Sahabat Sejati

Thursday, 3 February 2011

Keliru permasalahan qadak dan qadar


Soalan:

Selalu sangat saya dengar perihal qadak dan qadar, yang bermaksud segala-galanya adalah ketentuan Allah SWT. Seseorang itu sama ada akan bahagia atau celaka di dunia atau akhirat semuanya sudah ada ketentuan-Nya. Seolah-olah manusia ini semacam robot yang sudah diprogramkan sejak dari azali, sama ada masuk syurga atau neraka. Jika itulah keadaanya, maka manusia ini tidak mempunyai apa-apa pilihan kepadanya, semuanya ketentuan Allah. Oleh itu mengapa kita hendak bersusah payah melakukan perkara yang semuanya sudah ditentukan. Saya jadi keliru, bolehkah tolong selesaikan kekeliruan saya ini.

Jawapan:

QADAK dan qadar adalah salah satu rukun iman yang wajib dipercayai dan diimani sepenuhnya. Jangan sesekali anda ragu, jangan sesekali anda tidak puas hati atau terbayang, terlintas wujud ketidakadilan Allah kerana telah memilih dan menentukan sejak dari azali ketentuan hamba-hamba-Nya.

Qadak dan qadar itu adalah kerja Allah. Kita makhluk Allah yang lemah dan hina di hadapan Allah SWT. Bagaimana kita hendak mencampuri dan mempersoalkan kerja Allah.

Yang perlu diketahui bahawa Allah itu antara sifat-Nya adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah Maha Adil dan tidak sesekali melakukan yang tidak adil atau sengaja hendak menzalimi makhluk-Nya.

Allah berfirman (mafhumnya): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar." (an-Nisa`: 40)

Allah berfirman (mafhumnya): "Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri." (Yunus: 44)

Oleh kerana itu, berdasarkan ayat di atas, tidak timbul persoalan yang anda ajukan bahawa ketentuan Allah merupakan sesuatu yang tidak adil.

Allah sentiasa adil. Daripada sinilah datangnya ayat sebagaimana firman Allah (mafhumnya): "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (an-Najmi: 39)

Allah berfirman (mafhumnya): "Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan." (Thaha: 15)

Buat baik dibalas baik dan digandakan pahalanya, berbuat jahat akan dibalas jahat, tanpa menggandakannya. Maka apakah ini tidak adil? Sudah tentu ia sangat adil.

Memudahkan anda untuk memahami qadak dan qadar dalam kehidupan insan, memang ada hal-hal yang diluar kawalan kita. Kita seharusnya menerimanya.

Perkara itu adalah kerja Allah. Allah tidak mungkin melakukan sesuatu yang diluar keadilan-Nya dan kasih sayang-Nya. Allah menyempurnakan semuanya itu dengan iradah-Nya.

Contohnya kelahiran kita, pilihan siapa? Hendak menjadi lelaki atau perempuan bukan kehendak kita. Berkulit cerah atau gelap. Berupa paras cantik lagi menarik atau hodoh cacat. Ini semua bukan kerja kita, terima sahaja apa yang ditentukan Allah SWT dalam qadak qadar-Nya.

Ketika kita berada di alam dunia, sihat sakit kita pada umumnya bukan pilihan kita. Jodoh pertemuan, kita hanya merancang, hendak jadi atau tidak, kekal atau tidak, Allah menentukan segala-galanya.

Akhirnya kita mati, bukan pilihan kita. Tempat kita hendak mati pun, bukan pilihan kita. Ertinya ada hal-hal yang ditentukan Allah. Itu adalah kehendak-Nya, bukan pilihan kita.

Adapun yang banyak lagi Allah biarkan dengan pilihan kita. Seperti hendak jadi orang yang beriman atau kufur kepada Allah, itu pilihan kita. Allah tidak memaksa kerana tiada paksaan dalam agama. Hendak patuh kepada Allah atau hendak melanggar perintah-Nya, itu kehendak kita, kita boleh pilih.

Allah berfirman (mafhumnya): "Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka." (al-Insan: 3)

Malah tatkala anda bertanya saya soalan ini, adakah orang memaksa anda berbuat demikian atau itu pilihan anda sendiri?

Sama ada hendak bertanya soalan atau mendiamkan diri, itu adalah pilihan anda. Hendak makan atau minum, menonton televisyen, melihat rancangan program televisyen, melayari internet, semuanya adalah pilihan anda sendiri.

Pilihan inilah yang dikatakan bahawa, manusia mempunyai daya untuk memilih cara hidupnya, memilih agamanya, merancang untuk bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.

Melakukan perkara yang akan boleh menerimanya, dengan disokong oleh wahyu Allah SWT, bagi memimpin manusia ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Inilah yang dimaksudkan dalam qadak dan qadar. Wallahua`lam.

Sumber: Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment