Sahabat Sejati

Monday, 21 February 2011

Kehendak-Nya, dia pergi...


“Balik kampung…..yeaa!!” anak-anak menjerit kegembiraan.

Tiada yang lebih menyeronokkan selain daripada pulang ke kampung. Rumah papan, kokokan ayam, rumput hijau dan alur jernih semuanya menjadi pencetus kedamaian, yang paling mendamaikan dapat bertemu dan memeluk bonda yang tidak pernah berkurang kasihnya.

Seronok sekali semasa tiba di rumah keluarga. Adik-beradik berhimpun, anak-anak saudara berkejar ke sana sini bagai mahu meruntuhkan rumah, sesaat mereka ketawa, sesaat mereka bergaduh pula, kemudian mereka berlari bersama pula.

“Tangkap ayam tu…” Ahh…gelagat ahli fitrah.

Segalanya indah belaka. Terasa terbang semua kerunsingan dan kegusaran. Hilang seribu satu masalah dunia yang menyemakkan kepala seorang yang bergelar manusia.

Allah…Allah…

Tarikh yang masih berbekas

Ketika semua orang sudah tidur, saya menyelongkar almari buku lama di tepi tangga dapur. Terima kasih kepada emak yang masih menyimpan buku-buku lama milik kami adik beradik. Saya keluarkan satu persatu lalu membeleknya. Setiap dari buku-buku itu menyimpan kenangan yang tersendiri. Nostalgia yang amat mahal harganya.

Saya menarik sebuah buku usang yang berkulit hitam. Tertera tajuknya “CATATAN KEHIDUPANKU”. Ohh…rupa-rupanya ia adalah buku yang saya catatkan di dalamnya tarikh-tarikh yang dianggap penting dan mesti saya ingati. Saya mula mencatatnya semenjak di tingkatan satu ketika tinggal di asrama. Sudah lama buku itu, sehingga saya sudah melupakannya. Begitu cepat masa berlalu.

Saya membelek helaiannya satu persatu, ada helaian yang sudah ditebuk anai-anai dan bubuk. Ada helaian yang berwarna kuning, kesan tumpahan air milo yang tertumpah ketika sedang mencatatnya di asrama dulu, saya tersenyum sendirian. Tiba-tiba pandangan mata saya terhenti seketika menatap satu tarikh yang saya tebalkan tulisannya…23 Disember 2005!

Ada sesuatu yang mengusik hati disebalik tarikh tersebut, yang mengundang rasa sebak di dada. Mata saya berkaca. Saya mengesat mata untuk menjelaskan pandangan.

Pergi tak kembali

Cuaca cerah selepas hujan, saya bersiap-siap untuk ke masjid bersolat Jumaat.

“Assalamualaikum.” Tiba-tiba kedengaran suara memberi salam dari luar.

Saya tidak menghiraukannya kerana mendengar suara emak menjawab salam tersebut. Saya terus bersiap-siap.

“Ohh.. Karim, apa halnya?" Emak bertanya di muka pintu.

“Mak teh, abang long kemalangan depan masjid! Berlanggar belakang treler yang berhenti di tepi jalan.” Karim memberitahu, nafasnya termengah-mengah.

Saya yang mendengar dari dalam bilik bergegas menerpa ke pintu, “dia macam mana, teruk ke?"

“Dah dihantar ke hospital, tetapi keretanya teruk.” Jawab sahabat saya itu.

Saya segera memujuk emak yang mula menangis.

Sepanjang khutbah dan solat, saya bagaikan tidak dapat menahan debaran yang kencang di dada. Terasa terngiang-ngiang di telinga kata-kata Karim berkenaan kemalangan yang menimpa abang long. “Ya Allah, selamatkanlah abangku. Janganlah biarkan kami sekeluarga kehilangannya.” Saya menadah tangan memohon kepada-Nya dengan penuh harapan. Terasa linangan air jernih bergenang di kelopak mata, segera saya seka dengan lengan baju.

“Ahh…aku mesti kuat, kenapa mesti menangis. Tak ada apa-apa yang berlaku semuanya selamat.” Getus hati saya, cuba untuk meredakan kebimbangan yang bersarang.

Sepanjang perjalanan pulang dari masjid, hati tidak putus-putus berdoa.

“Wan, abang long dah tiada.” Emak tersepuk dimuka pintu, air matanya lebat bercucuran. “Tadi pakcik kamu telefon dari hospital.” Sambungnya lagi.

Saya tergamam, membisu seribu bahasa.

Sepanjang hari rumah kami dikunjungi oleh tetamu yang tidak putus-putus.

Tenanglah disana...

Sesungguhnya kematian itu adalah suatu yang pasti. Tiada siapa yang dapat lari darinya. Setiap kali kita melihat orang-orang yang mati disekeliling kita, sebenarnya kita melihat kematian kita. Begitu juga apabila kita melihat kuburan kerabat, saudara-mara serta sahabat kita, sebenarnya kita melihat kuburan kita.

Ketika kematian menjemput, semua kenyataan dalam hidup lenyap. Tiada lagi kenangan, tiada lagi hari-hari indah. Renungkanlah kesempatan hidup ini, persiapkanlah sebanyaknya bekalan yang akan dibawa. Kerana selepas ini kehidupan yang panjang dan amat dahsyat hal keadaannya. Oleh itu, ambillah kematian itu sebagai pelajaran penting yang mesti diingati.

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamatlah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (ali-Imraan: 185)

Pusara abang long

Sukar untuk saya ungkapkan apa yang terbuku di hati, melainkan sekalung doa dalam munajat kepada Allah SWT, agar Allah SWT mengurniakan keampunan dan kasih sayang-Nya dengan penuh limpahan yang berterusan. Serta limpahan rahmat dan maghfirah seluas-luasnya ke atas ruh abangku, dan ditempatkan bersama para solihin dan mujahidin fi sabillillah. Sesungguhnya kembali ke Rahmatullah, hanya sekadar perpindahan daripada kepenatan dunia menuju kepada kerehatan di barzakh.

Kini telah lima tahun berlalu, namun segala kenangan bersama abang long masih kemas tersimpan di lipatan memori. Masih terbayang di ruangan mata ketika abang long menghantar saya memasuki darjah satu. Semuanya saya ingati, kadangkala bertamu di alam mimpi.

Semoga tenang di sana...dari adikmu.

0 comments:

Post a Comment