Siapakah yang tak pernah menangis,
Di hujung setiap ketawa dan lupa,
Siapakah diantara kita yang memalingkan muka,
Ketika mendengar kalimah Tuhan,
Banyak bakti yang dapat diberi,
Sepanjang hidup yang sesingkat ini,
Lautan manusia berombakkan nafsu,
Kebenaran terdampar di pantai kecewa...
Air mata seperti mutiara,
Apakah itu rasa keinsafan,
Rintihan dari hati yang rindu,
Apakah itu hakikat cintamu...
(Zubir Ali,almarhum)
Adakalanya jiwa saya bagaikan terserap ke dalam lagu ini, tanpa saya sedari titisan manik-manik jernih mengalirkan membasahi pipi tatkala mendengar alunannya yang puitis dan syahdu. Ahh...hati manusia, ada masa seumpama batu dan boleh menjadi lembut jika kena caranya...
Menangis adalah sebahagian proses semulajadi yang dianugerahkan ALLAH kepada kita. Ada orang menangis kerana sedih, ada yang terlalu gembira, ada juga yang menangis kerana marah dan ada juga yang menangis tanpa apa-apa sebab. Walaupun sesetengah orang mengaitkan tangisan itu dengan wanita dan sebagai lambang kelemahan, namun hakikatnya ia tidak benar.
Sesungguhnya setitis air mata taubat dan penyesalan mampu memadamkan api neraka yang marak membakar. Oleh itu berilah tangisan keinsafan, bertaubatlah dengan mengeluarkan air mata penyesalan. Kenangkanlah kelemahan diri berbanding kekuasaan Allah, cucurilah air mata ketaqwaan mudah-mudahan air mata itu akan menjadi saksi di hadapan Allah. Fikirkan, ini adalah kelebihan wanita yang fitrahnya mudah mengalirkan air mata berbanding lelaki, kerana jiwa mereka halus dan mudah tersentuh.
Tetapi janganlah sengaja mengalirkan air mata untuk menagih simpati manusia ataupun menarik perhatian lelaki. Kelak air mata inilah yang akan mengheretnya ke neraka. Wal`iyuzubillah.
Tingkat tangisan
- Tangisan kerana malu, umpama tangisan Nabi Adam as.
- Tangisan kerana kesalahan, umpama tangisan Nabi Daud as.
- Tangisan kerana takut dan bimbang, umpama tangisan Nabi Yahya as.
- Tangisan kerana kehilangan sesuatu, umpama tangisan Nabi Yaakub as.
- Tangisan kerana rindu dan cinta, umpama tangisan Nabi Syuaib as.
- Tangisan kerana merasakan kehebatan, umpama tangisan sekelian para nabi
Satu kisah...
Telah diriwayatkan dari `Atha, bahawa dia berkata: Saya, Ibnu Umar dan Ubai bin Amrin telah datang menemui Siti Aisyah .
Kata Ibnu Umar: “Ya Siti Aisyah, ceritakanlah kepada kami sekelian sesuatu yang paling mengkagumkan dari Nabi saw.”
Maka Siti Aisyah menangis lalu berkata: “Pada suatu malam, yang malam itu memang giliran saya, baginda datang kepada saya, maka bersentuhanlah kulit baginda dan kulit saya, lalu baginda bersabda: “Ya Aisyah, izinkanlah saya beribadah kepada Tuhanku!”
Kata saya: “Sesungguhnya saya tidak suka memperturutkan hawa nafsu saya, bahkan saya suka ibadahmu kepada Allah Ta`ala.”
Maka Nabi saw berdiri menuju ke tempat air di dalam rumah sambil menangis, lalu mengambil wudhu` dan memperbanyak tuangan air. Selanjutnya Nabi membuka al-Quran, maka baginda menangis sehingga air matanya bercucuran jatuh ke tanah.
Maka datanglah sahabat Bilal, sedangkan beliau masih dalam keadaan menangis. Kata Bilal: “Ya Rasulullah, demi ayahku dan demi ibuku, aduhai Rasulullah apakah yang menyebabkan engkau menangis, maka sesungguhnya Allah Ta`ala telah mengampuni semua dosa engkau yang telah lalu dan yang akan datang.”
Maka Nabi saw bersabda: “Apakah saya tidak menjadi hamba yang bersyukur? Apakah yang menghalangi saya menangis, kerana sesungguhnya malam tadi Allah Ta`ala telah menurunkan wahyu-Nya, iaitu:
“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit-langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit-langit dan bumi (seraya berkata), “Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran: 190-191).
"Ya Bilal, tidak akan dapat memadamkan api neraka, kecuali air mata. Celakalah orang yang membaca ayat ini tanpa memikirkan isinya." (Sahih berdasarkan persyaratan Bukhari).
#Merenung kekuasaan dan ciptaan-Nya... sehingga mengalir air mata keinsafan, merasakan betapa lemah dan kerdilnya diri ini.
0 comments:
Post a Comment