupan ini adalah milik Allah SWT. Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat para hamba-Nya.

Sengaja saya lontarkan kenyataan-kenyataan ini untuk kita berfikir sejenak betapa ajaibnya kehidupan yang sedang kita lalui ini.

Hayati kisah ini:

Umar al-Khattab pernah melihat sekelompok manusia yang mengaku sebagai orang yang bertawakkal, namun mereka tidak melakukan usaha apa-apa. Lalu Umar bertanya kepada mereka: “Siapa kalian?” “Kami adalah mutawakkiluun, (orang yang bertawakkal)”, jawab mereka. Lantas Umar menjawab: “Tidak. Kalian adalah muta-akkalun (orang yang hanya menanti diberi makan).” Iaitu mereka itu sebenarnya hanyalah orang yang hanya menanti huluran tangan orang lain dan bukan orang yang bertawakkal.

Orang yang bertawakkal harus melakukan usaha. Umar al-Khattab mengatakan:

 لقد علمتم أن السماء لا تمطر ذهبا ولا فضة 
“Sesungguhnya kamu semua telah mengetahui bahawa langit sama sekali tidak akan menurunkan emas atau perak.”

Sesungguhnya di dalam agama Islam, di antara perkara besar dan penting yang ditekan dalam perkara aqidah ialah berkaitan dengan bab tawakkal, iaitu pergantungan sepenuhnya insan kepada Allah. Manusia diminta berusaha dalam setiap apa yang dilakukan, bahkan kita dituntut pula untuk sentiasa yakin dalam berusaha melakukan sesuatu. Tetapi keyakinan itu janganlah sampai tahap keterlaluan, kerana keyakinan yang melampau boleh menjerumuskan seseorang itu kepada kegagalan. Lebih teruk lagi keyakinan yang melampau menjadikan seseorang itu sombong, bermegah dan lupa akan tempat pergantungan. Sedangkan manusia dituntut agar yakin dan percaya bahawa di atas segala usahanya, kuasa yang lebih besar ialah Allah SWT yang memiliki kuasa mentaqdir, sama ada memberi kejayaan ataupun kegagalan.

Sebilangan orang menyangka bahawa rezekinya adalah makan, minum, wang gaji, kenderaan dan berbagai-bagai keperluan hidup yang lain, namun jika hanya bergantung kepada kadar kesungguhan dan kebijaksanannya, dia tidak mungkin akan dapat semua itu, tetapi Allah memberikan banyak kurniaan, semata-mata kerana Dia Maha Memberi Rezeki. Lihatlah jika Allah yang mentadbir dan mentaqdir segala urusan kita, maka ia menjadi sangat ajaib dan tidak disangka-sangka.

Banyak perkara atau urusan yang kita sangka dalam kehidupan ini kita akan memperolehi kejayaan, tetapi apabila Allah SWT mentaqdirkan kita gagal, maka kita gagal. Ada pula perkara yang orang ramai melihat dan menjangka kita akan gagal, tetapi jika kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, maka Dia memberikan keajaiban di luar daripada jangkaan orang ramai.  Demikianlah ajaibnya tawakkal atau pergantungan sepenuhnya kepada Allah.

Tetapi tawakkal difahami mesti dengan sebaiknya. Ia terkumpul dalamnya dua syarat iaitu: (1) menyandarkan hati pada Allah, dan (2) melakukan usaha (sebab). Ada sebilangan orang yang memahami bahawa tawakkal ialah dengan hanya bersandar  kepada Allah SWT tanpa ada usaha yang dilakukan. Dan tidak benar pula jika ada orang yang hanya berusaha namun tidak menyandarkan hatinya kepada Allah, kerana segala sesuatu di dalam genggaman kekuasaan-Nya.

Teruskan kehidupan

Kita ada kehidupan yang perlu dilalui. Kita tidak mampu menjangka apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kadang-kadang Allah SWTmenimpakan ujian hidup kepada kita dengan berbagai-bagai ujian. Ada ketikanya kita merasakan betapa beratnya ujian itu sehingga kita berkata: “habislah aku, tidak mampu menghadapi ujian ini.” Entah berapa banyak ujian yang berat yang telah kita lalui dan hari ini, lihatlah kita masih menjalani kehidupan seperti biasa, sedangkan pada hari ditimpakan ujian kita benar-benar merasakan tidak mampu menghadapinya sehingga kita berkata: “habislah aku…habislah aku…”

Kehidupan ini berjalan dan terus berjalan, dari satu peringkat ke satu peringkat sehinggalah kita bertemu Allah SWT. Maka, dalam perjalanan kehidupan ini, jangan putus pergantungan kepada Allah SWT bersandar bulat kepada-Nya, disamping berusaha dan berikhtiar dan sentiasalah hati merintih: “Ya Allah bantulah aku, kasihanilah aku…”

Kata Ibnu Atha`illah: "Buktikan dengan sungguh-sungguh sifat-sifat kekuranganmu, nescaya Allah membantu engkau dengan sifat-sifat-Nya (kesempurnaan-Nya). Akuilah kehinaanmu nescaya Allah menolong padamu dengan kemuliaan-Nya, akuilah kekuranganmu nescaya Allah menolong kepadamu dengan kekuasaan-Nya, akuilah kelemahanmu nescaya Allah menolong padamu dengan kekuatan-Nya."

Ajaibnya tawakkal!  

Wednesday 21 November 2012

Air mata luka Palestin (Kami menangis bersamamu Palestin)


Hari itu hening penuh kedamaian. Mentari bersinar menyimbah cahayanya menerangi bumi, bayu lembut pula berhembusan membelai lantas melengkapkan kedamaian di bumi barakah ini.

Namun kedamaian yang tercipta tidak kekal lama. Tiada siapa dapat menduga geruh yang bakal menimpa. Langit yang tadi cerah disaat awan nipis melatari dadanya, tiba-tiba bagai dirasuk gila berantakan dengan hamburan timah panas milik yahudi zionis. Menyerbu dan meratah jasad-jasad yang bergelimpangan tanpa sekelumit belas kasihan.

Dunia tersentak, lantas meluap panas rasa marah penuh kebencian kepada bangsa terlaknat. Tetapi seperti biasa mereka hanya memekakkan telinga dan memejamkan mata persis si tuli. Maka sesuai benarlah mereka dijoloki keturunan "khinzir dan kera yang hina".

Sesungguhnya yahudi zionis bersikap angkuh, sombong di bumi ini. Mereka merasakan tidak ada sesiapa pun yang dapat atau mampu menghentikan tindak-tanduk serta tingkahlakunya. Apabila mereka inginkan “perdamaian”, maka perdamaian yang dimaksudkan hanyalah sesuai dengan kehendak dan kepentingan mereka. Seperti dinukilkan dalam sebuah syair:

“Adalah janji hari-hari si Urqub mengandung suatu iktibar.
Dimana janji hari-harinya hanyalah suatu kepalsuan.
Janganlah engkau tenggelam dengan apa pun yang dijanji dan diimpikannya.
Sesungguhnya impian dan janji-janjinya hanyalah suatu tipuan.”

Palestin dan air mata lukanya

Terkedu saya di hadapan skrin komputer riba, menyaksikan visual mangsa kekejaman yahudi zionis. Hati didakap sayu dan tersayat pilu, begitu juga perasaan marah, geram dan sebal yang terbuku.

Tidak semena-mena hati menutur bicara:

“Duhai Palestin bumi yang diberkati, kiblat pertama umat Islam. Bumi isra` yang kita gantungkan hati dan sanubari kepada Masjidil Aqsa yang tersergam mulia. Ingin sekali melihat dirimu dalam suasana yang berbeza..."

Kami menangis bersamamu Palestin!

Tuesday 20 November 2012

UPSR, langkah permulaan


Hari ini keputusan UPSR diumumkan. Pastinya ia menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar yang menjadi calonnya serta ibu bapa mereka dengan debaran yang kencang. Maka bermacam-macam ragam dan situasi yang dapat disaksikan. Ada yang bersedih kerana mendapat keputusan yang tidak memuaskan atau gagal, dan ada pula yang gembira kerana memperolehi keputusan yang baik sehingga menitiskan airmata. Keduanya menitiskan air mata tetapi sudah tentu gaya tangisannya berbeza.

Kepada yang berjaya sekalung tahniah diucapkan, sesungguhnya anda berhak meraikannya sebagaimana kesungguhan anda belajar dan berusaha. Namun jangan terlalu gembira hingga terlupa kepada hakikat yang memberikan kejayaan ini. Memang, memperolehi kejayaan adalah pengalaman hidup yang manis, tetapi jangan terlupa manisnya gula menyebabkan ramai yang kehilangan kaki dan mata. Bukankah matinya semut juga kerana gula yang manis?

Jika begitu salahkah kita meraikan kejayaan? Tidak, sekali-kali tidak! Tetapi biarlah dalam batasan yang sewajarnya dan penuh kesederhanaan, kerana kejayaan hari ini bukan jaminan kejayaan hari esok.

Manakala kepada yang gagal, tidak perlu terlalu bersedih kerana ia bukanlah akhir kepada segala-galanya. Tidak semestinya kegagalan ini akan menjadi penyebab untuk anda gagal selama-lamanya, maka jangan lemah jika ditimpa kegagalan. Kegagalan dalam hidup adakalanya di luar kawalan kita. Mungkin kita telah berusaha dengan sehabis daya, namun kejayaan bukanlah sesuatu yang pasti. Seperti kita melihat nelayan yang turun ke laut, tentu ia mengharapkan mendapat hasil tangkapan yang lumayan, tetapi tidak ada siapa yang mampu menjangka apa yang akan terjadi di tengah lautan. Laut bergelora, pukat koyak, enjin bot mengalami kerosakan dan berbagai kemungkinan lagi. Walau demikian, berusaha dengan gigih adalah prasyarat untuk berjaya. Namun tidaklah saya katakan bahawa orang yang gagal itu kerana mereka tidak berusaha, mungkin usahanya tidak mencukupi.

Maka, kuatkan semangat dan harapan kepada Allah SWT agar kegagalan di masa hadapan mudah diurus dan ditangani. Belajarlah dari setiap episod kegagalan yang lalu untuk menjadi insan yang cekal dan berani dalam mengharungi segenap kemungkinan.

Oleh itu, walau di mana posisi anda, orang yang berjaya atau di tempat orang yang gagal, maka anggaplah UPSR ini adalah langkah permulaan untuk meneruskan perjuangan hidup yang mendatang.

Sunday 18 November 2012

Jika mereka demikian, kita lebih-lebih lagi...


Kenalkah anda dengan mereka semua?

Saya mengenali dan fikir anda juga demikian. Saya tertanya-tanya apa kaitan mereka dengan rakyat Palestin, tetapi masih ada rasa untuk ambil tahu dan menyokong pembebasan rakyat Palestin.

Tentunya kita lebih-lebih lagi dalam kepedulian dan membela rakyat Palestin. Apakah tergamak kita berpangku lengan disaat Palestin menangis, meratap rawan kehibaan. Sempadan kita adalah sempadan aqidah, yang menjaring seluruh kekuatan kerana hubungan kita umpama jasad yang satu.

"Sesungguhnya Jerusalem bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling berhak terhadapnya, dan bukan pula milik orang Arab sahaja, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling dituntut membelanya, tetapi Jerusalem adalah milik setiap Muslim di manapun ia berada, di timur, di barat, utara dan selatan, baik dia sebagai pemerintah ataupun rakyat, baik dia seorang terpelajar ataupun buta huruf, kaya, miskin, lelaki, perempuan, sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing." 

Saya bukanlah orang Arab dan bukan juga orang Palestin tetapi saya adalah seorang Muslim. Saya melihat Palestin bukan dari sudut negara dan kemanusiaan semata-mata tetapi persaudaraan Islam yang seagama dan seaqidah dengan saya. Oleh itu, apabila berfikir begini menjadikan semua bumi Islam adalah satu Negara dan umat Islam adalah umpama satu jasad, apabila salah satu daripada anggotanya sakit maka akan dirasai oleh anggota yang lain.

Ayuh sahabat!
Khaibar khaibar ya yahud, jaisyu Muhammad saufa ya'ud!

Saturday 17 November 2012

Palestin dan awal Muharam

Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam menyambut kedatangan awal Muharam 1434H. Kita cuba membina azam baru di awal tahun baru hijrah, tiba-tiba kita tersentak terpana dengan berita Palestin dibedil dan dibakar oleh yahudi zionis. Disaat kita bersyukur kerana masih mampu menghirup udara tahun baru hijrah, dalam masa yang sama kita mendengar syahidnya Ketua Umum Briged al-Qassam, Ahmad al-Ja`bary, ekoran serangan pada 1 Muharam yang lalu.


Sesungguhnya telah lama bumi Isra` ini dijarah dan disimbah darah oleh petaka yahudi zionis, bangsa terlaknat. Membunuh umat Islam adalah ibadah dan sembahan mereka kepada tuhan yang mereka ciptakan sendiri. Kisah Palestin adalah kisah yang panjang, sejarahnya adalah sejarah yang mendapat tempat pertama di dalam rentetan cerita kezaliman dan percerobohan pada zaman moden. Kezaliman dan pencerobohan yang dilakukan oleh bangsa yang dimurkai oleh Allah SWT, yang sebati dijoloki dengan seburuk-buruk gelaran: “Wahai keturunan khinzir dan kera!”

Mereka mengatur tipu daya, menyusun rencana dengan teliti untuk merampas Baitul Maqdis dan mahu meng-yahudikannya. “Talmud”, kitab yang telah mereka dakwa akan kesuciannya, menjadikan mereka sebagai umat yang teratas dari segala makhluk Allah, meninggikan mereka dariada umat yang lain, menghalalkan darah, harta kekayaan dan kehormatan umat yang lain. Ekoran dari itu, mereka melakukan apa sahaja yang menghalalkan tujuan dan keinginan angan-angan serakah mereka. Begitulah kemuncak nafsu yang memperdayakan bahawa merekalah anak-anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka dan apa sahaja yang mereka lakukan tiada menjadi kesalahan, hatta dengan cara yang paling hina sekalipun.

Yahudi dan zionis mendakwa bahawa mereka mempunyai hak keseluruhan ke atas Baitul Maqdis dan Palestin. Dengan angkuh mereka mengatakan mempunyai dalil yang kuat dari segi hak sejarah dan hak agama. Namun itu semua hanyalah rekaan dari pendustaan mereka. Tidak lain mereka hanyalah perampas tanah orang lain tanpa rasa bersalah.

Di ketika ini, Palestin masih lagi diserang dan dibedil semahunya. Begitulah Allah SWT menetapkan sunnah-Nya bahawa Palestin adalah ujian manusiawi. Dari tiga bumi suci-Nya, Allah memberi keamanan kepada Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Ia sentiasa berdarah dan musuh-musuh di sekelilingnya sentiasa merancang komplot merampasnya.

Mereka membicarakan tentang hak ke atas bumi Palestin tetapi mengapa hak-hak yang dikatakan ini tidak pernah muncul dalam berabad-abad yang telah berlalu. Mengapa hak yang kamu laungkan ini tidak muncul pada awal mula lahirnya "organisasi politik zionisme " yang didirikan oleh Theodore Hertzl? Mengapa hak ini baru muncul setelah kamu menjadi kuat dan berkuasa?

Begitu licik perancangan dan tipudaya kamu duhai musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan manusia dan jin.

Ayuh sahabat-sahabat! 

Tiada lagi teriakan “Wa Islamah!” (aduhai Islamku!) yang telah menghancurkan Tatar di Ain Jalut dengan pukulan yang menggemparkan. Tiada suara yang melaungkan “Labbaik ya Ummah!” (Ya, wahai ibu kesayanganku!) kerana mempertahankan maruah seorang muslimah yang telah meminta pertolongan dengan menyebut: “Wahai Mu`tasim, tolonglah aku!” Semuanya telah tiada, benar-benar tiada, yang tinggal hanyalah intifadhah, kanak-kanak dan batu-batunya serta pemuda-pemuda yang berbekal semangat jihadnya.

Sesungguhnya Palestin hanya mampu dikembalikan kepada umat ini dengan memicu semangat jihad dan cintakan mati syahid. Tiada lagi cita-cita membebaskan bumi Isra` ini melalui meja rundingan. Sudah beberapa kali mereka menodai perdamaian yang telah dimeterai di meja rundingan, bahkan berkali-kali perjanjian genjatan senjata mereka cabuli dengan sewenangnya. Janganlah disengat berkali-kali di dalam satu lubang, awaslah. Tidak sekali-kali!

Palestin cerita yang panjang dan akan memanjang sehingga kiamat. Oleh itu, marilah kita semua mengambil bahagian dalam membebaskan bumi suci Palestin menurut kemampuan yang ada tanpa berbasa-basi memberi alasan yang berbagai-bagai. Kejutkan mereka yang lalai, bangunkan mereka yang masih tidur, ingatkan mereka yang terlupa, berikan rasa keberanian kepada mereka yang pengecut. Sesungguhnya tabuh perang sudah dipalu.

Palestin milik semua Muslim walau di mana mereka berada!

"Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (at-Taubah: 105)

Wednesday 14 November 2012

Tauhid dan pengertiannya

Tauhid adalah satu ajaran penting para Rasul. Setiap Rasul yang diutus masing-masing mengajak umatnya mentauhidkan Allah dan menyembah-Nya serta melarang keras daripada melakukan syirik kepada-Nya. Sebelum mereka mengajar ajaran syariat Allah dan lain-lain kepada umat-Nya, terlebih dahulu diajar ajaran-ajaran mengenai tauhid dan aqidah. Kerana pentingnya tauhid, Allah mengutuskan para Rasul dan diturunkan kitab-kitab dari langit sebagai panduan hidup manusia.

Perkataan 'tauhid' berasal daripada perkataan Arab yang bererti 'mengesakan' dan dari segi istilah ia bermaksud 'beri`tiqad dan percaya bahawa Allah itu Esa dan tunggal serta tidak ada syirik baginya' atau dengan kata lain tauhid ialah satu konsep pegangan hidup yang mempercayai dan beri`tiqad bahawa Allah adalah Esa dan tidak ada sesuatupun di dunia ini baik yang berupa manusia, benda dan sebagainya yang sekutu dengan-Nya atau yang menyerupai atau yang setanding dengan-Nya.

Setiap orang muslim mesti mengaku dan mengesakan Allah pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan, serta beri`tiqad bahawa Allah SWT tidak menyerupai dangan makhluk-Nya sedukit juapun dan mustahil baginya bersifat dengan sifat-sifat kekurangan. Allah menjadikan segala makhluk dan Dia mesti disembah dengan sebenar-benarnya dengan penuh kasih sayang.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Ia tiada beranak, Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya." (al-Ikhlas: 1-4)

*Jaga iman, jaga aqidah!

Saturday 10 November 2012

Sedih dan gembira...


Kegembiraan dan kesedihan tidak akan terlepas daripada kehidupan manusia. Ada masanya kita ketawa keriangan apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan, dan tidak disangka-sangka dalam saat gembira itu mungkin ada sahaja sesuatu yang menyebabkan kita bersedih, lalu kita menangis teresak-esak.

Kita gembira dan bersedih kerana sesuatu. Kadang-kadang kesedihan kita kerana dihimpit kesusahan dan penderitaan, boleh jadi kerana kehilangan sesuatu. Atau tanpa sebab yang jelas, kita sendiri tidak mengerti mengapa kita bersedih. Bahkan begitu juga kegembiraan, mungkin mendapat sesuatu yang berharga, atau terlepas dari dugaan yang berat, dan ada juga orang tidak tahu mengapa dia merasa gembira.

Ada pula kegembiraan yang mengharukan. Seperti seseorang yang mendapat sesuatu kejayaan, sehingga dari saat gembira, dia pun menangis tersedu-sedu.pelik sungguh perasaan sedih dan gembira ini.

Sesungguhnya yang mengatur itu semua adalah Allah SWT. Dia yang berkuasa memberikan kegembiraan dan kesedihan ke dalam hati manusia. Firman-Nya:

“Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menitiskan air mata.” (an-Najm: 43) 

Lantaran itu, kita sentiasa diingatkan agar tidak terlalu gembira apabila mendapat sesuatu yang menyenangkan hati, malah mesti melahirkan rasa yukur kepada Allah SWT. Begitu juga jangan terlalu bersedih jika datang sesuatu yang mendukakan hati, melainkan dapat menguasai diri dengan bersabar. Kegembiraan dan kesedihan yang sukar dijangka, kerapkali kita terlupa bahawa di dalam kegembiraan dan kedukaan yang datang itu terletak rahsia kehidupan yang tidak dapat kita selak maknanya, melainkan setelah kita menempuhinya terlebih dahulu.

Buat adik-adik yang akan menerima keputusan UPSR nanti, jangan bersedih tetapi bersabarlah jika tidak berjaya dan jangan terlalu gembira jika mendapat kejayaan sehingga lupa untuk bersyukur kepada-Nya. Sesungguhnya ia adalah langkah perjalanan yang baru bermula dalam episod hidup yang lebih luas dan mencabar.

Thursday 8 November 2012

CARA MENGURUSKAN NAJIS

Soalan: 

Assalamualaikum Ustaz, Saya menjaga ibu mertua yang berusia 90 tahun. Ibu mertua saya masih boleh berjalan walau agak payah. Oleh itu, beliau enggan memakai lampin pakai buang. Kerana faktor usia beliau kadang kala tidak dapat menahan najis (kecil dan besar) dari tercicir di aas lantai.

Soalan saya ialah, bagaimanakah cara menguruskan najis yang tercicir atas lantai rumah? Adakah memadai dengan saya membuang ain najis tersebut kemudian saya mopkan kawasan yang terkena najis dengan air sebanyak 2 kali bilas? Perlukan saya mengalirkan air sebanyak 2 kolah untuk membersihkan najis tersebut? Jika saya berbuat begitu, dikhuatiri bekas najis tersebut akan merebak ke bahagian lain. Selepas dicuci, bolehkan kita bersolat ditempat yang pernah terkena najis? Bagaimana pula dengan pakaian mertua saya? Bolehkah saya membuang najis dengan membilas pakain tersebut dengan air mengalir kemudian membasuhnya bersama pakaian lain di dalam mesin basuh? Bolehkah pakaian yang dibasuh bersama pakaian mertua saya dibawa bersolat? Saya amat berharap agar Ustaz dapat menjawab soalan saya ini untuk menghilangkan rasa was-was sambil berusaha menjaga mertua dengan sebaik mungkin.

Jawapan: 

1. Buang 'ain najis terlebih dahulu, kemudian alirkan air ke atas tempat/kawasan yang dikenai najis dan lapkan. Lakukan sehingga hilang kesan najis. Jika perlu menggunakan sabun untuk menanggalkan najis, gunakanlah. Bilangan basuhan tidak disyaratkan. Yang disyaratkan ialah hilang kesan najis iaitu bau, warna dan sebagainya. Jika dengan sekali basuhan kesan najis telah hilang, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Begitu juga, tidak disyaratkan kuantiti air mesti air dua kolah. Hanya disyaratkan air mutlak dengan kadar yang mencukupi untuk menghilangkan najis. Jika dengan air yang sedikit (yakni kurang dua kolah) sudah dapat menghilangkan kesan najis tadi, sudah memadai basuhan itu. Malah berlebihan menggunakan air tanpa perlu, hukumnya makruh kerana membazir.

2. Pakaian yang dikenai najis; tidak harus dibasuh dengan merendamkannya ke dalam tank (bekas) mesin basuh kerana ia akan menajisi air di dalam tank tersebut. Dari segi hukum, air yang kurang dari dua kolah jika dimasuki/dijatuhi najis automatik air itu menjadi mutanajjis (yakni air yang bercampur najis) walaupun tidak nampak kesan najis pada air itu dan tidak harus digunakan lagi air itu untuk bersuci. Jika diputarkan pakaian bernajis di dalam tank mesin basuh, basuhan itu tidak dikira melainkan setelah dibilas kemudiannya dengan air bersih (mutlak) barulah dianggap suci pakaian tersebut dengan syarat tidak ada lagi kesan najis pada pakaian tersebut (warna, bau dan sebagainya). Adapun membasuh pakaian yang kotor/cemar tetapi tidak najis (seperti pakaian yang berpeluh,terkena kuah makanan, tanah dan sebagainya) tidak mengapa merendamnya ke dalam tank mesin basuh dan memutarkannya kerana bahan-bahan kotor/cemar itu tidak akan menajisi air (kerana ia bukan najis). Tujuan basuhan tersebut bukan untuk menghilangkan najis, tetapi hanya untuk menghilangkan kesan cemar pada pakaian, kerana itu tidak dikenakan syarat sebagaimana basuhan najis. Oleh itu, sebaiknya pakaian yang bernajis tidak dicampurkan dengan pakaian yang tidak bernajis di dalam satu tank mesin basuh. Jika ingin dicampurkan,hendaklah dipastikan semua pakaian dibilas (yakni dialirkan air ke atasnya) setelah diputarkan dalam mesin basuh (termasuk pakaian yang tidak bernajis juga perlu dibilas).

3. Pakaian bernajis yang telah dibasuh dengan sempurna hingga hilang kesan-kesan najis darinya, ia kembali kepada hukum asalnya (iaitu suci/bersih) dan harus dipakai ketika solat. Tidak perlu lagi ada perasaan was-was apabila basuhan telah sempurna dan kesan najis tidak ada lagi. Wallahu a'lam.

Sumber: Ilmu dan ulamak

Wednesday 7 November 2012

Yang mana satu idaman kalbu...

Tepuk dada tanya iman, 
Jangan tanya makan, 
Nanti tak dapat jawapan, 
Yang pasti dapat kenyang.

Sumber: FB

Friday 2 November 2012

Tazkirah Jumaat: Ujian, bicara dan sapaan Allah


Adakalanya seperti mahu rebah dengan ujian-ujian hidup yang datang. Bahkan seolah-olah tidak mampu untuk bangkit kembali. Demikianlah, kadang-kadang ujian gelora hidup yang datang dengan wajah yang amat menakutkan. Menerjah kita dari sudut yang tidak terduga.

Kadang-kadang saya merasa takjub dan kehairanan melihat orang yang biasa-biasa, tetapi punyai kekuatan yang luar biasa ketika menghadapi ujian. Seumpama mereka tidak terobek dengan ujian dan dugaan tersebut. Mungkin bagi saya ujian itu sudah terlalu besar dan berat lagaknya, tetapi mereka masih memiliki ketenangan dan mampu mencorak tersenyum di kelopak bibir. Apakah rahsianya, terasa ingin benar memiliki kekuatan seperti itu.

Ujian yang datang selalunya sesuai dengan kemampuan diri. Sebab itu kita melihat ada orang yang dapat bertahan, manakala ada yang tersungkur tewas biarpun masalah yang menimpa sama sahaja.

Kita tidak meminta ujian, kita juga tidak dipinta untuk meminta ujian. Tetapi kita diminta supaya berdoa agar ujian yang menimpa sesuai dengan kesanggupan dan kekuatan kita. Siapakah yang mengetahui kadar daya kekuatan kita? Dialah, Allah SWT. Namun untuk mengatakan tidak mahu diuji dalam kehidupan, mana mungkin begitu kerana ujian itu adalah rukun hidup. Dunia ini adalah pentas ujian. Bahkan hidup dan mati juga adalah ujian.

Bagaimanakah kita melihat ujian itu? Mungkin ada sesetengah orang memandang ujian itu dengan persepsi yang amat negatif. Jiwa yang rapuh pasti akan merasakan betapa zalim dan tidak patutnya Allah, nau`dzubillah. Jangan sekali-kali berfikir demikian. Marilah kita mengubah pandangan itu, menafsir dari sisi hikmah dan mata hati.

Sesungguhnya dugaan dan ujian umpama bicara atau sapaan Allah kepada kita agar kembali menginsafi diri. Membetulkan apa yang silap, memperbanyakkan pahala dan memadamkan dosa. Lebih utama, kita menafsirkan ujian yang menimpa itu adalah tanda kasih sayang Allah yang bersangatan kepada para hamba-Nya. Lihatlah berapa ramai orang yang mencari Allah dan menemui jalan kebaikan dek kerana ada ujian dan dugaan yang menimpanya. Begitu juga berapa ramai orang yang sombong dan bongkak jiwanya, tetapi berubah menjadi insan merendah diri dan menghargai orang lain setelah melalui ujian gelora hidup yang getir. Berapa ramai pula insan yang disayangi dan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT, disebabkan kesabaran atas ujian yang menimpanya.

Rasulullah saw bersabda: “Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa).” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya semua ini amat menginsafkan dan mengubah persepsi serta pandangan, kerana mengingatkan diri bahawa ujian dan dugaan yang menerjah adalah rahmat dan kasih sayang-Nya.
Melihat kesusahan dan penderitaan seseorang lalu hati kecil berkata: “Sesungguhnya dia sedang tenggelam dalam rahmat Allah, mungkin darjatnya lebih tinggi daripada diriku…”

Setiap dari kita pasti akan melalui ujian. Maka bersabarlah.

Disitu ada rahmat dan kasih sayang-Nya…