Soalan:
Saya pernah mendengar ahli ilmu menegaskan bahawa, orang yang mati dalam kubur mereka, terputus hubungan dengan orang yang hidup. Mereka tidak mendengar orang atas kubur berkata apa pun terhadap mereka. Katanya ada ayat al-Quran yang menyebut perihal itu. Persoalannya betulkah pandangan ini? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Memang ada beberapa ayat al-Quran yang menyebut secara umum, menyentuh perihal permasalahan yang anda kemukakan.
Antaranya firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Maka janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad) terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya)." (ar-Rumm: 52).
Dalam ayat ini, seolah-olah dinyatakan bahawa hatta Nabi Muhammad saw sendiri pun tidak boleh memperdengarkan apa-apa kepada orang yang telah mati.
Bagaimanapun ayat Allah di bawah ini, boleh memperjelaskan lagi apakah maksud ayat di atas. Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (mata hatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah." (ar-Rumm: 53).
Maksud sebenar merujuk kepada orang yang mati disini, bukanlah orang yang mati hakiki. Akan tetapi, mati hati atau buta hati.
Lihatlah misalnya firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Dan (demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturan-Nya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya)." (al-Faathir: 22).
Maksud ayat ini, tidaklah menafikan secara mutlak, orang yang di dalam kubur, boleh didengarkan kepada mereka, apa yang hendak diperdengarkan.
Ayat ini fokusnya kepada mendengar untuk menerima pengajaran.Mendengar untuk menerima seruan.
Orang yang berada di dalam kubur dalam konteks ini, dirujuk kepada musyrikin atau kafirin.
Seperti yang disebutkan dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir, ketika membuat tafsiran ayat di atas katanya: "Orang yang telah mati tidak dapat mengambil manfaat selepas mati mereka, dengan petunjuk atau dakwah kepada mereka, untuk beriman waktu mereka di dalam kubur, seolah-olah mereka tidak mendengar apa-apa pun.
Perihal orang yang di dalam kubur boleh mendengar kata-kata orang yang berada di atas kubur, sabit dengan hadis-hadis yang sahih dan banyak, antaranya hadis riwayat Anas bin Malik yang panjang lebar di dalamnya ada disebut (mafhumnya): "...bahawa Rasulullah saw, setelah dikebumikan mayat musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar. Baginda berdiri di atas kubur besar tersebut seraya berkata, "Wahai Aba Jahl bin Hisham, Wahai Umayyah bin Khalaq, wahai Utbah bin Rabiah, wahai Syaibah bin Rabiah (dan lain-lainnya), apakah kalian telah mendapati janji tuhan kalian benar? Sesungguhnya saya telah mendapati bahawa, apa yang dijanjikan Tuhan (Allah) saya adalah benar."
Umar al-Khattab ra. mendengar kata-kata Nabi saw tersebut. Lalu beliau bertanya, "Ya Rasulullah, apakah Rasulullah bercakap dengan orang yang telah mati? Bagaimana mereka mendengar kata-katamu ya Rasulullah? Mereka hendak menjawab bagaimana? Bukankah mereka sudah menjadi mayat yang tidak bernyawa?"
Lalu Rasulullah saw bersabda, "Demi nyawaku di dalam kekuasaan-Nya. Kalian tidak mendengar kata-kataku sejelas mereka yang di dalam kubur mendengarnya. Cuma mereka tidak boleh membalasnya sahaja." (Muslim).
Dan, ada hadis lain yang bermaksud (mafhumnya): "Tidak ada seseorang yang melalui kuburan sahabatnya yang beriman yang dikenalinya di dunia dahulu, lalu memberi salam kepada tuan kubur, melainkan ia mengenalinya, mendengar salamnya, serta menjawab salamnya." (Disahihkan oleh Abu Muhammad Abul Haq).
Dalam erti kata lain, orang dalam kubur, dengan izin Allah SWT, boleh mendengar kata-kata yang dilafazkan di atas kubur dan mereka ada yang boleh menjawabnya.
Sebab itu ajaran Islam menganjurkan supaya umat Islam memberi salam kepada ahli kubur, ahli kubur boleh mendengar dan menjawab salamnya. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
6 comments:
salam ziarah!sori br je on9 klm kbt bls jejak kwn2.alhamdulillah..kdg2 kite confuse dgr mcm citer/pdpt.trma ksh atas perkongsian entri ni ye sahabat!
tu lah konfius.tak tahu betul ke tak.hurmm
Asalm btl lh klu kita brckp dgn kubur orng y dh meninggl blh dgr ye.
Asalm btl lh klu kita brckp dgn kubur orng y dh meninggl blh dgr ye.
Berapa jauh dari kubur org dlm kubur boleh mendengar percakapan org atas kubur
Assalamualaikum. Brapa jauh org dlm kubur boleh dengar percakapan org atas kubur
Post a Comment