Sahabat Sejati

Sunday 30 January 2011

Kenangan masih basah: Darjah satu


Madah pujangga: “Lihatlah dunia dari mata burung, jangan lihat dari dalam tempurung.”

Darjah satu. Titik permulaan keluar dari kepompong kehidupan, melihat dunia dari kacamata yang lebih luas. Tidak lagi melihat dunia yang sempit, dunia yang berlegar di persekitaran rumah sahaja. Pengalaman dan pelajaran yang baru bermula. Perubahan diri, kawan-kawan, persekitaran, permainan dan juga corak pemikiran.

Wahh..pengalaman baru. Gementar, takut, teruja, gembira dan bermacam-macam perasaan, semuanya bersatu. Lebih-lebih lagi saya yang tidak pernah memasuki tadika. Jadi segalanya asing dan baru. Menangis?? Tidak sekali-kali.

Emak membekalkan air teh dan wang saku sebanyak tiga puluh sen, jumlah yang cukup mewah ketika itu. Berjalan kaki ke sekolah bersama kakak yang di darjah tiga, turut ditemani abang yang sudah pun bersekolah menengah, beliau bersekolah pada waktu petang. Jarak ke sekolah hampir dua kilometer. Jauh?? Entahlah, tidak terasa pula jauhnya waktu itu, mungkin kerana ramai yang sama-sama berjalan kaki, berduyun-duyun memikul beg sekolah. Yang berbasikal pun tidak ramai. Van dan bas sekolah belum wujud lagi, seingat saya demikian.

Sewaktu pulang ke kampung baru-baru ini, saya menyusuri jalan yang sama ketika ke sekolah dulu. Sekarang jalan itu sudah cantik dan semakin lebar. Hmm..tidak sanggup rasanya berjalan kaki jika disuruh sekarang ini, saya angkat tangan menyerah kalah. Hairan, mengapa dulu tidak terasa jauh. Mungkin dulu semangat orang muda, tenaga masih kuat. Sekarang usia sudah meningkat, jadi semangat dan kudrat tinggal ‘takat-takat’ sahaja.

Justeru itu, disebut dalam hadis: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara.....waktu muda sebelum tua, waktu sihat sebelum sakit.....”

Masuk kelas

Pemandangan biasa hari pertama persekolahan, suasana sibuk dengan ibubapa yang menghantar anak-anak. Saya pula dihantar oleh kakak yang bersekolah bersama-sama. Tidak pernah saya memikirkan mengapa emak tidak menghantar saya pada hari pertama persekolahan, tidak pernah sekali-kali.

Semuanya diuruskan oleh kakak, mencari kelas dan juga membeli makanan di kantin.

Saya ditempatkan di dalam kelas satu merah. Di dalam kelas, segala-galanya terasa agak perlahan, hingar-bingar. Mahu menunggu waktu rehat, membosankan. Mahu menunggu loceng tamat kelas, bertambah-tambah lambat rasanya.

Sekolah, bosan dan meletihkan.

Waktu pulang saya bagaikan tiada kaki untuk berjalan, kepenatan. Mujurlah kakak bersimpati membawa beg saya. Sambil berjalan saya melihat kasih seorang kakak kepada adiknya, agar adiknya tidak jemu untuk ke sekolah pada keesokan hari...

3 comments:

||aLeaSaRa|| said...

slm sggh menjengok sahabat!kite dulu darjah 1 duk ngan atok je,kan.pagi2 atok dukung(malu ni tutup muka he)mandi pun air suam.atok htr naik basikal atok ataupun kdg2 atok lelaki htr naik kereta.tapi kite lebih suka naik beca yg atok upah.Muar,Johor mmg femes beca,best tau!pernah juga try jalan kaki tapi atok marah maklumlah kecil lagi,pompuan lak tu.takpalah sahabat,itu semua kngn manis,kan...kite tak pernah rasa nikmat kasih syg abg@kakak sbb kite yg sulung

terokai seni said...

kalu suruh ikut balik jalan tu, mesti belengas ketiak

abuikhwan said...

kenangan indah...

Post a Comment