Sahabat Sejati

Saturday, 20 September 2014

Baik dan buruk pasti ada balasan

“Kena curi!”

Separuh terkejut saya tatkala diberitahu oleh tuan Imam ketika kami sama-sama menyarung selipar seusai sembahyang isyak tadi. Angin malam yang berhembusan terasa dingin menyentuh pipi. Langit pula bersih dengan taburan bintang.

“Bila hilangnya?” Saya kembali bertanya seraya menoleh ke dalam surau menerusi jendela kaca. Kelihatan dua ‘speaker box’ yang dilekatkan pada dinding di kiri dan kanan mihrab telah pun tiada, yang tinggal hanya wayar penyambung yang berjuntaian.

“Subuh tadi, bilal yang sedar sewaktu nak azan,” jelas tuan Imam lagi. Beberapa orang ahli jemaah menyertai perbualan kami. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak perasan pula subuh tadi speaker tu tiada. Agaknya dalam jam 2 atau 3 pagi diorang buat kerja tu.” Jawab saya. Terbayang kegigihan pihak AJK surau berusaha mencari dana untuk membeli ‘speaker box’ tersebut, termasuk juga keperluan-keperluan yang lain.

Itulah kisah subuh tadi.

Dua biji ‘speaker box’ milik surau perumahan saya telah hilang. Sebelum ini tabung derma surau entah berapa kali dipecahkan oleh pencuri. Saya pun sudah tidak larat mahu mengiranya. Entahlah, siapalah yang hati kering sanggup merembat harta benda milik surau.

Nak digelar ‘setan’, tak tergamak pula, lagipun agak keterlaluan. Tetapi perangainya dah pun sama. Walaupun kita tak boleh melihat rupa setan, tetapi perangainya kita boleh nampak. Inilah contohnya. Memang, gejala mencuri harta benda milik surau atau masjid sudah menjadi ‘viral’. Mana-mana surau atau masjid tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk menyimpan barangan. Kalau tidak dikunci, alamat meloponglah jawabnya. 

Baik dan buruk ada balasan


Firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” (al-Kahfi: 103-104)

Allah Maha Mengetahui apa yang zahir dan tersembunyi. DIA yang menciptakan syurga dan neraka dengan tujuan sebagai destinasi akhir manusia. Keduanya sebagai kemuncak balasan terhadap apa yang dilakukan di dunia. Fikirkanlah, jika tiada syurga maka rugi dan sia-sialah amalan orang beriman dan beramal soleh. Manakala jika tiada neraka, maka akan bermaharajalelah orang yang jahat dan ahli maksiat. Oleh itu, dengan ada keduanya membuktikan keadilan Allah SWT. Buat baik dibalas baik, begitulah sebaliknya.

Allah SWT berfirman:
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Fussilat: 46)

Jangan sekali-kali kita fikir segala perbuatan maksiat yang dilakukan tidak akan diketahui. Setiap manusia ada pencatit yang amanah. Kejahatan yang dilakukan akan dicatit oleh `Atid tanpa yang tertinggal. Bahkan pula setiap anggota badan akan menjadi saksi terhadap perbuatan dan tingkahlaku. Baik atau buruk, semuanya disebut tanpa selindung. Maka bagaimanakah kita boleh terlepas wahai sang pelaku maksiat?

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (YaaSin: 65)

Fikir-fikir...

0 comments:

Post a Comment