Sahabat Sejati

Tuesday, 23 September 2014

Bolehkah menggunakan Tangkal yang bertulisan Arab untuk mengelakkan diri dari kejahatan manusia?

Soalan:

Saya seorang perempuan yang sedang dalam pengajian peringkat siswazah lanjutan. Datuk saya membekalkan saya dengan tangkal yang diperbuat daripada rajah-rajah tertentu dan huruf alif ba ta, bercampur aduk dan angka-angka seperti tulisan Arab untuk saya pakai bagi mengelak dari kejahatan manusia. Katanya jangan niat bahawa tangkal itu boleh menolong, mintalah kepada Allah. Tangkal hanya ikhtiar. Datuk sudah menggunakan tangkal itu dan amat mujarab katanya. Bolehkah saya memakai tangkal itu? 

Jawapan:

Permasalahan tangkal adalah masalah lama yang bertapak amalannya dalam masyarakat Arab jahiliyah awal, masuk ke alam Melayu, diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat dahulu hinggalah kepada masyarakat moden sekarang ini. 

Apa yang dilakukan oleh datuk saudari adalah sebahagian daripada kepercayaan masyarakat lama yang dominan dalam masyarakat Melayu. Ketika Rasulullah saw mula menyebarkan Islam kepada masyarakat Arab dan mereka memeluk agama Islam, mereka mengamalkan memakai tangkal. 

Rasulullah saw bersabda (yang bermaksud): "Sesungguhnya jampi mentera (yang tidak Islamik) dan tangkal-tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik. (Hadis sahih riwayat Ahmad dan Abu Daud). 

Jelas dalam hadis ini bahawa tangkal adalah istilah asal tamimah atau tamaim adalah satu usaha manusia, gunakan benang, tali atau sebagainya dijadikan sebagai suatu pakaian yang dipakai di pinggang, di leher, di tangan atau sebagainya dengan tujuan untuk menjadi pelindung seperti yang datuk saudari sebutkan.

Memakai tangkal seperti ini, disepakati oleh ulama-ulama Islam bahawa ianya adalah haram dan boleh membawa kepada syirik atau senang difaham ianya berdosa besar. Tentang kata-kata yang mengatakan dengan 'niat untuk menolong mintalah kepada Allah, tangkal hanya ikhtiar', itu adalah mengelirukan kerana niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram. 

Saya umpamakan alasan ini sama seperti, orang yang berniat hendak ke Mekah, tetapi tiada wang, maka dia mencuri wang untuk pergi ke Mekah. Atau orang yang hendak berkahwin tidak cukup wang, maka rasuah diambil untuk menyempurnakan perkahwinan. 

Tamimah atau tangkal adalah haram dan bersosa besar memakainya, kerana kita telah menjadikan makhluk yang bernama tangkal boleh menjaga kita daripada sesuatu yang tidak diingini. 

Dalam Islam telah pasti tiada yang boleh memberi memanfaat atau memudaratkan manusia melainkan Allah SWT sahaja. 

Tangkal tidak boleh menjaga manusia, jika dibakar ia akan hangus, digunting atau ditarik nescaya ia akan putus. Hakikatnya ia tidak bernyawa dan tidak bergerak, sudah tentu dia tidak boleh menolong kita. 

Jika datuk saudari beranggapan bahawa ianya membantu, sebenarnya Allah SWT lah yang memeliharanya, tetapi kebetulan dia memakai tangkal. 

Atau jika berlaku sesuatu yang ketara ganjil pada pemakai tangkal itu jika hendak dikaitkan juga tangkal itu memberi kesan, maka ada kemungkinan tangkal itu ada makhluk halus yang jahat, mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia dengan melakukan perkara-perkara yang aneh dan ganjil untuk meyakinkan manusia kepada keunikan pemakai tangkal. 

Jika ini berlaku, manusia telah terjebak ke dalam perangkap syaitan dan iblis yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia dari jalan Allah SWT dengan menggunakan saluran tangkal sebagai sesuatu yang menjayakan usaha mereka menyesatkan manusia. 

Maka nasihat saya, jangan sesekali memakai tangkal, bergantunglah kepada Allah, untuk berlindung diri dari perkara yang tidak baik, bacalah ayat-ayat yang dikenali sebagai al-muawwiyat iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

2 comments:

paridah said...

assalam ...ayat tiga qul yg patut diamalkan bukannya tangkal yg ternyata syirik...tq berkongsi ilmu.

abuikhwan said...

benar, minta perlindungan dengan Allah..bukan dengan tangkal yang entah apa2 tu...

Post a Comment