Sahabat Sejati

Monday 28 February 2011

Najmuddin Erbakan: Menelusuri Khilafah Yang Hilang Di Turki

Prof Dr Najmuddin (Necmetting) Erbakan adalah merupakan seorang pemimpin ulung gerakan Islam di Turki pada zaman moden. Beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 hingga tahun 1997 dan dianggap sebagai Al-Mursyid Al-Ruhiy kepada gerakan Islam Turki. Pada tanggal 27 Feb 2011 yang lalu beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun selepas ditimpa penyakit dalam tempoh yang agak lama.


Latar belakang kehidupan

Prof Dr Najmuddin (Necmettin) Erbakan dilahirkan pada 29 Oktober 1926 bersamaan 22 Rabi`ul Awwal 1345H di bandar Sinop berdekatan dengan Laut Hitam, berasal dari keluarga yang cintakan Islam.

Pada tahun 1948 beliau belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti Istanbul di Fakulti Kejuruteraan sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan doktor falsafah di Aachen, Fachhochschule Aachen (University of Applied Sciences Aachen, Germany)dalam bidang Termodynamic dan Atom.

Pada peringkat remaja, beliau cenderung kepada aspek keagamaan. Beliau membabitkan diri dalam aliran 'Tareqat Naqsyabandiah' pimpinan Syeikh Muhammad Zaheed Kotko yang menyokong Gerakan an-Nursiah (nisbah kepada Badi`uzzaman Sa`id an -Nursi) membantu Perti 'Nizam al-Watani' iaitu sebuah parti politik pertama di Turki yang berhaluan Islam secara menyeluruh.

Setelah menamatkan pengajian dalam Fakulti Kejuruteraan, beliau menceburi bidang politik. Beliau bertanding dan menang dalam piihanraya di Bandar Quwineh atas tiket Parti 'Nizam al-Watani' dan menjadi ahli parlimen termuda ketika itu. Namun, beliau terpaksa menubuhkan parti baru berteraskan Islam setelah dihalang berpolitik menerusi kerajaan campuran kerana menentang keras konsep sekularisme.

Tahun 1971, Parti 'Nizam al-Watani' telah diharamkan. Sembilan bulan selepas itu Dr Necmettin menubuhkan Parti as-Salamat dan bergabung dengan Parti Rakyat Turki, menang pilihanraya tahun 1973 sekaligus membentuk kerajaan campuran. Beliau menjawat jawatan Naib Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri di tujuh kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri, Keadilan, Perdagangan, Kastam, Pertanian, Perindustrian dan Pemakanan.

Tetapi ianya hanya bertahan selama tujuh bulan kerana digulingkan oleh pihak tentera yang kuat berpegang dengan amalan sekularisme.

Pada tahun 1977, Dr Necmettin yang mendapat sokongan anggota pimpinannya bergabung dengan Parti Gerakan dan Parti Keadilan yang menang pilihanraya serta membentuk kerajaan campuran buat kali ketiga. Tetapi beliau diarahkan meninggalkan parti dan penglibatan politik oleh pihak tentera yang dapat menghidu kecenderungan beliau kepada Islam. Beliau telah dipenjarakan bersama 33 yang lain pada tahun 1981 selama 4 tahun. Pada tahun 1986 beliau menubuhkan Parti Refah setelah pulang dari ibadat umrah.

Parti Refah bergerak di tengah medan masyarakat sekular Turki dengan mewajahkan sebagai gerakan cakna rakyat dan kebajikan. Ini adalah kerana perlembagaan Turki yang melarang sebarang bentuk aktiviti politik Islam dan politik langsung tidak boleh dikaitkan dengan Islam. Parti Refah sentiasa dintip dan diawasi oleh pihak tentera, ditekan dengan mehnah dan tribulasi. Namun Refah tetap menunjukkan akhlaq yang baik dalam berpolitik, menyantuhi anak-anak yatim, ibu tunggal, mengadakan kelas-kelas al-Quran, perkhidmatan kesihatan percuma dan sebagainya. Ini dengan pantas menarik minat anak-anak muda yang cintakan Islam setelah melihat sistem sekular gagal dalam memberi kebahagiaan dan memusnahkan sendi-sendi aqidah umat Islam.

Selama 10 tahun dalam parti ini, sekali lagi beliau bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1996, Parti Refah menang besar dan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri tetapi hanya bertahan selama 9 bulan iaitu pada tahun 1997 kerana digulingkan oleh tentera yang memang membenci terhadap Islam.

Pada tahun 1998, Parti Refah telah diharamkan dengan berbagai-bagai pertuduhan, manakala Dr Necmettin tidak dibenarkan aktif dalam arena politik Turki. Beliau dianggap pesalah yang harus dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun. Tetapi beliau dibebaskan memandangkan usianya yang telah tua dan dipantau segala aktivitinya oleh pihak tentera.

Walau bagaimanapun, beliau mendapat pengampunan Presiden Abdullah Gul dari Parti Keadilam dan Pembangunan (AKP) yang sedikit sebanyak mempunyai hubungan dari sudut kecenderungan kepada Islam.

Kini, beliau telah pergi. Semoga Allah mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan beroleh syurga bersama mereka yang diredhai-Nya. Al-Fatihah.

(Adaptasi dari buku Tokoh-Tokoh Gerakan ISLAM Abad Moden oleh Zainudin Hashim dan Riduan Mohd Nor)

0 comments:

Post a Comment