Sahabat Sejati

Wednesday, 5 January 2011

Persinggahan sementara


Satu kisah yang masyhur...

Berkata seorang `alim bernama Maimun bin Mahran yang bermaksud: "Suatu ketika aku keluar bersama Umar bin Abd Aziz ke tanah perkuburan, setelah terlihat kubur lalu beliau menangis teresak-esak.

Dalam tangisnya beliau berkata: "Hai Maimun, kubur ini adalah tempat datuk nenek aku bersemadi, setelah mati mereka tidak merasai kelazatan hidup sebagaimana yang dirasai orang lain yang hidup.

"Tidakkah kamu melihat mereka yang telah mati rebah bergelimpangan, manusia lain terdiri orang-orang ternama telah mati dahuluinya. Kedudukan pangkat ternama dan kekayaan yang dimiliki sedikit pun tidak membantu, sebaliknya ulat dan serangga berbisa menggigit serta memakan tubuhnya."

Umar Abd Aziz sebagai pemimpin yang terkenal zuhud bercakap mengkisahkan perihal orang yang telah mati, sambil menitiskan air mata lantaran keinsafan yang menusuk jiwanya.

Kata Umar lagi kepada Maimun: "Pada hematku tiada manusia yang lebih bahagia mengatasi kebahagiaan ahli kubur, kerana mereka telah bebas daripada azab Allah SWT di dunia ini."

Demikian Umar Abd Aziz yang jiwanya insaf berikutan pengajaran hasil ziarah kubur, sebagaimana yang dikisahkan oleh Maimun bin Mahran seorang ulama sezaman dengan Umar.

Persinggahan sementara

Persinggahan sementara, yang terbenam jasad di dalamnya. Tempat menunggu saat ditiupnya sangkakala, tempat menunggu hari kebangkitan dimana akan digiring menuju ke mahsyar di hadapan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tiada seorang pun yang mengetahui nasib mereka kecuali Dia.

Persinggahan sementara, ialah satu lubang yang akan ditiduri setiap manusia. Ketika waktu untuk 'menuai' telah berakhir, ia menjadi penentu perhitungan hasil tuaian di atas perutnya.

Persinggahan sementara, tidak terkecuali akan masuk ke dalam perutnya. Biarpun raja yang bercelana emas, pahlawan yang memikul pedang besi bersepuh, maupun pemimpin yang berbaju sutera. Si kaya yang diuliti kesibukan ataupun si miskin yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hebatnya persinggahan sementara.

Persinggahan sementara, di sini berkumpulnya amal yang dituai. Senyum tawa, ratap tangis dan jeritan. Di sini juga berkumpulnya kesombongan, angan-angan, ikhlas maupun riya`, kekaguman kepada keindahan dan kedudukan. Kebanggaan kepada keluarga, harta, pangkat dan segalanya.

Persinggahan sementara, di sini juga tempat berakhirnya kesombongan, kemegahan, kehebatan akal dan tenaga. Di sini juga berakhir kezaliman dan yang dizalimi, penghinaan dan yang dihina.

Persinggahan sementara, adalah lambang azab dan nikmat. Kerana ia boleh menjadi sebahagian taman-taman syurga atau boleh juga menjadi sebahagian dari lubang-lubang api neraka.

Semoga Allah SWT menjadikan kita semua sentiasa melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dan kita sentiasa menyiapkan bekalan untuk menghadapi saat yang pasti datang. Sesungguhnya di sisi-Nya ada kenikmatan yang kekal.

2 comments:

immukmin said...

salam..akhi lama tidak kesini..di sebabkan..kesibukan dunia..nauzubillahhiminzaliq... terima kasih dengan peringatan yg berguna ini...

abuikhwan said...

Semoga menjadi peringatan yang bermanfaat

Post a Comment