Part 3 baca di sini
![]() |
| Destinasi terakhir |
“Terima kasih kerana menjamu kami, akhi,” saya ucapkan sambil menyalami tuan rumah dengan senyum yang ikhlas.
“Alhamdulillah, rezeki ini berkah. Moga Allah tambahkan lagi pahala atas kebaikan tuan rumah ini,” saya menyanbung dengan nada lembut.
Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Kali ini, arah kenderaan kami menuju ke Pondok Pesantren Tahfizh Al-Quran & Alim an-Nahl, yang terletak di Gg. Tawon, Desa Sampali, Kecamatan Percut Sei Tuan, masih dalam daerah Kabupaten Deli Serdang.
Jalanan kampung yang kami lalui berliku, namun indah. Di kiri-kanan, rimbunan semak menghijau dan pepohon kelapa sesekali bergoyang ditiup angin lembut. Suasana kampung Indonesia punya daya tenang yang tersendiri, sederhana tapi damai.
Kami harus menyelesaikan semua agihan hari ini juga, kerana petang esok kami bakal berangkat pulang ke tanah air. Setibanya di pesantren, kami disambut dengan ramah oleh mua’llim yang telah menunggu di serambi. Senyumannya menyambut kami seolah-olah sudah lama mengenali.
![]() |
| Gimik penyerahan kepada beberapa pelajar |
Acara penyerahan pun dimulakan. Beberapa naskhah mushaf dihulurkan kepada pelajar tahfiz yang dipilih mewakili rakan-rakan mereka. Seperti biasa, sesi dokumentasi dan rakaman foto dilakukan, bukan untuk menunjuk, tapi sebagai bukti kepada para pewakaf yang telah mempercayakan amanah ini kepada kami.
Selesai majlis ringkas itu, saya menghela nafas panjang. Ada rasa lega, puas, dan syukur yang bercampur di dada. Teringat kata-kata sahabat saya, “Kita bukan siapa-siapa, tapi Allah bagi peluang jadi penyampai Al-Quran kepada hamba-hamba-Nya.” Sungguh, kata-kata itu berputar lama dalam hati.
"Terima kasih pewakaf yang dermawan." Jauh disudut hati saya mendoakan kebaikan buat mereka.
Petang mulai melabuh. Kami bertolak pulang ke hotel penginapan. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan. Walau sederhana, tempatnya cantik, dihias dengan gantungan tanaman hijau dan lampu mentol kecil yang menambah suasana tenang menjelang senja.
![]() |
| Jus Pinang Muda, boleh cuba komersialkan di Malaysia pula |
Sambil menunggu pesanan minuman, pandangan saya tertarik pada sesuatu di penjuru rak warung: segugus buah pinang muda bergayut di dahan, masih hijau segar. Saya menunjuk ke arah itu, lalu bertanya pada Muien,
“Eh, kenapa pinang muda tu digantung kat situ, Muien?”
Dia ketawa kecil. “Itu bahan untuk buat jus.”
Saya terdiam seketika. “Ha? Jus? Jus pinang muda?”
Dia mengangguk sambil ketawa lagi. “Iya, di sini orang minum jus pinang muda. Rasanya sedikit manis pahit dan kelat. Tapi pahit dan kelat yang lebih, katanya bagus untuk tenaga dan kesihatan.”
Saya tersenyum sambil membelek menu yang tertera di hadapan, benar, ada tercatat “Jus Pinang Muda.”
“Hebat juga orang Medan ni,” saya berseloroh. “Kalau di tempat kita, pinang tu buat nyirih. Di sini jadi minuman pula, tak pening ke nanti.” Kami semua tertawa kecil, menikmati suasana santai di warung yang sederhana itu. Angin petang menghembus lembut, membawa bau kopi dan pinang muda yang baru dikisar.
Malam itu, di bilik hotel, saya termenung lama di tepi jendela. Lampu-lampu kota Medan berkelip dari kejauhan, seolah-olah mengucapkan selamat tinggal. Hati saya tenang, puas kerana misi kecil ini telah disempurnakan. Dalam diam, saya berdoa agar setiap mushaf yang kami serahkan menjadi pelita yang menerangi hati para santri di sana.
Entah pukul berapa saya terlelap malam itu. Yang pasti, dalam lena yang perlahan datang, masih terasa hembusan angin Medan — lembut, damai, dan berbau keberkatan.
Bersambung part 5..



2 comments:
Orang Indonesia ni kadang tidak membazir. Kulit lembu pun boleh dijadikan keropok. Sedap pulak tu. Ini pinang?. Tak pernah rasa pula....tang pahit tu yang takut nak rasa.
assalam ustaz afiat tiasa di mana saja berada alhamdulillah selamat laksana misi sumbangan...mesti banyak khasiat jus pinang muda
Post a Comment