Sahabat Sejati

Monday, 3 January 2011

Menghitung diri di 2011



Syukur alhamdulillah, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara segar 2011. Udara percuma bukti betapa pemurahnya Dia. Terkenang kepada rakan-rakan yang telah pun mendahului, tanpa mengetahui mereka tidak sempat menjengah tahun 2011 ini. Semoga mereka semua mendapat keredhaan di sisi-Nya.

Melangkah ke tahun baru bermakna baki umur kita semakin berkurangan, bagaikan tidak menyedari pantasnya roda masa berputar. Hari-hari yang dilewati berlalu bagaikan menghakis sedikit demi sedikit usia dan nikmat kemudaan. Tempoh pelayaran di dunia ini semakin pendek, semakin mendekat pula saat kematian. Peluang bekerja mengumpul bekalan semakin terhad.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Bersegera bertaubat dari segala dosa itu adalah kefarduan yang mesti disegerakan. Tidak harus melambatkannya. Jika dilambatkan, ia dikira berdosa kerana menangguhkannya. Jika ia bertaubat pun dari dosa tersebut, dia masih mempunyai satu taubat lagi iaitu taubat kerana melambatkan taubatnya. Jarang sekali perkara ini difikirkan oleh orang yang bertaubat. Sebaliknya jika seseorang bertaubat dari dosa, dia menyangka dia sudah tidak perlu lagi bertaubat sedangkan dia masih berhutang satu lagi taubat iaitu bertaubat kerana dosa melambat-lambatkan taubat."

Menghitung diri

Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan bahawa kewajipan kita adalah lebih banyak berbanding masa yang ada pada kita. Oleh kerana itu, setiap masa dan detik yang kita lalui seharusnya dipergunakan dengan sebaiknya agar kita tidak lagi dipersoalkan di hari akhirat nanti.

Allah SWT mengurniakan jumlah masa yang sama kepada setiap orang, samada yang beriman atau tidak. Semuanya memperolehi 24 jam, tiada yang lebih dan tiada yang kurang.

"Time is money" kata pepatah Inggeris. Pepatah Arab pula berkata: "Masa umpama pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu." Manakala kata pepatah orang Cina: "Masa itu emas, tetapi seinci emas tidak boleh membeli seinci masa."

Masa yang berlalu seiring dengan umur yang bertambah, bagaimana pula dengan amalan dan perbekalan? Tepuk dada tanya iman.

Saya pernah berbual dengan dengan seorang saudara baru, kira-kira tiga tahun lepas. Katanya, "saya mengambil masa selama sebulan untuk membaca keseluruhan terjemahan al-Quran." Aduhai! Walaupun saya telah Islam sejak dilahirkan, tetapi masih belum mengkhatam terjemahan dan tafsir 30 juzuk al-Quran. Saya malu sendiri.

Saya pernah bersolat di sebuah surau ketika kunjungan saya ke sebuah negeri di utara semenanjung. Imamnya seorang India Muslim, dan seorang hafiz. Bagaimana saya yang sekian lama Islam tidak mampu untuk menghafaz sepertinya. Saya rasa terpukul.

Semasa bersolat tarawih di sebuah masjid di Pantai Timur Semenanjung, saya terpegun dengan imamnya. Beliau adalah seorang China jati, yang diundang menjadi imam tarawih. Sebutan kalimah arabnya jauh lebih baik dari saya semasa mengaji di tahfiz negeri dahulu. Saya menghitung kekurangan diri.

Rasulullah saw telah bersabda:

"Rebutlah lima perkara sebelum berlakunya lima perkara; masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa kayamu sebelum tiba masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba kematianmu." Riwayat Al-Baihaqi)

Demikianlah tazkirah masa buat diri...

0 comments:

Post a Comment