Sahabat Sejati

Wednesday, 1 October 2025

Bukan kaleng-kaleng air tangan 'chef Rashid'

'Air tangan chef Rashid'

Sejujurnya, pada mulanya saya bukanlah peminat ikan patin gulai tempoyak, walaupun saya anak jati Pahang. Entahlah.. tekak ini seakan-akan tidak serasi. Namun, hidup selalu ada kejutan kecil yang mengubah segalanya. 

Setiap dua bulan sekali, kami warga YAM Pahang akan berkumpul di rumah rakit Amal Resort, Chenor. Suasana damai di tepi sungai, angin sepoi-sepoi, ditambah pula dengan hidangan istimewa daripada rakan kami, yang mesra digelar Chef Rashid. Dialah punca segalanya berubah. 

'Suapan demi suapan sambil dihembus semilir sungai Pahang'
 
Sekali merasa gulai patin tempoyak air tangannya, saya terus terpikat. Pedasnya sedang elok, tempoyaknya pekat dan asli, belimbing buluh, bunga kantan, daun kesum – semua cukup ramuannya. Rasanya menari di lidah, hingga saya mula faham kenapa orang begitu mengagungkan gulai ini. 

Saya pernah cuba di warung biasa, juga di restoran terkenal sekitar Pahang. Namun, belum ada yang mampu menandingi masakan Chef Rashid. Ada sesuatu dalam ramuan dan air tangannya yang menjadikannya begitu istimewa, seakan ada “seni rahsia” yang tidak boleh ditiru. Saya tidak kata ia sedap, kerana sedap atau tidak adalah perkara subjektif. Memadai saya katakan, ia serasi dan kena  dengan selera tekak saya.

 

'Tidak sah jika tak bertambah nasi'

Dan bukan sekadar gulai patin tempoyak sahaja yang mengikat selera. Hidangan sampingan seperti bilis lada, sambal kuini, serta lauk-lauk kampung lain melengkapkan jamuan. Bukan saja mengenyangkan perut, tetapi juga mengikat silaturahim antara kami. 

Di situlah saya belajar, kadangkala sesuatu yang kita anggap “biasa-biasa” sebenarnya luar biasa.. cuma menunggu saat dan tangan yang tepat untuk membuka selera dan hati.

5 comments:

adnil linda said...

Linda makan durian, tapi tak makan tempoyak.

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

Tengok pada gambar sahaja sudah membikin kecur air liur, beruntungnya sahabat² dapat menikmati air tangan Cef Rashid. Tentu nilai keikhlasan menyediakan hidangan buat santapan rakan² membuat rasanya jadi lebih istimewa.

Roziah @ Cie said...

Kita orang kampung ni menu2 gitu memang sedap sangat dah. Terliur pulak tengok nampak sedap gulai patin tu.

Suria Amanda said...

Patin tempoyak la besttttt...SA org NS pun sebulan mesti masak 2-3 kali....

Ezna Khalili said...

Lama tak makan lauk ni. Bila sesekali teringin mesti pergi makan.