Sahabat Sejati

Wednesday, 16 April 2014

Kita mungkin telah melupakannya, tetapi tidak bagi mereka...


Islam sangat melarang melakukan kezaliman. Bukan sahaja kezaliman sesama manusia, bahkan juga larangan berlaku zalim kepada makhluk yang lain. Larangan ini adalah larangan yang tiada batasan. Ini kerana, perbuatan zalim boleh menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini.

Dalam sirah diceritakan, Rasulullah saw pernah berpesan kepada 3000 tentera Islam yang akan berangkat ke medan Mu`tah. Peperangan Mu`tah berlaku pada bulan Jamadil Awal, tahun ke 8 Hijrah. Mu`tah merupakan sebuah kampung di pinggir Syam. Sekarang ia dinamakan al-Karak, letaknya di pinggir Tenggara Laut Mati. Sebab terjadinya peperangan ini ialah kerana seorang utusan baginda saw yang bernama al-Harith bin Umair al-Azdi telah dibunuh oleh salah seorang raja Arab Ghassan yang tunduk kepada Caesar Rom.

Pesan Rasulullah saw kepada angkatan perang Islam: “Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah dan berbuat baik kepada orang Islam yang bersama kamu. Perangilah sesiapa yang kufur kepada Allah dengan nama dan demi jalan Allah. Jangan kamu belot (jika diadakan perjanjian) atau mencuri rampasan perang (sebelun diagih-agihkan). Jangan kamu membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua yang tak berdaya dan pendeta yang memencilkan diri di gereja. Jangan kamu memusnahkan pokok kurma, memotong pokok atau meruntuhkan binaan.”

Perbuatan zalim biasanya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh. Manakala orang-orang yang dizalimi adalah dari kalangan mereka yang jahil, lemah, miskin, lurus dan tidak berdaya.

Mereka tidak lupa, Allah juga tidak lupa


Saya menulis perkara ini kerana baru sahaja mendengar satu kisah yang sangat menginsafkan. Saya mendengarnya di dalam klip pendek youtube. Ustaz tersebut menceritakan: “Satu hari selesai kuliah, datang seseorang yang telah berusia berjumpa saya. Katanya, dia merupakan seorang bekas anggota keselamatan. Tujuan dia berjumpa adalah untuk meminta doa agar diberikan keselamatan kerana akan menjalani pembedahan. Sekarang ini dia berulang-alik ke hospital membuat rawatan akibat penyakit tulang kakinya reput.”

Namun, kata ustaz lagi, apa yang mengharukan ialah katanya: “Ketika bertugas dahulu saya pernah melakukan satu perkara yang saya rasa ada kaitan dengan apa yang berlaku ke atas diri saya pada hari ini. Sebenarnya saya pernah menahan seorang budak muda atas satu kesalahan. Saya menjadi berang kerana dia bermati-matian tidak mengaku tuduhan ke atasnya. Akhirnya, akibat hilang sabar saya menendangnya hingga terperosok ke dinding. Saya mendengar budak muda itu berkata yang dia tidak bersalah dan berdoa semoga Allah menjadikan kaki tuan yang menendang saya reput.”

“Walaupun peristiwa itu berlaku 15 tahun yang lalu dan saya sudah pun pencen, tetapi apabila saya disahkan menghidap penyakit tulang kaki reput, tiba-tiba saya teringatkan peristiwa ini, saya takut ini adalah kemustajaban doa budak itu dahulu.”

Kata ustaz: “Boleh jadi ia ada kaitan, boleh jadi tiada kaitan, semuanya dalam pengetahuan Allah SWT. Apa pun banyakkanlah memohon ampun kepada Allah.”

Kita memang boleh melupakan kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain. Hari-hari yang berlalu memadamkan episod kezaliman itu daripada ingatan kita. Namun, apakah orang yang dizalimi itu boleh melupakannya. Mereka tidak lupa. Masakan mudah mereka melupakannya. Mereka tidak lena tidur teringatkan kezaliman kita, disaat kita lena tidur. Allah SWT juga tidak pernah lupa perbuatan orang yang zalim. Mana mungkin ia berakhir begitu sahaja. Setiap perbuatan zalim pasti ada balasan biar pun orang yang dizalimi telah mati, atau tidak mampu membalasnya. Allah SWT akan membalas perbuatan si zalim dengan cara yang dikehendaki-Nya. Tidak kira samada balasan di dunia atau pada hari akhirat kelak.

Sekalipun dia terlepas semasa berada di dunia, tetapi pembalasan yang sebenar tetap menantinya ketika dia berada di akhirat kelak. Orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Bahkan, sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambilnya darinya dengan kadar kezalimannya. Jikatiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Insafi diri

Saya termenung panjang. Berfikir, apakah saya pernah melakukan sebarang bentuk kezaliman terhadap orang lain. Tidak kira samada kezaliman yang kecil atau besar. Ternyata saya tidak dapat mengingatinya, lalu saya merumuskan bahawa saya tidak pernah melakukannya. Namun, adakah orang yang pernah dizalimi turut melupakannya jika kita pernah menzalimi mereka, sebagaimana kita telah melupakannya. Mereka mungkin tidak mampu membalas seperti yang kita lakukan, tetapi mereka dianugerahkan Allah SWT doa yang mustajab atau akan dimakbulkan terhadap yang menzaliminya.


Dalam riwayat Ahmad, Rasulullah saw bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguhnya antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya).” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani)

Demikianlah kelebihan golongan yang dizalimi atau ditindas. Doa mereka didengari oleh Allah SWT. Syeikh Syihabuddin ar-Ramli, seorang ulama silam yang terkenal daripada mazhab Syafie ketika ditanya kepadanya: “Adakah doa orang kafir yang dizalimi oleh Allah?” Beliau menjawab: “Doa orang yang dizalimi boleh diperkenan oleh Allah sebagaimana doa iblis juga diperkenankan oleh–Nya.”

Kadang-kadang kita merasa hairan, mengapa kebelakangan ini kehidupan kita sentiasa ditimpa kesusahan atau tidak habis masalah datang bersambung-sambung. Kita tertanya-tanya: “Ya Allah, mengapalah hidupku susah, mengapalah hidupku begini dan begini...” Tanpa kita sedari rupa-rupanya kita telah terkena doa orang yang pernah kita zalimi, mana tahu. Sedangkan kita telah pun lupa akannya. Wal`iya zubillah.

Oleh itu, berhati-hatilah...

0 comments:

Post a Comment