Sahabat Sejati

Thursday, 4 September 2014

Tasbahu `ala al-khair... melelapkan mata, merehatkan jasad dan minda

'melelapkan mata sebentar, merehatkan jasad dan minda'

Mengantuk sangat rasanya. Kelopak mata seolah-olah disangkut pemberat. Hampir-hampir mahu bersambung keduanya. Hajat dihati mahu mencoretkan sedikit cetusan rasa di dalam pondok kecil abuikhwan ini. Saya gagahi jua melayan ’MAHU’ biarpun tidak punyai ‘MAMPU’.

Hmm.. Nampak gayanya sudah 3 hari saya tidak bertandang ke pondok kecil abuikhwan, alasan biasa, dek kerana kesibukan yang entah apa-apa.

Di dalam satu hadis disebutkan dua nikmat terbesar yang sering disia-siakan ialah nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Dua nikmat ini amat berkait rapat kerana hilang salah satu daripadanya maka yang satu lagi tidak akan memberi erti. Ada orang yang dikurniakan tubuh badan yang sihat tetapi tiada masa lapang sehingga tidak mampu untuk ke masjid atau mendatangi majlis ilmu. Ada pula yang tidak sibuk tetapi kesihatan pula tidak mengizinkan, lalu hanya terbaring di atas katil. Oleh itu, hargai dan pergunakanlah dengan sebaiknya kedua nikmat ini.

Sihat jasad, sihat akal

Demikianlah lemahnya makhluk bernama manusia. Sekuat mana pun ia, tidak akan dapat mengalahkan rasa mengantuk. Rasa mengantuk adalah fitrah, ubatnya adalah tidur. Dengan melelapkan mata, merehatkan jasad dan minda. Tubuh yang lemah akan diserang dari luar dan dalam. Dari luar diserang oleh kuman dan bakteria. Dari dalam diserang oleh makhluk bernama jin. Demikianlah apabila tubuh letih, maka akal dan emosi turut terganggu.

Rupa-rupanya tidur adalah sejenis ubat kepada tubuh. Dengan tidur akan mengembalikan semula tenaga dan kekuatan baik jasad maupun rohani. Ingat kisah peperangan Badar. Allah mengurniakan rasa mengantuk dan tidur kepada para pejuang Islam sebelum mereka bertempur keesokan harinya. Mereka bangkit dengan tubuh yang sihat dan segar serta semangat yang hebat. Akhirnya mereka memperolehi kemenangan yang gemilang menumpaskan tentera kufur.

Diceritakan dalam Kitab ar-Rahiq al-Makhtum, Rasulullah saw menghabiskan masa malam dengan melakukan solat berhampiran sebatang pokok yang ada di sana. Sementara tentera Islam tidur pada malam itu dengan jiwa yang tenang dan diterangi bintang di langit. Rasa kepercayaan terhadap diri mereka bertambah. Mereka beristirehat dengan cukup pada malam itu dan berharap agar mereka dapat melihat khabar gembira pada esok hari seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Firman Allah SWT:
“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan)." (al-Anfaal: 11)

Ketika itu adalah malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.

Salah satu perkara yang menarik adalah hari raya pertama yang dirayakan oleh Muslimin dalam hidup mereka adalah hari raya yang jatuh pada bulan Syawal tahun kedua Hijrah setelah kemenangan yang mereka raih pada peperangan Badar. Maka kebahagiaan yang diberikan oleh Allah setelah umat Islam mendapat pertolongan daripada Allah amat terasa.

Betapa syahdunya pemandangan solat yang dilaksanakan solat yang dilaksanakan Muslimin setelah mereka keluar dari rumah dengan bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Hati mereka mekar dipenuhi dengan perasaan cinta kepada Allah dan rindu kepada rahmat dan keredhaan-Nya, setelah Allah melimpahkan rangkaian nikmat kepada mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan-Nya.
 
 Dan akhirnya Allah mengingatkan mereka tentang semua itu dengan firman-Nya:

"Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur." (al-Anfaal: 26) 
(al-Rahiq al-Makhtum)

Alhamdulillah. Cukuplah setakat ini, mata pun sudah semakin mengantuk. Izinkan saya mengalah kepada fitrah, belayar jauh ke alam mimpi. Melelapkan mata merehatkan jasad dan minda.. 

Tasbahu `ala al-khair...

2 comments:

paridah said...

assalamualaikum...mengantuk n tidur adalah salah satu nikmat Allah, jikalau kehilangan nikmat itu terasa siksanya....

abuikhwan said...

benar kak paridah, keduanya di antara nikmat yang besar. kalaulah kehilangan keduanya..hmmm

Post a Comment