Sahabat Sejati

Saturday 5 February 2011

Damai yang hilang

Ingin rasanya saya membawa anak-anak meranduk anak sungai dan menyusuri belukar damai, agar mereka dapat merasai apa yang pernah saya kecapi ketika dulu.

Ingin rasanya saya mengulangi semua detik-detik kehidupan yang pernah saya lalui dulu, agar anak-anak tidak kehilangan semua itu. Tanpa PSP, iPod, facebook, mp4 maupun Astro, kami masih mampu mencipta dunia kami, dunia yang suka dan gembira. Apa yang tidak kedapatan pada hari ini. Sebahagiannya telah pupus ditelan arus masa.

Damai desa

Petang yang mendamaikan, tatkala pulang ke desa tercinta. Saya meminjam motosikal sepupu yang tinggal bersebelahan dengan rumah bonda. Hajat hati mahu membawa anak-anak menjengah ke pelusuk kampung, mudah-mudahan ada sesuatu yang dapat saya tunjukkan kepada mereka. Persekitaran yang pernah mewarnai kehidupan bapa mereka satu ketika dahulu.

Seekor burung bangau putih terbang lalu hinggap di pohon kelat berhampiran tatkala saya memberhentikan motosikal di tepi paya yang sudah berkurang airnya. Kalau dulu seronok melihat burung-burung bangau terbang sambil melayang hinggap di belakang kerbau yang sedang berkubang. Sekarang yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Anehnya, entah ke mana pergi burung bangau putih yang sudah bergenerasi menghuni paya tersebut. Entah...

Saya tersenyum sendirian terkenangkan kisah lama semasa meranduk bersama rakan menangkap ikan laga atau lebih kami dikenali dengan panggilan ikan ‘sekilau’. Seronoknya, tanpa mempedulikan lintah ‘si penghisap darah’ yang juga banyak kedapatan di paya itu.

Selagi matahari belum terbenam, selagi itulah kami menjelajah di sekitar paya dan semak samun. Walaupun tahu risiko balik lewat dengan badan dan pakaian yang comot. Kadang-kadang merasa juga sedas dua ‘roti panjang’ di betis hadiah dari emak. Hadiah dari sifat kasih sayang yang tidak pernah berkurang.

Saya meneruskan perjalanan, mencari secebis damai.

Terdetik juga hiba di hati tatkala merenung deretan rumah usang berhampiran paya tersebut, kosong tanpa penghuni. Saya merenung dari tebing seberang sini, fikiran ligat berputar memikirkan sesuatu. Ohh..rupa-rupanya dulu ada jambatan kecil yang merintangi paya yang menjadi laluan utama penduduk kampung untuk ke ladang getah dan kebun sayur. Jambatan yang dibina hasil muafakat gotong-royong penduduk kampung. Saya masih ingat, tua muda sama-sama membinanya. Yang perempuan pula menyediakan makanan untuk mereka yang berkerja. Kami, budak-budak pun menyibuk sama. Kini, jambatan itu hanya tinggal tunggul reput yang masih terpacak sebatang dua.

“Kat situ dulu ada satu alur sungai, jernih airnya. Kat hujungnya ada satu air terjun kecil. Abi selalu mandi dengan kawan-kawan,” saya cuba menggambarkan kepada anak-anak.

Anak-anak mengangguk.

“Dulu kawasan ini tempat abi bermain dengan kawan-kawan, dulu semuanya semak samun. Sekarang dah jadi taman perumahan,” saya menerangkan kepada anak-anak. “Kat tepi pagar sebelah kedai tu, ada tiga batang pokok sentul. Besar dan tinggi, kalau tiba musim ia berbuah, penuh dengan buah.” Saya menerangkan satu persatu.

'Dulu tempat bermain, sekarang dah jadi taman perumahan'

Entah mengapa sejak kebelakangan ini saya sering rindukan kenangan semalam, kenangan yang semakin jauh ditinggalkan. Kadang-kadang mengenangkannya menghadirkan hiba di hati.

Pakcik yang masih diingati

“Assalamualaikum” saya memberi salam tatkala menongkat motosikal di bawah pohon ceri yang rendang itu. Seorang pakcik tua duduk di atas pangkin di bawah pohon ceri tersebut, tangan kanannya menupang tongkat. Menandakan dirinya yang sudah uzur.

Angin petang di bawah pohon ceri itu terasa nyaman sekali.

“Pak Samad, kan?” Saya bertanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Anak-anak juga menghulur tangan.

“Anak ni siapa?” Beliau bertanya sambil membetulkan cermin mata tebalnya, mungkin mahu menjelaskan pandangan. Saya kira usianya sudah lebih tujuh puluh tahun.

“Saya Wan, anak Abdul Rahman.” Saya terpaksa meninggikan suara agar jelas didengari olehnya.

“Abdul Rahman mana?” tanyanya lagi.

“Abdul Rahman yang dulu kerja di hospital Kuantan (sekarang HTAA). Masa budak-budak dulu saya mengaji di rumah Pak Samad. Dulu rumah kami di sebelah baruh sana, selepas ayah meninggal kami pindah di Jalan Tengah ni,” panjang lebar saya menerangkan agar beliau dapat mengingatinya.

'Jalan Tengah, laluan ke rumah bonda'

Lama juga Pak Samad berfikir, sambil merenung muka saya.

“Ohh..anak Rahman, dah besar kamu ye..!” terukir senyuman kemesraan dibibirnya sambil menepuk-nepuk belakang saya.

“Berapa lama dah ayah kamu meninggal, pakcik dah tak ingat? Pakcik Samad bertanya lagi.

“Ayah meninggal tahun 1979,” jawab saya.

“Ayah kamu tu dulu kawan baik pakcik, sejak dari zaman budak-budak kami berkawan, sekolah bersama, mengaji, bermain pun bersama. Sama-sama merantau dulu mencari kerja. Balik semula ke kampung ni pun sama-sama.” Cerita pakcik Samad, sambil meraut tangannya ke muka.

Saya lihat matanya berkaca.

Banyak yang kami bualkan, kebanyakannya berkisar tentang peristiwa lampau. Saya pula banyak bertanya tentang ayah yang telah ‘pergi’ ketika saya sedang bertatih mengenal kehidupan. Ayah ‘pergi’ ketika saya berusia tiga tahun. Apalah umur saya ketika itu untuk memahami erti kesedihan apalagi untuk memahami erti sebuah perpisahan yang hakiki. Hanya kalungan doa yang mampu saya panjatkan tiap masa dan ketika sebagai ‘cahaya yang menerangi’ buatnya disana. Demikianlah sedikit bakti yang dapat saya curahkan namun saya tahu ia tidak mampu mengatasi kasih sayang ibu dan bapa walaupun setengah nafas mereka.

Matahari telah condong, menyimbahkan sinarnya yang berwarna merah. Indahnya ciptaan Tuhan bagi mereka yang mempunyai akal dan mahu memikirkannya.

Saya segera meminta diri. Insya-Allah kepulangan saya di masa akan datang akan saya gunakan untuk menziarahi rakan-rakan bapa yang lain agar perhubungan itu tidak terputus begitu sahaja.

Diriwayatkan di dalam hadis sahih daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya termasuk perbuatan paling baik ialah seseorang yang meneruskan silaturrahim (hubungan baik) dengan sahabat baik ayahnya sesudah ayahnya meninggal dunia” (Riwayat Muslim).
Semoga silaturrahim ini tetap terjalin walaupun direntasi masa dan ketika...

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

al-fatihah untuk ayahanda tersayang.mmg sayu hati bila berbicara dgn rakan2 sekampung dan seperjuangan arwah ayah kan?Eloklah selagi diberi peluang,pergilah berjumpa bertanya khabar dgn rakan2 arwah ayah =.^

abuikhwan said...

Insya-Allah, moga dipermudahkan.
Seronok balik kampung hari ini...

Post a Comment