Sahabat Sejati

Tuesday, 22 September 2026

Coret-coret malam ini..

'2 lagi buku untuk bulan September'

Suasana malam ini tenang betul, tambah-tambah lagi bila hujan mula turun lepas maghrib tadi. Boleh tahan juga lebatnya. 

Sekali-sekala terdengar guruh dan nampak kilat menyambar, tapi yang paling lega mestilah bahang panas yang mencucuk-cucuk semenjak dua menjak ni terus hilang. Rasa sejuk sikit bilik malam ni! 

Paling penting, harapkan hujan ni dapatlah 'membasuh' jerebu yang menebal kat luar tu. Alhamdulillah, tempat saya sendiri bacaan IPU dah kembali ke tahap hijau, yang sebelum ini mencecah tahap kuning, maksudnya dah masuk kategori sederhana. Memang sebelum ini terasa juga kering tekak dan pedih mata kalau keluar rumah. 

Bila cuaca sejuk begini, teringat pula dekat parcel buku yang baru sampai tempohari. Bulan September ni nampaknya ada rezeki lebih sikit, sempat melempar 'racun' pada diri sendiri dan beli 2 buah buku lagi. Kalau campur dengan yang awal bulan hari tu, cukuplah 3 buah buku bertukar hak milik untuk bulan ni! 

Luar hujan lebat, ditarik selimut nipis, ditiup angin sejuk, sambil layan buku baru bersulamkan bau kertas fresh.. chef's kiss betul malam ni. 

Korang pula macam mana? Cuaca kat tempat korang hujan tak malam ni, dan buku apa yang tengah korang layan sekarang?

Friday, 18 September 2026

Pengembaraan Masa (Part 21): Bermula Pelayaran

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini (Part 20)

Seawal pagi, aku telah pun berada di Pelabuhan Melaka yang gah itu. Dari kejauhan, tiang-tiang layar kapal menjulang tinggi, memenuhi kaki langit seperti hutan yang tumbuh di atas air. 

Kapal-kapal dagang dari pelbagai negeri berlabuh rapat. Suara jeritan kelasi berselang-seli dengan bunyi tali ditarik dan papan kapal yang berderit dipukul ombak. 

Di tengah kesibukan itu, aku berdiri di satu kawasan lapang. Pak Andak dan Mak Andak sibuk memastikan segala bekal dan keperluanku cukup, sementara Busu sesekali memandang kapal-kapal yang berlabuh dengan mata penuh kagum. Seroja pula berdiri tidak jauh daripadaku. 

Tiba-tiba bahuku disentuh dari belakang. Aku menoleh. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat Datuk Laksamana Hang Tuah berdiri di situ, gagah dalam persalinannya. Di belakangnya berdiri Hang Lekiu bersama beberapa orang panglima. 

“Zahran,” tegurnya sambil tersenyum. “Kamu dah bersedia nak belayar?” 

Aku mengangguk sambil tersenyum. 

“Insya-Allah, Datuk. Semuanya sudah siap.” 

Daripada perbualan itu, aku mendapat tahu bahawa tiga lagi sahabat setia mereka (Hang Jebat, Hang Kasturi dan Hang Lekir) tidak turut serta kerana dititahkan untuk menjaga keselamatan kerajaan Melaka.

Belum sempat kami berbicara lebih jauh, tiba-tiba melangsing bunyi nafiri diraja dari arah pintu pelabuhan. Bunyinya panjang dan bergema, memecah hiruk-pikuk pelabuhan yang sejak pagi dipenuhi saudagar, kelasi dan rakyat jelata. 

Seketika itu juga, suasana menjadi hening. 

Para pembesar dan sekalian yang berada di dermaga segera menundukkan kepala. Dari kejauhan, kelihatan rombongan diraja bergerak perlahan menuju ke dermaga. Paduka Sultan Melaka berkenan berangkat sendiri bagi mengiringi pelayaran kami. Baginda berada di atas tandu, diiringi para pengawal dan pembesar negeri. 

Kami segera mengatur sembah. Aku turut merendahkan tubuh, menundukkan kepala seraya menyembah penuh takzim. 

“Daulat Tuanku,” sembah Datuk Laksamana Hang Tuah setelah menghampiri tandu baginda. “Patik menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku berangkat ke pelabuhan bagi mengiringi pelayaran patik sekalian.” 

Baginda mengangguk perlahan sebelum menitahkan, 

“Laksamana, beta amanahkan keselamatan seluruh rombongan kepada engkau. Jagalah mereka sebagaimana engkau menjaga maruah Melaka. 

“Sesungguhnya perjalanan ke Samudera Pasai bukanlah suatu pelayaran yang boleh dipandang ringan. Andai berdepan kesukaran di lautan, hendaklah Laksamana bijaksana membuat pertimbangan.” 

Laksamana Hang Tuah menyembah sekali lagi. “Daulat Tuanku. Patik junjung titah. Segala amanah yang Tuanku limpahkan akan patik laksanakan sedaya upaya, insya-Allah.” 

Kemudian pandangan baginda beralih kepadaku. 

Aku segera mengangkat sembah, merendahkan tubuh sedalam-dalamnya. 

“Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.” Baginda memandangku seketika, lalu bertitah dengan suara yang tenang, 

“Zahran, beta telah memperkenankan permintaan Laksamana Hang Tuah agar engkau turut serta dalam pelayaran ini. Beta berharap perkenan beta ini tidak akan engkau sia-siakan. Dengarlah nasihat Laksamana dan sekalian orang tua yang lebih dahulu mengenal pahit manisnya pelayaran.” 

Aku menyembah hormat. 

“Daulat Tuanku. Patik menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku. Segala titah dan nasihat yang disampaikan, patik junjung di atas batu jemala patik.” 

Baginda kemudian mengangkat tangan, seolah-olah memberi restu. 

“Pergilah dengan selamat. Semoga Allah memelihara perjalanan seluruh rombongan. Kembalilah kelak dengan khabar yang baik.” 

Kata-kata baginda terasa begitu dalam menusuk ke hati. 

Pada saat itu barulah aku benar-benar menyedari bahawa pelayaran ini bukan lagi sekadar perjalanan yang diizinkan oleh seorang raja. Ia adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadaku. 

Dan kini, setelah berdiri di hadapan Sultan Melaka sendiri, aku berjanji dalam hati untuk tidak mensia-siakan kepercayaan itu. 

Bunyi nobat mengiringi keberangkatan kami menuju ke kapal. 

Aku menoleh seketika ke arah Pak Andak, Mak Andak, Busu dan Seroja yang masih berdiri di dermaga. 

Pak Andak mengangkat tangan memberi isyarat kepadaku. 

“Zahran, hati-hati di perjalanan. Dengarlah nasihat Datuk Laksamana dan jangan lupa menjaga diri.” 

Aku mengangguk. Kata-kata ringkas Pak Andak itu terasa berat di hati. 

Mak Andak pula hanya tersenyum, meskipun jelas matanya mula berkaca. 

Seroja berdiri sedikit di belakang mereka. Dia melambai perlahan kepadaku. Kemudian, seolah-olah tidak mahu sesiapa melihat air matanya, Seroja segera mengesat hujung matanya dengan kain sarung yang menutupi separuh wajahnya. 

Aku sempat melemparkan senyuman kepadanya. 

Seroja membalas dengan senyuman kecil yang dipaksa. 

Kemudian aku melangkah pergi. 

Semakin jauh aku melangkah, semakin kecil wajah-wajah yang kukasihi itu kelihatan dari pandangan. 

Namun sebelum menaiki kapal, aku menoleh sekali lagi. 

Seroja masih berdiri di situ. Masih melambai. 

Dan kali ini, aku tidak mampu lagi menahan rasa sebak yang mula memenuhi dada. 

Aku segera berpaling lalu meneruskan langkah. 

Ke arah kapal. 

Ke arah Samudera Pasai.

Bersambung Part 22.. 

Sunday, 13 September 2026

Desaku, Rumah Rindu yang Tak Pernah Pudar

`Desaku`

Di satu lembah sunyi yang hanya dikenang dalam hati, terletaknya sebuah desa - desa yang menjadi kanvas masa kecilku, yang kini hanya tinggal warna-warna kenangan, terlukis indah di langit ingatan. 

Di situlah paya menjadi tempat kami menangguk anak-anak ikan, dengan serkup dan jaring buruk. Airnya keruh tapi jernih di mata kanak-kanak yang hanya mahu seronok, berendam hingga senja, hingga emak memanggil dengan suara yang penuh kasih. 

Ada pohon kayu besar di belakang rumah, yang dahannya menjadi singgahsana aku melayan angan-angan. Kadang kala aku panjat hingga ke tempat burung bersarang, dan dari situ aku tatap awan, berharap dapat terbang seperti layang-layang yang bebas di langit desa. 

Halaman rumah pula luas terbentang, tempat kaki-kaki kecil kami berlari, berkejaran mengejar bayang, menyepak bola dari gumpalan kain buruk, menyorok di balik pohon pisang, dan berguling di rumput tanpa risau luka atau kotor. 

Desa itu.. rumah-rumahnya kayu bertiang tinggi, dipeluk angin petang dan bau masakan dari dapur arang. Langitnya bersih - tiada asap kilang, tiada hiruk-pikuk jalan raya, hanya deru angin, dan sesekali deruman motosikal tua yang membawa balik hasil ladang atau bungkusan dari pekan. 

Ikatan antara manusia di situ sungguh luar biasa, anak aku - anak kamu, tiada beza. Jika aku tersadung jatuh, tangan jiran lebih dahulu menyambut. Jika aku lapar, dapur Mak Long sentiasa berasap, tidak pernah berkira, tidak pernah menolak. 

Kini desa itu sudah jauh.. bukan pada jarak, tapi pada rasa. Paya sudah ditimbus, pohon kenangan sudah ditebang, halaman itu kini bertembok batu. Dan kanak-kanak seperti aku dulu, tidak lagi berlari bebas, mereka lebih mesra dengan skrin bercahaya dari semak menerung. 

Tapi dalam hati ini.. aku masih duduk di dahan pohon kayu, masih menangguk anak ikan di paya yang hilang, masih ketawa di halaman desa, tempat rindu ini bertapak, tempat kasih ini bermula. 

Desaku yang dahulu.. tidak pernah mati. Ia kekal hidup, dalam dadaku yang sentiasa mahu pulang - walau hanya dengan air mata.

Thursday, 10 September 2026

Buku Pertama September - P. RAMLEE GENIUS SENI MELAYU

Dah pun sampai buku yang dibeli melalui atas talian. Seperti biasa, terima kasih bradar kurir atas khidmatmu. 😊 

Inilah buku pertama yang singgah ke rak saya pada bulan September. 

Sejujurnya, saya agak teruja apabila membuka bungkusan dan melihat kulit depannya buat pertama kali. Cantik! Ada sesuatu pada reka letak dan wajah P. Ramlee di kulit buku ini yang membuatkan saya berhenti seketika, sebelum perlahan-lahan membukanya. 

Buku ini merupakan buku keempat dalam koleksi saya yang berkaitan dengan penulisan mengenai P. Ramlee. Judulnya P. Ramlee Genius Seni Melayu, ditulis oleh Baharudin Ali Masrom Al-Haj, atau lebih dikenali sebagai Prof Bam, bersama Naizatul Hanim Abu Bakar. 

Naskhah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 2025, dengan 298 halaman. Menariknya, buku ini diterbitkan dalam dua edisi - kulit keras dan kulit nipis. 

Edisi kulit keras memang cukup menggoda. Foto-fotonya berwarna penuh, dicetak pada kertas yang cantik dan tentunya memberikan pengalaman membaca yang lebih istimewa. Harganya pun sedikit lebih tinggi. 

Asalnya memang saya berhasrat untuk memiliki edisi kulit keras itu. Malangnya, ketika hendak membuat pembelian, stoknya sudah kehabisan. 

Tak mahu menunggu terlalu lama, saya akhirnya memilih edisi kulit nipis. Yang saya terima ini dihiasi foto-foto P. Ramlee dalam versi hitam putih. Ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat memiliki edisi yang dihajati. 

Tapi tak apalah.. 

Yang penting, sebuah lagi buku tentang P. Ramlee sudah menjadi sebahagian daripada koleksi. 

Menariknya, selain dihiasi dengan foto-foto, di dalam buku ini juga hampir setiap topik disertakan dengan rujukan berbentuk QR yang membawa kita kepada lirik lagi, petikan filem, dokumentari, petika pendapat dan wawancara baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini. 

Di bahagian belakang buku ni tertulis bahawa kandungan naskhah ini merupakan kajian tentang sisi dakwah dan perjalanan hidup P. Ramlee yang dapat diteladani, dijadikan contoh serta sumber inspirasi. 

Dan benar, semakin kita mengenali P. Ramlee, semakin kita sedar bahawa beliau bukan sekadar seorang seniman yang menghiburkan. Beliau meninggalkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar filem, lagu dan lakonan. 

Ada pemikiran di sebalik karya-karyanya. Ada teguran. Ada nasihat. Ada kisah tentang manusia dan kehidupan. Dan mungkin itulah sebabnya karya beliau masih mampu menyentuh hati kita, meskipun zaman telah jauh berubah. 

P. Ramlee sudah lama pergi, tetapi suaranya masih tinggal. 

Lagu-lagunya masih berkumandang. Filem-filemnya masih ditonton. Dialog-dialognya masih disebut. Dan namanya masih disebut dengan penuh rasa hormat oleh generasi yang tidak pernah pun sempat mengenalinya ketika beliau masih hidup.  

Barangkali begitulah cara seorang seniman terus hidup selepas kematian bukan melalui jasad, tetapi melalui karya yang enggan mati. 

September baru bermula, dan sebuah lagi buku telah menemukan tempatnya di rak mini library saya. 

Mungkin suatu hari nanti, apabila usia semakin jauh meninggalkan hari ini, saya akan berdiri di hadapan rak itu, menyelak kembali helaian-helaian yang pernah dibaca. 

Dan ketika itu mungkin saya akan tersenyum sendiri.

Tuesday, 8 September 2026

Pengembaraan Masa (Part 20): Petang yang Menyimpan Resah

Baca di sini Part 19 

Petang itu, aku dan Pak Andak duduk di atas pangkin, di bawah rendang pohon jambu air. 

Angin petang bertiup perlahan, membawa haruman tanah desa yang masih menyimpan bahang matahari. Sesekali daun-daun jambu air berdesir, seperti berbisik sesama sendiri. 

Aku menarik nafas dalam-dalam, membiarkan dada terasa lapang. Tenang. Sebelum meneruskan bicara. 

Di situlah aku ceritakan semuanya kepada Pak Andak, tentang perjalanan yang bakal ditempuh, tentang Samudera-Pasai seperti yang pernah aku baca dalam buku sejarah di zamanku, dan tentang keberangkatanku pada esok pagi. 

Pak Andak mendengar tanpa banyak mencelah. Sesekali dia mengangguk, sesekali pandangannya dilemparkan jauh ke batas sawah. 

Seri Seroja pula tidak kelihatan sejak pagi. 

Seharian dia lebih banyak di dapur. Sesekali masuk ke bilik, kemudian keluar semula tanpa tujuan yang jelas. Wajahnya juga tidak seperti selalu. 

Ada sesuatu yang sedang bergelut di dalam dirinya. Resah yang cuba disembunyikan di sebalik diam. 

Sedang aku berbicara dengan Pak Andak, tiba-tiba Busu muncul dari belakang rumah. 

Di tangannya ada sebilah keris kecil yang diperbuat daripada seludang kelapa. Dirisip halus, namun cukup kemas untuk membuatkan aku tersenyum. 

Aku menghulurkan tangan, membelek keris tersebut. 

“Cantik keris ni. Busu buat sendiri?” 

Busu mengangguk. Wajahnya berseri-seri menahan bangga. 

“Busu buat pagi tadi.” 

“Wah.. pandai Busu.” ujarku memuji. 

Busu tersenyum lebar. Kemudian dia memandangku agak lama sebelum bertanya, 

“Abang Zahran akan berlayar esok?” 

Aku mengangguk perlahan. 

“Pergi jauh?” 

“Jauh juga.” 

“Lama?” 

Aku terdiam seketika. 

“Entahlah, Busu. Mungkin beberapa minggu. Mungkin lebih lama daripada itu.” 

Senyuman di wajah Busu perlahan-lahan hilang. 

Dia menundukkan kepala. Jarinya mengusap bilah keris seludang kelapa itu berkali-kali, sebelum akhirnya dia bersuara. 

“Kalau begitu..” 

Dia berhenti. 

Aku menunggu. 

“Jangan lupa pulang, abang.” 

Entah mengapa, kata-kata yang begitu pendek itu terasa berat di dadaku. 

Aku tersenyum lalu menepuk lembut bahunya.

“Insya-Allah, Busu. Abang akan usahakan untuk pulang.” 

Busu mengangguk. 

Kemudian dia memeluk keris kecil itu ke dadanya, seolah-olah ada sesuatu yang mahu dikatakannya lagi, tetapi tidak jadi. 

Dia berlari masuk ke dalam rumah. 

Aku hanya memandangnya pergi. 

Dan buat pertama kalinya petang itu, aku terasa beratnya sebuah keberangkatan. 

Malam yang Diam 

Malam itu bulan bundar tergantung rendah, seperti sedang memerhati apa yang bakal tertulis dalam kitab takdir manusia. 

Di beranda rumah Pak Andak, kami duduk berlingkar - aku, Pak Andak Musa, Mak Andak Rukiah dan Seri Seroja. 

Busu, si kecil itu, sudah lama terlena di pangkuan ibunya. 

Pelita minyak bergoyang-goyang ditiup angin. Cahayanya yang kekuningan jatuh samar pada wajah kami, kadang-kadang terang, kadang-kadang tenggelam dalam bayang. 

Dari kejauhan, kedengaran bunyi kentung dipalu, sayup-sayup dari arah surau kampung, tanda malam semakin dewasa. 

Kami berbual-bual kecil. 

Hal kampung. Hal sawah. Hal harga beras dan lauk di pasar. Seolah-olah tiada apa-apa yang luar biasa akan berlaku esok. 

“Datuk Hang Tuah tu nampak garang ke tidak?” tanya Mak Andak sambil membetulkan lipatan kain di lututnya. 

Aku tersenyum. 

“Taklah garang sangat.” 

Mak Andak mengangkat kening. 

“Tak garang?” 

Aku menggeleng. 

“Cuma.. bila dia pandang, rasa macam tak ada tempat nak sorok diri.” 

Pak Andak tergelak kecil. 

“Ha.. itu baru namanya pendekar.” 

Aku turut ketawa. 

Namun Seri Seroja hanya tersenyum nipis. Matanya tidak benar-benar bersama kami. Pandangan gadis itu jauh, seolah-olah hatinya sedang berjalan lebih laju daripada bibirnya. 

Beberapa ketika kami diam. 

Kemudian, tanpa memandangku, Seroja bertanya, “Samudera-Pasai tu.. jauh?” 

Aku menoleh kepadanya. “Agak jauh.” 

“Berapa lama?” 

“Makan masa beberapa hari. Mungkin 4 hingga 5 hari jika keadaan angin bertiup dengan baik. Sekiranya angin perlahan atau laut tenang..” 

Seroja mengangguk. “Kalau angin perlahan?” 

“Boleh jadi 8 hari, boleh berlanjutan hingga 10 hari." 

Dia kembali diam. Jarinya bermain-main dengan hujung kain. Aku memandang wajahnya, cuba membaca apa yang tersimpan di sebalik matanya. 

“Kenapa tanya begitu?” 

Seroja menggeleng perlahan. 

“Tak ada apa-apa.” Jawapan itu terlalu cepat. 

Aku hampir tersenyum. 

Namun sebelum sempat berkata apa-apa, dia bertanya lagi. “Abang akan balik.. kan?” 

Kali ini aku tidak terus menjawab. 

Pandangan aku lontarkan ke arah halaman. 

Bulan menyimbah cahaya pucat ke atas tanah. Pohon mengkudu bergoyang perlahan ditiup angin malam. 

Soalan itu kecil. Namun gema yang ditinggalkannya begitu besar dalam dadaku. 

Aku kembali memandangnya. “Kalau ada jalan untuk pulang..” kataku perlahan, “saya akan pulang.” 

Seroja mengangkat wajah. Mata kami bertemu. Untuk beberapa saat, tiada siapa berkata apa-apa. 

Mak Andak yang sejak tadi memerhati kami akhirnya bersuara kepada Pak Andak. “Bang.. marilah masuk. Sudah lewat.” 

Pak Andak mengangguk. 

Mak Andak bangun perlahan-lahan lalu mengangkat Busu ke dalam rumah. Pak Andak turut bangun. Sebelum melangkah masuk, dia sempat menepuk bahuku. “Tidurlah awal, Zahran. Esok panjang perjalananmu.” 

Aku mengangguk. “Baik, Pak Andak.” 

Seroja turut bangun. Dia berdiri beberapa langkah daripadaku, seperti mahu berkata sesuatu. Bibirnya bergerak sedikit. Namun tiada suara yang keluar. Akhirnya dia hanya menundukkan kepala lalu mengikut Pak Andak masuk ke dalam rumah. 

Aku tinggal sendirian di beranda. Pelita masih menyala. Angin masih bertiup. Bunyi cengkerik dari semak-semak di halaman bersahut-sahutan, mengisi ruang malam yang semakin sunyi. 

Aku memandang ke langit. Bulan masih di situ. Esok aku akan berangkat. Meninggalkan rumah ini. 

Meninggalkan tanah yang telah mengajar aku tentang sebuah kehidupan yang tidak pernah aku kenali. 

Dan mungkin.. tanpa aku sedari, aku juga akan meninggalkan sebahagian daripada hatiku di beranda rumah ini. Sesuatu yang mungkin tidak akan pernah dapat aku bawa pulang. 

Selamanya. 

Bersambung Part 21..