Sahabat Sejati

Thursday, 13 January 2011

Taubat dan keampunan


“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” (Ibnu Majah)

Sesungguhnya keampunan kepada orang yang berdosa seumpama air kepada ikan dan seumpama makanan kepada manusia yang sedang lapar. Untuk memperolehi keampunan, manusia perlu bertaubat kepada Allah.

Apa yang kita rasa jika ada orang kasih dan sayang kepada kita. Tentu kita rasa gembira dan seronok. Begitu juga Allah amat kasih dan sayang kepada orang yang bertaubat. Kasih sayang siapa lagi yang paling tinggi daripada kasih sayang Allah. Sebagaimana firman-Nya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang menyucikan diri." (at-Tahrim:8).

Ingatlah Allah membuka rahmat selebar-lebarnya untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat di waktu malam sehingga siangnya, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat di waktu siang sehingga malamnya. Hal keadaan ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari barat (Hari Kiamat).

Rasulullah saw telah mengingatkan umatnya supaya merebut peluang bertaubat yang sentiasa terbuka luas, namun harus diingat ia ada tempoh akhirnya, selepas itu rayuan dan rintihan tidak akan dilayan lagi. Sabda baginda: "Sesungguhnya Allah SWT akan menerima taubat hamba-Nya selama roh belum sampai ke ghar-gharah (nazak).

Sesungguhnya Allah menerima taubat dan keinsafan kita semua selaku hamba-Nya. Namun demikian ia mestilah menurut syarat dan panduannya yang betul.

Renungan bersama

Kisah daripada Saiyidina Ali kaw, bahawa seorang lelaki setelah selesai dari menunaikan solat lantas berdoa kepada Allah SWT: "Ya Allah ya Tuhanku, aku bertaubat kepada-Mu sekarang juga." Apabila Saiyidina Ali mendengar doa orang itu lantas beliau pun berkata: "Wahai anda yang sedang berdoa, sesungguhnya taubat yang engkau lakukan secara demikian itu adalah taubat yang dusta, dan taubatmu itu memerlukan satu taubat yang lain."

Maka berkata pula lelaki itu: "Wahai Amir al-Mukminin, sekiranya engkau menyuruh aku bertaubat yang lain pula, maka apakah sebenarnya taubat itu, terangkan kepadaku."

Kata Saiyidina Ali kepada lelaki itu: "Bahawa yang di kata taubat itu ada enam pengertian:

- Sekiranya engkau telah melakukan dosa yang lalu, maka taubatnya hendaklah kamu menyesali segala kesalahan dan dosamu.

- Jika kamu melakukan kesalahan dan dosa kepada Allah SWT kerana meninggalkan perintah yang wajib, maka hendaklah kamu mengerjakan semula kewajipan yang ditinggalkan itu.

- Sekiranya kamu melakukan kezaliman kepada orang lain maka taubatnya ialah bahawa wajib bagi kamu memulangkan semula apa-apa juga yang berlaku kepada orang itu, sehingga tiada lagi perkara yang bersangkutan dengan orang yang kamu zalimi itu dan dia memaafkan segala penganiayaan yang kamu lakukan terhadapnya itu.

- Sekiranya kamu melakukan maksiat sehingga diri dan jiwamu sebati dengan maksiat itu, maka demikian jugalah kamu wajib melakukan taat kepada Allah sehingga jiwamu sebati dengan ketaatan itu.

- Sebagaimana lazat dan manisnya maksiat yang kamu lakukan, maka demikianlah pula kamu lakukan ketaatan sekalipun pahit.

- Sekiranya kamu melakukan maksiat kepada Allah dalam keadaan kamu gembira dengan gelak ketawa, maka sampailah giliran kamu menangis menyesali dosa yang kamu lakukan itu beserta mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT.

Telah datang seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah saw, lalu berkata: Aduh dosaku! Aduh dosaku! Sehingga dua kali atau tiga kali. Maka Rasulullah saw bersabda kepadanya: Ucapkanlah olehmu: Ya Allah, keampunan-Mu lebih luas daripada dosaku dan kasih sayang-Mu daripada amalanku. Maka doa itu diucapkan lagi oleh lelaki itu. Rasulullah saw pun bersabda lagi: Ulangi sekali lagi! Maka diucapkan lagi oleh lelaki itu. Lalu Rasulullah saw bersabda: Berdirilah! Sesungguhnya telah diampuni oleh Allah dosamu itu."

Alhamdulillah, Allah adalah Tuhan kita yang sangat pengasih dan penyayang.

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

Salam sahabat.alhamdulillah tng je hati baca n3 di sini.trma ksh ye *_^

abuikhwan said...

bersama memberi dan menerima kebaikan kerana Dia...

Post a Comment