Kehidupan adalah anugerah Allah SWT. Ia nikmat yang tidak terperi. Tetapi perjalanannya tidak mudah diduga kerana bahasanya bisu. Adakalanya tampak mudah, seringkali pula kelihatan sulit dan sukar. Ia tidak bisa dilihat, apalagi mahu menyentuhnya. Namun, kita dapat merasai dan menikmatinya. Kadang-kadang ia menyebabkan kita leka dan lalai tatkala langkah kaki tidak terarah.
Kehidupan adalah pergiliran di antara senyum dan ratap. Ada ketikanya ia memberikan kesedihan dan menahan kegembiraan. Begitu juga, adakalanya ia membuka lorong kebahagiaan dan menyisih duri-duri kedukaan. Adakalanya ia menetapkan sesuatu menjadi milik kita, tidak kurang juga ia menjadi milik orang lain. Setiap masa silih pergantian berlaku, ia adalah lumrah dalam sirah kehidupan.
Kehidupan sentiasa menghidangkan talam-talam ujian. Ia tidak pelik kerana kehidupan itu sendiri adalah satu ujian. Kita tidak mampu menghindari ujian. Tanpa di duga, terlalu banyak mehnah yang berkeliling memayuti, sedangkan kita bukanlah manusia yang kuat menahan asakannya. Ada yang mampu tersenyum kerana terdaya menahan lelah keperitannya dan ramai pula yang tersadung kaki jatuh berputus asa. Sesekali dirundung resah kekecewaan, sakitnya umpama melompat dari pesawat yang sedang membelah awan tanpa dibekali payung terjun, lalu jatuh terhempas hancur berkecai. Begitulah jika mahu di ibaratkan.
Kehidupan adalah bukti kasih sayang-Nya. Tanpa kehidupan entah bagaimana kita mahu menyediakan bekalan. Tanpa bekalan layakkah kita mahu berhadapan dengan-Nya nanti. Lalu kita dianugerahkan kehidupan agar dapat menyediakan bekalan sebanyaknya. Namun, tidak ramai yang melihat kehidupan adalah anugerah dari sifat kasih sayang-Nya. Mengapa begitu? Jawabnya mudah. Seringkali kita silau dengan kasih sayang sesama manusia sehingga melupakan kasih sayang-Nya. Seringkali kita terhutang budi dengan cinta kasih sesama manusia, sedangkan kasih sayang-Nya luas bagaikan lautan yang tidak bertepi tidak kita sedari.
Kehidupan adalah satu perjuangan. Tiada kejayaan yang mampu diraih tanpa perjuangan. Perjuangan memerlukan keringat dan air mata, adakalanya menumpahkan darah kesakitan. Sesungguhnya semakin kita berjuang untuk kehidupan, semakin kita menemukan erti kehidupan sebenar. Setiap dari kita perlu berjuang untuk mengecapi kebahagiaan. Tetapi berjuang untuk kebahagiaan hidup selepas kehidupan ini adalah yang utama.
Sesungguhnya perjalanan kehidupan yang jauh dan panjang ini memberikan kita selautan pengajaran dan pengalaman hidup. Ia mengajar kita erti ketabahan dan kekuatan. Jika dengan pengajaran yang terbentang luas ini kita masih lagi mematungkan diri dalam kedegilan, masih tersisa keegoan walaupun sebesar debu, maka kitalah yang akan menanggung kerugian. Seandainya jasad yang akhirnya akan menjadi tanah ini kita hiasi dengan kesombongan, kemegahan dan tidak mahu berpaling kepada ketaatan kepada-Nya, kitalah yang pasti akan menanggung bebanan di akhirat kelak. Ketika itu penyesalan tidak berguna lagi.
Nikmatilah kehidupan ini dengan sepenuh ketaatan kepada-Nya, pasti bahagia!
0 comments:
Post a Comment