Sahabat Sejati

Tuesday, 18 January 2011

Benarkah bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah?

Soalan:

Sudah banyak kali saya mendengar cerita mengenai mukjizat Nabi Muhammad saw membelah bulan. Cerita itu hakikat atau ilusi (khayalan) manusia zaman itu sahaja. Jika betul-betul terbelah dua, tentu ada fakta fizikal secara geografi, kerana manusia berjaya mendarat di bulan, kesannya tentu dapat dilihat sehingga ke hari ini. Pernahkah manusia menemui kesan tersebut, mohon penjelasan.

Jawapan:

KISAH bulan terbelah dua, bukan ilusi atau khayalan. Ia bukan sihir dan silap mata. Malah ianya kisah yang benar-benar berlaku, sungguh berlaku secara waqi`e (berlaku di alam nyata).

Bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah saw adalah kisah benar yang dirakamkan dalam al-Quranul Karim di satu surah yang Allah namakan sendiri Suratul Qamar (Surah Bulan).

Firman Allah (mafhum-Nya): “Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

“Dan kalau mereka (kaum musyrik Makkah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling engkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.
“Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).
“Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan al-Quran), sebahagian daripada kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan yang kufur itu).
“(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang engkar). (al-Qamar: 1-5).

Amat jelas dalam ayat di atas bulan terbelah dua, kisahnya cukup jelas disebut dalam kitab-kitab sirah dan hadis-hadis sahih antaranya, al-Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan hadis daripada Jabir bin Mat`am katanya (mafhum): “Pada zaman Rasulullah saw bulan telah terbelah dua, benar-benar terlihat dua belahannya, satu di bukit sebelah kanan, satu di bukit sebelah kiri. Orang-orang kafir berkata Muhammad telah melakukan sihir. Ada pula di kalangan mereka yang menjawab, kalau sihir dilakukan, maka yang kena sihir adalah kita di sini, dan sihir tidak mungkin terkena kepada semua orang di tempat lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Apabila berlaku sedemikian, Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya: “Ya Allah, Kamulah yang menjadi saksi, ini adalah benar.”

Abdullah bin Mas`ud meriwayatkan hadis (mafhumnya): “Bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah saw. Kaum Quraisy berkata ini adalah sihir Ibnu Abi Kabshah. Mereka berkata lagi, tunggu dahulu, jangan percaya apa yang kita lihat ini, sehinggalah pengembara-pengembara di padang pasir dari ahli-ahli Badiah, tiba di Makkah dalam sehari dua ini, kita tanya mereka tentang peristiwa ini, mereka lihat atau tidak. Kalau mereka tidak melihat, ini (bulan terbelah dua) adalah sihir, jika mereka melihatnya, maka apa yang kita nampak benar-benar berlaku, maka ia mungkin berlaku.”

Keesokan dan beberapa hari berikutnya, maka tibalah pengembara-pengembara tersebut, semua mereka menceritakan peristiwa yang sama, bahawa mereka lihat pada malam itu, bulan terbelah dua.

Namun demikian kuffar Makkah tetap mengingkari secara degil dan keras kepala. Maka dari sinilah turunnya ayat yang saya paparkan di atas.

Adapun bukti fizikal berdasarkan fakta, apakah di atas bulan terdapat rekahan yang menunjukkan bulan itu pernah terbelah dua.

Memang telah wujud bukti tersebut. Pengunjung-pengunjung bulan yang terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat dan Rusia, pernah merakamkan gambar di atas bulan yang menunjukkan kesan rekahan besar di atas bulan, mengelilingi bulan sebesar bulan itu.
Gambar yang diambil telah pun tersiar di beberapa akhbar dunia dan disiarkan dalam sebuah majalah tempatan kita yang bernama al-Hunafa isu 2009/2010 di bawah tajuk ‘Splitting of the Moon’ yang bermaksud bulan terbelah.

Oleh kerana telah disedari bahawa jika dibesar-besarkan cerita tersebut dan diketahui umum bulan terbelah dua, dengan kesan yang nyata, maka akan terbuktilah satu lagi bukti yang paling nyata dan kuat.

Ia memperjelaskan bahawa al-Quran itu benar, mukjizat Nabi Muhammad adalah benar. Dengan sendirinya membuktikan Islam itu benar. Maka ketika itu akan kecewalah orang yang kuffar.

Bahawa Rasulullah saw membuktikan mukjizatnya kepada musyrikin Makkah dan dengan bukti pengembara padang pasir, telah menjadikan mereka keras kepala dan engkar. Mereka menolak kebenaran yang dibawa dengan nyata.

Lihatlah sekarang, dalam zaman sains dan teknologi, amat terbukti dengan paparan yang begitu nyata bahawa bulan meninggalkan rekahannya di sepanjang lilit bulatannya, menandakan benarnya mukjizat yang telah berlaku ke atas Nabi Muhammad saw.

Inilah satu bukti nyata bahawa mujizat Nabi-nabi yang terdahulu, semuanya telah hilang kesan, sedangkan mukjizat Nabi Muhammad, dengan al-Quran sebagai kepala segala mukjizat boleh dilihat, dan dilihat sehingga sekarang.

Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment