![]() |
| foto hiasan |
Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan.
Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang telah menginsafkan hati!
Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini.
Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi. Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan dan sembunyikan".
Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang.
Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti.
Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang berputik, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak.
Terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil sebesar manfaat daripadanya. Doakan agar saya dapat menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah. Allahu al-Musta`an.
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)

3 comments:
Betul perkara yg tuan lakukan ini. Bukan untuk menunjuk tapi supaya pihak yg menyumbang tahu ke mana bantuan disalurkan. Yang kena rahsiakan tu, orang yang menyumbang secara individu.
setuju..
assalam ustaz afiat tiasa hendaknya...betullah tu sumbangan dari NGO kenalah hebah kalau saja2 ustaz ikhlas sumbang patut diam2
Post a Comment