Soalan:
Bolehkah saya mengambil pil pencegahan haid agar dapat puasa sebulan sepanjang bulan Ramadan? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Hukum bagi wanita yang mengambil ubat tahan haid bagi tujuan berpuasa penuh di bulan Ramadan adalah harus. Keharusan ini tertakluk dengan syarat mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan pengesahan tiada implikasi mudarat terhadap tubuh badan seseorang wanita tersebut. Walau bagaimanapun, lebih baik tidak mengambil ubat tersebut kerana yang paling afdal meraikan fitrah semula jadi yang telah ditentukan oleh Allah SWT untuk kaum wanita.
Huraian Jawapan:
Definisi Haid
Haid merupakan darah tabi’i (tabiat semulajadi yang normal) mengalir keluar daripada pangkal rahim perempuan setelah baligh ketika badannya sihat tanpa ada sebab (penyakit) dalam tempoh-tempoh tertentu. [1]
Darah haid merupakan kejadian semulajadi yang ditentukan oleh Allah SWT kepada kaum hawa berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah ra:
قالَ: إنَّ هذا شيءٌ كتبَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ على بَناتِ آدمَ
Maksudnya: “Rasulullah bersabda: Sesungguhnya, ini adalah perkara yang telah ditetapkan oleh Allah untuk anak cucu perempuan Adam.“ Riwayat Bukhari (294)
Wanita yang mengalami haid di bulan Ramadan tidak perlu berpuasa dan diperintahkan untuk menggantikan puasanya pada hari-hari yang ditinggalkan berdasarkan hadis berdasarkan daripada Mu'azah Al-'Adawiyyah:
قالَتْ: كانَ يُصِيبُنَا ذلكَ، فَنُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّوْمِ، ولَا نُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّلَاةِ.
Maksudnya: Aisyah RA berkata: Kami telah ditimpa haid, kemudian kami diperintahkan untuk menggantikan puasa (yang ditinggalkan kerana haid) tetapi tidak memerintahkan untuk menggantikan solat”. Riwayat Muslim (335)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa antara syarat yang membolehkan seseorang berpuasa ialah suci daripada haid dan nifas :
وَالنَّقَاءُ عَنْ الْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ جَمِيعَ النَّهَارِ
Maksudnya: Terhenti daripada haid dan nifas sepanjang waktu siang.[2]
Seterusnya, tiada nas larangan dalam perbuatan makan pil tahan haid. Oleh itu harus makan ubat tahan haid bertepatan kaedah fiqh yang yang masyhur :
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada pengharaman (perkara tersebut). (Lihat: al-Asybah wa al-Nazair , Imam Suyuthi .60)
Namun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan oleh pihak yang beroautoriti bahawa memakan ubat menahan haid boleh mendatangkan mudarat jangka masa pendek atau panjang, maka penggunaannya tidak dibenarkan. Ini bertepatan dengan sabda Nabi saw:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh memberikan mudarat atau saling berbalas memberi mudarat. Riwayat Ibn Majah (2341)
Oleh yang demikian, wanita yang ingin mengambil ubat menahan haid perlu mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan agar dapat terhindar daripada sebarang implikasi kesihatan.
Pandangan Fuqaha Mazhab
Imam Ahmad Hanbali berpandangan tidak mengapa wanita meminum ubat untuk menahan haidnya sekiranya ubat tersebut sudah dikenali tiada sebarang kesan buruk.[3] Sementara, pengarang kitab al-Iqna’ fi Fiqh al-Hanbali menyatakan harus wanita meminum ubat agar didatangi haid, namun bukan ketika hampir menjelang bulan Ramadan untuk tidak berpuasa.[4]
Ibn Rushdi menyatakan terdapat seorang wanita mengadu kepada Imam Malik bahawa dia takut haidnya datang awal, lalu dia ingin meminum ubat untuk melambatkan haidnya. Lantas Imam Malik menjawab bahawa perkara itu tidak betul dan menyatakan makruh perbuatan tersebut. Ibn Rushdi berpendapat perkara tersebut dihukumkan makruh kerana dikhuatiri mendatangkan bahaya pada pada tubuh dengan sebab pengambilan ubat kitaran haid. [5]
Pandangan Institut Fatwa Dan Ulama Kontemporari
Dar al Ifta’ Jordan
Keputusan Ifta’ Jordan mengharuskan wanita meminum ubat-ubatan yang dapat melewatkan kitaran haidnya khususnya apabila terdapatnya kepumrah kerana dikhuatiri penemannya tidak dapat menunggu dirinya apabila dia terlewat disebabkerluan dari sudut syarak untuk mengambilnya. Sebagai contoh semasa melaksanakan ibadah haji dan an kedatangan haid selain tujuan menahan haid disebabkan bersemangat menunaikan puasa penuh pada bulan Ramadan. Syarat pengambilan pil menahan haid tidak mendatangkan mudarat pada badan melebihi maslahah yang diingini disamping perlu mendapat keizinan suami. [6]
Dar al Ifta’ Misriyyah
Jawatankuasa Fatwa memutuskan tidak ada halangan pada sudut syarak bagi penggunaan ubat-ubatan dan pil yang melambatkan haid yang membolehkan wanita untuk menyempurnakan sebulan penuh tanpa gangguan.
Dr. Ali Jumuʻah mengharuskan memakan ubat bagi seorang wanita untuk menahan kitaran haid sehingga dapat berpuasa penuh di bulan Ramadan dengan ketetapan syarat berikut : [7]
نعم، يجوز لها ذلك شرعًا، بشرط أن يقرر الطبيب أنه لا ضرر عليها فيه، إلا أن وقوفَها مع مراد الله تعالى، وخضوعَها لما قدَّره الله عليها من الحيضِ ووجوبِ الإفطار أثناءه، أثوبُ لها وأعظمُ أجرًا.
Maksudnya: Ya, ia harus di sisi syarak dengan syarat mestilah mendapat pengesahan daripada doktor bahawa ubat tersebut tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun, hendaklah wanita tersebut berserah dengan ketentuan Allah SWT dan patuh dengan apa yang telah ditakdirkan Allah SWT ke atasnya berkenaan haidnya. Dia wajib berbuka puasa ketika mengalaminya. Maka lebih banyak pahala dan ganjaran baginya.
Keharusan makan pil tahan haid masih tertakluk dengan nasihat pakar perubatan yang mengesahkan tidak mendatangkan bahaya pada kesihatan wanita pada jangka masa pendek dan panjang. Sekiranya penggunaannya mendatangkan kemudaratan, maka ia dilarang oleh syarak berdasarkan sabda Nabi saw:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh memberikan mudarat atau saling berbalas memberi mudharat. Riwayat Ibn Majah (2341)
Walaupun pengambilan ubat menahan haid dibenarkan, namun wanita tersebut perlu mengikut apa-apa kehendak dan ketentuan Allah SWT yang ditetapkan dengan kedatangan haid bagi wanita. Wajib berbuka puasa disebabkan haid adalah pahala dan lebih besar ganjarannya.[8]
Al Qaradhawi
Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa lebih afdal wanita itu mengikut fitrah kejadian semula jadinya. Darah haid itu adalah sesuatu yang tabi’i dan kekal sebagai fitrah yang ditentukan oleh Allah SWT. Akan tetapi, sekiranya terdapat pil dan ubat-ubatan yang diambil oleh sebahagian wanita untuk melewatkan haid seperti pil perancang dan setengah wanita mengambil pil untuk melambatkan haid daripada kitarannya agar ia tidak berbuka pada beberapa hari di bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang-orang pakar atau nasihat doktor mengenai ubat yang memudaratkan dirinya. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan puasa dan akan diterima Allah, insya-Allah.[9] Pandangan ini lebih kepada mengikut kepada fitrah yang ditetapkan dan tidak mengambil pil adalah lebih baik.
Penutup
Berdasarkan pandangan ulama, memakan ubat untuk melambatkan kitaran haidnya adalah dibolehkan dengan syarat mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu dan ubat tersebut tidak mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya. Walau bagaimanapun lebih baik tidak memakan pil kitaran haid agar dapat mengikut fitrah kejadian semula jadi yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kedatangan haid merupakan sesuatu tanda wanita itu dalam keadaan sihat. Oleh itu, wanita yang mengalami haid ketika bulan Ramadan, boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya di bulan -bulan lain.
Wallahu A'lam
Rujukan:
[1]
al-Khatib as-Syirbini, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 1 p:277
وَهُوَ لُغَةً: السَّيَلَانُ
وَشَرْعًا دَمُ جِبِلَّةٍ أَيْ تَقْتَضِيهِ الطِّبَاعُ السَّلِيمَةُ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ مَعْلُومَةٍ
[2]Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, ‘Iwad Qasim Ahmad ‘Iwad (Beirut: Dar al-Fikr, 2005), 76.
[3]Ibn Qudamah, (1968)al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, Jld: 1 p: 266
فَصْلٌ: رُوِيَ عَنْ أَحْمَدَ - رَحِمَهُ اللَّهُ -، أَنَّهُ قَالَ: لَا بَأْسَ أَنْ تَشْرَبَ الْمَرْأَةُ دَوَاءً يَقْطَعُ عَنْهَا الْحَيْضَ، إذَا كَانَ دَوَاءً مَعْرُوفًا
[4]Syarafuddin Abu al-Naja’, (T.th), al-Iqna’ fi Fiqh al-Hanbali, Beirut: Dar al-Ma’rifah, Jld 1: p: 72 ويجوز شرب دواء لحصول الحيض لا قرب رمضان لتفطره Al-Hattab al-Maliki, (1992)
[5]Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, Dar al-Fikt: Jld : 1 p:366
وَقَالَ ابْنُ رُشْدٍ: سُئِلَ مَالِكٌ عَنْ الْمَرْأَةِ تَخَافُ تَعْجِيلَ الْحَيْضِ فَيُوصَفُ لَهَا شَرَابٌ تَشْرَبُهُ لِتَأْخِيرِ الْحَيْضِ قَالَ: لَيْسَ ذَلِكَ بِصَوَابٍ وَكَرِهَهُ قَالَ ابْنُ رُشْدٍ: إنَّمَا كَرِهَهُ مَخَافَةَ أَنْ تُدْخِلَ عَلَى نَفْسِهَا ضَرَرًا بِذَلِكَ فِي جِسْمِهَا،
[6]https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=863#.YjFP5HpBw2y
يجوز للمرأة شرب الدواء الذي يؤخر عنها الحيض، خاصة إذا وجدت الحاجة الشرعية إليه، كالخوف من عدم انتظار الرفقة في الحج والعمرة إذا ما تأخرت بسبب الحيض، والحرص على أداء الصيام في شهر رمضان قبل أن تعرض الآفات الشاغلة عن القضاء، ونحو ذلك من الأسباب، بشرط أن لا يحمل الدواء ضررا محققا على البدن يفوق المصلحة المرجوة منه، وبشرط إذن الزوج بذلك.
[7]Rujuk “Akhz Adawiyah Tu’akhir al-Daurah al-Syahriyyah li Siyam Ramadan Kamilan”, laman sesawang Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
[8] https://www.masrawy.com/ramadan/islamicnnews-fatawa/details/2021/4/8/2001702/
[9] https://www.al-qaradawi.net/node/3752
3 comments:
Assalam moga ustaz n famili tiasa sht sjhtra tksh perkongsian ilmu jelang Ramadan
Apakah Anda sedang mengalami kesulitan keuangan? Maka artikel ini cocok untuk Anda. Pinjaman saya disetujui oleh Bapak Pedro, yang merupakan tawaran pinjaman dari perusahaan pinjamannya ketika bank menolak pengajuan pinjaman saya karena kredit saya buruk, tetapi Pedro dan perusahaan pinjamannya memberi saya pinjaman sebesar 7 juta DOLAR AS dengan suku bunga 3%. Saya sangat berterima kasih dan ingin berbagi semua ini dengan Anda yang sedang mencari jenis pinjaman apa pun. Hubungi kantor pinjaman Pedro langsung melalui alamat email: pedroloanss@gmail.com atau whatsapp dia di: +393510140339.
walaupun boleh, tapi ubat moden ini biasanya ada kesan sampingan yang kita tidak tahu. Takut jadi penyakit
Post a Comment