Sahabat Sejati

Thursday, 20 January 2011

Ehsan dalam kehidupan


Hari Ahad. Satu pagi yang cerah saya menemani isteri membeli ikan dan sayur di pasar. Sebenarnya saya jarang dapat menemaninya, kerana kebiasaan hujung minggu saya dipenuhi dengan program-program amal. Seronok juga, bertemu dengan sahabat-sahabat yang turut sama ke pasar ikan ini. Teringat kepada cerita Laksamana Do Re Mi, sewaktu ‘Mi’ lakonan seniman Ibrahim Din tawar menawar harga sayur.

“Pucuk ubi berapa sen?”

“Pucuk ubi sepuluh sen.” Jawab gadis si penjual itu.

“Jantung pisang?” Tanya si `Mi` lagi.

“Jantung pisang dua puluh sen”.

Wahh..murahnya, kalaulah sekarang ini harga masih seperti itu...

Ehsan dalam kehidupan

Kami sudah selesai membeli dan berjalan keluar dari pasar. Dalam suasana kesibukan manusia bertali arus mencari sesuatu, tiba-tiba pandangan mata tertumpu pada satu episod kehidupan yang jarang kelihatan. Sesuatu yang amat menarik perhatian saya sehingga saya berhenti berjalan untuk memberi tumpuan kepadanya.

"Tengok pakcik tu," saya berkata kepada isteri sambil anak mata melirik pada seorang tua di bawah pohon angsana yang merimbun. Daun-daunnya melambai-lambai dijamah bayu pagi.

"Bagus ya, jarang yang mahu buat macam tu," balas isteri saya.

"Ya, kita pun belum mampu dapat buat sepertinya," saya menjawab mengiyakan kata-kata isteri saya.

Sungguh asyik saya melihat pakcik itu memberi makan kucing-kucing yang berkeliaran di pasar ikan ini. Tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang, dia memotong keropok yang dibelinya kepada potongan-potongan kecil lalu disuakan pada kucing-kucing tersebut. Kucing-kucing tersebut amat manja dengannya.

Menyaksikan peristiwa ini, saya teringat satu hadis yang masyhur...

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk menggigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah saw menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya.”

Hadis ini sebenarnya terbahagi kepada dua keadaan iaitu hadis sahih dan hadis kiasan. Cerita tentang lelaki yang memberi minum kepada anjing itu adalah benar tetapi dia akan masuk ke syurga bukan kerana memberi minum anjing itu tetapi kerana sifat belas ehsannya kepada haiwan. Fikirkanlah jika berbelas ehsan kepada haiwan lagi dibalas syurga apatah lagi jika berbelas ehsan sesama manusia.

Begitu juga hadis yang juga dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan.”

Penutup

Memberi adalah sebahagian daripada kasih sayang. Sesungguhnya yang membuatkan manusia paling gembira ialah dengan memberikan kebahagiaan kepada sesama makhluk. Mengapa? Kerana dengan memberi akan mewujudkan kerendahan hati di hadapan Tuhan serta menghilangkan rasa mementingkan diri sendiri. Bagaimana jika di dunia ini tiada sifat ehsan. Manusia tiada sifat ehsan kepada sesama makhluk. Suami tiada sifat ehsan kepada isteri, ibu tiada sifat ehsan kepada anaknya. Ketua keluarga tiada sifat ehsan kepada keluarganya dan pemimpin tiada sifat ehsan kepada rakyatnya. Anda boleh bayangkan apa yang akan terjadi. Pasti rosak dunia ini. Hancur sistem dan moral kemanusiaan.

Fikirkanlah, hidup ini adalah umpama roda. Adakalanya berada ditingkat atas dan boleh jadi jatuh tersungkur. Kekayaan, pengaruh, pangkat dan kekuasaan adalah seperti `baju`. Ia boleh hilang sekelip mata. Mungkin di waktu itu kita pula yang memerlukan ehsan daripada orang lain. Siapa tau!

Sebagai penutupnya, renungilah satu hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah, Rasulullah saw bersabda: ”Sesiapa yang tidak ada sifat ehsan kepada orang lain, maka dia tidak akan akan mendapat ehsan.”

Ayuh! Mari memberi kerana kita ada ehsan...

Ehsan sesama makhluk

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

alhamdulillah masa ada yg berperikemanusiaan.teringat 9 tahun lepas sewaktu sarat mengandungkan si kembar,kite terdengar bunyi kucing.bila kite cari ternampak ibu kucing yg juga mengandung.nmpk leletihan,lapar.masa tu terlintas di fikiran bg susu,terus bancuh susu tepung ANMUM(dah kucing tu pun mengandung he3).lega dpt tgk kucing minum sampai hbs.nk bg makanan kite blm masak.tgk2 kucing tu dah gi tmpt lain,mgkn dah ada tenaga kot.

abuikhwan said...

Elhamdulillah, semoga berkekalan sifat ehsan..

Post a Comment