Sahabat Sejati

Monday, 27 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 15): Kembali Ke Lumpur Sawah

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini Part 14 

Sudah dua hari aku kembali dari istana. 

Segala kurnia daripada baginda Sultan - dua persalinan indah, wang emas yang berkilau, dan sebilah keris bersarung gading, aku simpan rapi dalam kotak rotan di sudut bilik. Tersusun kemas, seolah-olah bukan milik seorang yang hidupnya berbau lumpur sawah. 

Pagi-pagi berikutnya, aku kembali kepada diriku yang sebenar. 

Seluar lusuh kembali kusarung. Lengan baju kusingsing tinggi. Kaki kembali memijak bendang yang lembut, berlumpur, dan jujur. Aku membantu Pak Andak seperti biasa. Menanam, mencabut, mengikat. Seperti tiada apa yang pernah berubah. 

Namun, ada sesuatu dalam diriku yang tidak lagi sama. 

Hidupku mungkin telah kembali ke asal, tetapi jiwaku, masih tertinggal di antara dua dunia. 

Pagi itu.. 

Suatu pagi yang dingin, saat embun masih belum benar-benar hilang dari hujung daun padi, aku menghampiri pangkin di hadapan rumah. Pak Andak di situ, seperti biasa bersandar santai, memegang cawan kopi yang masih berasap. 

Tanpa banyak kata, aku letakkan persalinan istana dan uncang kecil berisi wang emas di sisinya. Dia memandang lama, kemudian beralih kepada aku. 

“Ini.. kenapa diletakkan di sini?” suaranya perlahan, berbaur hairan. 

Aku duduk di hujung pangkin. Senyumku kecil, tapi sarat dengan keputusan yang sudah lama berakar dalam hati. 

“Pak Andak simpanlah. Saya.. tak perlukan semua ini.” 

Keningnya berkerut. “Ini kurnia istana.. ini milik kamu, bukan milik Pak Andak.” 

Aku menarik nafas perlahan. Angin pagi menyapa wajah, membawa sekali bau tanah basah yang entah kenapa terasa begitu menenangkan. 

“Saya cuma mahu tinggal di sini, Pak Andak..” suaraku semakin lembut. 

“Di sawah ini.. di rumah ini.. di antara suara pasar pagi, dan gelak tawa Busu.” 

Aku memandang jauh ke bendang. 

“Semua itu.. lebih mahal daripada emas yang ada dalam uncang itu.” 

Pak Andak tidak terus menjawab. 

Dia hanya mengangguk perlahan, seolah-olah setiap kata yang keluar dariku jatuh tepat ke dalam hatinya. Tangannya yang kasar menggenggam uncang itu seketika, kemudian dilepaskan kembali. 

Matanya berkaca. 

Dan dalam diam itu, aku tahu dia faham. 

Kadang-kadang, kita tidak perlu memiliki segalanya untuk merasa cukup. Kerana ada tempat-tempat sederhana, yang diam-diam.. menjadi istana sebenar dalam jiwa kita.

Bersambung Part 16.. 

Wednesday, 22 April 2026

Kenangan Masih Basah: Desaku Yang Dulu


Masih jelas di mata hatiku, desaku yang dahulu. Tempat aku mula mengenal dunia tanpa keliru, tempat aku mula belajar erti bahagia yang paling tulus. 

Di situ, rumah-rumah kayu bertiang tinggi berdiri anggun di pinggir semak menerung. Dindingnya mungkin sudah senget ditelan usia, tapi di dalamnya penuh cinta dan tawa. Atapnya dari zink atau nipah tua, berdenting lunak kala hujan mencurah dari langit desa. 

Jalan di hadapan rumah belum bertar, belum dicat warna moden. Hanya tanah merah dan batu-batu kecil, yang licin kala hujan, berdebu kala kemarau, namun itulah laluan kita bermain tanpa resah, berkaki ayam, berbasikal cabuk, mengejar senja dan layang-layang yang tersangkut di pucuk ara. 

Sesekali kenderaan menderu, itu pun menjadi hal yang luar biasa. Anak-anak akan berhenti bermain, menjeling dengan penuh takjub, seolah-olah mendengar bunyi kereta adalah cerita dari kota kayangan. 

Desaku yang dahulu, warnanya tidak berubah, masih kehijauan bendang, masih kebiruan langit petang, masih keemasan cahaya mentari yang melimpah di atas daun kelapa. 

Di sana, manusia hidup sebagai satu keluarga. Ikatan hati kuat ibarat akar pepohon tua. Anak aku.. anak kamu, boleh ditegur, boleh dipimpin, boleh ditepuk tangan tanpa benci. Tiada dinding hati yang tinggi. Yang ada hanya kasih yang bersambung dari pintu ke pintu. 

Desaku yang dahulu, damai seperti pagi Aidilfitri, tenang seperti alunan tasbih di surau tua, harmoni seperti orkestra alam. Cengkerik bersahut, burung tukang memanggil, dan kokokan ayam jantan menjemput fajar. 

Kini semuanya tinggal kenangan. Desa itu perlahan-lahan berganti wajah, rumah kayu hilang diganti konkrit bisu, jalan diturap aspal tapi kehilangan suara kanak-kanak, semak menerung ditebas, dan ikatan hati.. kian longgar, kian sepi. 

Tapi dalam hati ini.. desa itu masih hidup, masih segar. Ia wujud di ruang rindu, tempat aku selalu pulang walau hanya dalam mimpi. Desaku yang dahulu tidak pernah mati. Ia hidup dalam setiap denyut nadi ingatanku.

Friday, 17 April 2026

Lumpur, Sabar dan Sebuah Rindu Bernama Aceh

Tiba-tiba hati berputik rindu.. rindu pada tanah Aceh. Bumi yang pernah aku jejak suatu ketika dahulu, saat ia diuji dengan banjir bandang yang merobek tenangnya kehidupan. Entah mengapa, rasa itu datang tanpa diundang, diam-diam menyelinap, lalu menetap. 

Masih segar di ruang mata, hari-hari awal di sana. Kami berteduh di sebuah masjid yang bukan sekadar tempat ibadah, tetapi menjadi rumah, tempat berlindung, tempat menguatkan hati. 

Namun masjid itu.. sangat tidak sempurna. 

Silingnya telah roboh, seakan langitnya runtuh sekali bersama ujian yang menimpa. Di bahagian luar, jubin-jubin pecah berselerakan, tenggelam dalam lumpur setinggi lima kaki, pekat, berat, dan melelahkan. Manakala di dalam masjid, lumpur setinggi tiga kaki memenuhi ruang, menenggelamkan sejadah, memadam kesan sujud yang pernah hidup di situ. 

Tanpa bekalan air bersih, tanpa tenaga elektrik, hanya bergantung pada kudrat dan sabar yang berbaki. 

Hari demi hari, kami berusaha. 

Membersihkan selut dan sampah yang hanyut entah dari mana. Kayu, kain, sisa kehidupan yang dulunya milik seseorang, kini menjadi beban yang harus kami angkat satu persatu. Setiap cebisan yang disingkirkan, terasa seperti mengangkat sedikit demi sedikit luka yang ditinggalkan bencana itu. 

Dari kosong, kami hidupkan kembali harapan, mengusahakan generator, menggali dan membina telaga tiub. Sedikit demi sedikit, kesusahan itu mula terubat, walau tidak sepenuhnya. Namun ujian tetap datang tanpa jemu. 

Ada rakan-rakan yang terkena cirit-birit akibat menggunakan air yang tidak benar-benar bersih. Air yang keruh, yang kami terpaksa gunakan kerana tiada pilihan. Dalam serba kekurangan, kesihatan pun menjadi taruhan. 

Makan pun bercatu, apa yang ada dikongsi bersama. Siang hari ditemani terik dan lalat yang tidak pernah jemu mengerumuni, seolah-olah turut menjadi saksi perjuangan kami. Malam pula, sunyi yang tidak pernah benar-benar sunyi.. ditemani nyamuk yang menggigit tanpa belas, meninggalkan bintat-bintat kecil sebagai kenangan pada tubuh. 

Perit, ya, memang perit untuk dilalui. Namun anehnya, setiap detik itu kini terasa manis untuk dikenang. 

Dalam diam, aku menyimpan satu hasrat, untuk kembali semula ke sana. Bertemu wajah-wajah yang pernah aku santuni, yang pernah berkongsi susah dan senang tanpa banyak bicara. 

Aku jatuh cinta pada warganya yang sederhana tetapi kaya dengan jiwa. Yang diuji dengan kehilangan, namun tetap mampu menghadiahkan senyuman. Yang hidup dalam serba kekurangan, tetapi tidak pernah lokek dengan kasih dan kemanusiaan. 

Aceh, kau bukan sekadar tempat yang pernah aku singgahi. Kau telah menjadi sebahagian daripada cerita hidupku yang setiap kali dikenang, menghadirkan rasa syukur, dan sedikit sayu yang mendewasakan.

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan teladan(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Wednesday, 15 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 14): Sentuhan Laksamana

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini Part 13 

Istiadat itu berlangsung dengan megah, penuh adab dan kehalusan istana. Selesai persembahan oleh anak-anak istana, Paduka Sultan berdiri lalu memerintahkan pemberian anugerah. 

“Sebagai tanda penghargaan beta.. diberi kepada anak muda ini beberapa persalinan, wang emas, wangi-wangian dari Tanah Arab, dan..” 

Baginda memandang ke arah seorang pembesar yang segera menghulurkan sesuatu. 

“..sebilah keris berhulu dan bersarung gading, warisan kecil dari simpanan istana. Moga menjadi pelindung dan penyambung keberanianmu.” 

Aku menunduk dalam-dalam. Rasa syukur dan gementar bertaut dalam dada. 

Selesai segalanya, aku melangkah keluar dari balairung, diiringi dua pengawal. Angin petang menyapu lembut wajahku, seakan menyambut aku kembali ke dunia nyata. 

Tapi belum sempat aku melepasi anjung istana.. bahuku disentuh dari belakang. 

Aku berpaling, dan hampir tidak percaya dengan apa yang kulihat. 

Datuk Laksamana Hang Tuah sendiri berdiri di belakangku, diiringi oleh empat sahabat setianya: Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Bersama mereka, Datuk Bendahara Tun Perak turut berdiri, senyum tenang di bibir. 

“Anak muda..” suara Hang Tuah dalam dan bersahaja. 

Aku segera tunduk hormat, mulut terasa kelu. 

“Tuanku..” hanya itu yang sempat keluar dari bibirku. 

Laksamana Hang Tuah tertawa kecil. “Bukan tuanku. Aku bukan raja. Aku.. cuma perwira yang setia.” 

Tun Perak menyambung, “Kami tertarik akan gerak langkahmu. Dan asalmu’’ dari Bentan, katanya?” 

Aku mengangguk. “Benar, Datuk.” 

Hang Tuah memandangku lama. Wajahnya tidak garang, tapi tajam dan tajamnya berisi hikmah. 

“Kau tahu, Bentan itu dekat di hati kami. Ada sejarah panjang di sana, dan banyak yang tersembunyi dari mata dunia. Tidak hairan jika dari situ juga lahir orang muda yang luar biasa.” 

Aku menelan air liur. Tak tahu bagaimana mahu membalas pujian dari wira agung bangsa. 

Tiba-tiba, Hang Tuah berkata: “Datanglah ke rumahku, malam Jumaat yang dekat ini jika sudi. Aku mahu mengenalimu lebih dekat. Apatah lagi.. bila hati kecilku seperti berkata, kau ini bukan sekadar pengembara biasa.” 

Mataku membulat. Jantungku berdegup lebih laju. 

“Apa maksudnya? Adakah dia tahu? Atau sekadar firasat seorang laksamana yang hatinya celik?” 

Tapi aku hanya mengangguk perlahan. “Hamba.. sangat berbesar hati menerima undangan itu.” 

Hang Tuah tersenyum. “Bagus. Dan jangan gusar.. aku bukan pencari aib. Aku hanya mencari kebenaran.” 

Tun Perak menyambung, “Dan kita perlukan orang muda seperti kamu yang membawa pandangan luar dari biasa.” 

Mereka berlalu perlahan, meninggalkan aku yang masih berdiri kaku di tangga istana, memegang anugerah diraja, dan sebuah undangan yang mungkin akan mengubah takdir. 

Bersambung Part 15.. 

Saturday, 11 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 13): Langkah ke Istana, Bayang ke Takdir

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini part 12 

Langit cerah dan sang mentari hampir tegak segalah, menyapu awan dengan warna cerah yang terang. Aku menunggang di belakang utusan istana, diapit dua pengiring berkuda. Kali ini tanpa Pak Andak, Mak Andak, Seri Seroja mahupun Alang. Mereka hanya mampu menghantar pandangan dari kaki laman. 

Pakaian yang aku sarung, hadiah tak terduga daripada Alang, beralun lembut dalam bayu lembut. Tak pernah aku rasa segagah ini. Tapi jauh di dalam hati, ada satu rasa gentar yang belum pernah aku kenal. 

Aku kini sendirian. 

Kuda melaju tenang di jalan tanah merah. Berdetak-detak tapak ladam memukul laluan.  Pohon-pohon tua di kiri kanan menggoyangkan daun, seolah-olah turut berbisik: "Kau menuju ke mana, anak zaman lain?" 

Gementar? Ya. 

Takut? Juga ya. 

Bukan kerana Sultan itu menakutkan, tetapi kerana aku tak tahu siapa aku di mata mereka. 

Dan dalam sepi itu, fikiranku ligat berputar. “Bagaimana kalau Sultan bertanya.. dari mana aku datang?” 

Jawapan sebenar itu mustahil. Mana mungkin aku menjawab: “Patik dari abad ke -21, tuanku. Di mana manusia hidup bersama mesin dan cahaya di dalam kotak kecil. Patik sampai ke sini melalui satu putaran masa yang tak dapat dijelaskan.” 

Nescaya aku dianggap gila.. atau lebih teruk, pengintip dari negeri asing. 

Aku menggenggam hujung kain persalinan pinjaman Alang, dan saat itulah satu ilham menyelinap masuk. 

“Patik berasal dari Pulau Bentan, Tuanku. Patik dengar, negeri Melaka sangat masyhur, aman damai dan kaya raya serta rajanya yang adil dan bijaksana. Maka patik datang untuk melihat sendiri kemasyhurannya.” 

Ya. Itulah jawapan yang akan aku berikan. Terpaksa berbohong.. demi kesejahteraan orang kampung yang sudah menerima aku, dan demi kelangsungan diriku sendiri. 

Sesampainya di kota Melaka, jantungku semakin kencang. Kota ini, tidak seperti yang pernah aku bayangkan. Ia hidup, bernafas dengan suara tukang besi, pekik budak kecil yang bermain gasing dicelah lorong batu, serta para saudagar berbahasa pelbagai. Bau rempah dan asap dupa memenuhi udara. Bendera negeri berkibar di menara batu tinggi.

Di hadapan istana, pintu gerbang megah terbuka. Pengawal bersenjata memberi laluan. 

Aku melangkah masuk. 

Langkah-langkahku berbunyi perlahan atas lantai kayu cengal. Di kiri dan kanan, para bangsawan, hulubalang dan pembesar memerhati. Aku tahu, mereka bertanya dalam hati: "Siapakah anak muda yang tidak dikenal ini?" 

Balairung istana terbentang luas, dihiasi langsir kuning diraja dan tiang-tiang kayu berukir halus. Di hujung balai, duduknya Paduka Sultan Mansur Shah, gagah, berwibawa, tapi tenang wajahnya. 

Aku sembah hormat, seperti yang pak Andak ajarkan. Tapi hatiku seakan berdetik laju.. antara kenyataan dan mimpi.

“Bangunlah, anak muda,” titah baginda, suara bagai ombak yang tenang tapi berkuasa. 

Dengan lutut menggigil, aku mengangkat kepala perlahan. Dan buat seketika, mata kami bertemu.

 "Beta telah dengar cerita tentangmu. Keberanianmu di pasar tempohari bukan sekadar menyelamat Penghulu Bendahari, tapi menyelamatkan maruah negeri."

Baginda diam sejenak. Lalu bangun berdiri. 

“Siapa geranganmu? Dari mana asal usulmu?” soal baginda, tepat seperti yang aku jangka. 

Inilah masanya. 

Aku tunduk sedikit dan menjawab perlahan: “Ampun tuanku, patik berasal dari Pulau Bentan, tuanku.. 

Patik dengar negeri Melaka ini sangat masyhur, aman damai dan kaya raya serta rajanya yang adil dan bijaksana. Maka patik datang untuk melihat sendiri kemasyhuran dan kemakmurannya. Ternyata memang benarlah cakap-cakap yang patik dengar itu tuanku” 

Baginda tersenyum. “Pulau Bentan.. tempat yang tak asing bagi beta. Ramai pedagang dan perantau datang dari sana.” 

Aku menarik nafas perlahan. Syukur. Jawapan itu diterima. 

Degupan jantungku bertukar rentak. Tidak seperti mula-mula tadi. 

Mataku menjelajah balairung. Suasananya terlalu gah, melebihi apa yang pernah aku lihat di muzium atau pembacaan hikayat. 

Tiang-tiang kayu cengal sebesar pelukan lelaki dewasa, dihias ukiran awan larat dan bunga pecah lapan, termasuk juga ukiran pucuk rebung. Langit-langit berwarna emas disulam dengan manik berkilau. Di dinding tergantung senjata pusaka — lembing bermata dua, tombak perak, keris-keris berlok tujuh dan sembilan. Langkah para dayang seperti irama, dan suara gamelan halus-halus mengisi ruang. 

Aku terkesima. 

Ini bukan set drama, bukan rekonstruksi sejarah. Ini dunia sebenar.. ini Melaka abad ke-15. 

foto hiasan: sumber tourism melaka official

 Bertemu Laksamana 

Tiba-tiba, dari belakang balairung, aku terdengar bunyi langkah yang berirama dan penuh wibawa. 

Lima sosok lelaki melangkah masuk. 

Seorang di hadapan, tubuhnya tegap, tinggi, pakaian perwira biru gelap bersulam benang perak. Di pinggangnya tergantung sebilah keris panjang, sarungnya bertatah batu. Empat yang lain mengekor, juga berpakaian pendekar. 

Sosok itu berjalan terlalu kemas. 

Langkahnya bergaya, karismanya seperti mengisi ruang. 

Tapi raut wajahnya tidak sombong. Tenang. Bijaksana. 

Dan yang lebih menggetarkan, semua hadirin, pembesar, hulubalang, dayang, malah para pengawal menunduk hormat saat dia melintasi. 

Hatiku bergetar. 

"Siapa gerangan insan ini..?" getusku dalam hati. 

Sebaik sampai di hadapan Sultan Mansur Shah, dia menyembah dengan tenang dan rendah diri. 

Dan saat itu, baginda bersuara: 

“Silakan, Datuk Laksamana Hang Tuah.. apakah perkhabaran hari ini?”

Jantungku berhenti seketika. 

Nama itu.. Hang Tuah?! 

Datuk Laksamana Hang Tuah?! 

Tubuhku kaku. Nafasku terasa hilang sejenak. 

Aku berdiri di dalam balairung, hanya beberapa langkah dari sosok yang selama ini hanya hidup dalam buku sejarah dan hikayat lama. 

Dialah.. yang disebut sebagai wira agung, penjunjung maruah bangsa, lambang kesetiaan yang tak tergoyah. Dialah.. Hang Tuah! 

Aku hampir tak percaya. 

Ingin rasanya aku mendekat, menyapa, bertanya, "Benarkah tuan wira Hang Tuah? Benarkah aku benar-benar melihatmu, bukan sekadar mimpi atau bayang sejarah..?" 

Tapi aku kekal diam. Kerana di hadapan Sultan, dan di tengah sejarah yang sedang berdetak hidup, aku hanyalah seorang anak dari masa depan yang tidak seharusnya terlalu menonjol. 

Namun satu yang aku tahu, detik itu akan tertulis di dalam ingatan aku selamanya. 

Bersambung Part 14.. 

Wednesday, 8 April 2026

Hari ini

"Genap 47 tahun ayahanda berkelana di alam abadi… rindu ini tidak pernah pudar, hanya diam berteduh dalam doa yang tak pernah putus..." 

Ayahanda, Bicara ini sentiasa dengan kalimah redha-Nya. Setiap yang ditaqdirkan pasti ada hikmah kebaikan. Namun, tidak mampu anakanda sembunyikan rindu yang terbenam. Mudah-mudahan dapat jua wajah ayahanda ditatapi depan mata, di akhirat nanti dengan izin-Nya... 

Ayahanda, Sejahtera buatmu di kelana alam barzakh. Moga doa yang dititipkan menemanimu di sana. Daripada anak-anak yang mengasihimu...