Sahabat Sejati

Friday, 23 March 2012

Bicara santai: Jadilah yang cerdik


Kehidupan adalah perjalanan masa. Kita telah memulakannya sejak hari pertama dilahirkan, seterusnya kita melewati perjalanan hari-hari itu. Ia terus berlalu dan tidak akan sekali-kali berpatah balik ke belakang. Masa adalah usia, ia nikmat yang tidak terperi.

Kita tidak pernah mengira berapa tarikan dan hembusan nafas, sedangkan pasti ada nafas yang terakhir. Kita tidak pernah menghitung pejam dan celik kerdipan mata, akan tetapi pasti ada kerdipan yang terakhir. Kematian akan menjengah di antara tarikan dan hembusan nafas. Begitu juga di antara pejam dan celik kerdipan mata. Seolah-olah sebentar sahaja kehidupan ini.

Benar, usia kita tidak lama. Umpama musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah rimbunan pohon dalam kembara yang jauh. Seperti itu rasanya.

Tatkala menempuhi kematian, maka bermulalah detik perpisahan dengan dunia dan bermulalah pula kehidupan baru di alam barzakh.

Berkata Saiyidina Ali kaw: “Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga.”

Sungguh dalam dan menusuk kata-kata ini. Apabila seseorang itu telah mati maka barulah tersingkap hakikat kehidupan. Ketika itu barulah tersedar nilai kehidupan sewaktu hidup di dunia dahulu.

Alangkah gelapnya tiada cahaya, alangkah sunyi tanpa hiburan dan kemeriahan. Jasad terdampar keseorangan berlantaikan tanah, berbumbungkan tanah jua. Tanpa teman, tanpa saudaranya atau sesiapa. Yang setia menemani hanyalah amal yang diusahakan di dunia dahulu. Bagaimana jika di dunia dahulu kita seringkali mencuaikan perintah beramal. Maka hadirlah sekujur lembaga yang hodoh, busuk dan menakutkan seraya berkata: “Akulah amalmu di dunia dahulu!”

Seperti mana di dunia masa tidak boleh diundurkan kembali, maka sama juga di alam kubur. Oleh itu, tanggunglah kesakitan akibat dari kesombongan dan kelekaan di dunia dahulu.

Segala-galanya sudah terlambat, jika di alam kubur baru tersedar dan menyesal. Semuanya sudah tidak berguna lagi. Maka bertaubatlah sementara masih diberi kesempatan. Oleh itu, marilah kita menjadi orang-orang yang cerdik sebagaimana yang disebut oleh junjungan mulia Nabi Muhammad saw di dalam hadisnya.

Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah saw lalu datang seorang lelaki Ansar memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah: “Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah saw: “Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.”

Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Nabi saw: “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Muhasabah terhadap kematian pasti akan menghantar kepada kita jiwa seorang hamba yang merasakan kehadiran Tuhannya. Menghadirkan bayang bagaimanakah nasib diri di sana nanti. Sentiasa mengingati mati akan merasakan diri tidak pernah cukup dengan amal kebaikan, maka ia akan sentiasa berlumba-lumba memenuhkan kantung amalan dengan kebajikan. Ia juga akan sentiasa berhati-hati dalam segala tindak-tanduk agar tidak tersasar dari landasan keredhaan-Nya.

Teruskan perjalanan hidup, luruskan jalan menuju Tuhan. Percayalah, masih ada pintu taubat yang terbuka. Masih ada rahmat dan keampunan-Nya yang dijanjikan andai diri bersungguh-sungguh mahu menggapainya.

Semoga Allah sentiasa memimpin hati kita untuk bersedia menghadapi saat kematian itu.

0 comments:

Post a Comment