Sahabat Sejati

Friday, 21 January 2011

Lapar sehari, kenyang sehari...


Sesungguhnya tiap detik dan ketika dunia ini disibukkan dengan penghuninya yang sentiasa bergerak mencari keperluan hidup. Realiti hidup masa kini memerlukan biaya hidup yang tinggi. Ada juga yang bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tidak kurang yang memburu harta. Malam dan siang berusaha untuk menghimpunnya. Maka berlumba-lumbalah mereka menempatkan diri di celahan kebendaan. Masing-masing tidak mahu ketinggalan.

Sifirnya mudah. Tiada siapa yang ingin hidup miskin, tiada siapa yang ingin hidup melarat. Kerana itu adalah suatu yang menampakkan kehinaan bagi segelintir orang dan melambangkan status kehidupan.

Benarkah begitu?

Satu hari Rasulullah saw dikunjungi oleh malaikat Jibril, membawa tawaran dari Allah SWT untuk menukarkan semua bukit-bukit batu di sekitar Makkah menjadi bukit emas. Rasulullah saw ketika mendengar tawaran itu menjelaskan sikapnya kepada malaikat Jibril itu melalui doanya yang bermaksud:

"Tidak wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku lebih suka dalam hidupku berkeadaan lapar sehari dan kenyang sehari, kerana ketika waktu lapar dapatlah aku `bertadharruk` (merintih merayu) terhadap-Mu ya Tuhanku, dan apabila aku dalam keadaan kenyang maka dapatlah aku memuji-Mu dan mensyukuri nikmat-Mu ya Allah."

Manusia dan harta seumpama semut dan gula, satu analogi mudah. Cuba lihat dirumah kita jika ada gula yang tumpah, pasti ada semut yang menghurungnya. Mula-mula hanya seekor, kemudian semakin banyak yang datang. Demikianlah manusia, jika ada peluang-peluang mendapat dan menambahkan harta, maka akan berduyun-duyunlah manusia merebutnya. Contohnya jika ada terjumpanya emas di perut bumi. Begitu juga dengan pelaburan intrnet, skim cepat kaya, skim piramid dan sebagainya. Berlumba-lumba makhluk manusia mendapatkannya. Kerana mahu kaya.

Cuba bayangkan jika tawaran yang dikemukakan kepada Rasulullah saw ditawarkan kepada kita. Pasti kita akan melompat menerimanya. Bermacam-macam pujian kepada Tuhan kerana memberikan nikmat itu.

"Doaku telah dimakbulkan!"

"Mungkin Tuhan beri kerana aku beribadat dan taat kepada-Nya"

Mungkin ada dialog seperti di atas.

Namun bagi Rasulullah saw tidak begitu. Baginda tidak menerima tawaran dari Allah SWT untuk menukar bukit-bukau kepada emas kerana baginda lebih mudah mengingati Allah dalam keadaan kehidupan sekarang lapar sehari dan kenyang sehari. Syukur dan tadharruk (merintih merayu).

Sebagai kesimpulannya, hendaklah kita mempunyai pendirian, misi dan visi dalam penumpukan harta ini. Adakah harta yang dikumpul ini mendapat keredhaan atau kemurkaan Allah SWT. Marilah kita memastikan harta yang dikumpul dapat menyelamatkan kita kelak, dan melaluinya kita menambah amal kebajikan. Akhirnya marilah kita meminta hidayah dan taufiq agar kita sentiasa dilandasan yang benar. Mudah-mudahan kita kembali dalam keadaan diredhai-Nya. Insya-Allah

0 comments:

Post a Comment