Sahabat Sejati

Wednesday, 7 October 2026

Pengembaraan Masa (Part 22): Di atas Mendam Berahi

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini (Part 21) 

Sudah empat hari kapal belayar meninggalkan Melaka. Sejauh mata memandang, hanya lautan terbentang luas, biru dan tidak bertepi. Angin laut bertiup sederhana, mengembangkan layar-layar kapal yang sesekali mengeluarkan bunyi berdesir ditiup bayu. Ombak kecil memukul lambung kapal dengan irama yang hampir menidurkan. 

Para anak kapal sibuk dengan tugas masing-masing; ada yang memeriksa tali-temali, ada yang mengemudi dan ada yang duduk berehat setelah selesai menjalankan amanah. 

Aku berdiri di birai kapal, memandang jauh ke ufuk. Sesekali mataku singgah pada Hang Lekiu yang sedang berbicara dengan beberapa orang anak kapal. Gagah orangnya, namun tidak banyak bicara. Sesekali dia melemparkan pandangan ke arahku, seolah-olah masih cuba mengenali siapa sebenarnya anak muda yang dibawa bersama dalam pelayaran ini. 

“Belum jemu memandang laut, Zahran?” Suara Datuk Laksamana Hang Tuah menegur dari belakang. Aku menoleh. Beliau berdiri bersama Hang Lekiu yang baru sahaja selesai memeriksa tali layar. 

“Belum, Datuk Laksamana. Semakin dipandang, semakin terasa luasnya laut ini.” 

Hang Lekiu tersenyum kecil. “Laut memang begitu. Pada pandangan pertama, kelihatan tenang. Tetapi apabila angin berubah, sifatnya juga boleh berubah.” 

Aku memandangnya. “Tuan hamba sudah banyak kali belayar?” tanyaku. 

Beliau mengangguk. “Sudah beberapa kali. Namun laut tidak pernah mengajar perkara yang sama. Setiap pelayaran ada ujiannya.” 

Laksamana Hang Tuah mencelah sambil tersenyum, “Benar kata Lekiu. Sebab itu orang yang belayar hendaklah sentiasa berjaga-jaga. Jangan kerana laut tenang, kita menyangka perjalanan akan sentiasa mudah.” 

Aku mengangguk perlahan. Pandanganku kembali jatuh pada geladak kapal yang kukuh di bawah kaki. Tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiranku. Sejak mula belayar, aku sering terdengar anak-anak kapal menyebut satu nama yang begitu dekat dengan ingatanku. 

“Datuk Laksamana,” tegurku, “benarkah kapal yang kita naiki ini bernama Mendam Berahi? Hamba terdengar beberapa orang anak kapal menyebut nama itu tadi.” 

Laksamana Hang Tuah memandangku lalu tersenyum kecil. 

“Benar Zahran. Mendam Berahi namanya. Ada apa gerangan sehingga engkau bertanya demikian?” 

Aku terdiam seketika. Sukar untuk kujelaskan kepada beliau. Nama kapal itu bukanlah sesuatu yang asing bagiku. Aku pernah membacanya di dalam buku sejarah. Dicatatkan bahawa Mendam Berahi dinamakan sendiri oleh Laksamana Hang Tuah yang bermaksud "Lupa Daratan Kerana Cinta" atau ghairah dalam pelayaran

Bahkan aku pernah melihat replikanya di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Namun ketika itu, Mendam Berahi hanyalah sebuah nama yang tercetak di halaman buku dan sebuah kapal yang diam di sebalik kaca pameran. 

 Kini, aku berdiri di atas geladaknya. 

Aku dapat merasakan sendiri hembusan angin yang mengembangkan layarnya, mendengar bunyi papan geladak yang dipijak para anak kapal dan merasai ayunan ombak yang menggerakkan tubuh kapal ini. Sesuatu bergetar halus dalam dadaku. Tidak pernah terlintas dalam fikiranku bahawa suatu hari nanti aku sendiri akan menjejak geladak kapal yang selama ini hanya kukenal melalui lembaran sejarah. 

“Tiada apa-apa, Datuk Laksamana,” jawabku akhirnya, cuba menyembunyikan rasa teruja yang semakin membuak. “Hamba cuma.. pernah mendengar namanya.” 

Laksamana memandangku agak lama, seolah-olah cuba membaca sesuatu pada wajahku. Namun beliau tidak bertanya lebih lanjut. 

Aku kemudian mengalihkan pandangan ke hadapan. “Berapa lama agaknya perjalanan kita sebelum tiba di Samudera Pasai, Datuk?” tanyaku. 

Laksamana Hang Tuah memandang ke arah layar yang sedang mengembang ditiup angin. 

“Jika angin terus bersahabat, insya-Allah tidaklah terlalu lama. Namun dalam pelayaran, jangan terlalu menghitung hari. Kita merancang haluan, tetapi angin dan ombak tetap dalam ketentuan-Nya.” 

Hang Lekiu ketawa kecil. “Dan jangan pula terlalu asyik memandang laut sampai lupa turun makan.” 

Kami bertiga tertawa kecil. 

Aku berasa sedikit lega. Empat hari yang lalu aku masih berada di bumi Melaka, dikelilingi manusia dan kehidupan yang kukenal. Kini aku berada di atas Mendam Berahi, ditemani dua nama besar yang selama ini hanya kukenal melalui lembaran sejarah. 

Aku memandang semula lautan yang terbentang luas. Di hadapan, hanya ufuk yang tidak bertepi. Di belakang, Melaka semakin jauh ditelan jarak. 

Aku menarik nafas panjang. 

Untuk pertama kalinya, aku benar-benar terasa bahawa masa lalu ini bukan lagi cerita yang sedang kubaca. Bukan lagi sekadar nama-nama yang tercetak di halaman buku atau replika yang tersimpan di muzium. 

Aku sedang hidup di dalam sejarah itu sendiri.

 Hari Kelapan, Daratan Samudera Pasai

“Dah sampai!” 

Tiba-tiba terdengar jeritan dari atas dek, disusuli sorakan beberapa orang anak kapal. Aku yang sedang berbaring di dalam petak kapal terus terjaga. Dalam keadaan terpisat-pisat, aku bangun lalu melangkah pantas menuju ke geladak. 

“Tengok tu! Daratan! Kita dah sampai!” jerit seorang anak kapal kepadaku sambil menunjukkan ke hadapan. 

Aku segera berdiri di sisi kapal. Di kejauhan, samar-samar kelihatan daratan yang semakin jelas di sebalik kabus pagi. Setelah lapan hari membelah lautan, akhirnya kami tiba di Samudera Pasai. 

Entah mengapa, dadaku berdebar kencang. Antara percaya dengan tidak, aku terus memandang ke arah daratan itu. Inikah Samudera Pasai yang selama ini hanya kukenal melalui buku-buku sejarah? 

Aku tidak berkata apa-apa. Hanya mata yang terus terpaku ke hadapan, menanti apa yang bakal menyambut kami di bumi Pasai. 

Dan semakin dekat kapal kami menghampiri pantainya, semakin kuat pula rasa ingin tahu yang bermain di hati. 

Apakah yang akan kutemui di sana? 

Bersambung Part 23.. 

Saturday, 3 October 2026

Mempatin di Sungei Pahang

“Sikitnya..” tegur Ustaz Alif apabila melihat nasi di dalam pinggan saya. 

“Haa.. separuh senduk saja. Tapi patin dua ketul, kuah penuh semangkuk,” jawab saya sambil tersenyum. 

“Tengah diet tu..” celah Ustaz Hairul yang duduk di sebelah. Kami sama-sama ketawa. 

Begitulah sedikit warna dalam pertemuan dwi-bulanan kami di Rumah Rakit Amal. Sederhana saja suasananya, tetapi selalu ada cerita, ada gelak tawa dan ada rasa kebersamaan yang sukar hendak digambarkan. 

Menu hari itu memang menggoda, gulai masam ikan patin, bersama beberapa lauk lain. Seperiuk besar ikan patin menanti untuk dihabiskan. 

Dan dalam kalangan kami, ada satu hukum tidak bertulis..

Kalau tak habis, wajib bungkus bawa balik. 😄 

Jangan ditinggalkan begitu sahaja. Bukan kerana takut membazir semata-mata, tetapi memang tiada siapa yang akan datang menghabiskannya. Jadi, daripada tinggal begitu saja, lebih baik bawa pulang. Rezeki jangan disia-siakan. 

Selesai makan, kami masuk pula kepada agenda perbincangan. 

`Menikmati suasana damai, bukit yang berbalam-balam diserkup gelap malam dan arus lesu Sungai Pahang`

Beberapa program dipersetujui untuk dilaksanakan. Antaranya Ziarah Mahabbah ke Kampung Orang Asli (KOA). Yang ini, terus terang saya katakan, memang saya nantikan. 

Masuk hutan lagi nampaknya! 

Entah kenapa, perjalanan ke pedalaman selalu meninggalkan rasa yang berbeza. Jalan yang panjang, kampung yang jauh, suasana hutan, bertemu masyarakat yang mungkin jarang kita temui… semuanya ada cerita tersendiri. Dan bagi saya, di situlah selalunya hati belajar sesuatu yang tidak boleh diajar hanya melalui kata-kata. 

Satu lagi program yang dipersetujui ialah ziarah ke Tadika Amal Kunak, Tawau, tadika yang kami uruskan untuk anak-anak keturunan Sulu mendapatkan pendidikan. 

Insya-Allah, saya akan cuba sertai kedua-dua program ini. 

Mungkin nanti ada lagi perjalanan panjang. Ada lagi jalan yang berliku. Ada lagi hutan yang perlu ditembusi. Dan mungkin juga, ada lagi seperiuk patin yang perlu dihabiskan. 😄

Begitulah kehidupan dalam kerja-kerja amal. 

Kadang-kadang ia bermula dengan separuh senduk nasi, dua ketul patin dan semangkuk kuah. 

Tetapi daripada pertemuan kecil seperti itulah, lahir perancangan untuk sebuah perjalanan yang mungkin membawa kita lebih dekat kepada manusia, lebih dekat kepada kehidupan mereka.. dan mudah-mudahan, lebih dekat juga kepada-Nya.

Tuesday, 22 September 2026

Coret-coret malam ini..

'2 lagi buku untuk bulan September'

Suasana malam ini tenang betul, tambah-tambah lagi bila hujan mula turun lepas maghrib tadi. Boleh tahan juga lebatnya. 

Sekali-sekala terdengar guruh dan nampak kilat menyambar, tapi yang paling lega mestilah bahang panas yang mencucuk-cucuk semenjak dua menjak ni terus hilang. Rasa sejuk sikit bilik malam ni! 

Paling penting, harapkan hujan ni dapatlah 'membasuh' jerebu yang menebal kat luar tu. Alhamdulillah, tempat saya sendiri bacaan IPU dah kembali ke tahap hijau, yang sebelum ini mencecah tahap kuning, maksudnya dah masuk kategori sederhana. Memang sebelum ini terasa juga kering tekak dan pedih mata kalau keluar rumah. 

Bila cuaca sejuk begini, teringat pula dekat parcel buku yang baru sampai tempohari. Bulan September ni nampaknya ada rezeki lebih sikit, sempat melempar 'racun' pada diri sendiri dan beli 2 buah buku lagi. Kalau campur dengan yang awal bulan hari tu, cukuplah 3 buah buku bertukar hak milik untuk bulan ni! 

Luar hujan lebat, ditarik selimut nipis, ditiup angin sejuk, sambil layan buku baru bersulamkan bau kertas fresh.. chef's kiss betul malam ni. 

Korang pula macam mana? Cuaca kat tempat korang hujan tak malam ni, dan buku apa yang tengah korang layan sekarang?

Friday, 18 September 2026

Pengembaraan Masa (Part 21): Bermula Pelayaran

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini (Part 20)

Seawal pagi, aku telah pun berada di Pelabuhan Melaka yang gah itu. Dari kejauhan, tiang-tiang layar kapal menjulang tinggi, memenuhi kaki langit seperti hutan yang tumbuh di atas air. 

Kapal-kapal dagang dari pelbagai negeri berlabuh rapat. Suara jeritan kelasi berselang-seli dengan bunyi tali ditarik dan papan kapal yang berderit dipukul ombak. 

Di tengah kesibukan itu, aku berdiri di satu kawasan lapang. Pak Andak dan Mak Andak sibuk memastikan segala bekal dan keperluanku cukup, sementara Busu sesekali memandang kapal-kapal yang berlabuh dengan mata penuh kagum. Seroja pula berdiri tidak jauh daripadaku. 

Tiba-tiba bahuku disentuh dari belakang. Aku menoleh. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat Datuk Laksamana Hang Tuah berdiri di situ, gagah dalam persalinannya. Di belakangnya berdiri Hang Lekiu bersama beberapa orang panglima. 

“Zahran,” tegurnya sambil tersenyum. “Kamu dah bersedia nak belayar?” 

Aku mengangguk sambil tersenyum. 

“Insya-Allah, Datuk. Semuanya sudah siap.” 

Daripada perbualan itu, aku mendapat tahu bahawa tiga lagi sahabat setia mereka (Hang Jebat, Hang Kasturi dan Hang Lekir) tidak turut serta kerana dititahkan untuk menjaga keselamatan kerajaan Melaka.

Belum sempat kami berbicara lebih jauh, tiba-tiba melangsing bunyi nafiri diraja dari arah pintu pelabuhan. Bunyinya panjang dan bergema, memecah hiruk-pikuk pelabuhan yang sejak pagi dipenuhi saudagar, kelasi dan rakyat jelata. 

Seketika itu juga, suasana menjadi hening. 

Para pembesar dan sekalian yang berada di dermaga segera menundukkan kepala. Dari kejauhan, kelihatan rombongan diraja bergerak perlahan menuju ke dermaga. Paduka Sultan Melaka berkenan berangkat sendiri bagi mengiringi pelayaran kami. Baginda berada di atas tandu, diiringi para pengawal dan pembesar negeri. 

Kami segera mengatur sembah. Aku turut merendahkan tubuh, menundukkan kepala seraya menyembah penuh takzim. 

“Daulat Tuanku,” sembah Datuk Laksamana Hang Tuah setelah menghampiri tandu baginda. “Patik menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku berangkat ke pelabuhan bagi mengiringi pelayaran patik sekalian.” 

Baginda mengangguk perlahan sebelum menitahkan, 

“Laksamana, beta amanahkan keselamatan seluruh rombongan kepada engkau. Jagalah mereka sebagaimana engkau menjaga maruah Melaka. 

“Sesungguhnya perjalanan ke Samudera Pasai bukanlah suatu pelayaran yang boleh dipandang ringan. Andai berdepan kesukaran di lautan, hendaklah Laksamana bijaksana membuat pertimbangan.” 

Laksamana Hang Tuah menyembah sekali lagi. “Daulat Tuanku. Patik junjung titah. Segala amanah yang Tuanku limpahkan akan patik laksanakan sedaya upaya, insya-Allah.” 

Kemudian pandangan baginda beralih kepadaku. 

Aku segera mengangkat sembah, merendahkan tubuh sedalam-dalamnya. 

“Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.” Baginda memandangku seketika, lalu bertitah dengan suara yang tenang, 

“Zahran, beta telah memperkenankan permintaan Laksamana Hang Tuah agar engkau turut serta dalam pelayaran ini. Beta berharap perkenan beta ini tidak akan engkau sia-siakan. Dengarlah nasihat Laksamana dan sekalian orang tua yang lebih dahulu mengenal pahit manisnya pelayaran.” 

Aku menyembah hormat. 

“Daulat Tuanku. Patik menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku. Segala titah dan nasihat yang disampaikan, patik junjung di atas batu jemala patik.” 

Baginda kemudian mengangkat tangan, seolah-olah memberi restu. 

“Pergilah dengan selamat. Semoga Allah memelihara perjalanan seluruh rombongan. Kembalilah kelak dengan khabar yang baik.” 

Kata-kata baginda terasa begitu dalam menusuk ke hati. 

Pada saat itu barulah aku benar-benar menyedari bahawa pelayaran ini bukan lagi sekadar perjalanan yang diizinkan oleh seorang raja. Ia adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadaku. 

Dan kini, setelah berdiri di hadapan Sultan Melaka sendiri, aku berjanji dalam hati untuk tidak mensia-siakan kepercayaan itu. 

Bunyi nobat mengiringi keberangkatan kami menuju ke kapal. 

Aku menoleh seketika ke arah Pak Andak, Mak Andak, Busu dan Seroja yang masih berdiri di dermaga. 

Pak Andak mengangkat tangan memberi isyarat kepadaku. 

“Zahran, hati-hati di perjalanan. Dengarlah nasihat Datuk Laksamana dan jangan lupa menjaga diri.” 

Aku mengangguk. Kata-kata ringkas Pak Andak itu terasa berat di hati. 

Mak Andak pula hanya tersenyum, meskipun jelas matanya mula berkaca. 

Seroja berdiri sedikit di belakang mereka. Dia melambai perlahan kepadaku. Kemudian, seolah-olah tidak mahu sesiapa melihat air matanya, Seroja segera mengesat hujung matanya dengan kain sarung yang menutupi separuh wajahnya. 

Aku sempat melemparkan senyuman kepadanya. 

Seroja membalas dengan senyuman kecil yang dipaksa. 

Kemudian aku melangkah pergi. 

Semakin jauh aku melangkah, semakin kecil wajah-wajah yang kukasihi itu kelihatan dari pandangan. 

Namun sebelum menaiki kapal, aku menoleh sekali lagi. 

Seroja masih berdiri di situ. Masih melambai. 

Dan kali ini, aku tidak mampu lagi menahan rasa sebak yang mula memenuhi dada. 

Aku segera berpaling lalu meneruskan langkah. 

Ke arah kapal. 

Ke arah Samudera Pasai.

Bersambung Part 22.. 

Sunday, 13 September 2026

Desaku, Rumah Rindu yang Tak Pernah Pudar

`Desaku`

Di satu lembah sunyi yang hanya dikenang dalam hati, terletaknya sebuah desa - desa yang menjadi kanvas masa kecilku, yang kini hanya tinggal warna-warna kenangan, terlukis indah di langit ingatan. 

Di situlah paya menjadi tempat kami menangguk anak-anak ikan, dengan serkup dan jaring buruk. Airnya keruh tapi jernih di mata kanak-kanak yang hanya mahu seronok, berendam hingga senja, hingga emak memanggil dengan suara yang penuh kasih. 

Ada pohon kayu besar di belakang rumah, yang dahannya menjadi singgahsana aku melayan angan-angan. Kadang kala aku panjat hingga ke tempat burung bersarang, dan dari situ aku tatap awan, berharap dapat terbang seperti layang-layang yang bebas di langit desa. 

Halaman rumah pula luas terbentang, tempat kaki-kaki kecil kami berlari, berkejaran mengejar bayang, menyepak bola dari gumpalan kain buruk, menyorok di balik pohon pisang, dan berguling di rumput tanpa risau luka atau kotor. 

Desa itu.. rumah-rumahnya kayu bertiang tinggi, dipeluk angin petang dan bau masakan dari dapur arang. Langitnya bersih - tiada asap kilang, tiada hiruk-pikuk jalan raya, hanya deru angin, dan sesekali deruman motosikal tua yang membawa balik hasil ladang atau bungkusan dari pekan. 

Ikatan antara manusia di situ sungguh luar biasa, anak aku - anak kamu, tiada beza. Jika aku tersadung jatuh, tangan jiran lebih dahulu menyambut. Jika aku lapar, dapur Mak Long sentiasa berasap, tidak pernah berkira, tidak pernah menolak. 

Kini desa itu sudah jauh.. bukan pada jarak, tapi pada rasa. Paya sudah ditimbus, pohon kenangan sudah ditebang, halaman itu kini bertembok batu. Dan kanak-kanak seperti aku dulu, tidak lagi berlari bebas, mereka lebih mesra dengan skrin bercahaya dari semak menerung. 

Tapi dalam hati ini.. aku masih duduk di dahan pohon kayu, masih menangguk anak ikan di paya yang hilang, masih ketawa di halaman desa, tempat rindu ini bertapak, tempat kasih ini bermula. 

Desaku yang dahulu.. tidak pernah mati. Ia kekal hidup, dalam dadaku yang sentiasa mahu pulang - walau hanya dengan air mata.

Thursday, 10 September 2026

Buku Pertama September - P. RAMLEE GENIUS SENI MELAYU

Dah pun sampai buku yang dibeli melalui atas talian. Seperti biasa, terima kasih bradar kurir atas khidmatmu. 😊 

Inilah buku pertama yang singgah ke rak saya pada bulan September. 

Sejujurnya, saya agak teruja apabila membuka bungkusan dan melihat kulit depannya buat pertama kali. Cantik! Ada sesuatu pada reka letak dan wajah P. Ramlee di kulit buku ini yang membuatkan saya berhenti seketika, sebelum perlahan-lahan membukanya. 

Buku ini merupakan buku keempat dalam koleksi saya yang berkaitan dengan penulisan mengenai P. Ramlee. Judulnya P. Ramlee Genius Seni Melayu, ditulis oleh Baharudin Ali Masrom Al-Haj, atau lebih dikenali sebagai Prof Bam, bersama Naizatul Hanim Abu Bakar. 

Naskhah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 2025, dengan 298 halaman. Menariknya, buku ini diterbitkan dalam dua edisi - kulit keras dan kulit nipis. 

Edisi kulit keras memang cukup menggoda. Foto-fotonya berwarna penuh, dicetak pada kertas yang cantik dan tentunya memberikan pengalaman membaca yang lebih istimewa. Harganya pun sedikit lebih tinggi. 

Asalnya memang saya berhasrat untuk memiliki edisi kulit keras itu. Malangnya, ketika hendak membuat pembelian, stoknya sudah kehabisan. 

Tak mahu menunggu terlalu lama, saya akhirnya memilih edisi kulit nipis. Yang saya terima ini dihiasi foto-foto P. Ramlee dalam versi hitam putih. Ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat memiliki edisi yang dihajati. 

Tapi tak apalah.. 

Yang penting, sebuah lagi buku tentang P. Ramlee sudah menjadi sebahagian daripada koleksi. 

Menariknya, selain dihiasi dengan foto-foto, di dalam buku ini juga hampir setiap topik disertakan dengan rujukan berbentuk QR yang membawa kita kepada lirik lagi, petikan filem, dokumentari, petika pendapat dan wawancara baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini. 

Di bahagian belakang buku ni tertulis bahawa kandungan naskhah ini merupakan kajian tentang sisi dakwah dan perjalanan hidup P. Ramlee yang dapat diteladani, dijadikan contoh serta sumber inspirasi. 

Dan benar, semakin kita mengenali P. Ramlee, semakin kita sedar bahawa beliau bukan sekadar seorang seniman yang menghiburkan. Beliau meninggalkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar filem, lagu dan lakonan. 

Ada pemikiran di sebalik karya-karyanya. Ada teguran. Ada nasihat. Ada kisah tentang manusia dan kehidupan. Dan mungkin itulah sebabnya karya beliau masih mampu menyentuh hati kita, meskipun zaman telah jauh berubah. 

P. Ramlee sudah lama pergi, tetapi suaranya masih tinggal. 

Lagu-lagunya masih berkumandang. Filem-filemnya masih ditonton. Dialog-dialognya masih disebut. Dan namanya masih disebut dengan penuh rasa hormat oleh generasi yang tidak pernah pun sempat mengenalinya ketika beliau masih hidup.  

Barangkali begitulah cara seorang seniman terus hidup selepas kematian bukan melalui jasad, tetapi melalui karya yang enggan mati. 

September baru bermula, dan sebuah lagi buku telah menemukan tempatnya di rak mini library saya. 

Mungkin suatu hari nanti, apabila usia semakin jauh meninggalkan hari ini, saya akan berdiri di hadapan rak itu, menyelak kembali helaian-helaian yang pernah dibaca. 

Dan ketika itu mungkin saya akan tersenyum sendiri.

Tuesday, 8 September 2026

Pengembaraan Masa (Part 20): Petang yang Menyimpan Resah

Baca di sini Part 19 

Petang itu, aku dan Pak Andak duduk di atas pangkin, di bawah rendang pohon jambu air. 

Angin petang bertiup perlahan, membawa haruman tanah desa yang masih menyimpan bahang matahari. Sesekali daun-daun jambu air berdesir, seperti berbisik sesama sendiri. 

Aku menarik nafas dalam-dalam, membiarkan dada terasa lapang. Tenang. Sebelum meneruskan bicara. 

Di situlah aku ceritakan semuanya kepada Pak Andak, tentang perjalanan yang bakal ditempuh, tentang Samudera-Pasai seperti yang pernah aku baca dalam buku sejarah di zamanku, dan tentang keberangkatanku pada esok pagi. 

Pak Andak mendengar tanpa banyak mencelah. Sesekali dia mengangguk, sesekali pandangannya dilemparkan jauh ke batas sawah. 

Seri Seroja pula tidak kelihatan sejak pagi. 

Seharian dia lebih banyak di dapur. Sesekali masuk ke bilik, kemudian keluar semula tanpa tujuan yang jelas. Wajahnya juga tidak seperti selalu. 

Ada sesuatu yang sedang bergelut di dalam dirinya. Resah yang cuba disembunyikan di sebalik diam. 

Sedang aku berbicara dengan Pak Andak, tiba-tiba Busu muncul dari belakang rumah. 

Di tangannya ada sebilah keris kecil yang diperbuat daripada seludang kelapa. Dirisip halus, namun cukup kemas untuk membuatkan aku tersenyum. 

Aku menghulurkan tangan, membelek keris tersebut. 

“Cantik keris ni. Busu buat sendiri?” 

Busu mengangguk. Wajahnya berseri-seri menahan bangga. 

“Busu buat pagi tadi.” 

“Wah.. pandai Busu.” ujarku memuji. 

Busu tersenyum lebar. Kemudian dia memandangku agak lama sebelum bertanya, 

“Abang Zahran akan berlayar esok?” 

Aku mengangguk perlahan. 

“Pergi jauh?” 

“Jauh juga.” 

“Lama?” 

Aku terdiam seketika. 

“Entahlah, Busu. Mungkin beberapa minggu. Mungkin lebih lama daripada itu.” 

Senyuman di wajah Busu perlahan-lahan hilang. 

Dia menundukkan kepala. Jarinya mengusap bilah keris seludang kelapa itu berkali-kali, sebelum akhirnya dia bersuara. 

“Kalau begitu..” 

Dia berhenti. 

Aku menunggu. 

“Jangan lupa pulang, abang.” 

Entah mengapa, kata-kata yang begitu pendek itu terasa berat di dadaku. 

Aku tersenyum lalu menepuk lembut bahunya.

“Insya-Allah, Busu. Abang akan usahakan untuk pulang.” 

Busu mengangguk. 

Kemudian dia memeluk keris kecil itu ke dadanya, seolah-olah ada sesuatu yang mahu dikatakannya lagi, tetapi tidak jadi. 

Dia berlari masuk ke dalam rumah. 

Aku hanya memandangnya pergi. 

Dan buat pertama kalinya petang itu, aku terasa beratnya sebuah keberangkatan. 

Malam yang Diam 

Malam itu bulan bundar tergantung rendah, seperti sedang memerhati apa yang bakal tertulis dalam kitab takdir manusia. 

Di beranda rumah Pak Andak, kami duduk berlingkar - aku, Pak Andak Musa, Mak Andak Rukiah dan Seri Seroja. 

Busu, si kecil itu, sudah lama terlena di pangkuan ibunya. 

Pelita minyak bergoyang-goyang ditiup angin. Cahayanya yang kekuningan jatuh samar pada wajah kami, kadang-kadang terang, kadang-kadang tenggelam dalam bayang. 

Dari kejauhan, kedengaran bunyi kentung dipalu, sayup-sayup dari arah surau kampung, tanda malam semakin dewasa. 

Kami berbual-bual kecil. 

Hal kampung. Hal sawah. Hal harga beras dan lauk di pasar. Seolah-olah tiada apa-apa yang luar biasa akan berlaku esok. 

“Datuk Hang Tuah tu nampak garang ke tidak?” tanya Mak Andak sambil membetulkan lipatan kain di lututnya. 

Aku tersenyum. 

“Taklah garang sangat.” 

Mak Andak mengangkat kening. 

“Tak garang?” 

Aku menggeleng. 

“Cuma.. bila dia pandang, rasa macam tak ada tempat nak sorok diri.” 

Pak Andak tergelak kecil. 

“Ha.. itu baru namanya pendekar.” 

Aku turut ketawa. 

Namun Seri Seroja hanya tersenyum nipis. Matanya tidak benar-benar bersama kami. Pandangan gadis itu jauh, seolah-olah hatinya sedang berjalan lebih laju daripada bibirnya. 

Beberapa ketika kami diam. 

Kemudian, tanpa memandangku, Seroja bertanya, “Samudera-Pasai tu.. jauh?” 

Aku menoleh kepadanya. “Agak jauh.” 

“Berapa lama?” 

“Makan masa beberapa hari. Mungkin 4 hingga 5 hari jika keadaan angin bertiup dengan baik. Sekiranya angin perlahan atau laut tenang..” 

Seroja mengangguk. “Kalau angin perlahan?” 

“Boleh jadi 8 hari, boleh berlanjutan hingga 10 hari." 

Dia kembali diam. Jarinya bermain-main dengan hujung kain. Aku memandang wajahnya, cuba membaca apa yang tersimpan di sebalik matanya. 

“Kenapa tanya begitu?” 

Seroja menggeleng perlahan. 

“Tak ada apa-apa.” Jawapan itu terlalu cepat. 

Aku hampir tersenyum. 

Namun sebelum sempat berkata apa-apa, dia bertanya lagi. “Abang akan balik.. kan?” 

Kali ini aku tidak terus menjawab. 

Pandangan aku lontarkan ke arah halaman. 

Bulan menyimbah cahaya pucat ke atas tanah. Pohon mengkudu bergoyang perlahan ditiup angin malam. 

Soalan itu kecil. Namun gema yang ditinggalkannya begitu besar dalam dadaku. 

Aku kembali memandangnya. “Kalau ada jalan untuk pulang..” kataku perlahan, “saya akan pulang.” 

Seroja mengangkat wajah. Mata kami bertemu. Untuk beberapa saat, tiada siapa berkata apa-apa. 

Mak Andak yang sejak tadi memerhati kami akhirnya bersuara kepada Pak Andak. “Bang.. marilah masuk. Sudah lewat.” 

Pak Andak mengangguk. 

Mak Andak bangun perlahan-lahan lalu mengangkat Busu ke dalam rumah. Pak Andak turut bangun. Sebelum melangkah masuk, dia sempat menepuk bahuku. “Tidurlah awal, Zahran. Esok panjang perjalananmu.” 

Aku mengangguk. “Baik, Pak Andak.” 

Seroja turut bangun. Dia berdiri beberapa langkah daripadaku, seperti mahu berkata sesuatu. Bibirnya bergerak sedikit. Namun tiada suara yang keluar. Akhirnya dia hanya menundukkan kepala lalu mengikut Pak Andak masuk ke dalam rumah. 

Aku tinggal sendirian di beranda. Pelita masih menyala. Angin masih bertiup. Bunyi cengkerik dari semak-semak di halaman bersahut-sahutan, mengisi ruang malam yang semakin sunyi. 

Aku memandang ke langit. Bulan masih di situ. Esok aku akan berangkat. Meninggalkan rumah ini. 

Meninggalkan tanah yang telah mengajar aku tentang sebuah kehidupan yang tidak pernah aku kenali. 

Dan mungkin.. tanpa aku sedari, aku juga akan meninggalkan sebahagian daripada hatiku di beranda rumah ini. Sesuatu yang mungkin tidak akan pernah dapat aku bawa pulang. 

Selamanya. 

Bersambung Part 21.. 

Friday, 28 August 2026

Membedah P. Ramlee - Naskhah Pertama Yang Dimiliki

`Naskhah penulisan mengenai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pertama saya beli` 

Buku ini merupakan naskhah pertama tentang P. Ramlee yang saya miliki. Sudah saya lupa bila membelinya, cuma saya masih ingat, buku ini sampai ke tangan saya melalui pembelian atas talian. 

Membedah P. Ramlee, judulnya sahaja sudah cukup membuat saya teruja. Naskhah tulisan Daniyal Kadir ini diterbitkan oleh DuBook Press, cetakan pertama pada tahun 2015 dan dengan helaian berjumlah 207 muka surat. 

"Membedah P. Ramlee" adalah buku yang mengupas tentang beberapa filem yang diarah dan dilakonkan oleh P. Ramlee semasa di Malay Film Production (MFP). Menurut penulis, filem-filem yang dihasilkan semasa di MFP memiliki nilai kritikan yang lebih tajam, matlamat pembikinan yang lebih hebat, tanpa menafikan hakikat kehebatan P. Ramlee pasca MFP

Buku ini memilih 15 buah filem P. Ramlee untuk “dibedah”, bukan sekadar dari sudut teknikal perfileman, seperti kaedah shot, suntingan, rekaan produksi atau sebagainya, tetapi meneliti karya P. Ramlee sebagai ciri lengkap dengan masuk ke dalam pemikiran P. Ramlee. Mengkaji pemikiran P. Ramlee telah menjadikan buku ini kekal relevan seribu tahun lagi (PRAKATA m/s 12)

Barangkali itulah yang membuat buku ini terasa berbeza. Kita bukan sekadar melihat P. Ramlee sebagai seniman yang menghiburkan, tetapi sebagai seorang pemikir yang menitipkan sesuatu tentang zamannya melalui filem dan watak-watak yang diciptakannya. 

Namun, yang paling lama melekat di hati saya bukanlah tulisan-tulisan tentang filem itu. Tetapi beberapa baris di kulit belakang buku: 

“Mengapa Abang Ramlee tidak mahu berlakon lagi?” 

Lalu jawapan P. Ramlee yang begitu sederhana: “Saya dah tua, dah lama saya berlakon. Orang-orang pun dah tak suka saya lagi. Peminat-peminat saya saya pun semua dah kahwin, dah beranak dan dah sembahyang” 

Dan satu lagi kata-kata yang membuat dada terasa sempit: “Kalau P. Ramlee berlakon, siapa nak tengok. nanti budak-budak universiti tanya, apa kelulusan P. Ramlee tu?” 

Entah mengapa, membaca kata-kata itu hari ini terasa seperti mendengar suara seorang seniman yang perlahan-lahan menyedari bahawa zaman sedang meninggalkannya. Sedangkan setelah puluhan tahun beliau pergi, kita masih di sini, masih menonton, masih ketawa dan masih menangis bersama karya-karyanya. 

Mungkin itulah nasib seorang seniman besar. Perginya jasad, tetapi karyanya enggan mati. 

Tuesday, 25 August 2026

Cuti Maulidur Rasul


Masih belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW kepada semua sahabat. 

Sempena cuti peristiwa hari ini, saya bersama Ummu Ikhwan dan dua orang kakak mengambil kesempatan ke Taman Gelora untuk melakukan aktiviti brisk walk. 

Sampai sekitar pukul 7 lebih, suasana sudah cukup meriah. Ramai yang datang bersenam. Ada yang berlari, senamrobik, zumba dan ada juga yang sekadar bersantai bersama keluarga. Trek Taman Gelora ini kira-kira 1.8 km untuk satu pusingan. Alhamdulillah, dapat juga saya habiskan 5 pusingan. Manakala mereka pula tidak pula saya ketahui berapa pusingan.

Walaupun treknya di tepi pantai, suasananya cukup nyaman kerana diteduhi pepohon rhu yang rendang dan merimbun. Sesekali terasa angin laut menyapa, memang seronok berjalan dalam suasana begitu. 


Yang penting, bukan soal berapa jauh kita berjalan atau berapa banyak kalori yang terbakar. Kadang-kadang yang lebih penting ialah dapat meluangkan masa bersama orang tersayang, menghirup udara pagi dan mensyukuri nikmat tubuh yang masih diberi kesempatan untuk bergerak. 

Hari cuti pun jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sedikit langkah, sedikit peluh, banyak pula cerita untuk dikenang. 

Alhamdulillah untuk pagi yang sederhana, tetapi cukup bermakna.

Sunday, 23 August 2026

Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee - Sebuah Naskhah yang Dinanti

`Naskhah ke 3 milik saya -  penulisan berkaitan P. Ramlee`

Akhirnya, sebuah naskhah yang dinanti telah selamat sampai ke tangan. “Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee”, yang dibeli secara atas talian melalui kedai DBPNiaga, sudah pun mendarat di rumah. Seperti biasa, ucapan terima kasih buat bradar kurir yang telah mengirimkannya hingga ke depan pagar dengan selamat. Jasamu ku kenang! 😄 

Beberapa naskhah yang lain masih dalam perjalanan. Mungkin esok, mungkin lusa, satu demi satu akan mendarat pula. Begitulah seronoknya menanti buku. Ada debar kecil setiap kali terdengar bunyi kenderaan berhenti di hadapan rumah. Seolah-olah ada sahabat lama yang sedang mengetuk pintu. 

Naskhah ini ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain (ketika itu belum SN), setebal 279 halaman dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang membuatkan saya lebih teruja ialah kedudukan penulisnya yang bukan sekadar menulis tentang P. Ramlee dari jauh. 

SN Abdullah Hussain pernah bergaul rapat dengan P. Ramlee selama kira-kira sepuluh tahun, dari 1951 hingga 1961, malah kemudiannya bekerja di bawah penerbitan P. Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem. 

Justeru, naskhah ini terasa lebih dekat dengan sumber asalnya. Ia bukan semata-mata cerita yang dipungut daripada khabar orang, tetapi datang daripada seseorang yang pernah duduk dekat, mengenali dan menyaksikan sendiri sebahagian perjalanan hidup Seniman Agung itu. 

Dalam prakata, Abdullah Hussain menyebut bahawa bahan tentang kehidupan P. Ramlee bukan mudah diperoleh. P. Ramlee sendiri dikatakan tidak begitu gemar ditemu bual oleh wartawan tentang kisah hidupnya. 

Maka, cerita-cerita itu dikumpulkan sedikit demi sedikit,daripada percakapannya sendiri, daripada cerita yang terlepas tanpa ditanya ketika suasana hatinya baik, dan daripada sahabat-sahabat rapat yang sentiasa berada di sisinya. (halaman Sekadar Salam m/s v) 

Dan di situlah barangkali letaknya nilai naskhah ini. Ada cerita yang tidak tertulis dalam temu bual. Ada kisah yang hanya terbit daripada percakapan bersahaja. Ada kenangan yang keluar tanpa dirancang, ketika seseorang sedang mengenang masa lalu. 

Kadangkala, cerita yang demikianlah yang paling jujur. Saya percaya, apabila seorang penulis begitu dekat dengan subjek yang ditulisnya, tentu ada sisi-sisi manusiawi yang lebih mudah terlihat.

Bukan sekadar P. Ramlee sebagai bintang besar di layar perak, tetapi juga sebagai seorang manusia dengan suka dukanya, ketawa dan dukanya, impian dan kesunyian yang mungkin tidak pernah terlihat oleh jutaan mata yang memandangnya dari jauh. 

Kini naskhah ini sudah ada di tangan. Tinggal menunggu masa untuk dibuka dan diselak halaman demi halaman. Selebihnya, biarlah cerita-cerita lama itu membawa saya perlahan-lahan mengenali sosok Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dari sisi yang mungkin belum pernah saya kenali. 

Jom kita baca.. mana tahu, ada cerita lama yang mampu membuat kita tersenyum, dan mungkin juga terdiam seketika. 😊

Saturday, 22 August 2026

Dua Pusingan Pun Cukuplah…

Pagi ini sempat brisk walk di Tasik Pelindung. Dapat dua pusingan, lebih kurang 5 kilometer, diselang-seli dengan larian perlahan. Biasanya kalau tenaga masih ada, empat atau lima pusingan saya cuba habiskan. 

Tapi bila usia makin meningkat, kenalah belajar berpada-pada juga.. he he. Tak perlu mengejar angka sangat. Yang penting badan bergerak dan kita masih mampu melangkah. 

Cuaca pagi ini cerah. Jam baru sekitar 8 pagi, bahangnya sudah terasa perit. Penangan El Niño agaknya. 

 

Apa pun, selagi kudrat masih ada, saya cuba kekal konsisten bersenam. Kalau balik awal dari tempat kerja, petang-petang kayuh basikal pula. 

Terfikir juga hendak cuba mengayuh selepas Isyak. Tak perlu jauh. Tiga atau empat kilometer pun sudah memadai. 

Begitulah.. bila usia semakin bertambah, kita bukan lagi berlumba dengan sesiapa. Cukuplah berlumba dengan diri sendiri, supaya esok masih mampu melakukan apa yang hari ini kita mampu lakukan. 

Dua pusingan pun cukuplah. Yang penting, terus bergerak. 😊

Tuesday, 18 August 2026

Pengembaraan Masa (Part 19): Titah dari istana

Baca di sini Part 18 

Malam sudah lama dewasa. 

Langit malam seperti tabir baldu hitam, ditabur bintang-bintang yang berkedip sayu. Angin dari arah sungai bertiup sejuk, membawa bersama bau daun palas, tanah lembap dan sisa asap dapur kampung yang mulai padam satu demi satu. 

Cahaya jamung yang dibawa Pak Andak berayun perlahan di tangannya. Cahaya jingga itu sesekali menyuluh wajah kami berdua, kemudian kembali tenggelam dalam pekat malam. 

Kami berjalan pulang dari rumah Laksamana Hang Tuah. 

Entah kenapa, perjalanan yang biasanya terasa singkat malam itu terasa begitu panjang. 

Pak Andak tidak banyak bersuara. Sejak kami meninggalkan rumah Laksamana Hang Tuah, langkahnya lebih banyak ditemani bunyi cengkerik dan desir angin yang menyapu rerumputan di sepanjang jalan. 

Aku pula diam memikirkan segala yang baru sahaja berlaku. 

Rumah Laksamana Hang Tuah. 

Nama yang selama ini hanya kukenal melalui lembaran sejarah dan cerita-cerita lama, malam ini telah menjadi tempat yang benar-benar aku jejaki. 

Dan malam itu berlalu bukan sebagai malam biasa. 

Aku tahu, semakin hampir waktuku di sini.. semakin dekat waktu untuk aku kembali ke asal dunia. 

Tetapi anehnya, semakin hampir waktu itu, semakin berat pula langkah hatiku. 

Semakin lekat rasa pada mereka yang bakal kutinggalkan. 

“Zahran..” 

Suara Pak Andak memecahkan sunyi. 

Aku menoleh. “Ya, Pak Andak?” 

“Engkau banyak diam sepanjang perjalanan balik ini.” 

Aku tersenyum kecil. “Banyak perkara bermain dalam fikiran saya.” 

Pak Andak mengangkat jamung sedikit, menyuluh jalan di hadapan. 

“Rumah Laksamana membuat engkau terfikir begitu?” 

Aku terdiam seketika. 

“Mungkin..” 

Pak Andak tidak bertanya lagi. Dia hanya mengangguk perlahan. 

Beberapa ketika kemudian, dia bersuara lagi. “Ada perkara dalam hidup ini, Zahran.. makin kita cuba memahami, makin banyak pula yang tidak kita mengerti.” 

Aku memandang wajahnya yang separuh disimbah cahaya jamung. 

“Pak Andak sendiri.. pernah rasa begitu?” 

“Sering.” 

Dia tersenyum tipis. “Cuma orang tua macam aku sudah belajar untuk tidak bertanya kepada semua perkara.” 

Aku tertawa kecil. “Kalau begitu, Pak Andak lebih bijak daripada saya.” 

“Bukan bijak,” balasnya perlahan. “Cuma sudah banyak makan garam.” 

Kami kembali diam. 

Di kejauhan, bunyi air sungai kedengaran perlahan. Sesekali terdengar sahutan burung malam dari balik rimba. 

Aku menarik nafas panjang. 

Malam itu terasa indah. 

Terlalu indah untuk sebuah malam yang menyimpan perpisahan. 

Tidak lama kemudian, kami tiba di halaman rumah Pak Andak. 

Langit masih pekat, tetapi bintang-bintang tetap setia menyala. 

Rumah Pak Andak sunyi. 

Hanya bunyi angin menyapu daun pisang di belakang rumah, sesekali diselang-seli sahutan kuang rimba dari balik bukit. 

Namun di beranda, masih ada beberapa mata yang belum mahu terpejam. 

Mak Andak Rukiah duduk bersandar pada tiang rumah, sesekali mengangkat wajah memandang ke jalan kecil di hadapan rumah. Di ribanya, Busu sudah lama terlena. Tubuh kecil itu terbaring nyaman, kepalanya berbantalkan paha ibunya, sementara tangan kecilnya masih menggenggam hujung kain Mak Andak. 

Di sebelahnya, Seri Seroja masih berjaga. Dia duduk bersandar pada dinding, lutut dirapatkan ke dada, dagu diletakkan di atas lutut. 

Pelita di sisi mereka hampir padam. Cahayanya yang kecil berkelip-kelip ditiup angin malam, membuatkan bayang-bayang di dinding bergerak perlahan. 

“Sudahlah, Seroja..” suara Mak Andak Rukiah perlahan memecahkan sunyi. “Tidurlah. Sudah jauh malam.” 

Seroja tidak menjawab. 

Matanya masih tertumpu ke jalan. 

Tidak lama kemudian, dari kejauhan terdengar bunyi derap kaki. Mak Andak mengangkat wajah. Seroja terus menegakkan tubuh. 

Dua susuk kelihatan samar-samar di hujung jalan. Cahaya jamung berayun perlahan. 

“Itu mereka..” bisik Mak Andak. Seroja tidak berkata apa-apa. 

Namun wajahnya yang sejak tadi muram tiba-tiba berubah sedikit. Ada lega yang cuba disembunyikan. 

Dia segera bangun, tetapi sempat pula menoleh kepada Busu yang masih lena di ribaan ibunya. 

“Perlahan, Seroja,” pesan Mak Andak. “Nanti terjaga pula Busu.” 

Seroja mengangguk. 

Dia berdiri di tepi beranda, menunggu dua susuk itu semakin dekat. Cahaya samar pelita menyuluh wajahnya yang masih menyimpan keresahan. 

Dan apabila akhirnya aku dan Pak Andak sampai di halaman, mata Seroja tidak lagi mampu menyembunyikan apa yang sejak tadi dipendamnya. Lega. 

“Baru balik?” soalnya, perlahan. 

“Ya..” jawabku. 

Dia senyum sedikit. Tapi hambar. 

Tetamu Berkuda 

Pagi itu, burung baru hendak berbunyi. Fajar belum terbit, namun aku sudah bersiap untuk kembali kepada rutin seperti biasa, membantu Pak Andak di sawah. 

Perbualan di rumah Datuk Laksamana Hang Tuah tempohari masih tergiang-giang di telinga. Banyak perkara yang bermain di fikiran, tetapi aku cuba menolaknya jauh-jauh. Tidak mahu ia mengganggu tumpuan. 

Aneh juga rasanya. Di tengah lumpur sawah, di bawah terik matahari, dengan tangan yang kotor dan tubuh yang berpeluh, fikiranku terasa lebih tenang. Seolah-olah setiap cangkul yang kuhentakkan ke tanah membawa pergi sedikit demi sedikit keresahan yang bersarang di dada. 

Tengah hari, ketika aku dan Pak Andak berehat menikmati bekal di bawah teduhan pokok, tiba-tiba terdengar suara Busu dari kejauhan. 

“Ayah! Abang!” 

Suara itu semakin dekat, disusuli bunyi tapak kaki yang berlari. 

Busu muncul dalam keadaan tercungap-cungap. 

“Ada apa, Busu?” tanya Pak Andak. 

Busu cuba mengatur nafas. “Ada orang berkuda datang ke rumah. Dia nak jumpa abang Zahran.” 

Aku dan Pak Andak berpandangan. 

“Orang berkuda?” tanyaku, sedikit hairan. Busu mengangguk pantas. 

“Ya, abang. Dia kata ada perkara penting hendak disampaikan.” 

Entah mengapa, tiba-tiba ketenangan yang kurasakan sejak pagi tadi hilang begitu sahaja. 

Aku bangun, membersihkan tangan sekadar yang sempat. 

“Mari Zahran, kita pergi tengok siapakah gerangannya.” 

Kami bergegas pulang. Di dalam hati, pelbagai persoalan mula berputar. 

Siapakah gerangan orang berkuda itu, dan mengapa dia datang mencariku? 

Setibanya di halaman rumah, langkahku terhenti. 

Dua ekor kuda yang gagah berdiri di hadapan rumah, sesekali menghentak tanah dengan kaki hadapannya. Tubuhnya berkilau disimbah cahaya matahari. Sesekali ia mendengus, tanda baru sahaja menempuh perjalanan yang jauh. 

Di sisi kuda berdiri dua orang penunggang lengkap berbaju biru laut, berselimpang lambang istana, tanda mereka bukan orang sembarangan. Aku dan Pak Andak segera menundukkan kepala sebagai tanda hormat. Salah seorang daripada mereka melangkah ke hadapan. 

“Kami perutusan daripada Istana Melaka, membawa titah Paduka Sultan Mansur Shah.” 

Suaranya tenang, namun cukup membuatkan halaman rumah tiba-tiba terasa sunyi. 

Aku mengangkat wajah. 

“Datuk Laksamana Hang Tuah akan berangkat ke Samudera Pasai pada pagi Isnin yang akan datang,” sambungnya, “membawa perutusan diraja bagi menjalin hubungan persahabatan serta perdagangan antara Melaka dengan Samudera Pasai.” 

Aku hanya mendengar, tanpa berkedip. 

Kemudian utusan itu memandang tepat kepadaku.

“Dan seorang pemuda yang dikenali sebagai Zahran, anak perantau dari Bentan..” 

Dia berhenti seketika. 

“..diperintah turut serta dalam pelayaran tersebut.” 

Dadaku berdegup lebih kencang. 

“Atas cadangan daripada Datuk Laksamana Hang Tuah sendiri.” 

Aku terdiam. 

Seolah-olah seluruh bunyi di sekelilingku lenyap seketika. 

Samudera Pasai? 

Aku? 

Turut bersama Laksamana Hang Tuah? 

Pelbagai persoalan berputar di benak. Mengapa aku dipilih? Apakah yang diketahui oleh Datuk Laksamana tentang diriku? Dan yang lebih menggentarkan, apakah yang bakal menantiku di seberang lautan? 

Dari arah dapur, tiba-tiba kedengaran bunyi sesuatu terjatuh. 

Prang! 

Aku menoleh. 

Seri Seroja berdiri kaku di muka pintu dapur. Tempurung kelapa yang sedang dikupasnya terlepas dari tangan. 

Wajahnya berubah pucat. 

Matanya tepat memandang kepadaku. 

Seolah-olah dia sudah tahu, titah dari istana itu bakal membawa aku pergi jauh daripadanya. 

Dan pada saat itu, jantungnya terasa seperti jatuh bersama tempurung kelapa yang pecah di tanah. 

Dia tidak berkata apa-apa. 

Namun sepasang matanya seolah-olah sedang berkata sesuatu yang tidak terluahkan. 

“Jangan pergi, Abang Zahran..” 

Tetapi apalah daya seorang gadis untuk menahan langkah seorang lelaki yang telah menerima titah Paduka Sultan? 

 Bersambung Part 20..

Friday, 14 August 2026

Rindu Menjadi Anak

foto hiasan ~ sumber

Kata orang, kalau penat menjadi ayah, baliklah rumah mak. Duduklah sekejap di sisi mak. Biar kita kembali menjadi anak, tempat segala lelah boleh diletakkan. 

Tapi kita yang sudah tiada mak.. nak balik ke mana? Rumah masih ada, kenangan masih ada. Namun suara yang bertanya, “Dah makan?” sudah lama tiada. 

Kadang-kadang kita tidak rindu apa-apa pun. Kita cuma rindu menjadi anak. Rindu ada tempat untuk bersandar. Rindu suara yang memanggil nama kita. 

Rindu seseorang yang melihat kita bukan sebagai ayah yang perlu sentiasa kuat, tetapi sebagai anak yang masih boleh menangis di bahunya. 

Dan malam ini, dalam diam, kita mengaku,  “Mak.. anak mak penat.” 

Namun yang menjawab hanya sunyi. 

Moga suatu hari nanti, kita 'bertemu semula'. Dan saat itu, biarlah kita berlari mendapatkan mak sambil berkata:

“Mak.. anak mak balik.”

Thursday, 6 August 2026

Kayuhan bersama petang ini


 “Jom mengayuh petang ini…” ajakku lembut, memandang Ummu Ikhwan dengan senyuman yang mengajak. Angin lembut seakan turut memujuk, seolah-olah mengerti bahawa petang begini terlalu indah untuk dibiarkan berlalu tanpa sebuah kayuhan bersama.

Tanpa berbasa-basi, Ummu Ikhwan hanya mengangguk kecil, memberikan persetujuan. Senyumnya nipis, namun cukup untuk menenangkan hati. Sudah lama kami tidak mengayuh bersama pada waktu petang begini. Kesibukan kerja sering memaksa aku pulang lewat, meninggalkan senja-senja indah berlalu begitu sahaja tanpa sempat dinikmati. 

Petang itu terasa berbeza. Seakan ada ruang yang kembali terbuka, ruang yang dulu sering kami isi dengan kayuhan santai di jalan kampung. Roda basikal mula berpusing perlahan, menelusuri lorong kecil yang pernah menjadi saksi tawa dan cerita kami suatu ketika dahulu. 

Angin menyapa lembut wajah, membawa bersama harum dedaun dan segar nafas petang yang tenang berbalut cahaya senja. Burung-burung pulang ke sarang, dan langit pula perlahan-lahan berubah warna, dari biru cerah kepada jingga yang redup. 

Kami tidak banyak berbicara. Cukup sekadar sesekali berpandangan dan tersenyum. Namun dalam diam itu, terasa seolah-olah segala yang lama terpisah, kembali bersambung. Kayuhan ini bukan sekadar menggerakkan roda basikal, tetapi juga menggerakkan kembali rasa yang hampir terbiar oleh waktu.

Thursday, 30 July 2026

Titisan Darah.. menekuni sebuah naskhah perjuangan

Siapa yang tidak kenal dengan nama Zailiani Taslim? (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) 

Bagi generasi yang membesar dalam dekad 80-an dan 90-an, nama ini bukan sekadar sebaris tulisan pada kulit buku, tetapi sebuah kenangan yang hidup, yang pernah singgah dalam hari-hari muda yang sederhana. 

Beliau hadir sebagai sosok yang banyak menabur bakti dalam dunia kesusasteraan tanah air, khususnya melalui novel-novel remaja yang sarat dengan imaginasi dan nilai. 

Karya-karyanya merentasi pelbagai genre - daripada fiksyen sains yang mengajak kita berfikir di luar batas, kepada sejarah yang menghidupkan semula kisah silam, hinggalah kepada cerita kemasyarakatan yang dekat dengan denyut nadi kehidupan. 

Hari ini, saya kembali menekuni salah satu naskhahnya yang sekian lama diam tersimpan, namun tidak pernah benar-benar hilang dari ingatan. Pada helaian-helaian yang sudah dimamah usia itu, masih terperangkap harum kenangan, seolah-olah masa lalu perlahan-lahan bernafas semula di hujung jari. 

Titisan Darah.. karya Zailiani Taslim, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1987. Tidak tebal, cuma 178 muka surat, tetapi beratnya terasa di dada. 

Kisah Awang Saga dan rakan-rakan, jiwa-jiwa merdeka yang bangkit melawan penjajah. Kecekalan mereka bukan sekadar cerita.. ia adalah luka, adalah pengorbanan, adalah darah yang benar-benar menitis demi tanah yang mereka cintai. 

Pejuang seperti Awang Saga  banyak sekali berkorban demi kesejahteraan dan keamanan desanya, juga mengelakkan api persengketaan yang akan menjejaskan perpaduan. Dia sanggup menerima perlantikan Daim sebagai penghulu sedangkan dia adalah pewaris yang berhak. Dia juga difitnah sebagai pembelot..

Setiap kali membaca kisah perjuangan seperti ini, ada satu perkara yang tidak pernah berubah, pengakhirannya hampir selalu diselubungi duka. Seolah-olah sejarah sendiri berbisik, kemerdekaan itu mahal, dan harga yang dibayar bukan sedikit. 

Dan entah kenapa.. setiap kali sampai ke halaman terakhir, hati terasa sepi. Bukan kerana kisah itu berakhir.. tetapi kerana kita sedar, ada pejuang yang tidak sempat melihat fajar kebebasan yang mereka perjuangkan dengan seluruh jiwa.

Zailiani Taslim (26 April 1959 - 03 Februari 2016)

Tuesday, 28 July 2026

Di celah helaian yang kekuningan

`Buku punya pasal`

Hari ini, sebenarnya hati terdetik mahu menyambung kembali siri pengembaraan masa yang sudah lama terhenti. Seolah-olah kisah itu membeku di satu simpang, menunggu langkah untuk diteruskan. Empat minggu berlalu, siri ke-18 masih kaku, sunyi daripada ilham yang biasanya hadir tanpa diundang. 

Begitulah, kadang-kadang kita hanya mampu menunggu menadah langit, berharap ada bisikan halus yang turun menyapa. Entah ada yang masih setia menunggu sambungannya, atau mungkin juga ada yang sudah jemu dengan jalan ceritanya yang makin jauh tersasar.. biasalah, cerita hati, kadang-kadang ikut rasa lebih dari arah. Haha.. 

Di celah helaian yang kekuningan 

Perlahan-lahan aku bangkit menuju rak buku, lalu tangan ini membelek deretan buku yang setia menjadi teman sejak dahulu. naskhah lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis, sedikit lusuh, namun masih setia menyimpan bau nostalgia yang sukar dilupakan. 

Satu persatu judul disentuh, seperti menyapa kenalan lama. Di celah helaian yang kekuningan itu, tiba-tiba mata saya terpaku pada satu nama yang begitu akrab di ingatan: Mohd Ismail Sarbini. 

Sejenak, waktu seakan-akan terhenti. 

Nama itu membawa saya pulang, jauh ke lorong masa yang sunyi, ke sebuah perpustakaan sekolah yang sederhana, tempat saya dulu menghabiskan waktu tanpa jemu. Di situlah saya, seorang anak kecil dengan dunia yang luas di tangan, tenggelam dalam helaian demi helaian cerita, tentang sejarah yang gagah, kembara yang mengujakan, dan penyiasatan yang menggetarkan rasa ingin tahu. 

Saya masih ingat, bagaimana buku-buku nipis itu menjadi sahabat setia. Tidak banyak halaman, namun sarat dengan makna. Setiap naskhah seolah-olah membuka jendela baharu, membawa saya merentas zaman, menjejak langkah pahlawan, dan menyelami jiwa manusia yang pelbagai. 

Nama-nama seperti Mohd Ismail Sarbini, Hamdan Raja Abdullah, Zailiani Taslim, Khadijah Hashim, Sabar Bohari, Amin Minhad, Harun Aminurrashid, Aripin Said, Arman Sani - mereka bukan sekadar penulis, tetapi pencipta dunia yang pernah saya diami dalam diam. Dunia yang kini hanya tinggal kenangan, namun masih berdenyut halus di sudut hati. 

Kini, dalam usia yang semakin dewasa, saya cuba menjejaki semula jejak-jejak lama itu. Mencari kembali buku-buku yang pernah membentuk rasa, membina imaginasi, dan menemani hari-hari yang sederhana tetapi penuh makna. 

Barangkali, saya bukan sekadar mencari buku. Saya sedang mencari diri saya yang pernah hilang di antara halaman-halaman itu.. dan berharap, di celah-celah huruf yang lama, saya akan menemuinya kembali.

Saturday, 25 July 2026

Pagi ini


Pagi ini aku memilih jalan yang sunyi. Kayuhan solo, ditemani langit yang redup, seolah-olah alam turut memperlahankan langkah dunia. 

Redupnya bukan sekadar cuaca, tetapi seperti satu pelukan lembut yang mengajak hati untuk lebih jauh mengembara. Tanpa sedar, kayuhan hari ini melangkaui kebiasaan, lebih 20 kilometer, namun terasa ringan.. seakan roda basikal ini digerakkan oleh ketenangan. 

Di kiri kanan jalan, alam membuka tirainya satu persatu. Alur air mengalir perlahan, memantulkan cahaya kelabu pagi. Rimba yang menghijau berdiri diam, namun hidup dengan bisikan angin. Kicau mergastua bersahutan, sesekali disulam kokokan ayam dari kejauhan, semuanya seperti muzik lama yang pernah kita kenal, tetapi sudah lama tidak kita dengar. 

Dalam kayuhan ini, aku tidak sekadar bergerak dari satu tempat ke satu tempat, tetapi seakan melangkah masuk ke dunia yang lain.. dunia yang lebih damai, lebih jujur, dan lebih dekat dengan diri sendiri. 

Kadang-kadang, kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari ketenangan. Cukup sekadar mengayuh perlahan, dan membiarkan alam memimpin pulang hati yang penat.

Thursday, 2 July 2026

Pengembaraan Masa (Part 18): Bicara Laksamana, Ujian Tanpa Pedang

Baca di sini Part 17 

Laksamana Hang Tuah duduk bersila, tenang. Di sisinya, sahabat-sahabatnya memerhati tanpa suara. Pak Andak duduk di sebelahku, sedikit tegak. Tangannya memegang lutut, wajahnya penuh tumpuan. 

“Lama benar hamba tidak bertemu dengan pendekar Kampung Permatang ini.. apa khabar kamu, Andak Musa?” suara Laksamana itu tenang, namun sarat ingatan yang tidak pernah pudar. 

“Benar, Bang Tuah, lama sungguh rasanya kita tidak bersua. Kali terakhir ketika dihantar oleh Paduka Sultan untuk membanteras ancaman lanun yang berleluasa di perairan Selat Melaka dahulu,” sampuk Hang Kasturi, seolah bayang-bayang masa silam kembali berarak di matanya. 

Pak Andak Musa tersenyum kecil. Senyuman seorang yang pernah melalui badai, namun memilih untuk kembali menjadi bumi. 

“Hamba baik-baik sahaja, datuk, kini sekadar orang kampung. Bersawah, berkebun.. menyambung hidup seadanya.” 

Angin petang menyapa perlahan. 

Tiba-tiba Laksamana Hang Tuah mengalih pandangan kepadaku. Sorot matanya mesra, namun tersimpan rahsia yang tak terungkap. Bibirnya menguntum senyum halus, seakan tahu sesuatu yang belum aku mengerti. 

“Zahran..” tuturnya perlahan, selembut bayu yang menyapa remang petang. 

“Aku undang kau bukan kerana mahu tahu siapa kau.. tapi kerana aku mahu tahu, apa yang dibawa hatimu ke Melaka.” 

Belum sempat aku menjawab, Hang Kasturi mencelah, “kau anak muda yang luar biasa,” 

“Dalam diam, kau menggoncang pasar pagi. Dalam senyap, kau menyelamatkan seorang pembesar.” Hang Jebat pula menambah. 

Hang Lekir dan Hang Lekiu tersenyum, seraya mengangguk-angguk mengia. 

“Dan hari ini.. kau masuk ke rumahku bukan sebagai tetamu, tapi sebagai seseorang yang sedang ditimbang timbangannya.” Sambung Laksamana Hang Tuah. 

Aku tunduk. Jantungku berdegup kencang. 

“Aku tidak akan bertanya siapa kau sebenarnya, tapi aku mahu tahu.. apa yang paling kau jaga dalam hidupmu?” 

Aku terdiam. 

Soalan itu… menggegar dada. 

“Hamba.. jaga maruah, dan jaga amanah,” jawabku. 

“Dan hamba cuba untuk tidak menghancurkan apa yang tidak hamba fahami.” 

Laksamana Hang Tuah tersenyum. Senyum yang tidak terus terang, tapi ada pengertian. 

“Kau belajar dari tiga perguruan, bukan?” 

Aku mengangguk. 

“Langkahmu laju, tetapi tidak gelojoh. Dan semasa mengelak tikaman di pasar.. kau tidak menggunakan gerak langkah orang sini.” 

Mataku membulat. Pak Andak di sebelah menarik nafas perlahan. 

Aku cuba jawab bersahaja, “Saya belajar dari guru tua di Bentan. Ilmunya bercampur banyak gaya.” 

Hang Tuah ketawa kecil. “Ah.. gaya dari masa lain.” 

“Bentan itu luas rupanya..” 

Dia bersandar sedikit, lalu menyambung: “Orang yang datang membawa ilmu, tetapi tidak menjaja nama.. itu orang yang patut dihormati. 

Tapi orang yang terlalu banyak rahsia.. kadang-kadang, menyimpan api di dalam kain.” 

Aku tunduk dalam. 

Apakah dia tahu? Atau hanya menguji? 

Atau.. hanya mahu lihat sampai mana aku mampu berdiri tanpa runtuh. 

Tiba-tiba Hang Jebat mencelah, suaranya bergetar antara berani dan setia, “Bang Tuah, kau mahu kami uji dia di gelanggang?” 

“Iya, Bang Tuah.. hamba sedia bertarung dengannya,” sambut Hang Lekir, genggamannya pada hulu senjata seakan tidak sabar menunggu izin. 

Namun, Laksamana Hang Tuah hanya menggeleng perlahan. Matanya tidak melihat pada tubuh yang berdiri di hadapan.. tetapi seolah menembus ke dalam jiwa. 

“Tidak,” jawab Laksamana Hang Tuah perlahan. Suaranya tenang, tetapi berat dengan pengertian yang tidak semua mampu fahami. 

“Dia sedang bergelut dengan sesuatu yang lebih besar dari tombak dan pedang.” 

Angin seakan berhenti bernafas. 

Gelanggang yang tadi terasa sempit, tiba-tiba menjadi luas, seluas pergolakan dalam dada seorang insan. 

Aku menarik nafas lega. 

Kerana akhirnya aku mengerti, tidak semua pertempuran perlu dimenangi dengan kekuatan, ada yang hanya mampu disembuhkan dengan kefahaman. 

Rahsia Kian Dibuka 

Lalu Hang Tuah bangkit. Perlahan, seolah setiap geraknya memikul ingatan yang tidak pernah padam, dia melangkah ke belakang, menuju ke hujung rumah yang redup diselaputi bayang senja. 

Sebuah peti kayu dibukanya. Bunyi engselnya seperti membuka pintu masa yang telah lama terkunci. 

Di dalamnya sehelai kain putih, bersih tanpa noda, dan satu cebisan tulisan yang sudah dimamah usia.. namun masih hidup dengan rahsia. 

Dia membawanya kepadaku. 

“Ini..” suaranya rendah, seakan tidak mahu mengganggu sesuatu yang halus di antara semua yang hadir. 

“Wasiat lama dari guruku… yang aku ziarahi lebih tiga tahun lalu.” 

Sejenak dia diam. 

Matanya seperti kembali mendaki lereng sunyi, bertemu seorang insan yang tidak terikat dunia. 

“Dia guruku, seorang pertapa di Gunung Ledang.” 

“Sang Adi Putra..” bisik hatiku, teringat bayang P. Ramlee dalam filem klasik Hang Tuah yang pernah singgah di layar ingatan. 

Dan waktu itu, dalam ruang kecil yang bersuluh cahaya matahari dari ruang kisi-kisi, aku tahu.. pintu rahsia sudah mula diketuk perlahan. 

“Pesannya satu..” 

Angin seakan berhenti. 

Dunia seperti menunggu.

“Akan datang seorang tidak berkeris, tidak bertanjak, bertutur dengan bahasa yang kami fahami, tapi fikirannya seperti cermin masa.” 

Aku kaku. 

Kata-kata itu tidak sekadar didengar, ia menikam masuk ke dalam ruang yang paling sunyi dalam diriku. 

Nafas terasa terhenti, seolah tubuh ini lupa bagaimana untuk terus hidup dalam detik itu. 

Adakah.. aku? Atau hanya bayang kepada sesuatu yang belum sempurna? 

Hang Tuah melangkah mendekat. 

Matanya menatap aku lama, bukan sekadar melihat wajah, tetapi membaca sesuatu yang aku sendiri belum pernah fahami. 

“Jika bukan kau..” katanya perlahan, “mungkin bayangnya sudah datang lebih awal.” 

Sunyi. 

Dan dalam sunyi itu aku mula sedar.. 

Ada perjalanan yang tidak pernah aku pilih, tetapi entah bagaimana ia telah lama memilih aku. 

Bersambung Part 19.. 

Wednesday, 17 June 2026

Salam Maal Hijrah 1448, moga hari ini lebih baik dari semalam..


Moga hati sentiasa dalam damai.. walau dunia tidak selalu indah seperti yang kita rancang. 

Kerana hidup ini bukan tentang sempurnanya jalan, tetapi tentang kuatnya jiwa melangkah, meski penuh luka dan tanda tanya. 

Ada hari kita tersenyum, ada hari kita diuji tanpa henti. Namun di celah retak itulah, Tuhan selitkan tenang yang tidak terucap. 

Belajarlah memeluk takdir dengan sabar, kerana setiap yang terjadi bukan untuk mematahkan, tetapi untuk mendewasakan. 

Dan saat dunia terasa berat, ingatlah.. damai itu bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada hati yang redha menerima. 

Moga kita semua dipelihara rasa tenang itu. Tenang yang tidak bergantung pada dunia, tetapi bersandar sepenuhnya kepada-Nya.

Salam Maal Hijrah 1448.  

Tuesday, 16 June 2026

Pengembaraan Masa (Part 17): Getar Jiwa

`foto hiasan`

Baca di sini Part 16 

Matahari sudah pun condong ke arah barat. Angin dari bendang membawa suara burung ruak-ruak dan cengkerik, menyatu dengan cahaya redup yang menimpa beranda rumah Pak Andak. 

Aku sudah bersiap, mengenakan persalinan sederhana, rambut disisir rapi. Di pinggang masih tersisip keris pemberian Sultan. Gementar itu nyata, walau aku cuba tenang. 

Pak Andak muncul di muka pintu, menyarung tengkolok usangnya. 

“Jangan risau.. selagi aku ada, tiada siapa akan soal kau lebih dari yang perlu,” katanya perlahan. 

Aku senyum. Tenang sedikit dada ini. 

Sebelum melangkah, aku terlihat Seri Seroja berdiri di penjuru beranda, memeluk lengannya sendiri. Wajahnya separuh dalam bayang. 

Aku hampiri. 

“Petang ini saya ke rumah Laksamana. Mungkin malam saya pulang.” kataku perlahan. 

Dia hanya angguk. Pandangannya ke luar, tapi aku tahu dia tidak benar-benar melihat sawah atau awan. 

“Ayah ikut sekali?” tanyanya akhirnya. 

“Ya,” jawabku. “Saya.. takut kalau tersilap jawab, atau tersilap langkah.” 

Dia senyum kecil. Tapi di sudut senyuman itu.. ada sayu yang tak bisa disorok. 

Aku cuba bergurau, “Kalau saya tak balik malam ni, awak tolong simpan baju saya elok-elok, ya?” 

Dia ketawa kecil. Tapi kemudian diam panjang. 

Lalu, dia bersuara, perlahan, namun setiap patah kata seolah-olah mengikat jiwaku: “Kalau tuan tak kembali.. bukan baju yang patut disimpan.. tapi kenangan tuan dalam hati Seroja.” 

Aku terkedu. Dia pandang aku, mata berkaca. Tapi belum menitis. 

Dia menunduk. Menyeka mata. 

Kemudian dia bangkit, dan senyum, walau berat: 

“Pergilah. Laksamana menunggu. Dan jangan lupa.. kalau rindu rumah ni, cukuplah sekadar sebut nama saya dalam hati.” 

Langkahku bermula. Tapi separuh hatiku tinggal di beranda kayu itu, bersama mata seorang gadis bernama Seri Seroja. 

Bermula langkah 

`foto hiasan`

Aku dan Pak Andak melangkah perlahan menyusuri denai sunyi menuju ke Sungai Bertam. 

Dari situ, kami akan membelah arus dengan perahu kecil menuju ke Kota Melaka.. sebelum kaki ini kembali menapak, mencari jejak ke halaman rumah Datuk Laksamana Hang Tuah. 

Tidak berapa lama kami pun sampai di jeti kecil di tebing Sungai Bertam. Tanpa berlengah, aku mencebok air dari perahu, sementara Pak Andak tangkas meleraikan ikatan tali pada pancang. 

Saat aku menyisipkan pendayung ke dalam perut perahu, Pak Andak membuka bicara. 

“Zahran, aku tahu kau bukan anak kampung biasa.” 

“Bukan juga pedagang, walau kau bijak berkata.” 

“Gerak langkahmu.. bicaramu.. cara kau mengelak dari banyak perkara, semuanya seperti orang yang menyembunyikan sesuatu.” 

Aku menoleh sedikit, tapi tidak berani menatap matanya. 

“Pak Andak.. saya cuma anak perantau dari Bentan,” kataku, seperti biasa. 

Pak Andak tersenyum, tidak sinis, tidak juga puas. 

“Bentan itu besar. Tapi kau, terlalu kecil untuk sembunyi dalam nama itu saja.” 

Aku ketawa kecil, cuba mengalih topik. 

“Pak Andak.. hari ini saya degup jantung pun macam nak lawan gajah.” 

Pak Andak ikut ketawa. Tapi aku tahu.. soalannya tadi belum benar-benar mati. 

Rumah Laksamana Hang Tuah 

Akhirnya kami sampai ke tempat yangg dituju. 

Rumah Laksamana Hang Tuah terletak di hujung dusun yang luas. Tiada pagar, tapi terasa kawasan itu dijaga oleh sesuatu yang tak kelihatan. 

Rumah itu besar, tapi tidak sombong. Redup, tapi tidak gelap. Binaan kayu keras, tiang tinggi, tangga batu hitam. 

Ini bukan rumah biasa. Ini rumah perwira yang telah menempuh ribuan langkah dalam diam. 

“Masuklah..” Suara itu datang dari atas rumah. 

Suara Hang Tuah. Tegas, tenang, dan dalam. 

Aku dan Pak Andak saling berpandangan. Lalu kami melangkah naik. 

Di dalam, suasananya redup tapi damai. Dindingnya berbau kayu gaharu dan damar. Tiada emas, tiada kilauan. Cuma susunan senjata, kitab dan sulaman tenunan tergantung di dinding. 

Laksamana Hang Tuah berdiri di tengah, mengenakan busana pendekar yang ringkas. Di sisinya, empat sahabat setia—Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Mereka tampak bersahaja, namun auranya seperti gunung yang sedang lena. 

Senyuman mereka terhulur kepada kami.. tenang, namun sarat makna. 

Aku meneliti setiap susuk. Hang Jebat paling mencuri perhatian; wajahnya keras, matanya menyala. Pada riaknya terhimpun keberanian luar biasa—tegas, dan seakan tidak mengenal erti tunduk ketika berdepan lawan. 

“Kalian selamat sampai,” kata Hang Tuah. 

“Malam ini bukan malam ujian. Tapi malam bicara hati.." tukasnya lagi.

Aku tunduk hormat. Pak Andak juga.

Bersambung Part 18..