Soalan:
Selalu kita dengar di khutbah-khutbah Jumaat atau guru-guru agama mengatakan, ayat al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT menciptakan alam semesta ini dalam enam hari. Adakah enam hari itu seperti hari-hari kita sekarang, iaitu dikira dengan 24 jam sehari semalam? Jika enam hari bererti bumi diciptakan dalam tempoh 144 jam. Apakah itu masa sebenar Allah menciptakan alam semesta atau bagaimana? Mohon penjelasan.
Jawapan:
ALLAH SWT menyatakan di dalam al-Quranul Karim menerusi firman-Nya (mafhumnya): "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu. Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekelian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbir sekelian alam." (al-A`raaf: 54)
Yang nyata Allah menyebut, alam semesta ini, Allah ciptakannya dalam enam hari.
Hari tersebut pastinya bukan seperti hari-hari kita di dunia sekarang, yang diukur dengan kadar 24 jam sehari, seperti yang anda sebut dalam soalan anda.
Enam hari tersebut adalah dari hari-hari Allah SWT.
Hari Allah disebut dalam ayat lain, sebagaimana firman-Nya (mafhumnya): "Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari daripada hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai 1,000 tahun daripada yang kamu hitung." (al-Hajj: 47)
Firman Allah (mafhumnya): "Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang seolah-olah 50,000 tahun (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya)." (al-Ma`arij: 4)
Melihat ayat-ayat sedemikian, kita boleh memahaminya bahawa istilah 'yaum' yang dimaknakan dengan hari, disebut dalam al-Quran berkali-kali, tidak dirujukkan kepada hari kita di bumi ini.
Malah dirujukkan kepada hari-hari Allah, seperti hari di hari kiamat, hari di dalam syurga, hari di dalam neraka, hari di hari mahsyar dan sebagainya.
Hari-hari tersebut, panjang pendeknya tidak boleh disamakan dengan hari di dunia, kerana hari dunia bergantung kepada peredaran matahari dan bumi.
Sedangkan pada hari kiamat, bumi dan matahari ini lenyap, hilang dan binasa.
Allah ciptakan alam baru yang amat besar dan amat luas.
Hari-hari tersebut adalah relatif bagi kita. Dan panjang pendeknya tertakluk di mana kita berada.
Jika kita berada di atas bumi, yang ukuran lilitan pusatnya sejauh 24,000 batu yang berputar sejauh 1,000 batu satu jam, maka ianya akan melengkapi satu pusingan dalam masa 24 jam atau sehari semalam.
Jika kita berada di planet yang lebih besar, katakanlah ukuran lilitan pusatnya 100,000 batu, dan putarannya juga 1,000 batu sejam, maka satu pusingannya akan mencapai 100 jam, atau empat hari lebih.
Satu hari adalah masa yang relatif. Oleh itu hari yang disebut oleh Allah, dalam menciptakan langit dan bumi adalah masa yang amat relatif.
Apa yang penting untuk kita fahami, bahawa Allah SWT menciptakan dunia ini berperingkat-ringkat.
Ayat yang saya paparkan di atas bermaksud, Allah menciptakan dalam empat peringkat, bukan sekaligus. Sedangkan Allah SWT boleh menciptakan kesemuanya dalam sekaligus.
Allah boleh menciptakannya dengan 'kun fa ya kun', tetapi Allah tidak menciptakannya sedemikian bagi menyatakan Allah menjadikan semuanya dengan perancangan yang amat teliti.
Lalu disebutkan bahawa enam hari itu, adalah untuk menyebutkan enam peringkat masa yang dilalui oleh proses penciptaan alam semesta. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
1 comments:
slmsggh sahabat..sebenarnya ni blog yg kedua kite larat nak sggh yg lain2 kite blm larat.kesan denggi buatkan kepala berdenyut sakit.banyak persamaan kite ye...tulah doktor bthu mmg ada kemungkinan utk kena kali ke-2.perghhh tak mau cukuplah sekali sakitnya badan dan kepala.duk hospital mmg best dpt rawatan rapi..hah sahabat ni mesti suka duk hosp sebab nurse comel lote he3....krm slm pada wife ye..smga Allah ldgi kelurga dr denggi....
Post a Comment