Sahabat Sejati

Tuesday, 20 March 2012

Limpahan rezeki dari kasih sayang-NYA


Hampir satu jam saya mengadap skrin komputer untuk menyiapkan beberapa tugasan berkaitan dengan program pelajar. Sudah beberapa hari ia tertangguh dek kesibukan saya di luar kawasan. Semalam sehari suntuk saya berada di Jerantut. Dua hari sebelumnya saya berada di daerah Pekan, jam dua pagi baru sampai ke rumah. Manakala sebelum pada itu saya berada di negeri Terengganu bersama sahabat dalam program kebajikan. Letih tetapi menggembirakan, kerana dapat menginfaqkan sedikit kudrat yang ada di dalam medan dakwah. Walaupun sebenarnya ia amatlah kecil jika mahu dibandingkan dengan mereka yang diberi keluasan dalam medan amal islami.

Ketika jari-jemari sedang galak menekan butang-butang huruf di papan pemuka, tiba-tiba konsentrasi terganggu dengan decitan suara sang cicak yang berkejaran di dinding. Terhenti sebentar saya menaip, lalu saya sorotkan sepasang anak memerhati dua ekor cicak yang sedang melata memburu serangga terbang buat mengisi habuan tembolok.

Jika semasa kecil dahulu sudah tentu cicak tersebut akan menjadi sasaran lastik getah saya. Entahlah sudah berapa banyak yang telah menjadi mangsa. Kemudian cicak-cicak yang ‘terkorban’ akibat penangan lastik getah saya itu, saya jadikannya untuk mengusik kakak-kakak saya. Lalu bergema jeritan kegelian bersama derai tawa saya. Itu cerita lama zaman kanak-kanak.

Limpahan rezeki-Nya

Bercerita tentang cicak, ada sesuatu yang menarik menujah di fikiran. Hati kecil dan jiwa membawa saya merenung pesanan seorang guru mengenai rezeki.

Subhanallah!

Cicak yang dunianya hanyalah melata pada dinding tetapi makanannya adalah serangga yang terbang bersayap. Cicak yang hanya menempel di dinding mahu menangkap serangga yang berterbangan, tidak logikkan? Tetapi tidak pernah kita dengar ada cicak yang mati kelaparan, tidak pernah. Siapakah yang merencanakan supaya serangga itu terbang mendekati cicak itu sedangkan dunia ini luas terbentang untuk mereka terbang. Itulah kasih sayang Allah, sentiasa memberikan rezeki kepada makhluk-Nya.

Firman Allah SWT:

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).” (Hud: 6)

Ayat di atas menjelaskan bahawa yang melata di atas bumi tidak perlu khuatir akan kekurangan rezeki kerana Allah telah menyediakannya. Dia yang melimpahkan pemberian-Nya kepada sekecil-kecil makhluk hingga kepada ciptaan-nya yang terindah iaitu manusia. Sesungguhnya khazanah perbendaharaan Allah tidak pernah berkurang dan tidak pernah habis.

Namun, sesetengah orang ada yang salah faham dalam memahami ayat ini. Katanya, kita tidak perlu mencari rezeki, cukuplah berehat dan bermalas-malasan kerana Allah telah menentukannya.

Ada juga yang tersilap dalam memahamkan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Seandainya kamu semua bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki sebagaimana Dia memberi kepada burung yang keluar dengan perut kosong pada pagi hari dan kembali dengan perut kenyang pada petang hari.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Mereka berkata cukup dengan hanya bertawakal maka Allah akan memberikan rezeki. Pemahaman sebeginilah yang menyebabkan mundurnya kaum Muslimin sehingga mereka hidup melarat. Memang ada disebut yang rezekinya ditanggung oleh Allah SWT.

Lihatlah, burung itu tidak tinggal diam di dalam sarangnya sahaja, tetapi ia keluar terbang mencari rezeki. Kemudian, pulang pada petang hari dengan perut yang kenyang. Ternyata burung itu keluar mencari makanan, bukannya tinggal di dalam sarangnya sahaja. Begitulah akan halnya manusia, perlu berusaha mencari rezeki, sehingga kembali ke rumah dengan membawa keperluan hidupnya.

Jelaslah hadis ini menyuruh kita berusaha dan bekerja, bukan hanya memangku tangan dan duduk bermalasan sambil menunggu rezeki datang bergolek.

Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam, cukup luar biasa pengajarannya. Penuh dengan hikmah dan pengajaran yang mengetuk hati dan sanubari.

Jangan bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki, tetapi bertawakallah kepada Allah dengan sepenuh harapan. Namun, dalam masa yang sama tawakal mestilah disertai dengan ikhtiar menurut keupayaan sendiri. Ikhtiar juga mestilah di dalam batas-batas yang dibenarkan syarak. Kekuatan tawakal dan kegigihan ikhtiar, insya-Allah kita tidak akan kecewa.

Cit..cit..cit..

Cicak berbunyi lagi!

0 comments:

Post a Comment