Sahabat Sejati

Wednesday, 14 March 2012

Pilih redha-Nya, engkau pasti tidak akan kecewa


“Hari ini jika ada sepuluh orang yang memuji, seramai itulah yang akan mengeji. Demikianlah juga hari ini jika ada sepuluh orang yang menyakiti, seramai itulah juga yang akan bersimpati.”

Teringat kata-kata seorang pakcik tua suatu masa dahulu. Ketika itu diri masih mentah dengan pengalaman hidup. Masih banyak yang perlu dipelajari, sedangkan hanya sekelumit sahaja yang diketahui.

Hari ini saya melihat ada benarnya kata-kata itu. Tiba-tiba ia menerjah kembali ke benak setelah saya melalui pahit manis, asam rencah kehidupan.

Benar, kita tidak ada daya untuk memuaskan hati semua orang. Kita tidak ada kuasa. Adakalanya kita merasakan sudah melakukan segala-galanya yang terbaik, tetapi masih ada lagi yang tidak senang. Itulah lumrah kehidupan. Kita tidak hidup sendirian, kita bergelandangan di tengah-tengah kelompok manusia. Jadi, tidak pelik jika ada yang redha dan ada yang membenci.

Ramai orang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan orang lain suka kepadanya. Tidak kurang pula yang sanggup berkorban dan menderita kerana mengharap sanjungan dan pujian manusia. Ada pula yang sanggup melakukan perkara terlarang demi untuk meraih cinta manusia. Sedangkan semua itu adalah tipuan nafsu semata. Kita sering terperangkap demi mencari cinta dan redha manusia.

Abi Abbas ra. telah berkata, Rasulullah saw telah bersabda: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredhaan manusia, Allah akan memurkainya dan akan menjadikan setiap yang diredhainya itu benci terhadapnya. Orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredhainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredhaan Allah itu menghiasi diri, percakapan dan amalannya, pasti ia mendapat perhatian Allah.” (Riwayat al-Thabrani)

Panduannya cukup mudah.

Apa yang dipandang baik oleh manusia tidak semestinya baik pada pandangan Allah SWT. Manakala apa yang dipandang buruk oleh Allah SWT pasti buruk akibatnya pada manusia. Begitu juga apa yang terpandang buruk oleh manusia, tidak selalu buruk dalam pandangan Allah SWT. Sebaliknya apa yang dipandang baik oleh Allah SWT pasti baik untuk manusia. Baik dalam pandangan Allah bermakna di situ ada keredhaan-Nya, buruk dalam pandangan-Nya, maka di situ terselit kemurkaan-Nya. Itulah hakikat yang mesti dipelajari dan difahami.

Sesungguhnya keredhaan Allah adalah nikmat terbesar yang menjadi tujuan utama bagi orang-orang yang beriman. Namun, ujian sentiasa berkeliling dalam mencari redha Ilahi. Ia berterusan tiap saat dan ketika.

Oleh itu, pilihlah redha Allah SWT biarpun semua manusia tidak bersetuju dengannya. Sesungguhnya DIA pasti tidak pernah mengecewakan...

Kini pakcik itu telah pun tiada, sedangkan usia saya juga bagaikan tersisa dihujung jari. Namun, bait-bait sendu nasihatnya itu tidak pernah saya lemparkan ke tepi-tepi jalan atau saya sisihkan jauh-jauh, saya kutip dan simpan kemas di lipatan memori sebagai mutiara berharga buat pedoman hari-hari mendatang.

Saya tidak lupa...

1 comments:

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, AbuIkhwan...

Alhamdulillah, pertama kali menulis dan menyapa blog tulisan akhi yang sangat mencerahkan jiwa dan menjernihkan hati.

banyak perkara bermanfaat dapat saya baca disini. pesan dari pengalaman yang dilalui membuat diri saya menjadi lebih bersemangat untuk menjadi hamba Allah yang qanaah dan redha dengan apa yang dikurniakan Allah.

Terima kasih dan saya sangat menghargai akhi kerana sudi menitip blog saya melekat di sini. Semoga bermanfaat buat yang mahu mengambil iktibar darinya. Semoga AbuIkhwan diberkati Allah. Aamiin.

Salam ukhuwwah dan sejahtera selalu dari Sarikei, Sarawak. :D

SITI FATIMAH AHMAD
Laman Menulis Gaya Sendiri G2

Post a Comment