Sahabat Sejati

Saturday, 13 September 2014

Bantulah mereka seadanya, agar nanti ada jawapan untuk itu


Rancangan Majalah 3 pada minggu lepas memaparkan kisah pembantaian Regim Zionis ke atas penduduk Palestin ketika Ramadhan baru-baru ini. Kali ini tiada lagi kelibat sang presiden yang sentiasa menyokong perjuangan mereka. Tiada presiden Mohammad Morsi di belakang perjuangan rakyat Palestin. Yang tinggal cuma Fattah as-Sisi, si boneka Amerika dan sekutunya. 

Siapa yang tidak didakap rasa sayu dan sebak, melihat kesan serangan yang menggila. Operasi bersepadu darat, laut dan udara meranapkan segalanya. Runtuhan bangunan yang berserakan. Mangsa serangan yang terdiri daripada orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak. Ada yang telah gugur syahid dan yang terlantar di hospital. Tuhan sahaja yang mengetahui betapa penderitaan mereka semua. 

Ketika artikel ini ditulis, keadaan di Palestin agak tenang sedikit. Ini berikutan tempoh gencatan senjata di antara pihak Briged al-Qassam dan Zionis sedang berlangsung. Regim Zionis terpaksa menerima semua syarat yang diletakkan oleh pihak Briged al-Qassam. Mungkin merasakan mereka diambang kekalahan, lalu dalam keadaan terdesak untuk mengelakkan rasa hina dan malu, mereka mencadangkan gencatan senjata. Mudah-mudahan dengan gencatan senjata ini memberikan ruang kepada pihak Briged al-Qassam menyusun dan memperkuatkan kembali barisan hadapan mereka. 

Tetapi hati saya tercuit sejenak, entah sampai bilakah gencatan senjata ini akan dipatuhi oelh pihak Regim Zionis. Bukankah mereka puak yang tidak boleh dipercayai? Bila-bila masa mereka boleh mencabuli perjanjian yang telah dimeterai. Sejarah lampau tidak muat untuk menceritakan betapa jahatnya perbuatan mereka. Semoga segala perancangan tipu daya mereka terhumban ke atas batang tubuh mereka sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sebaik-baik perancang tipu daya. 

Menerusi laman FB, saya melihat klip video seorang pejuang Briged al-Qassam menyatakan bahawa mereka telah dipilih oleh Allah SWT mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk mempertahankan bumi al-Quds. Maka, mereka tidak akan memaafkan setiap orang Islam yang tidak mengambil peduli akan perjuangan mereka. Maksudnya, orang Islam yang sekelumit pun tiada rasa prihatin dan berniat mahu membantu perjuangan suci itu. 

Untuk membantu mereka tidak memerlukan kita turut memikul senjata bersama mereka. Apatah lagi mereka juga tidak meminta berbuat demikian. Namun, cukuplah dengan kita menghulurkan sumbangan yang termampu. Ya, sekadar yang termampu. Mudah-mudahan dengan sekadar seringgit yang kita infaqkan itu akan dipandang dengan nilaian yang tinggi di sisi Allah SWT. 

Ataupun sekurang-kurangnya kita menghulurkan bilah-bilah doa buat mereka semua. Ya, jangan lupa untuk berdoa kepada mereka setiap kali selesai solat. Mudah-mudahan dengan doa tersebut, Allah menetapkan hati mereka untuk berjuang, serta diberikan kemenangan dalam mempertahankan bumi yang menjadi kuburan para Nabi dan kiblat pertama umat Islam. 

Bukanlah sesuatu yang sukar untuk berdoa. Tadah tangan dan mintalah agar Allah memenangkan rakyat Palestin. Jika ini pun tidak mampu untuk dilakukan, Muslim apakah yang layak digelar kita ini. Lebih dari itu apakah pula jawapan yang mahu kita berikan kepada Allah SWT ketika ditanya apakah sumbangan kita dalam membantu saudara seaqidah di sana. Ya, saya bimbang jika kita tiada jawapan untuk itu. 

Ukhuwwah Islamiyyah merentasi sempadan 

 'Bersama Syeikh Dr Muhammad Mahmud Siyam yang merupakan mantan Rektor Universiti Islam Gaza serta mantan Imam Masjidil Aqsa'

Ukhuwwah di dalam Islam merupakan satu jalinan yang menghubungkan sebahagian umat Islam dengan sebahagian yang lain. Ia merupakan satu ikatan yang mengikat hati-hati mereka atas dasar ketaatan kepada Allah SWT. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana sabda Rasulullah saw: 

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah.” (Riwayat Ahmad) 

Oleh itu, tidak memadai dengan kita menjadi Muslim, tetapi dalam masa yang sama tidak menghiraukan Muslim yang lain disekeliling. Bukankah di antara kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia ialah merasa tanggungjawab terhadap orang lain dengan membantu serta suka mengambil berat akan urusan mereka. 

Rasulullah saw bersabda: 
“Barangsiapa yang berpagi-pagi dan fokus keutamaan dalam dirinya perihal dunia semata-mata, tiadalah Allah punyai apa-apa urusan untuknya, dan barangsiapa yang tidak mengambil tahu berkenaan urusan kaum Muslimin yang lain, tidaklah mereka dalam kalangan mereka (muslim)." (Riwayat at-Thabrani, Majma' az-Zawaid, 10/248; terdapat perawi bertaraf Matruk) 

Marilah kita sama-sama membantu saudara kita di Palestin semampu yang mungkin. Mudah-mudahan ada jawapan kita di akhirat kelak. “Ya Allah, aku telah membantu saudaraku di Palestin menurut kemampuanku...” 

Renungilah kata-kata Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya: “Sesungguhnya Jerusalem bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling berhak terhadapnya. Dan bukan pula milik orang Arab sahaja, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling dituntut membelanya, tetapi Jerusalem adalah milik setiap Muslim di manapun ia berada, di timur, di barat, utara dan selatan, baik dia sebagai pemerintah atau pun rakyat, baik dia seorang terpelajar ataupun buta huruf, kaya, miskin, lelaki, perempuan sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing.” 

Allahu al-musta`an...

0 comments:

Post a Comment