Sahabat Sejati

Monday, 13 October 2025

Siri Pengembaraan Masa (Part 1): Lintasan Asar di Jalan Lama

foto hiasan ~ sumber

Petang itu aku dalam perjalanan pulang ke kampung kerana urusan keluarga. Lebuhraya penuh sesak, deretan kenderaan seolah-olah tidak berkesudahan. Maklumlah cuti sekolah dah pun bermula. 

Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan hiruk-pikuk itu, lalu membelok memasuki susur keluar ke jalan lama. Jalan yang sunyi dan berliku, menyusuri pinggir hutan dan desa yang seakan dilupakan masa. 

Roda kenderaan terus berputar tenang membelah aspal jalan. Di kiri dan kanan terbentang kehijauan hutan. Sesekali aku terlihat rumah kayu yang uzur di tepi jalan, dindingnya condong, namun diserambinya masih tergantung pasu bunga orkid yang mekar. 

Cuaca panas terik, dan perut terasa kosong. Di tepi jalan, aku terlihat sebuah surau kecil berusia, beratap zink dan berdinding papan lusuh. Terselit di celah pokok cengal dan senduduk yang merimbun, seolah-olah menyambut sesiapa yang singgah. 

Aku berhenti, mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor. Usai solat, aku baring sebentar di saf belakang, hanya mahu melepaskan lenguh dan memejam mata sejenak. 

Hanya sejenak, fikirku. Tetapi.. aku terlelap. 

foto hiasan ~ sumber

Tiba-tiba bahuku terasa digoncang perlahan. Dan saat mata ini terbuka semula, satu pemandangan yang asing. Suasana dalam surau itu telah berubah, tidak seperti surau yang kusinggah tadi. 

Aku menggosok pelupuk mata beberapa kali untuk menjelaskan pandangan. Ah.. surau ini, atapnya bertumpang tiga dan diperbuat daripada ijuk. Berdinding kelarai bertam dianyam cantik. Unik. Menjadikan suasana damai dan sejuk. 

“Aku bermimpi..?” hati tertanya-tanya. 

Langit di luar kelihatan sedikit kelam, seperti sudah menghampiri waktu Asar. Di sekelilingku ada beberapa orang jemaah.. tetapi mereka tidak seperti orang biasa. Pakaian mereka seakan baju Melayu lama, berkain pelikat yang dililit tinggi, berbaju tanpa kolar, dan kepala dililit kemas destar. Wajah mereka tampak tenang, tapi asing. 

Aku bingung. Mencari telefon.. tiada. Beg sandangku pun tiada di sisi. 

Tiba-tiba seorang pakcik tua berjanggut nipis putih mendekatiku, dengan senyum mesra dan pandangan yang dalam. 

“Anak, bangunlah… Asar hampir masuk. Kita solat berjemaah, ya?” tuturnya, lembut. 

Dalam keadaan terpisat-pisat, aku bangun perlahan, tubuh terasa ringan tapi minda berkabut. Aku hanya mengangguk. 

Seorang anak muda melaungkan azan. Suaranya merdu, bergema dalam ruang papan itu. Suara itu bukan dari zaman ini, getus hatiku.. 

Usai solat, pakcik tadi menghampiriku semula. “Namaku Musa, orang kampung memanggilku Pak Andak Musa. Aku lihat anak ini bukan orang sini, ya?” 

Aku menggaru kepala. “Er… saya… sebenarnya saya…” Sulit untuk aku menjelaskan. 

“Tak mengapa. Jangan gelisah. Allah tentukan segalanya.” 

Beberapa orang jemaah yang berjalan keluar, seraya melemparkan senyuman kepadaku. Lalu kubalas senyuman mereka walaupun dengan perisa yang agak kebingungan. 

"Siapa namamu anak muda?" sambungnya lagi. 

"Err.. Zah.. Zahran.." 

Dia merenungku lama, lalu tersenyum lagi. 

foto hiasan ~ sumber

“Marilah Zahran ikut aku pulang. Rumahku tidak jauh dari sini. Tak elok dibiarkan orang asing bersendiri. Kalau lapar, makan. Kalau penat, berehat. Kampung ini.. terbuka untuk sesiapa yang jujur langkahnya.” Tuturnya lembut, tersusun. Lenggok bahasa orang lama yang pernah aku dengar dalam filem-filem lama di kaca televisyen. 

Aku termangu. Dunia ini terasa kabur, seakan mimpi. Tapi tangan Pak Andak yang menyentuh bahuku terasa benar. Hangat. Manusia. Ya, manusia.. 

“Baiklah, Pak Andak…” kataku perlahan. 

Aku melangkah keluar dari surau lalu mengikuti langkahnya. Dan tanpa aku sedar, aku telah melangkah masuk ke dalam sejarah. 

Bersambung part 2..

0 comments: