Sahabat Sejati

Monday 8 September 2014

Alhamdulillah, jom beramal (kerana Allah)

'Alhamdulillah, ini vestnya...'

Beberapa hari lepas saya telah menerima vest Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, yang disampaikan oleh Tuan Haji Nasrun Amir Abdullah selaku Setiausaha Agungnya.

Alhamdulillah, tiada pujian yang selayaknya saya panjatkan melainkan kepada Allah SWT. Dengan ini, secara rasminya saya telah menjadi sebahagian ‘keluarga’ besar Yayasan Amal Malaysia. Tentunya kegembiraan yang dirasai ini saya zahirkan dengan tahmid dan takbir kepada-Nya.

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan bukan Kerajaan berdafar yang berorientasikan Amal Kebajikan. Gerak kerja Amal adalah bertebaran seluruh dunia. Moto Amal adalah "Working for Humanity, Serving God". (blog Yayasan Amal) (FB Yayasan Amal)

Sebelum ini saya menganggotai Jabatan Amal dan masih menganggotainya serta salah seorang AJK-nya. Sahabat-sahabat tahu Jabatan Amal? Atau dulu lebih dikenali dengan nama Unit Amal. Pernah diberi gelaran ‘Tentera Merah’ oleh TM Johor kerana khidmat cemerlang membantu mangsa banjir di Kota Tinggi sedikit masa dahulu.

Jabatan Amal juga merupakan satu badan kebajikan, cuma ia lebih tertumpu di dalam negara. Sekarang ini Jabatan Amal semakin dikenali apabila seorang Pak Menteri mempopularkannya di dalam satu ucapannya. Saya lihat di dalam FB ramai sahabat-sahabat yang menukar foto profil dengan berpakaian Unit Amal. Hmm, tak pasal-pasal dikenali ramai.

Yayasan Amal dan Unit/ Jabatan Amal tidak banyak bezanya. Jabatan Amal duduk di bawah Yayasan Amal. Ibarat ayah dan anak sahaja. Cuma skop kebajikanYayasan Amal lebih luas meliputi seluruh dunia.

Jika ada yang bertanya, mengapa mesti menyertai mana-mana pertubuhan untuk membuat kebajikan? Tidakkah berseorangan juga boleh membuat kebajikan? Ya, untuk membuat kebajikan tidak menjadi syarat mesti menyertai mana-mana kumpulan atau golongan. Saya memahami perkara itu, seorang diri pun boleh juga. Tetapi saya melihat dalam ruang lingkup yang berbeza. Dengan duduk di dalam organisasi, maka gerak kerja akan menjadi lebih teratur, tersusun serta kerja-kerja kebajikan yang dilakukan dapat diluas lebarkan ruangnya. Apatah lagi Yayasan Amal Malaysia ini amat aktif dengan kerja-kerja kebajikan bukan hanya di dalam negara, malah turut di luar negara.

Ini terbukti dengan penyertaan beberapa misi kemanusiaan di negara yang ditimpa musibah seperti di Acheh, Pakistan, Gaza dan sebagainya. Paling tidak, setiap tahun Yayasan Amal Malaysia akan mengadakan ibadah korban di lokaliti umat Islam seperti di wilayah Assam India, Kemboja, Darfur Sudan, Mindanao, Sri Lanka, dan termasuk juga di dalam negara seperti perkampungan orang asal Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

Catatan ini hanyalah sekadar coretan biasa. Tiada apa-apa niat yang terselindung. Hanya perkongsian bahawa saya sangat menyukai kerja-kerja amal dan kebajikan sejak di zaman bergulat di medan tempur menuntut ilmu. Tidak sekali-kali terdetik di hati, “Ohh, hebatnya aku, banyak buat misi kebajikan.” Tidak sekali-kali. Selebihnya untuk sama-sama sebagai dorongan kepada sahabat-sahabat yang lain untuk membuat kebajikan. Tidak kira dalam apa jua lapangan, sendirian atau berjamaah. Yang penting kita berusaha untuk membantu sesama manusia.

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (al-Baqarah: 271) 

Saya tahu besarnya ganjaran mereka yang membantu orang lain yang di dalam kesusahan. Teringat kata-kata sang murabbi suatu masa dahulu: “Sesungguhnya tidak ramai orang menjadikan hidupnya untuk orang lain dan menjadikan hidupnya untuk menggembirakan orang lain. Tidak ramai yang melupakan kesusahan sendiri semata-mata untuk menerbitkan senyum di bibir orang lain.”

Sungguh dalam makna kata-kata ini.

Namun, saya juga sangat mengerti. Sedikit rasa riak yang terpancar walau sekecil separuh debu, mampu menghangus leburkan pahala yang dikumpul. Alangkah malangnya jika suatu hari nanti tatkala bertemu Allah SWT, kita sangka banyaknya pahala yang dibawa. Rupa-rupanya kantung amalan kosong dan muflis. Tidakkah ketika itu menyesalnya kita. Wal`yazubillah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir." (al-Baqarah: 264)

1 comments:

Post a Comment