Sahabat Sejati

Saturday, 6 September 2014

Mudah-mudahan berjaya


Ramai pula jemaah masjid malam ini. Budak-budak pun sama naik ramainya. Hairan juga sekejap. Sebenarnya masjid di tempat saya ini memang sentiasa ramai dan meriah dengan jemaah. Maklumlah masjid yang sentiasa subur dengan program-program keagamaan. Termasuklah kuliah maghrib, kuliah subuh, forum, kem ibadah dan sebagainya. Tidak hairanlah ia sentiasa menjadi kunjungan sesiapa yang sukakan majlis ilmu. Tetapi malam ini saya lihat amat luar biasa ramainya. Ada juga wajah-wajah yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Opss, mari bersangka baik. Mungkin mereka bersembahyang di surau atau di masjid lain. Mana kita tahu… 

Itupun mereka datang juga ke masjid, tak apalah atas tujuan apa. Boleh jadi ia menjadi permulaan taufiq kepada mereka untuk datang ke masjid.

Ohh, patutlah rupa-rupanya pihak masjid dan sekolah mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada minggu depan. Sebab itulah juga saya lihat banyak botol-botol air di tepi dinding hadapan masjid. Ada yang besar dan ada yang kecil dengan beraneka jenis botol. 

Alhamdulillah, ini juga termasuk usaha yang baik. Mudah-mudahan terang hati yang meminumnya. Tetapi jika diharapkan pada air penerang hati sahaja, tetapi belajar dan mengulangkaji tidak, solat dan berdoa juga tidak, maka ia tidak memberi makna. Jangan diharap kejayaan akan diperolehi, melainkan ia satu keajaiban. Air penerang hati hanyalah sebagai alat dan salah satu daripada usaha, tetapi ia perlu disekalikan dengan belajar, berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT. Selepas itu redha dengan apa keputusan yang didapati. Insya-Allah…

0 comments:

Post a Comment